Tuesday, May 2, 2017

WAHAI HADI, PARTI MANAKAH MAHU JADIKAN PAS ‘HOTEL’, BATU LONCATAN?


Parti pembangkang manakah yang mahu jadikan PAS sebagai ‘hotel persinggahan’ untuk dijadikan batu loncatan demi pilihan raya?

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang seperti ‘hilang akal’ apabila menyifatkan parti pembangkang lain sebagai hanya mahu menggunakannya untuk menang pilihan raya.

Begitu angkuh dan sombong sekali Hadi meletakkan PAS seolah-olah sebagai parti pembangkang yang segala-galanya  dominan daripada parti lain?

Atas apa kekuatan PAS, Hadi menunjukkan kesombongannya?

Apakah dengan bertanding 80 kerusi Parlimen pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14), Hadi boleh mendabik dada dengan menjangkakan PAS  boleh menang 50 kerusi Parlimen?

Apakah jumlah itu mempu mengatasi DAP atau pakatan pembangkang dalam Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya kali ini?

Isunya apakah kemenangan PAS yang mendapat 21 kerusi (kini 14 sahaja selepas 6 ke AMANAH dan seorang ke PKR) daripada 73 kerusi yang dipertandingkan olehnya pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu hasil usaha dan sokongan ahlinya semata-mata?

Bagaimana pula dengan PKR yang menang 27 kerusi (kini 28 selepas seorang melompat dari PAS) daripada 99 kerusi, apakah prestasinya kurang baik kerana tidak mendapat kerjasama PAS?

PAS mendabik dada ia ada 165 kawasan, dan 7,000 cawangan. Sementara pembangkang lain pula tidak ada kawasan serta tidak ada cawangan.

PAS mendakwa ia mempunyai ahli hampir satu uta orang dan parti lain tidak sehebatnya,  namun bukankah keputusan PRU13 boleh dijadikan ukuran sebenarnya?

Kenapa DAP bertanding sebanyak 51 kerusi tetapi menang 37 kerusi?

Tidakkah PAS menang di kebanyakan Parlimen di Pantai Barat kerana bantuan bukan Melayu dan sebagainya?
  
Apa akan terjadi kali ini dengan bantah banyak pihak kepada keputusan PAS membentangkan pindaan ke atas Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 di Dewan Rakyat?

Juga apakah PAS sedar bahawa bantahan rakyat melalui kempen parti AMANAH terhadapnya selain penolakan rakyat kepada PAS atas beberapa sebab lain,  akan menjejaskan undi terhadapnya pada PRU14 kali ini?

Apakah Hadi bermimpi di siang hari dan menyusahkan jentera PAS di beberapa negeri tertentu kerana bertanding sendirian?

Selain itu di atas kekuatan apa sehingga Hadi berani mengingatkan ahli parti dan entiti politik lain bahawa PAS bukanlah 'hotel persinggahan' untuk dijadikan batu loncatan?
Bukankah dalam setiap bentuk kerjasama, khususnya bertanding dalam pilihan raya, parti politik akan berunding untuk menentukan kerusi serta calon yang diletakkan dalam pilihan raya?

Apakah DAP, AMANAH, PKR atau parti paling baru, iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia )PPBM) cuba menipu PAS dalam setiap rundingan?

Kenapa kali ini, belum pun rundingan muktamad, Hadi sudah ‘berleter panjang’? Kenapa  kemarahannya menjadi-jadi, sedangkan banyak perkara masih boleh dibincangkan.

Apakah ini bermakna bahawa kenyataan Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin sudah tidak boleh dipakai lagi dan Hadi menggunakan kuasa ‘vetonya’ untuk menghentikan perbincangan dan perundingan itu?


Pada kenyataannya kelmarin, Hashim mengatakan PAS belum  menutup pintu kepada mana-mana pihak yang ingin bekerjasama dengan parti Islam itu. Malah katanya, "Jika DAP atau AMANAH atau mana-mana pihak lain yang bersedia untuk mematuhi syarat-syarat kami, kami masih boleh bekerjasama. "Kami masih terbuka mengenainya.”

Pada sidang media selepas menghadiri muktamar sayap muslimat PAS ke-57 di Alor Setar, Hashim menegaskan syarat PAS itu adalah Islam mesti menerajuinya.

Namun kenyataan Hadi dengan sendirinya membatalkan kenyataan Hashim yang mempunyai ‘jiwa dan perasaan lebih lembut dan terbuka’ berbanding sikap Hadi yang ‘keras dan tertutup’.

Lebih jauh Hadi mengatakan pembangkang lain bersifat oportunis atau gemar mengambil kesempatan dan menjadikan PAS sebagai pangkalan persinggahan atau tangga untuk dipanjat.

Walaupun Hadi ada menyebut perbuatan ini turut dilakukan oleh ahli partinya tetapi kenyataan ini  jelas perbuatan yang merendahkan keupayaan parti pembangkang lain, seperti Hadi membawa atau melafazkan suara ‘orang lain’ dalam isu ini.

Apakah Hadi tertelan umpan oleh parti tertentu yang sengaja mahu melihat pertelingkahan wujud sesama pembangkang dan Hadi dijadikan sebagai ‘suara mereka’ kerana Hadi mudah memakan umpan?


Hadi yang selama ini menegur parti lain kononnya campur tangan dalam urusan partinya sejak beberapa hari kebekalangan ini turut menyentuh ‘tubuh badan’ parti pembangkang lain dengan kasar dan tidak beretika.

Apabila Hadi menggesa Pendaftar Pertubuhan (ROS) supaya menyiasat parti politik yang ada di negara ini untuk memastikan sama ada mereka mematuhi perlembagaan atau sebaliknya, membuktikan Hadi kini sanggup mengheret parti lain untuk diadili secara terbuka.

Menurut Hadi antara aspek yang perlu diteliti adalah kepatuhan pihak terbabit kepada peruntukan Islam sebagai agama persekutuan selain menghormati perlembagaan atau tidak?

Apa hak Hadi mempertikaikan kewujudan, perlembagaan dan perjuangan pembangkang lain, kalau pun tidak berteraskan Melayu-Islam sebagai tidak mematuhi perlembagaan?

Kenapa sampai begitu jauh Hadi mempertikaikan parti lain yang mengambarkan beliau bersedia melakukan apa sahaja demi menjada persefahaman beliau dengan seseorang.

Kenapa Hadi mudah dipengaruhi dan kali ini sangat mudah dibaca turur-kata dan tindakannya?

Kata-kata Hadi :"Contoh, Islam agama rasmi - dia hormat ke tidak? Raja berpelambagaan, dia hormat ke tidak? Bahasa Melayu, (Islam) agama rasmi, dia hormati ke tidak? Hak bumiputera Melayu jawa bugis orang asal semenanjung, bumiputera Sabah Sarawak ada hak istimewa yang perlu dihormati, mereka hormat ke tidak?" membawa seribu makna yang tersirat.

Walaupun tidak menamakan secara khusus parti yang dimaksudkannya, Hadi dipercayai merujuk kepada DAP yang suatu ketika dulu pernah menjadi sahabat PAS.


Walau kepada siapa ditujunya, kenapa sekarang Hadi timbulkan isu ini dan apakah ketika bekerjasama dengan beberapa parti pembangkang sebelum ini, termasuk DAP kenapa  isu ini tidak dilontarkan?

Apakah Hadi sebelum ini ‘separuh sedar’ dan kini sudah sedar selepas memakan umpan dan sanggup menjadi ‘burung kakak tua’ kepada pihak tertentu?

Kata-kata dan tindakan Hadi tidak sekadar kepada DAP tetapi dia juga menyerang  Parti Amanah Negara (AMANAH) dan PPBM.

Kritikan Hadi terhadap PPBM ialah parti itu tidak mempunyai arah ketentuan dalam aspek kepimpinan.

Pada 29 April lalu, Hadi menegaskan, selepas dibuat penilaian, “PPBM tak ada ketentuan arah kepimpinan. Tak tahu siapa makmum, siapa imam. Sebab itu kita buat keputusan tak ada hubungan dengan PPBM," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar presiden di Muktamar Tahunan PAS Ke-63 di Alor Setar.

Jadi siapa Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Moahamad, Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz Mahathir kepada Hadi? Lebih rendah kedudukan mereka daripada beliau?

Kenyataan Hadi ini turut melupuskan gambaran yang dinyatakan oleh Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa PAS masih berunding dengan PPBM.

Kenyataan Hadi mengenai PPBM ini langsung tidak mengiktiraf mengenai wujudnya kepimpinan negeri dan bahagian serta cawangan PPBM yang ‘tumbuh bagai cendawan di musim hujan’ di negeri-negeri seperti Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Terengganu, Perak, Melaka serta Pulau Pinang.


Amat nyata Hadi menganggap PAS ‘super kuat’ berbanding parti pembangkang lain untuk menghadapi PRU14 dan keyakinan itu mungkin kerana kedudukannya yang lebih selesa kerana dibantu banyak perkara oleh UMNO dan BN.
  
Malah, kali ini tidak sukar untuk dibaca bahawa walau apa kata dan penafian PAS kononnya tidak mempunyai persefahaman dengan UMNO, yang nyata dengan penolakan PAS bekerjasama dengan PH untuk merobohkan UMNO/BN, PAS sebenarnya sedang mempertahankan dan menegakkan kerajaan BN untuk terus memerintah.

Bagi PAS,  RUU355 adalah satu-satu yang terpenting di Malaysia ketika ini berbanding perkara lain -  perjuangan menentang kemiskian, keperitan rakyat, rasuah, penyelewengan atau juga kleptokrasi – yang PAS mesti ditegakkan.

Dan yang nyata bagi Hadi dan PAS, yang boleh membantunya  ketika ini hanyalah satu-satunya iaitu - Najib Razak!!!

Thursday, April 27, 2017

FIKIRKAN…GST SANGAT PENTING, PENYELAMAT BUAT NAJIB, KERAJAAN BN???


"Apakah UMNO/BN kini sebuah parti yang menekan rakyat, khususnya rakyat Melayu dan Islam gara-gara GST..dan kenapa pemimpin UMNO/BN 'tuli dan buta' terhadap isu yang dianggap sebagai menzalimi rakyat ketika inii?"

Kenyataan Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri bahawa Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST)  sangat penting bagi kerajaan Barisan Nasional (BN) menyerlahkan bahawa ia sama sekali tidak akan dimansuhkan.

Bermakna kerajaan yang ada hari ini akan terus menyusah dan menyeksa rakyat.

Walaupun tidak dinyatakan kemungkinan akan ada pertambahan peratusannya (daripada 6 peratus ketika ini) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti tetapi nyata sudah, rakyat akan menanggungnya secara berterusan.

Malah memandangkan GST terlalu penting buat Datuk Seri Najib Razak, UMNO dan BN, ia mungkin akan menjadi manifesto UMNO/BN untuk pilihan raya umum akan datang.

Sedangkan, pembangkang sudah menegaskan berulang kali bahawa rakyat tidak akan dibebani GST jika Pakatan Harapan (PH) menewaskan BN pada pilihan raya umum akan datang.

Kenyataan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), AMANAH, PKR dan DAP sudah jelas bahawa mereka semuanya menolak GST.

Dengan kata lain, jika PH memerintah,  GST akan berada di tahap ‘sifat (0) peratus’. Dan rakyat perlu faham apa diaksudkan PH mengenai GST berkadar sifar .

Ertinya ialah, rakyat atau pengguna tidak perlu membayar sebarang cukai ke atas barangan atau perkhidmatan.

Ia juga bererti tidak ada cukai dikenakan ke atas harga akhir yang terhasil daripada sebarang cukai yang dibayar perniagaan dan pengeluar.

Ini kerana perniagaan dan pengeluar boleh menuntut balik sebarang GST yang dibayar untuk aset, pembelian atau perbelanjaan perniagaan mereka, daripada kerajaan sebagai input kredit cukai.

Pada 14 Januari lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan beberapa pembaharuan yang akan dilakukan jika parti campuran pembangkang memenangi PRU14.

Pengerusi PPBM  itu berkata, antara perkara utama adalah menghapuskan GST secara beransur-ansur dan menggantikannya dengan cukai jualan mengikut selera rakyat.

Selain itu, nilai mata wang ringgit akan dipertahankan tanpa menjual dolar Amerika dalam simpanan negara, katanya ketika melancarkan parti itu secara rasmi di Stadium Malawati Shah Alam..

Semalam pula Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menjelaskan, PH sepakat untuk memansuhkan GST sekiranya mereka membentuk kerajaan baharu.

“Saya sudah mengatakan perkara ini berulang kali. Kami akan ambil jalan berkadar sifar. Malah Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menjelaskan PH dan PKR  akan lakukannya apabila PH ambil alih kerajaan.

“Saya tak tahu mengapa BN tak faham ilmu hisab. Tak tahu sifar itu apa? Sifar ertinya kosong, ‘ling su’ dan ‘suzhiyam’,” kata Guan Eng pada sidang media di Komtar semalam.


Kelmarin, Nurul Izzah menjelaskan PH akan menghapuskan GST dengan menjadikannya berkadar sifar.

Beliau  berkata GST yang dikumpulan oleh BN itu turut  digunakan untuk menyelamatkan 1Malaysia Development Berhad, kerana persamaan antara hasil RM39 bilion dengan jumlah kerugian syarikat itu begitu menakjubkan.

Jadi malam semalam apabila Perdana Menteri mengatakan cukai  yang membebankan rakyat itu  sebagai cara dan alat terbaik untuknya berfungsi ‘membantu rakyat’, adalah sesuatu yang menghairan dan wajar dipersoalkann.

Amatlah malang sekiranya Najib  mengatakan kerajaan BN  tidak boleh berfungsi dengan baik untuk berkhidmat kepada rakyat sekiranya GST dibatal atau tidak dilaksanakan.

Namun itulah yang disebut oleh Najib yang menurutnya,  negara tiada sumber hasil yang kukuh untuk memberi perkhidmatan yang baik kepada rakyat.

Apakah dengan berkurangnya hasil petroleum, kerajaan BN sudah mati akal untuk mencari sumber baru kepada pendapatan negara, apalagi untuk membayar hutang negara yang semakin bertimbun?

Malang sekali jika mempunyai kerajaan yang mengharapkan ‘titik peluh dan keringat rakyat’ untuk membolehkannya berfungsi.

Pada ketika rakyat menolak GST yang membebankan, Perdana Menteri menganggap GST sebagai penyelamat dan kerana itulah puncanya kerajaan BN mempertahankan GST  habis-habisan..

Najib menganggap GST segala-galanya kerana menurutnya  jika tidak ada sumber hasil yang kukuhm iaitu GST, kerajaan tidak akan mampu membina sekolah, menjalankan perkhidmatan kesihatan, mengawal keselamatan melibatkan polis dan tentera, memberi biasiswa (kepada pelajar) juga bayar pencen kepada 1.6 juta penjawat awam.

“Ini semua memerlukan sumber kewangan. Kalau kita tolak GST, ini bermakna kita menolak lebih RM50 bilion setahun. Kalau kita tolak RM50 bilion daripada bajet, maka kerajaan tidak boleh berfungsi sebenarnya dan banyak perkhidmatan yang hari ini kita beri kepada rakyat tidak boleh dilaksanakan," kata Najib yang juga Presiden UMNO.


Tdiak peliklah jika Najib dan BN beria-ia mempertahankan GST yang berbeza sekali dengan pembangkang  yang mahu ia dihapus sama sekali kerana banyak cara atau langkah lain boleh diperkenalkan untuk mendatangkan sumber kepada kerajaan.

Kenyataan Najib mempertahankan GST ini dibuat selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato Onn di Kuala Lumpur, malam semalam.

Najib berkata kenyataan pembangkang menolak GST nyata sekali tidak berasas tanpa berlandaskan fakta berbanding kerajaan BN yang melihat GST tersangat penting untuknya.


Dengan kedudukan di mana pengumuman Najib mempertahankan GST selepas mesyuarat penting UMNO bermakna UMNO parti yang menjaga kepentingan orang Melayu dan Islam mempertahankan dasar percukaian yang dianggap sebagai menzalimi rakyat.

Apakah UMNO/BN kini sebuah parti yang menekan rakyat, khususnya rakyat Melayu dan Islam gara-gara GST yang rata-rata disuarakan oleh rakyat, termasuk di luar bandar sebagai menekan dan membebankan rakyat?

Kenapa pemimpin UMNO/BN 'tuli dn buta' terhadap isu yang dianggap sebagai menekan dan menzalimi rakyat ketika inii?

Sedangkan di pihak PH, kadar GST lebih wajar diturunkan ke paras 0% daripada 6% memandangkan sistem GST sudah dilaksanakan dan perniagaan sudah mengeluarkan belanja untuk melaksanakan sistem percukaian itu,


Menjadikan GST berkadar sifar sama kesannya seperti memansuhkan GST dan pastinya akan meringankan beban rakyat yang terpaksa ditanggung akibat dasar pentadbiran Najib, UMNO dan BN yang nyata menekan dan menjadikan rakyat sebagai 'penyelamat' kepada negara bermasalah ketika ini.


MENGHADAPI PRU14 – PAS SANGGUP BERSENDIRIAN ATAU BEKERJASAMA?


Sekutu, seteru serta pihak yang sedang mengintai kerjasama dengan PAS tentunya akan mengikuti dengan teliti perkembangan Muktamar PAS ke-63, bermula hari ini.

Bukan sekadar PKR yang dijemput menghadiri muktamar ini akan memberikan perhatian kepada perkara yang dibincang dan diputuskan oleh muktamar tetapi juga yang tidak dijemput tetapi mempunyai ‘minat bekerjasama’ termasuk UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Malah AMANAH, DAP serta parti lain juga akan mengikuti dengan teliti bagaimana arus dan gelombang muktamar PAS kali ini akan beralun.

Dengan tiadanya jawatan penting dipertandingkan kali ini – hanya peringkat Najb Presiden –  empat calon, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan; Idris Ahmad yang juga Anggota Parlimen Bukit Gantang; Datuk Iskandar Abdul Samad yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor dan Exco Kerajaan Negeri Selangor; dan Nasruddin Hassan yang merupakan Ketua Penerangan PAS dan Anggota Parlimen - suasana tidaklah sehangat proses pemilihan sebelum ini.

Selepas ‘pembersihan’ PAS, walaupun jumlah 40 pemimpin lain bertanding untuk 18 jawatan anggota Jawatankuasa PAS Pusat, untuk dipilih kira-kira 1,200 perwakilan yang menghadiri muktamar kali ini, ketegangan sudah dapat dihindarkan dan tumpuan semestinya kepada membentuk strategi pilihan raya.

Menariknya, bagi jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, sebanyak 26 calon menawarkan diri malah dikatakan  semua  calon berkenaan adalah 'satu kepala' dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Juga tumpuan dapat diberikan kepada  penentuan lebih  30 usul daripada 194 kawasan Parlimen yang dibahagikan kepada empat kategori - usul yang ditolak, usul yang diterima tanpa bahas, usul yang diterima dan perlu dibahaskan jawatankuasa dan usul yang diterima kemudian diserahkan kepada Majlis Syura Ulama untuk diputuskan – akan merancakkan lagi perbincaangan menentukan stratagi dan hala tuju parti.

PAS menjadi perhatian kerana ia kini adalah parti kedua terbesar bagi orang Melayu dan Islam selepas UMNO, sementara PPBM dan AMANAH masih tidak diketahui keberkesanannya.

Sudah pasti dengan kedudukan di mana pilihan raya umum ke-14 (PRU14), yang diramal diadakan tahun ini akan menjengah, PAS dilihat mengadakan perhimpunan tahunan partinya sangat bertepatan dengan masa dan dan  keadaan semasa.

Malah, kedatangan muktamar ini diihat sebagai ruang mendapatkan input pemimpin dan ahli bertujuan mencatur strategi politik bagi menghadapi PRU14 dengan langkah yang ‘bijak daan berani’.

PAS tidak menjemput parti Melayu dan Islam terbesar – UMNO - ke muktamarnya kerana ia masih parti lawan yang dianggap sebagai parti yang perlu ditumbangkan.

Begitu juga dengan PPBM kerana sementara AMANAH dan DAP kini sudah menjadi musuh nombor wahidnya yang dilihat tidak boleh lagi diperbaiki hubungan antara mereka, ia dilihat bekerjasama dengan dua parti berkenaan..

Akibat PPBM bersekongkol dengan AMANAH dan DAP dalam Pakatan Harapan (PH), mereka dipalitkan  untuk tidak dijemput.PPBM.



Kemarahan PAS kepada PH tetapi tidak PKR, amat jelas apabila Setiuasaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan menjelaskan pihaknya  mengundang wakil PKR dan beberapa parti sahabat PAS antaranya Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), BERJASA dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO), namun tidak PPBM.

Hubungan PAS dengan PPBM boleh disifatkan sebagai 'digantung sementara', termasuk  tidak lagi mengadakan program dan rundingan bersama setelah PPBM mengumumkan masuk ke Pakatan Harapan.

Apakah muktamar ini akan menegaskan secara lebih jelas pendirian PAS dalam konteks hubungannya dengan PPBM, AMANAH dan DAP tetapi berlembut dengan PKR kerana ‘kepentingan PAS’ di Selangor?

Sudah pasti juga ramai menanti apa keputusan PAS dalam tahaluf siyasinya dengan PKR selepas ada cadangan diputuskaan hubungan itu?

Benarkah PAS mahu bersendirian menghadapi PRU14 kali ini?

Atau kali ini PAS akan bermain silap mata dengan bekerjasama dengan parti tertentu untuk menjamin ia terus survive di negeri-negeri seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu?

Ada pendapat mengatakan PAS akan banyak ‘bersandiwara’ kali ini untuk mengelak kalah di beberapa Parlimen tradisinya selain di Kelantan khususnya dengan bekerjasama khususya dengan PPBM.

PAS tidak sanggup berputih mata di Selangor. Apakah PAS bersedia menerima nasib buruk sekiranya membuat keputusan untuk memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR?

Kerana itu ramai tidak percaya PAS akan putuskan kerjasama politiknya dengan PKR di Selangor kerana khuatir tindakan memutuskan hubungan dengan PKR hanya akan merugikan PAS.

PAS tidak rela untuk melihat beberapa  Ahli Dewan Undangan Negerinya yang  menjadi EXCO  kerajaan negeri di Selangor hilang jawatan dan kuasa.


Malah dikatakan hubungan kerjasama ini ada kaitan dengan ‘restu istana’ Shah Alam dan apakah PAS sanggup menyanggahnya?

Persoalan juga semakin ditimbulkan, walaupun PPBM tidak dijemput ke muktamar, namun ada pihak meramalkan PAS mungkn menjalin kerjasama dengan PPBM, khususnya untuk menawan Kedah dan Terengganu.

Malah di Kelantan, turut diakui bahawa untuk menyekat pengaruh UMNO dan BN, PAS perlu bekerjasama dengan PPBM, walaupun tidak dengan AMANAH yang dikatakan ‘kuat’ di beberapa kawasan Parlimen.

Di Kedah pula, dengan kedudukan di mana PAS Kedah yang kini turut menaruh harapan dan keyakinan parti itu akan kembali merampas Negeri Jelapang Padi pada PRU akan datang, ia tidak mampu melakukan bersendirian.

Pilihan adalah untuk bekerjasama sama dengan  PPBM.

Walaupun  ada pendapat sukar untuk bekerjasama dengan PPBM untuk tundukkan UMNO/BN di beberapa negeri tetapi apakah PAS mempunyai kekuatan sendiri melakukannya?

Jika pertandingan tiga penjuru berlaku, PAS mungkin menjadi parti paling rendah menerima sokongan rakyat apabila ia akan turut diasak oleh AMANAH -  selain UMNO/BN dan PPBM di beberapa negeri?

Memanglah sejauh ini tiada keputusan  konkrit dibuat oleh PAS tetapi apakah perkara ini akan turut dibincangkkan pada muktamar ini?

Malah bukan sekadar dengan PPBM, PAS sudah ada persefahaman politik dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) apabila mengumumkan pada 16 Mac 2016 lalu untuk membentuk blok ketiga politik.

Walaupun IKATAN - parti pelbagai kaum - pimpinan bekas menteri Kabinet Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzil tidaklah sekuat mana, namun ini dilihat akan memberikan kekuatan kepada PAS.

Malah ada pertanyaan,  apakah PAS akan ‘berbaik dengan UMNO’ untuk berdepan pembangkang lain di beberapa negeri tertentu demi kepentingan Melayu dan Islam?

Semua ini ada pada pertimbangan PAS. Yang penting sebarang langkah dan tindakannya mampu memberikan  keuntungan kepada PAS dalam meraih sokongan berbanding jika ia bergerak sendirian pada PRU14.

Dengan kedudukan kehangatan suasana pemilihan parti dapat diredakan, muktamar kali ini sdah pasti dapat menumpukan perhatian seepenuhnya kepada strategi menghadaapi pilihan raya.

Dan sudah pasti muktamar ini akan menjelaskan sikap PAS dalam keputusannya sama ada untuk bersendirian atau bekerjasama dengan parti Melayu-Islam, khususnya PPBM kalaupun tidak dengan UMNO.

Wednesday, April 19, 2017

HADI AKAN LEPASKAN JAWATAN PRESIDEN DI MUKTAMAR PAS ALOR SETAR?


Kemenangan tanpa bertanding Muhammad Khalil Abdul Hadi bagi  jawatan Ketua Pemuda PAS Pusat perlu dilihat dalam konteks beberapa dimensi.

Jangan lihat di permukaan tetapi selamilah ‘lautan dalam PAS’  mengenai lantikan ini. Teroka apa berlaku di dasarnya.

Jangan cepat membuat kesimpulan kerana Presiden PAS dan kepemimpin PAS mungkin sedang membuat percatusan dan perkiraan besar di luar kotak pemikiran penyokong biasa PAS.

Melihat secara mudah, Pemuda PAS sah sudah mendapat ketua baru apabila anak kepada presiden parti,  Datuk Seri Abdul Hadi Awang menang tanpa bertanding semalam.

Kenapa sampai tiada pencabar kepada Muhammad Khalil juga perlu dilihat dengan otak bukan dengan mata.

Muktamar Tahunan PAS ke-63 pada 28 April hingga 1 Mei ini sangat penting kepada kedudukan PAS menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) selain masa depan PAS pasca PRU-14.

Kenapa penulis mengatakan demikian?

Pertama, PAS mungkin bertanding secara solo atau menjalankan persefahaman dengan parti Melayu-Islam lain di beberapa negeri, kalaupun tidak di peringkat nasional.


PAS mahu menang besar kali ini dan berharap dengan bertanding 80 kerusi Parlimen,  ia kekal relevan selepas beberapa parti lain semakin ‘tepu’ dan munculnya dua parti baru iaitu AMAMAH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPM) yang turut memperjuangkan kepentingan Melayu-Islam.

PAS perlu terus relevan dengan perjuangan Islamnya pada ketika UMNO pula berdepan dengan asakan pembangkang kerana pemimpinnya yang dituduh bersekongkol dengan Datuk Seri Najib Razak sebagai MO1 yang menyebabkan Malaysia dikenali sebagai negara Kleptokrasi.

Kedua, PAS sedang berdepan dengan perubahan penting saf kepimpinan apabila Hadi dilihat ‘sukar menyesuaikan dirinya’ dengan tuntutan baru ahli dan kesihatannya yang kurang memuaskan.

Ketiga, PAS berdepan dengan asakan orang muda yang melihat bahawa isu di Malaysia bukan semata-mata pindaan RUU355 tetapi soal tekanan kos kehidupan, kemiskinan, keperluan asasi yang semakin mengecil, rasuah, penyelewengan, isu pendidikan, pemilikan rumah, pengangguran dan sebagainya.

Apakah PAS akan hanya bercakap dan berjuang mengenai Islam per se atau lebih kepada pembangunan ummah yang mengambil kira kepeluan semasa dan kepentingan kehidupan hari ini?

Kemenangan Muhammad Khalil sebagai pemimpin muda dalam PAS menggambarkan betapa perlunya orang muda turut menentukan hala tuju parti.

Kegagalan Nik Abduh Nik Abdul Aziz sudah nyata. Dia tidak mempunyai arah dan asyik bernostalgai mengenai bapanya.


Malah dia juga dikatakan gagal menjaga kawasan Parlimennya, Pasir Mas dan dipersoalkan kewujudnya di sana. Elok sangat Nik Abduh tidak mempertahankan jawatannya.

Apapun kenyataan dan tohmahan bahawa wujudnya kroni dalam PAS iaitu bapa menjadi Presiden dan anak menjadi Ketua Pemuda hanya sementara.

Hadi dan kepimpinan PAS sedang mempersiapkan bapa dan anak untuk ke suatu kedudukan  di mana Hadi akan mengososongkan jawatanya dan berpindah mungkin ke Dewan Ulamak dan anaknya akan ‘bebas’ mengembangkan sayap politiknya tanpa ada ‘arahan dan pengaruh bapanya’.

Kemenangan tanpa bertanding Datuk Tuan Ibrahim Man Tuan Ibrahim juga memberi signal bahawa beliau adalah pengganti Hadi, walaupun mungkin tidak dikuatkuasakan segera.

Hadi sudah memerhati dan mempelajari bagaimana kecaman terhadap PKR apabila anak beranak dalam sebuah parti, UMNO ada Najib dan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, DAP ada dua Lim – bapa seorang ‘Supremo’ dan anak Setiausaha Agung.

Sementara PPBM ada Pengerusi dan Timbalan Presiden daripada satu keluarga iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang kemunculannya dalam UMNO sebelum ini pun selepas bapanya bersara.


Hadi tidak mampu untuk melarang anaknya bergiat politik seperti dilakukan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang melarang Datuk Seri Mokhzani Mahathir dan Mukhriz menyertainya dalam UMNO ketika beliau masih Presiden UMNO dan Perdana Menteri.

Hadi akan dihormati dan dilihat ‘tiada cacat celanya’ sekiranya beliau meletakkan jawatan dan menjadi Musyridul Am PAS dan anaknya berada di suatu anak tangga yang tinggi dalam hiraki parti.

Malah, bukan sesuatu yang pelik sekiranya Muhammad Khalil mengambil alih sebagai calon PAS di Parlimen Marang dan Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang pada pilihan raya umum nanti.

Beliau perlu mengukuhkan kedudukannya dalam parti dan dengan menjawat jawatan sebagai ADUN atau Ahli Parlimen, ini akan menguat dan mengukuhkan kedudukan politiknya.

Dewan Ulama Pusat PAS juga jelas menunjukan persefahaman apabila semua jawatan pada pegerakan berkenaan - termasuk anggota jawatankuasa - diisi oleh tokoh yang menang tanpa bertanding.

Keadaan itu menyaksikan Datuk Dr Mahfodz Mohamad, Datuk Dr Nik Zawawi Mohd Salleh dan Datuk Dr Johari Mat masing-masing terpilih sebagai ketua, timbalan dan naib ketua dewan ulama.

Pergerakan perubahan kepimpinan dalam PAS kini nampak bergerak dengan licin dan kehadirian Muhammad Khalil membawa makna yang besar.

PAS di bawah Tuan Ibrahim  dijangka akan lebih jelas perjuangannya kerana departi dilihat sebelum ini, beliau turut menyuarakan kebimbangannya kepada perbuatan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa,


Pada ketika Hadi nampak mengelak dan berkias mengkritik BN dan Najib, Tuan Ibrahim lebih terbuka.

Namun, banyak kali kenyataan Tuan Ibrahim 'dibentes'  oleh Hadi tetapi selepas muktamar di Alor Setar nanti, pendirian PAS akan semakin jelas.

PAS perlu membuat pendirian tegas kerana rakyat memerhatikan pendirian PAS sejauh ini.

Jika PAS mahu tidak mahu AMANAH dan PPBM menyainginya, PAS perlu tegas seperti yang ditunjukkan oleh kepimpinan sebelum Hadi.

Dan hanya melalui Tuan Ibrahim fungsi dan perjuangan politik PAS akan dapat dibaca dan dinilai dengan mudah.


PAS tidak akan lagi berfungsi seperti di bawah kepimpinan Presiden PAS sekarang yang dilihat sering berubah warna , bergantung semata-mata kepada keperluan dan kepentingan semasa Hadi semata-mata!!!