Monday, May 15, 2017

PENYOKONG PAS-UMNO AKAN JADI ‘KALDAI POLITIK’ KEPADA HADI, NAJIB?


"Kita amalkan tahaluf sejak PAS ditubuhkan, kita menghadapi liku-liku yang mencabar. Alhamdulillah PAS menunjukkan kita parti yang berdisiplin dalam bertahaluf. PAS tidak khianati kawan, PAS beradab dalam tahaluf kerana tahaluf fahaman dalam titik persefahaman."

Demikian kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Kuala Selangor pada 6 Jun 2015, seklain menyelar pihak yang cemburu akan hubungan PAS dan UMNO.

Menurutnya, hubungan yang terjalin adalah berlandaskan syariat bagi tujuan merealisasikan hukum Hudud.

Tanpa menamakan siapa, beliau mengatakan ada orang cemburu buta, macam kisah suami isteri,  isteri yang tidak benar suaminya ke pasar sehingga tidak boleh bercakap dengan perempuan lain.
Dan selepas hampir dua tahun, tahaluf PAS-UMNO dikatakan semakin hampir menjadi kenyataan.

Ia memang baik dalam konteks mengurangkan ketegangan antara orang Melayu Islam, walaupun tidak jelas sama ada dilakukan berlandaskan syariat bagi tujuan merealisasikan hukum Hudud

Semalam, keyakinan PAS mengenai tahluf dengan UMNO ini cuba dibuktikan oleh Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Noor Mohamad yang mengatakan PAS akan bertanding di sembilan kerusi parlimen itu di Wilayah Persekutuan.

Nampaknya PAS begitu yakin bahawa Barisan Nasional (BN)/UMNO di Wilayah Persekutuan akan membantu mereka jika yahaluf siyasi itu menjadi kenyataan, selain ia selaras dengan keputusan Majlis Syura Ulama bahawa tahaluf siyasi dengan PKR sudah terbatal.

Mohamad Nor mengatakan sokongan yang diterima oleh PAS kini semakin meningkat terutamanya di kalangan orang Melayu Islam, di selain terus mendapat sokongan pengundi bukan Islam.

Malah, PAS mengatakan dengan penuh keyakinan peluang untuk mereka menang di Segambut – kawasan bukan majoriti Melayu – berdasarkan pengundi Islam, selain undi orang Cina dan India, kerana tidak semua mereka mengundi DAP.

 

Persoalannya, dengan bantahan bukan Islam kepada pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 2016 atau Akta 355 di Dewan Rakyat.yang bukan sahaja daripada penyokong DAP tetapi juga MCA, Gerakan dan MIC, apakah pengundi bukan Islam sudah jelas mengenai mengapa pindaan itu perlu diakukan.

Persoalannya, berjayakan tarbiyah PAS kepada bukan Islam sehingga kini mengenai pindaan Akta 355  ini?

Penulis tidak yakin bahawa penjelasan PAS mampu memahamkan bukan Islam kerana orang Islam sendiri banyak yang menentang apa yang cuba dilakukan oleh PAS dalam pindaan itu.

Malag suara-suara terus kedengaran, bukan sahaja bukan Islam dalam DAP atau beberapa parti bukan Islam di Sarawak dan Sabah menentangnya tetapi bukan Islam dalam MCA, MIC dan Gerakan turut menolak apa yang dikemukakan oleh PAS.

Jadi, dalam soal mentarbiyah penyokong PAS dan UMNO mengenai tahaluf pula, apakah penyokong UMNO dan PAS sudah memahami dan menerima pandangan Hadi dan pemimpin tertinggi PAS mengenai perkara ini?

Penulis Khuatir dan kefahaman mungkin hanya berlaku di kalangan pemimpin tetapi penerimaan penyokong masih kabur dan menjadi tanda tanya.

Selama bertahun-tahun permusuhan antara pemimpin dan penyokong kedua-dua parti ini seolah-oleh tidak mungkin dapat dilerai.

 

Tetapi jika Hadi dan Datuk Seri Najib Razak dapat melakukannya, ia merupakan ‘kejayaan politik peringkat atasan’ namun mungkin tidak membawa sebarang jaminan di peringkat bawahan.

Bagi kebayakan yang berusia 50-an hingga 70-an, kenangan masih kekal di minda mereka bagaimana PAS mengkafirkan UMNO dan banyak kesannya kepada orang UMNO selepas Hadi mengeluarkan amanatnya di Banggol Peradong.

Apakah orang UMNO boleh melupakan begitu sahaja tanpa Hadi menarik balik amanatnya?

Isu ‘anak haram’ hasil perkahwinan ‘tidak sah’ kerana dinikahkan imam bukan PAS khusunya iman UMNO, isu ‘suami isteri berzina’ kerana dinikahkan imam UMNO, makan daging ‘haram’ kerana ayam, lembu, kambing, kerbau disebelih oleh penyembelih UMNO semuanya masih segar difikiran mereka.

Juga bolehkah pemimpin UMNO melupakan kejadian imam yang dilantik kerajaan BN/UMNO tidak diiktiraf oleh penyokong PAS yang menyebabkan berlakunya kejadian solat dua imam yang masih ada di Terengganu sehingga kini?

Juga apakah penyokong BN/UMNO boleh menerima perbuatan membina surau bersaingan dan masjid yang dibina kerajaan bagaikan ‘gereja atau kuil sahaja di mata sesetengah penyokong fanatik PAS gara-gara Amanat Hadi?

Banyak lagi kesan Amanat Hadi yang masih berlegar di kepala orang UMNO, terutamanya di Terenganu dan Kelantan, atau mungkin juga Kedah.

Isu orang Islam yang meninggal menjadi ‘kafir’ dan tidak boleh disolatkan jenazah mereka juga masih melekat di fikiran penyokong UMNO di ketiga-tiga negeri berkenaan.

Apakah orang UMNO boleh memaaf dan melupakan kejadian itu begitu sahaja?

Persoalannya apakaah dan bilakah Hadi akan menarik balik amanatnya itu dan bersediakan beliau melakukannya apabila tahaluf dengan UMNO hendak dikuasakan?

Perlu diulang sekali lagi bahawa Amanat Haji hasil suatu sedutan ceramah umum yang disampaikan oleh oleh Presiden PAS itu di Kampung Banggol, Peradong,  Kuala Terengganu pada 7 April 1981.

Ucapan beliau telah dicetak dalam bentuk poster dan ditampal di dinding markas PAS sekitar tahun itu.

Daripada bukti kertas putih mengenai Memali  bertarikh 26 Februari 1986,  Amanat Hadi telah dicetak dalam empat versi yang turut dikaitkan dengan peristiwa berdarah di Kedah itu.

Kenapa pemimpin UMNO tidak bertanya Hadi bila mahu ‘mensucikan kembali’ orang UMNO dan apakah kini orang UMNO sudah ‘dapat tiket atau pas untuk masuk terus ke syurga’?

Jika dahulu pemimpin UMNO mempertikaikan syurga milik PAS, apakah kini kerana akan adanya ‘tahaluf’, ‘syurga sudah dimiliki bersama’?

Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, berkata parti itu memang sentiasa bersikap terbuka dan sedia berbincang dengan mana-mana parti.

Ini disuarakan selepas kerjasama politik dengan PKR terkubur secara rasmi.

Namun  seperti yang selalu ditekankan pemimpin parti itu, Hashim menegaskan, setiap kerjasama yang ingin dijalankan mestilah "dipimpin oleh Islam".

Hashim dilaporkan berkata tindak-tanduk UMNO serta presidennya, yang meletakkan konsep Islam dalam pentadbiran memungkinkan perkara itu berlaku.

Sebelum ini, PAS turut mengatakan untuk sebarang tahaluf, Islam hendaklah diutamakan, namun persoalannya, dalam konteks kerjasama PAS-UMNO, siapakah pemimpin yang akan mengetuai kerjasama itu?

Apakah PAS sanggup menerima pakatan yang dipimpin UMNO atau ia adalah kepimpinan seimbang, maksudnya 50-50?

Maka timbullah persoalan lain, apakah PAS yang mengatakan untuk menyasarkan lebih 100 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-14 bertujuan untuk bergabung dengan UMNO atau berkerajaan sendiri.

Ketua penerangannya, Nasrudin Hassan, berkata semalam, daripada jumlah itu PAS menjangkakan 40 kerusi adalah yang "mudah menang" manakala selebihnya perlu diusahakan dengan lebih gigih.


Apakah keyakinan ini dibuat kerana adanya sokongan daripada UMNO atau kekuatan PAS secara bersendirian?

Lantas, jika PAS bertanding lebih 100 kerusi, yang selebihnya daripada 40 itu (kalaulah benar boleh mencapai jumlah itu), apakah peranan PAS hanya parti ‘kacau daun’ bertujuan mendapatkan beberapa kerusi Parlimen sambil membantu UMNO menang di kerusi-kerusi majoriti Melayu-Islam?

Dan terang lagi bersuluhlah bahawa peranan PAS kini adalah sebagai ‘khadam BN/UMNO, bukannya untuk menjadi pemerintah dan berdiri sendiri.

Persoalannya, mahukah penyokong PAS menjadi ‘khadam UMNO dan penyokong UMNO pula menjadi khadam PAS di beberapa kerusi untuk menjamin kemenangan PAS?

Di sinilah akan wujud konflik pemikiran di kalangan penyokong kedua-dua parti berkenaan.

Apakah pemimpin bawahan dan penyokong kedua-dua [arti itu sanggup menjadi ‘kaldai politik’ bagi tujuan kepentingan Hadi dan Najib?

BN/UMNO dan PAS jangan mengambil mudah kedudukan ini kerana kelak, bagi penyokong PAS yang tidak bersetuju dengan cadangan tahaluf dengan UMNO akan mengundi parti Melayu-Islam lain.

Apakah sokongan akan pergi kepada parti `AMANAH? Mungkin tidak kerana AMANAH adalah sebahagian kemarahan penyokong PAS selain DAP dan UMNO.

Tidak ada piihan untuk mereka selain mengundi dan menyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Bagaimana pula dengan penyokong UMNO yang tidak bersetuju dengan tahaluf dengan PAS? Ke mana sokongan mereka?

Ke PKR, DAP atau AMANAH?

Kemungkinan kepada AMANAH ada tetapi kemarahan mereka kepada PAS tetap membara dan ‘butir tahi’ PAS ini tidak mungkin dapat sokongan sepenuhnya.

Mereka akan melepaskan geram kepada UMNO melalui PPBM yang dirasakan lebih ‘mesra dan rapat’ dengan mereka.

Jangan pemimpin BN/UMNO dan PAS melihat perkara ini kecil. Mereka belum boleh bergembira dengan pertandingan tiga penjuru.

Juga jangan terlalu gembira bahawa tahaluf antara mereka akan membawa kemenangan mutlak dalam pilihan raya umum nanti.

Tahaluf antara dua parti itu akan membawa kpada suatu ciptaan dan keadaan  ‘harapan palsu’ yang akan merugikan UMNO dan PAS.

Dan pastinya pada kedudukan ini, jika UMNO mengambil jalan untuk tidak bertahaluf dengan PAS bimbang penyokong mereka akan merasa bahawa mereka dijadikan ‘kaldai politik’ oleh Najib, PAS yang bertanding sendirian akan masih terperangkap.

Benar sekali  jika bertandng bersendirian PAS akan lebih dihormati dan mungkin mendapat keputusan lebih baik berbanding bertahaluf dengan BN/UMNO.

Namun apa jaminan yang PAS boleh bertahan dengan asakan AMANAH dan pengundi bukan Melayu-Islam?

PAS kini tersepit dan begitulah juga UMNO.

Pada usianya memasuki 71 tahun, UMNO turut tersepit dengan asakan pembangkang, khususnya PPBM dan PKR.

Ia diakibatkan oleh  langkah sumbang dan pendirian tidak konsisten pemimpin mereka dalam isu rasuah, pembaziran, pemborosan dan paling menakutkan – kleptokrasi.

Malah dalam keadaan Najib dipalitkan dengan isu RM2.6 bilion dan RM42 melalui akaun bank peribadi Najib (belum lagi isu 1Malaysia Development Berhad) sementara  Hadi pula berdepan tuduhan sumbangan RM 90 juta daripada 1MDB, tahaluf PAS-UMNO berdepan dengan beberapa halangan sukar.

Apakah kedua-duanya berani menghadapi risiko untuk mempersetujui tahaluf berkenaan yang kini dilihat lebih mirip kepada kepentingan menjaga survival politik Najib-Hadi daripada perpaduan di kalangan orang Melayu Islam.

Wednesday, May 10, 2017

PM PAKATAN HARAPAN PASTINYA LEBIH BAIK DARIPADA NAJIB...


Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 12 April 2016 lalu. meramalkan bahawa pemerintahan enam dekad Barisan Nasional (BN) mungkin menghampiri penghujungnya.

Dalam satu temubual dengan Bloomberg, Dr Mahathir mengatakan sentimen akar umbi begitu kuat bahawa pembangkang  akan mendapat sokongan majoriti rakyat.

"Semua orang yang anda temui hari ini, sesiapa saja, tiada seorang pun mempunyai kata-kata yang baik untuk kerajaan, terutamanya bagi (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib Razak," kata pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu.

Lantas, persoalan yang banyak diperkatakan, jika Najib jatuh siapa akan menjadi Perdana Menteri?

Maka timbullah perbagai nama, namun paling penting, calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) pastilah lebih baik 100 kali atau 10 kali atau sekali sahaja pun lebih baik tidak apa daripada Najib Razak, ia sudah memadai.

Ini suatu kemestian.

Tidak kira siapalah. Yang pasti bukan Lim Kit Siang atau Dr Mahathir kerana mereka sendiri sudah mengatakan tidak lagi mahu menduduki jawatan itu.

Kerana itu apabila PH enggan menjawab siapa calon Perdana Menteri pada ketika sedang  menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14), ia adalah jawapan paling munasabah.


Bukan sahaja penyokong PH mahu ketahui siapa akan memimpin mereka tetapi sudah pasti BN dan UMNO khususnya, juga  mahu tahu siapa calon Perdana Menteri itu.

Bagi BN/UMNO, calon mereka adalah satu-satunya itu,  iaitu Najib Razak.

Suka tidak suka, walau digelar perompak, penyamun, pencuri atau juga kleptokrat, penyokong BN/UMNO terpaksa ‘menelan’ semua kata-kata itu. Najib adalah segala-galanya untuk mereka.

Tiada pilihan lain lagi, malah Najib sendiri turut menonjolkan dirinya sedemikian.

Tidak ada calon lain lagi untuk mereka, sama ada rakyat Malaysia yang berada dari  dalam negara atau luar negara, bagi penyokong BN/UMNO, iatu sahajalah tokoh yang mereka ada. Yang paling layak, katakana.

Berbanding dengan PH, jika menurut Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution, siapa pun calon mereka pasti lebih baik daripada perdana menteri sedia ada.

Yang penting, bagi PH ialah PRU14  akan menyaksikannya sama ada dari PKR, DAP, Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), calon-calon yang boleh dilantik sebagai Perdana Menteri yang jauh lebih baik daripada Najib.

Kegagalan Najib menjayakan Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju dan memohon tempoh 30 tahun lagi iaitu ke tahun 2050 menggambarkan dia seorang yang gagal.

Ini tidak termasuk isu lain membabitkan bebaban kehidupan yang ditanggung oleh rakyat akibat kenaikan kos kehidupan, pembangunan yang menekankan projek fizikal-mega yang dilihat lebih memberikan keuntungan kepada syarikat besar dan luar negara, selain isu-isu seperti penyalahgunaan dana kerajaan untuk menyelamatkan projek peribadinya seperti 1Malaysia Development Berhad.

Tidak usah dilayan pendapat yang mendesak dinamakan segera Perdana Menteri kerana ia hanya akan menyebabkan kekusutan di kalangan PH.

Juga jangan dilayan dengan propaganda BN dan UMNO kononnya Kit Siang akan menjadi Perdana Menteri.

Kelmarin, 8 Mei 2016, Kit Siang dengan tegas menjawab tuduhan bahawa beliau mahu menjadi Perdana Menteri selepas pilihan raya umum ke-14 dan menamakan anaknya, Guan Eng sebagai timbalan perdana menteri.


Kita Siang mengemukakan pertanyaan :”Berapa ramai rakyat Malaysia yang percaya bahawa cita-cita politik saya adalah untuk menjadi perdana menteri Malaysia dan untuk melantik Guan Eng sebagai timbalan perdana menteri?”

Beliau yang sudah berkecimpung dalam politik Malaysia selama 51 tahun menegaskan sekali lagi, cadangan untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia tidak pernah terlintas dalam fikiran beliau.

Juga jangan dilayan pemimpin yang melompat sana, melompat sini selain mempertikaikan  keengganan PH menamakan calon Perdana Menteri, kerana dia hanya mahu mempopularkan diri dan memenangi pilihan raya.

Pemimpin seperti ini akan membidas seseiapa sahaja mengikut ‘selera politiknya’ dan walaupun dia dari PH akan tetap membidas pakatan pembangkang kerana permintaannya tidak dilayan.

Soal penting bukan semata-mata seorang individu yang memerintah negara tetapi sekumpulan Kabinet yang akan bekerja untuk memajukan rakyat dan negara.

Menonjolkan Dr Mahathir yang juga Pengerusi PPBM sebagai calon Perdana Menteri memandangkan ahli politik veteran itu boleh menarik sokongan pengundi Melayu, termasuk warga Felda, dan seterusnya memastikan kemenangan PH, hanya membawa kesan negatif.

Penularan pendapat sedemikian akan mendatangkan gambaran seolah-olah Dr Mahathir yang pernah menyandang jawatan perdana menteri selama 22 tahun sehingga 2003, masih gila untuk berkuasa semula.

Sedangkan beliau sudah mengatakan tidak berminat lagi.


Kenyataan  Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semalam bahawa siapa juga yang menjadi Perdana Menteri kenalah tunggu menang PRU14 dahulu. “Yang penting menang pilihan raya umum terlebih dahulu,” katanya di Shah Alam.

Ini kerana setiap parti, setiap individu mempunyai daya tarikan masing-masing, ada kekuatan masing-masing. “Bagi saya, kita tumpu dan garapkan semua kekuatan,” tegasnya.

Amat wajar pembangkang mempelajari keputusan pilihan raya umum sebelum ini, walaupun ada parti menonjolkan seseorang atau siapa sepatutnya menjadi Perdana Menteri tetapi rakyat tetap menolaknya.

Kenapa? Bukan semua boleh menerima calon jika seseorang itu mempunyai ‘kudis’ atau ‘luka yang dalam’ dan sukar diubati.

Seperti dialami oleh Najib sekarang, biarkan  BN/UMNO tonjol beliau kerana rakyat boleh menilai apa jenis parti BN?UMNO ketika ini.

Sedangkan di pihak PH, tidak sukar mencari calon yang lebih baik daripada Perdana Menteri sekarang. Dia mestilah bersih,  yang dilihat bersih, mampu mengurus ekonomi negara dengan baik, cakna rakyat dan bercita-cita tinggi untuk memacu negara ke tahap lebih tinggi berbanding sekarang.

Biarkanlah sesiapa yang mahu menamakan sama ada Ketua Pembangkang Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail atau Dr Mahathir atau juga Kit Siang, namun akhirnya selepas mencapai kemenangan PH akan membentuk Kabinetnya sendiri, negara akan diketuai oleh seseorang yang lebih baik daripada Najib.


Sekali lagi, jangan layan tindakan segelintir pemimpin UMNO yang mengatakan DAP berniat mendapatkan jawatan itu yang kononnya menyebabkan PH dalam keadaan defensif dalam kalangan pengundi Melayu.

Itu kerja UMNO yang bimbang dengan perkembangan parti pembangkang berasaskan Melayu-Islam seperti PPBM dan AMANAH.

Di sebalik semua kenyataan mengenai Perdana Menteri, kata-kata Dr Mahathir bahawa pembangkang belum membuat keputusan mengenai siapa yang akan menjadi Perdana Menteri, perlukah dihadam dan ditelan.

Yang penting pembangkang perlu menang dan tidak sukar untuk menamakan bakal calon Perdana Menteri.

Malah dengan tegas Dr Mahathir memberitahu, isu berkenaan "tidak relevan kecuali jikai anda menang".


Yang penting seperti kara Dr Mahathir, pembangkang akan mendapat  "margin kemenangan yang baik" yang akan diterjemahkan kepada sebuah "kerajaan yang dan kuat".

Tuesday, May 2, 2017

WAHAI HADI, PARTI MANAKAH MAHU JADIKAN PAS ‘HOTEL’, BATU LONCATAN?


Parti pembangkang manakah yang mahu jadikan PAS sebagai ‘hotel persinggahan’ untuk dijadikan batu loncatan demi pilihan raya?

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang seperti ‘hilang akal’ apabila menyifatkan parti pembangkang lain sebagai hanya mahu menggunakannya untuk menang pilihan raya.

Begitu angkuh dan sombong sekali Hadi meletakkan PAS seolah-olah sebagai parti pembangkang yang segala-galanya  dominan daripada parti lain?

Atas apa kekuatan PAS, Hadi menunjukkan kesombongannya?

Apakah dengan bertanding 80 kerusi Parlimen pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14), Hadi boleh mendabik dada dengan menjangkakan PAS  boleh menang 50 kerusi Parlimen?

Apakah jumlah itu mempu mengatasi DAP atau pakatan pembangkang dalam Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya kali ini?

Isunya apakah kemenangan PAS yang mendapat 21 kerusi (kini 14 sahaja selepas 6 ke AMANAH dan seorang ke PKR) daripada 73 kerusi yang dipertandingkan olehnya pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu hasil usaha dan sokongan ahlinya semata-mata?

Bagaimana pula dengan PKR yang menang 27 kerusi (kini 28 selepas seorang melompat dari PAS) daripada 99 kerusi, apakah prestasinya kurang baik kerana tidak mendapat kerjasama PAS?

PAS mendabik dada ia ada 165 kawasan, dan 7,000 cawangan. Sementara pembangkang lain pula tidak ada kawasan serta tidak ada cawangan.

PAS mendakwa ia mempunyai ahli hampir satu uta orang dan parti lain tidak sehebatnya,  namun bukankah keputusan PRU13 boleh dijadikan ukuran sebenarnya?

Kenapa DAP bertanding sebanyak 51 kerusi tetapi menang 37 kerusi?

Tidakkah PAS menang di kebanyakan Parlimen di Pantai Barat kerana bantuan bukan Melayu dan sebagainya?
  
Apa akan terjadi kali ini dengan bantah banyak pihak kepada keputusan PAS membentangkan pindaan ke atas Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 di Dewan Rakyat?

Juga apakah PAS sedar bahawa bantahan rakyat melalui kempen parti AMANAH terhadapnya selain penolakan rakyat kepada PAS atas beberapa sebab lain,  akan menjejaskan undi terhadapnya pada PRU14 kali ini?

Apakah Hadi bermimpi di siang hari dan menyusahkan jentera PAS di beberapa negeri tertentu kerana bertanding sendirian?

Selain itu di atas kekuatan apa sehingga Hadi berani mengingatkan ahli parti dan entiti politik lain bahawa PAS bukanlah 'hotel persinggahan' untuk dijadikan batu loncatan?
Bukankah dalam setiap bentuk kerjasama, khususnya bertanding dalam pilihan raya, parti politik akan berunding untuk menentukan kerusi serta calon yang diletakkan dalam pilihan raya?

Apakah DAP, AMANAH, PKR atau parti paling baru, iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia )PPBM) cuba menipu PAS dalam setiap rundingan?

Kenapa kali ini, belum pun rundingan muktamad, Hadi sudah ‘berleter panjang’? Kenapa  kemarahannya menjadi-jadi, sedangkan banyak perkara masih boleh dibincangkan.

Apakah ini bermakna bahawa kenyataan Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin sudah tidak boleh dipakai lagi dan Hadi menggunakan kuasa ‘vetonya’ untuk menghentikan perbincangan dan perundingan itu?


Pada kenyataannya kelmarin, Hashim mengatakan PAS belum  menutup pintu kepada mana-mana pihak yang ingin bekerjasama dengan parti Islam itu. Malah katanya, "Jika DAP atau AMANAH atau mana-mana pihak lain yang bersedia untuk mematuhi syarat-syarat kami, kami masih boleh bekerjasama. "Kami masih terbuka mengenainya.”

Pada sidang media selepas menghadiri muktamar sayap muslimat PAS ke-57 di Alor Setar, Hashim menegaskan syarat PAS itu adalah Islam mesti menerajuinya.

Namun kenyataan Hadi dengan sendirinya membatalkan kenyataan Hashim yang mempunyai ‘jiwa dan perasaan lebih lembut dan terbuka’ berbanding sikap Hadi yang ‘keras dan tertutup’.

Lebih jauh Hadi mengatakan pembangkang lain bersifat oportunis atau gemar mengambil kesempatan dan menjadikan PAS sebagai pangkalan persinggahan atau tangga untuk dipanjat.

Walaupun Hadi ada menyebut perbuatan ini turut dilakukan oleh ahli partinya tetapi kenyataan ini  jelas perbuatan yang merendahkan keupayaan parti pembangkang lain, seperti Hadi membawa atau melafazkan suara ‘orang lain’ dalam isu ini.

Apakah Hadi tertelan umpan oleh parti tertentu yang sengaja mahu melihat pertelingkahan wujud sesama pembangkang dan Hadi dijadikan sebagai ‘suara mereka’ kerana Hadi mudah memakan umpan?


Hadi yang selama ini menegur parti lain kononnya campur tangan dalam urusan partinya sejak beberapa hari kebekalangan ini turut menyentuh ‘tubuh badan’ parti pembangkang lain dengan kasar dan tidak beretika.

Apabila Hadi menggesa Pendaftar Pertubuhan (ROS) supaya menyiasat parti politik yang ada di negara ini untuk memastikan sama ada mereka mematuhi perlembagaan atau sebaliknya, membuktikan Hadi kini sanggup mengheret parti lain untuk diadili secara terbuka.

Menurut Hadi antara aspek yang perlu diteliti adalah kepatuhan pihak terbabit kepada peruntukan Islam sebagai agama persekutuan selain menghormati perlembagaan atau tidak?

Apa hak Hadi mempertikaikan kewujudan, perlembagaan dan perjuangan pembangkang lain, kalau pun tidak berteraskan Melayu-Islam sebagai tidak mematuhi perlembagaan?

Kenapa sampai begitu jauh Hadi mempertikaikan parti lain yang mengambarkan beliau bersedia melakukan apa sahaja demi menjada persefahaman beliau dengan seseorang.

Kenapa Hadi mudah dipengaruhi dan kali ini sangat mudah dibaca turur-kata dan tindakannya?

Kata-kata Hadi :"Contoh, Islam agama rasmi - dia hormat ke tidak? Raja berpelambagaan, dia hormat ke tidak? Bahasa Melayu, (Islam) agama rasmi, dia hormati ke tidak? Hak bumiputera Melayu jawa bugis orang asal semenanjung, bumiputera Sabah Sarawak ada hak istimewa yang perlu dihormati, mereka hormat ke tidak?" membawa seribu makna yang tersirat.

Walaupun tidak menamakan secara khusus parti yang dimaksudkannya, Hadi dipercayai merujuk kepada DAP yang suatu ketika dulu pernah menjadi sahabat PAS.


Walau kepada siapa ditujunya, kenapa sekarang Hadi timbulkan isu ini dan apakah ketika bekerjasama dengan beberapa parti pembangkang sebelum ini, termasuk DAP kenapa  isu ini tidak dilontarkan?

Apakah Hadi sebelum ini ‘separuh sedar’ dan kini sudah sedar selepas memakan umpan dan sanggup menjadi ‘burung kakak tua’ kepada pihak tertentu?

Kata-kata dan tindakan Hadi tidak sekadar kepada DAP tetapi dia juga menyerang  Parti Amanah Negara (AMANAH) dan PPBM.

Kritikan Hadi terhadap PPBM ialah parti itu tidak mempunyai arah ketentuan dalam aspek kepimpinan.

Pada 29 April lalu, Hadi menegaskan, selepas dibuat penilaian, “PPBM tak ada ketentuan arah kepimpinan. Tak tahu siapa makmum, siapa imam. Sebab itu kita buat keputusan tak ada hubungan dengan PPBM," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar presiden di Muktamar Tahunan PAS Ke-63 di Alor Setar.

Jadi siapa Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Moahamad, Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz Mahathir kepada Hadi? Lebih rendah kedudukan mereka daripada beliau?

Kenyataan Hadi ini turut melupuskan gambaran yang dinyatakan oleh Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa PAS masih berunding dengan PPBM.

Kenyataan Hadi mengenai PPBM ini langsung tidak mengiktiraf mengenai wujudnya kepimpinan negeri dan bahagian serta cawangan PPBM yang ‘tumbuh bagai cendawan di musim hujan’ di negeri-negeri seperti Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Terengganu, Perak, Melaka serta Pulau Pinang.


Amat nyata Hadi menganggap PAS ‘super kuat’ berbanding parti pembangkang lain untuk menghadapi PRU14 dan keyakinan itu mungkin kerana kedudukannya yang lebih selesa kerana dibantu banyak perkara oleh UMNO dan BN.
  
Malah, kali ini tidak sukar untuk dibaca bahawa walau apa kata dan penafian PAS kononnya tidak mempunyai persefahaman dengan UMNO, yang nyata dengan penolakan PAS bekerjasama dengan PH untuk merobohkan UMNO/BN, PAS sebenarnya sedang mempertahankan dan menegakkan kerajaan BN untuk terus memerintah.

Bagi PAS,  RUU355 adalah satu-satu yang terpenting di Malaysia ketika ini berbanding perkara lain -  perjuangan menentang kemiskian, keperitan rakyat, rasuah, penyelewengan atau juga kleptokrasi – yang PAS mesti ditegakkan.

Dan yang nyata bagi Hadi dan PAS, yang boleh membantunya  ketika ini hanyalah satu-satunya iaitu - Najib Razak!!!

Thursday, April 27, 2017

FIKIRKAN…GST SANGAT PENTING, PENYELAMAT BUAT NAJIB, KERAJAAN BN???


"Apakah UMNO/BN kini sebuah parti yang menekan rakyat, khususnya rakyat Melayu dan Islam gara-gara GST..dan kenapa pemimpin UMNO/BN 'tuli dan buta' terhadap isu yang dianggap sebagai menzalimi rakyat ketika inii?"

Kenyataan Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri bahawa Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST)  sangat penting bagi kerajaan Barisan Nasional (BN) menyerlahkan bahawa ia sama sekali tidak akan dimansuhkan.

Bermakna kerajaan yang ada hari ini akan terus menyusah dan menyeksa rakyat.

Walaupun tidak dinyatakan kemungkinan akan ada pertambahan peratusannya (daripada 6 peratus ketika ini) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti tetapi nyata sudah, rakyat akan menanggungnya secara berterusan.

Malah memandangkan GST terlalu penting buat Datuk Seri Najib Razak, UMNO dan BN, ia mungkin akan menjadi manifesto UMNO/BN untuk pilihan raya umum akan datang.

Sedangkan, pembangkang sudah menegaskan berulang kali bahawa rakyat tidak akan dibebani GST jika Pakatan Harapan (PH) menewaskan BN pada pilihan raya umum akan datang.

Kenyataan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), AMANAH, PKR dan DAP sudah jelas bahawa mereka semuanya menolak GST.

Dengan kata lain, jika PH memerintah,  GST akan berada di tahap ‘sifat (0) peratus’. Dan rakyat perlu faham apa diaksudkan PH mengenai GST berkadar sifar .

Ertinya ialah, rakyat atau pengguna tidak perlu membayar sebarang cukai ke atas barangan atau perkhidmatan.

Ia juga bererti tidak ada cukai dikenakan ke atas harga akhir yang terhasil daripada sebarang cukai yang dibayar perniagaan dan pengeluar.

Ini kerana perniagaan dan pengeluar boleh menuntut balik sebarang GST yang dibayar untuk aset, pembelian atau perbelanjaan perniagaan mereka, daripada kerajaan sebagai input kredit cukai.

Pada 14 Januari lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan beberapa pembaharuan yang akan dilakukan jika parti campuran pembangkang memenangi PRU14.

Pengerusi PPBM  itu berkata, antara perkara utama adalah menghapuskan GST secara beransur-ansur dan menggantikannya dengan cukai jualan mengikut selera rakyat.

Selain itu, nilai mata wang ringgit akan dipertahankan tanpa menjual dolar Amerika dalam simpanan negara, katanya ketika melancarkan parti itu secara rasmi di Stadium Malawati Shah Alam..

Semalam pula Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menjelaskan, PH sepakat untuk memansuhkan GST sekiranya mereka membentuk kerajaan baharu.

“Saya sudah mengatakan perkara ini berulang kali. Kami akan ambil jalan berkadar sifar. Malah Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menjelaskan PH dan PKR  akan lakukannya apabila PH ambil alih kerajaan.

“Saya tak tahu mengapa BN tak faham ilmu hisab. Tak tahu sifar itu apa? Sifar ertinya kosong, ‘ling su’ dan ‘suzhiyam’,” kata Guan Eng pada sidang media di Komtar semalam.


Kelmarin, Nurul Izzah menjelaskan PH akan menghapuskan GST dengan menjadikannya berkadar sifar.

Beliau  berkata GST yang dikumpulan oleh BN itu turut  digunakan untuk menyelamatkan 1Malaysia Development Berhad, kerana persamaan antara hasil RM39 bilion dengan jumlah kerugian syarikat itu begitu menakjubkan.

Jadi malam semalam apabila Perdana Menteri mengatakan cukai  yang membebankan rakyat itu  sebagai cara dan alat terbaik untuknya berfungsi ‘membantu rakyat’, adalah sesuatu yang menghairan dan wajar dipersoalkann.

Amatlah malang sekiranya Najib  mengatakan kerajaan BN  tidak boleh berfungsi dengan baik untuk berkhidmat kepada rakyat sekiranya GST dibatal atau tidak dilaksanakan.

Namun itulah yang disebut oleh Najib yang menurutnya,  negara tiada sumber hasil yang kukuh untuk memberi perkhidmatan yang baik kepada rakyat.

Apakah dengan berkurangnya hasil petroleum, kerajaan BN sudah mati akal untuk mencari sumber baru kepada pendapatan negara, apalagi untuk membayar hutang negara yang semakin bertimbun?

Malang sekali jika mempunyai kerajaan yang mengharapkan ‘titik peluh dan keringat rakyat’ untuk membolehkannya berfungsi.

Pada ketika rakyat menolak GST yang membebankan, Perdana Menteri menganggap GST sebagai penyelamat dan kerana itulah puncanya kerajaan BN mempertahankan GST  habis-habisan..

Najib menganggap GST segala-galanya kerana menurutnya  jika tidak ada sumber hasil yang kukuhm iaitu GST, kerajaan tidak akan mampu membina sekolah, menjalankan perkhidmatan kesihatan, mengawal keselamatan melibatkan polis dan tentera, memberi biasiswa (kepada pelajar) juga bayar pencen kepada 1.6 juta penjawat awam.

“Ini semua memerlukan sumber kewangan. Kalau kita tolak GST, ini bermakna kita menolak lebih RM50 bilion setahun. Kalau kita tolak RM50 bilion daripada bajet, maka kerajaan tidak boleh berfungsi sebenarnya dan banyak perkhidmatan yang hari ini kita beri kepada rakyat tidak boleh dilaksanakan," kata Najib yang juga Presiden UMNO.


Tdiak peliklah jika Najib dan BN beria-ia mempertahankan GST yang berbeza sekali dengan pembangkang  yang mahu ia dihapus sama sekali kerana banyak cara atau langkah lain boleh diperkenalkan untuk mendatangkan sumber kepada kerajaan.

Kenyataan Najib mempertahankan GST ini dibuat selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato Onn di Kuala Lumpur, malam semalam.

Najib berkata kenyataan pembangkang menolak GST nyata sekali tidak berasas tanpa berlandaskan fakta berbanding kerajaan BN yang melihat GST tersangat penting untuknya.


Dengan kedudukan di mana pengumuman Najib mempertahankan GST selepas mesyuarat penting UMNO bermakna UMNO parti yang menjaga kepentingan orang Melayu dan Islam mempertahankan dasar percukaian yang dianggap sebagai menzalimi rakyat.

Apakah UMNO/BN kini sebuah parti yang menekan rakyat, khususnya rakyat Melayu dan Islam gara-gara GST yang rata-rata disuarakan oleh rakyat, termasuk di luar bandar sebagai menekan dan membebankan rakyat?

Kenapa pemimpin UMNO/BN 'tuli dn buta' terhadap isu yang dianggap sebagai menekan dan menzalimi rakyat ketika inii?

Sedangkan di pihak PH, kadar GST lebih wajar diturunkan ke paras 0% daripada 6% memandangkan sistem GST sudah dilaksanakan dan perniagaan sudah mengeluarkan belanja untuk melaksanakan sistem percukaian itu,


Menjadikan GST berkadar sifar sama kesannya seperti memansuhkan GST dan pastinya akan meringankan beban rakyat yang terpaksa ditanggung akibat dasar pentadbiran Najib, UMNO dan BN yang nyata menekan dan menjadikan rakyat sebagai 'penyelamat' kepada negara bermasalah ketika ini.