Saturday, January 14, 2017

APABILA ‘RASUAH’ JADI PENGUBAHAN WANG HARAM, RAKYAT YANG ‘BERPUTIH MATA’?


"Jangan memperkecilkan rakyat sekiranya mereka melihat dan menganggap proses keadilan melalui pendakwaan rasuah ketika ini sebagai suatu yang tidak adil dan tidak berpihak kepada mereka. Namun, inilah sistem yang terpaksa ditelan oleh mereka."

Sama ada benar atau palsu hanya Pejabat Peguam Negara sahaja yang boleh mengesahkannya.

Membiarkan surat itu berlegar di media sosial ia akan menjejaskan imej Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), seolah-oleh mereka membuat siasatan tidak lengkap dan salah sasaran.

Atau mereka memang tidak mampu menyiasat dalam keadaan tertentu kerana di luar bidang kuasa mereka?

SPRM bertindak dalam beberapa kes berprofil tinggi  pada 2016 melibatkan penyelewengan wang berpuluh-puluh juta ringgit tetapi banyak pertanyaan ialah, apa pengakhiran pendedahan dan siasatan itu?

Ramai mahu mengetahui di sebalik mereka yang ditahan dan didkawa, apakah ada pihak lain termasuk orang politik, penjawat awam atau sesiapa sahaja boleh diheret ke pendakwaan ini?

Namun kini wujud kerisauan bahawa harapan itu tidak akan ke mana-mana.

Kenapa?


Ia semacam membenarkan  kerisauan itu menjadi kenyataan apabila berlegarnya sepucuk surat SPRM kepada seseorang dengan tanggapan kononnya Jabatan Peguam Negara menolak atau menganggap siasatan itu tidak boleh kepada pendakwaan rasuah di mahkamah biarpun tiada nama Jabatan Peguam Negara disebut secara langsung.

Kita masih ingat dengan jelas isu yang didedahkan oleh SPRM mengenai Skandal Jabatan Air Sabah melibatkan rampasan wang tunai berpuluh juta ringgit yang sebahagiannya disimpan dalam kabinet.

Dilaporkan, pada 5 Oktober 2016, SPRM merampas RM112 juta wang tunai dan wang yang disimpan di dalam bank merangkumi RM52 juta wang tunai dan RM60 juta lagi dalam akaun bank yang telah dibekukan- menjadikan rampasan terbesar SPRM setakat ini.

Selain wang tunai, turut disita sembilan kenderaan mewah, 94 beg tangan mewah, barang kemas dan jam mewah.

Kini tersebar surat jawapan kepada sesorang kononnya SPRM mengesahkan bahawa tiada unsur rasuah dalam kes tersebut dan di luar bidang kuasanya untuk didakwa mereka yang disyaki itu melalui tuduha rasuah.

Berikutan itu  SPRM terpaksa menerimanya sebagai ‘tiada tindakan lanjut akan diambil (NFA — No Further Action)’.


Dengan NFA itu bermakna akan tiada kes rasuah dan sesiapa sahaja yang sebelum ini disoalsiasat atau sudah disyaki terlibat, ‘akan bebas daripada tuduhan rasuah’.

Di sebalik kerisauan itu, Bernama melaporkan, bekas pengarah Jabatan Air Negeri Sabah dan isteri serta penasihat teknikal dan kejuruteraan Kementerian Kewangan Negeri mengaku tidak bersalah terhadap 37 pertuduhan menyeleweng dana infrastruktur  berjumlah RM61.48 juta dalam bentuk tunai dan simpanan bank serta memiliki barangan berjenama mewah secara menyalahi undang-undang.

Ag Mohd Tahir Mohd Talib, 54, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 12 kesalahan melakukan penyelewengan dana infrastruktur berjumlah RM56.9 juta dan memiliki pelbagai jam tangan dan kenderaan mewah yang menyalahi undang-undang.

Beliau juga mengaku tidak bersalah bersama isterinya, Fauziah Piut, 51, atas dua pertuduhan memiliki barangan kemas secara tidak sah, manakala Fauziah juga menghadapi 19 pertuduhan lain, memiliki barangan kemas dan beg mewah serta mempunyai simpanan RM2.2 juta dalam pelbagai akaun bank.

Penasihat teknikal dan kejuruteraan, Lim Lam Peng, 62, yang telah digantung tugas, memohon dibicarakan atas tiga pertuduhan memiliki wang tunai RM2.38 juta dan memiliki kenderaan mewah secara tidak sah.

Lantas timbul persoalan, dengan sebegitu banyak pendedahan dan ‘harta rampasan’, apakah mereka masih belum cukup untuk didakwa melalui akta rasuah?

Di mahkamah ia disebut penyelewengan dan hanya mereka sahaja akan dibicarakan dan tidak melibatkan pihak lain?


Laporan media menyebut, kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan masing-masing yang dibuat di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
  
Ketika prosiding, pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Husmarudin Husin dan Farez Rahman manakala barisan peguam diketuai PJ Pereira mewakili Awang Mohd. Tahir dan Fauziah.

Apakah kerana sebab lain seperti sebab-sebab campur tangan politik atau memang tidak ada kes rasuah?

Atau kes yang disiasat itu bukan melibatkan rasuah tetapi  penyelewengan dan  pengubahan wang haram sahaja?

Surat yang diviralkan di media sosial yang kononya daripada SPRM itu seolah-olah cuba menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh banyak pihak ketika ini.

Ketua Pemuda Pakatan Harapan Negeri Sabah, Mohd Khairuddin bin Daud menimbulkan isu ini dengan bertanyakan apa status siasatan isu berkenaan.

Melalaui kenyataan Pemuda AMANAH Sabah dalam FB itu, disahkan SPRM bahawa ketiga-tiga individu yang ditangkap berkaitan skandal itu hanya akan didakwa atas kesalahan pengubahan wang haram bukan didakwa atas kesalahan rasuah.

Memang menjadi persoalan dalam kepala kita bagaimana mereka yang didakwa itu berupaya mengumpul begitu banyak wang?

Apakah mereka ada kaitan dengan orang tertentu dalam kerajaan Posit dan negeri?

Namun kini jika berasaskan kepada surat SPRM itu ternyata ia ‘TIDAK BERUNSUR RASUAH DAN TIDAK DALAM BIDANG KUASA SPRM’ serta ‘TIADA TINDAKAN LANJUT’.


Dengan jawapan itu maka dengan sendirinya kes ini sudah menjadi sesuatu yang bukan lagi ‘besar’ seperti yang heboh sebelum ini.

Sudah pasti akan ada kekecewaan di pihak tertentu untuk melihat siapa turut bersekongkol, termasuk orang politik atau penjawat awam lain apabila kes ini dibawa ke mahkamah.

Ternyata kini tidak semua kes di bawah siasatan SPRM boleh dibawa ke mahkamah dan dituduh di bawah rasuah walaupun dilihat sebagai berunsur rasuah dan salah guna kuasa.

Juga benarlah kata-kata seperti dipetik oleh Utusan Malaysia bahawa: “Kalau setakat hendak bawa kes berprofil tinggi ke mahkamah bagi mendapat publisiti apatah lagi sekadar mahu mengejar ranking buat apa. Kalaulah peguam negara sudah memutuskan tiada kes maka kita kena patuh.

­Memanglah sebagai pegawai atau pasukan penyiasat kita akan berasa kecewa tetapi dalam masa sama kita perlu akur kepada peruntukan undang-undang sedia ada.’’

Kerana itu tidak payah ‘bersemangat’ sangatlah jika ada laporan tangkapan atau rampasan berkaitan rasuah kerana belum tentu ia akan diluluskan oleh Jabatan Peguam Negara untuk dakwa.

Walau nampak ia kes berprofil tinggi, hanya Jabatan Peguam yang boleh menentukan segala-galanya berdasarkan interpretasi dan kajian undang-undang ‘yang mendalam’ mereka praktikkan.

Mungkinkah ini antara sebab kenapa rakyat tawar hati untuk melaporkan kes yang disyaki rasuah?

Apakah dengan kedudukan seperti ini SPRM dan Jabatan Peguam Negara tidak lagi menjadi ‘suatu harapan’ kepada mereka?

Salahkah mereka jika memandang rendah kepada jabatan dan pegawainya? Bagi mereka, tiada yang istimewa dengan SPRM, Jabatan Peguam Negara, pegawainya  dan Peguam Negara sendiri.

Berikutan itu jangan memperkecilkan rakyat sekiranya mereka melihat dan menganggap proses keadilan dan pendakwaan rasuah ketika ini sebagai suatu yang tidak adil dan tidak berpihak kepada mereka. Namun, inilah sistem yang terpaksa ditelan oleh mereka.

Yang ada untuk jalan keluar bagi perkara seperti ini ialah melalui undi dalam pilihan raya.

Ia dengan menukar pemerintah.

Itu pun juga dengan meletakkan harapan agar sistem ditukar.

Namun, apa jaminan kerajaan baru akan melakukan sesuatu yang drastik?

Ini  kerana kemungkinan pemimpin baru juga jenis ‘perompak dan menyokong perompak’ yang akhirnya rakyat akan sekali lagi berputih mata.

Monday, January 9, 2017

MEMANG ‘HANELANG, PATRIOTIK ORANG TEGANU KITA’...


Hujan sekejab-sekejab semalam membuatkan hati kembali risau dengan keadaan banjir di Kelantan dan Terengganu. Apalagi guruh masih berdentam-dentum di laut China Selatan dan di kawasan Hulu Terengganu.

Yang menarik, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini memberi jaminan  pihaknya bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya banjir buruk di Kelantan dan Terengganu. Ia berikutan hujan lebat masih berterusan di beberapa tempat.

Kelmarin, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata aset ATM seperti helikopter dan anggota tentera telah dikerah ke lokasi banjir.

Raja Mohamed Affandi juga berkata selain Kelantan dan Terengganu, ATM juga memantau situasi banjir di Pahang.

Pada 5 Januari lalu,  Raja Mohamed Affandi membuat kunjungan hormat ke Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sehari sebelum itu, Najib meminta semua pihak beri kerjasama kepada anggota keselamatan selain berdoa agar Allah SWT permudahkan & beri kekuatan untuk harungi musibah ini.

Menyebut anggota keselamatan, lantas teringat kepada rakan sekolah antara 1967 hingga 1970 di Besut, Rodzali Daud (kini Tan Sri) yang sudahpun bersara daripada menjadi Panglima Tentera Udara.

Di Facebooknya, diletakkan gambar profilnya berdekatan  sebuah pesawat. pejuang

Bangga dengan beliau bukan sahaja kerana dia anak Besut, Terengganu menjadi Panglima Tentera Udara tetapi beberapa bulan sebelum bersara,  sempat menerima kunjungan peribadi saya ke pejabatnya selpas berpisah diusia 15 tahun.

Namun kini yang turut membanggakan ialah suatu kedudukan - tidak diketahui sama ada ia SURATAN ATAU KEBETULAN – apabila tiga anak Terengganu yang terbukti ‘Memang Hanelang’.

Ketiga-tiga anak kelahiran Terengganu kini menjawat kedudukan penting dalam Angkatan Tentera Malaysia.

Mereka dimaksudkan ialah:

1.     Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang dilahirkan di Kampung Raja, Besut memulakan tugas secara rasmi sebagai Panglima Angkatan Tentera yang baharu mulai 19 Disember lalu.


2.      Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim pula pada tarikh tersebut secara rasmi dilantik sebagai Panglima Tentera Darat ke-26 menggantikan Raja Mohamed Affandi pada 16 Disember lalu. Beliau kelahiran Gong Kapas, Kuala Terengganu pada 1959.


     3.     Juga Laksamana Madya Datuk Anuwi bin Hassan ialah Timbalan Panglima 
          Tentera Laut mulai  18 November 2015. Beliau yang dilahirkan pada 1 Januari 1959 
           di Kuala Terengganu, sebelum ini menjawat jawatan Asisten Ketua Staf Operasi dan            Latihan Pertahanan, Markas Angkatan Tentera Malaysia.

Raja Mohamed Affandi mengambil alih jawatan itu daripada Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin dan merupakan Panglima ATM Ke-19, mulai 20 Disember lalu.

Beliau yang berusia 58 tahun, pernah menjawat Ketua Angkatan Tentera Malaysia sebelum dilantik sebagai Panglima Tentera Darat pada 14 Jun 2013.

Dilahirkan di Kampung Raja Besut, Terengganu pada 20 Jun 1957, beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kampung Raja sebelum menamatkan pendidikan peringkat menengah di Sekolah Menengah Sultan Ismail.

Kemudian mengikuti latihan sebagai Bakal Pegawai Kadet di Pre-Officer Cadet Training Unit (Pre-OCTU) Sekolah Pegawai Kadet, Kem Sebatang Karah, Port Dickson dan seterusnya di Maktab Tentera Diraja, Kem Sungai Besi sebagai Pegawai Kadet sebelum ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dalam Rejimen Askar Melayu Diraja pada 11 Mei 1977.

Teruja dan bersemangat memulakan tugas pada hari pertama, beliau berjanji akan melaksanakan tugas dengan amanah dan memberikan khidmat terbaik dalam mengemudi bahtera ATM.


“Saya berjanji untuk meletakkan kepentingan organisasi ini melebihi kepentingan yang lain.

“Saya juga berada di sini atas kebersamaan semua anggota khususnya Tentera Darat yang banyak mendukung serta memberi sokongan selain tunjuk ajar daripada Panglima ATM sebelum ini yang banyak membantu. Terima kasih saya ucapkan,” katanya.

Zulkiple pula yang  dilahirkan di Gong Kapas, Terengganu pada 24 Februari 1959. sebelum ini menjawat jawatan Panglima Medan Barat Tentera Darat selama kira-kira enam tahun menggantikan Raja Mohamed Affandi.

Zulkiple, 57, memulakan khidmatnya dalam Tentera Darat pada 7 April 1978 selepas menamatkan pengajiannya di Akademi Tentera Diraja Sandhurst, England. Berpengalaman lebih 38 tahun dalam pasukan, Zulkiple merupakan lulusan dari Defence and Strategic Studies Course di Army Command and Staff College, Australia.

Beliau juga mempunyai Ijazah Sarjana Sains (Pengurusan) dari Universiti Utara Malaysia.


Sebelum ini, Zulkiple turut memegang beberapa jawatan penting dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) antaranya menjadi penasihat ketenteraan Kementerian Pertahanan pada 1998, Pengarah Ifantri (2001) serta Ketua Pengarah di Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (2005).

Anuwi menyertai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Februari 1978 setelah menamatkan latihan di Pusat Latihan Kadet dan Rekrut, Kem Khatib, Sembawang, Singapura dan telah ditauliahkan ke dalam perkhidmatan pada bulan Mei 1980.

Sebelum mengambil alih jawatan sekarang, Anuwi memegang beberapa jawatan penting iaitu sebagai Pegawai Memerintah KD SERAMPANG, KLD TUNAS SAMUDERA dan KD MAHAWANGSA.

Beliau juga telah diperjawatkan sebagai Asisten Ketua Staf Rancang dan Operasi, Markas Tentera Laut dan Pengarah Risik Laut di Markas Tentera Laut.  Beliau menerima Doktor Kehormat dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dari Victoria University, Switzerland.

Dengan kedudukan ini sumbangan anak kelahiran Terengganu terhadap keamanan negara bukan kecil.

Ia memahat sejarah untuk tempoh beberapa tahun akan datang di mana anak Terengganu secara bertiga diamanahkan untuk menjadi ketua dalam menjaga kedaulatan negara selain menyumbang bakti untuk kerja amal dan diplomasi.

Doa kita negara akan kekal aman dan sebarang gangguan sama ada dari darat, laut dan udara akan dibanteras demi kesejahteraan dan keamanan rakyat Malaysia.

TAHNIAH kepada anak kelahiran Terengganu ini yang memang berjiwa besar, hanelang dan patriotik!!!

Thursday, January 5, 2017

KENAPA ENGGAN AKUI FAKTOR DALAMAN, 1MDB PENGARUHI NILAI RINGGIT?

Robert Rennie...isu politik dalaman menjadi punca.
Penganalisis kewangan luar negara  berpendapat ‘isu politik dalaman Malaysia’ serta skandal 1MDB mengganggu nilai Ringgit sejak 2015 tetapi kenapa kita menolaknya pada hal ia penting bagi memperbaiki dan memperteguhkan nilai Ringgit?

Ada perbezaan pendapat antara penganalisis tempatan dengan antarabangsa dalam isu kejatuhan nilai Ringgit.

Pada ketika penganalisis dalaman bersikap positif penganalisis antarabangsa memberi amaran jika keadaan politik dan persepsi tidak berubah, kedudukan Ringgit dijangka didagangkan 4.52 pada akhir suku pertama dan berada pada  tahap 4.66 dalam tempoh 12 bulan akan datang.
   
Biarpun wujud perbezaan, secara umumnya mereka bersetuju, untuk tempoh suku pertama 2017, Ringgit akan terus berada dalam kedudukan yang lebih lemah berbanding akhir Disember lalu.

Kedudukan pada hari kedua dagangan semalam mengesahkan pendapat itu apabila nilai Ringgit berbanding Dolar Amerika Syarikat (AS) terus berdepan tekanan yang  menyaksikan mata wang tempatan itu susut melepasi paras RM4.500 bagi satu Dolar pada jam 11.42 pagi.

Kedudukan paling lemah Ringgit sejak negara dilanda krisis kewangan Asia 1998 itu terus terbabas untuk 40 minit seterusnya mencecah paras RM4.5002 seDolar pada jam 12.22 tengahari, sekali gus menjadi tular dalam kalangan rakyat negara ini yang berkongsi mesej ringkas dalam media sosial.

Bagaimanapun, Ringgit kembali ke bawah paras 4.4998 dalam dagangan sekitar 1.54 tengah hari dan ditutup pada paras 4.4975 pada jam 6 petang semalam, berbanding ditutup 4.4938 kelmarin.

Kelmarin,  Ringgit dibuka pada  4.48 sementara bulan lalu Ringgit jatuh ke tahap yang paling rendah sejak Krisis Kewangan Asia 1998 dan sepanjang tahun lalu, Ringgit dalam keadaan lemah berbanding Dolar Amerika iaitu kejatuhan purata 4.24 peratus.

Pada ketika penganalisis tempatan hanya menumpukan kepada sebab-sebab luaran, penganalisis luar mengatakan secara ‘totok’ mengenai isu dalaman yang terus menjadi ancaman kepada pemulihan nilai Ringgit.

Kenapa penganalisis dalaman tidak berani menyebut isu dalaman sebaliknya hanya melihat faktor luaran?

Kenapa tidak terus sahaja atau 'straight to the point' kepada punca sebenarnya?

Yang sering disebut ialah Ringgit menjejaki corak pergerakan mata wang serantau yang turut terkesan pengukuhan luar biasa Dolar AS atau ‘...unit tempatan serta mata wang lain di Asia susut apabila pulangan bon AS dan Dolar AS meningkat disebabkan faktor cadangan dasar ekonomi dan perdagangan negara itu oleh Donald Trump, Presiden Amerika Syarikat yang baharu dipilih’.

Menurut penganalisis tempatan, kemungkinan akan ada sedikit cahaya di hujung terowong bagi nilai Ringgit melalui dasar baru Trump yang akan memulakan tugasnya secara rasmi sebagai Presiden AS dijangkakan pada 20 Januari depan.

Selain itu harapan positif turut diletakkan kepada langkah kerajaan melalui Bank Negara untuk memulih dan memperkukuhkan semula nilai Ringgit.


Berbeza dengan penganalisis luar, mereka menyatakan satu lagi alasan, iaitu ‘isu politik dalaman Malaysia’, termasuk isu 1Malaysia Development Bank (1MDB) yang turut penting mengganggu nilai Ringgit.

Apakah dengan menyebut sebegini mereka cuba menjatuhkan Perdana Menteri Malaysia, menganggu sistem politik Malaysia atau cuba menggugat kestabilan rakyat berbilang kaum di negara ini?

Bukankah apa yang diperkatakan itu semata-mata dalam konteks kewangan, perbankan, pertukaran asing dan kedudukan ekonomi yang sedang berlaku di Malaysia?

Kenapa kita tidak mahu menerima kelemahan untuk memperbaiki nilai Ringgit yang banyak menyusahkan rakyat akibat kenaikan harga barangan keperluan, barangan import untuk makanan dan industry dan berbagai lagi?

Persoalan juga kenapa prestasi Ringgit semakin lesu menjelang 2013 dan pada Julai 2015, ia terus menjunam melepasi peringkat kadar tambatannya pada RM3.80?

Apapun antara penganalisis dalam negara dan luar negara, mereka tetap bersetuju mengenai satu perkara - bahawa prestasi Ringgit akan terus lemah dan dijangka berterusan sehingga suku pertama 2017.



Ketua Ahli Ekonomi Jabatan Penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd, Dr Kamaruddin Mohd Nor, semalam meramalkan demikian walaupun optimis Ringgit akan mula kembali ke paras yang lebih baik berbanding Dolar AS selepas Trump memulakan tugas rasminya.

Menurutnya pasaran akan dapat menilai dasar yang akan dibentangkan Oleh Trump. "Kami masih mengekalkan unjuran Ringgit akan berada pada paras purata 4.20 berbanding Dolar AS bagi 2017," katanya.

Ketua Ahli Ekonomi, Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, pula berpendapat, dalam  tempoh terdekat, nilai Ringgit berbanding Dolar dijangka berlegar pada paras sekitar 4.45 hingga 4.5.

Beliau turut  optimis bahawa Ringgit akan menunjukkan corak aliran mengukuh setelah ketidakpastian terhadap kadar faedah di AS dan dasar ekonomi Trump akan menjadi lebih jelas apabila melangkah dalam tempoh seterusnya pada tahun ini.

Justeru, beliau berkata pihaknya mengunjurkan nilai Ringgit akan mengukuh sekitar 4.1 dan 4.2 pada separuh kedua 2017.

Kamaruddin melihat langkah yang dijalankan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dalam menyediakan pasaran mata wang domestik yang lebih cekap,  akan dapat membantu menstabilkan nilai Ringgit.

Menjelang penghujung tahun minggu lalu (28 Disember 2016), dilaporkan gangguan daripada pasaran kontrak hadapan tanpa serahan (NDF) sudah  mula reda. Ia seiring dengan peningkatan mudah tunai dalam pasaran pertukaran asing (FX) tempatan pada hujung tahun lalu.


Dalam keada­an Dolar yang semakin kukuh dan persekitaran yang terus tidak pasti, pergerakan intra hari Ringgit berpurata pada 90 mata berbanding 228 mata pada November dan paras ter­tinggi pada 600 mata 28 Disember lalu,” demikian kata Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC).

Malah dilaporkan, wujud keadaan mudah tunai dalam pasaran FX tempatan yang mencatatkan jumlah purata harian kira-kira AS$9 bilion (RM43.2 bilion) bagi semua transaksi menjelang akhir tahun lalu berbanding purata AS$8 bilion (RM38.4 bilion) antara Januari hingga November 2016.

Memandangkan permintaan dan penawaran Dolar dan Ringgit dijajarkan semula, pasaran FX tempatan diramalkan akan  lebih stabil dan akan membawa kepada kos perlindungan nilai yang lebih baik. Ini akan memudahkan perniagaan mengurus risiko FX mereka.

Langkah yang dilaksanakan oleh BNM awal Disember lalu yang mengumumkan kerjasama dengan FMC diharapkan mampu memulihkan kedudukan nilai Ringgit dan membawa harapan kepada prestasi lebih baik bagi 2017.

Bagaimanapun, ramalan penganalisis luar melihat Ringgit tidak akan menokok nilainya. Sebaliknya ia dijangka akan terus lemah antara Januari ini dan Mac akan datang diakibatkan kebimbangan risiko luar dan isu-isu domestik (saya ulangi isu-isu domestik) .

Menurut penganalisis Westpac Inc, kombinasi faktor  luaran dan isu dalaman akan mempengaruhi kedudukan nilai Ringgit dalam tempoh berkenaan.

Robert Rennie, Ketua Strategi Pasaran Dunia di Westpac, memberitahu  CNBC's semalam, “pada dalaman (Malaysia), kini mempunyai isu politik”. Berikutan itu beliau menjangkakan Ringgit akan menjadi  4.55 berbanding Dolar pada akhir suku pertama 2017.

Pada peringkat antarabangsa pula Rennie menyatakan kenaikan kadar faedah di AS akan memberikan kesan kepada pasaran membangun Asia, termasuk Malaysia. “Sekiranya AS menaikkan kadar faedah, dan jika ia langkah berterusan...ke arah 3 (peratus) atau mungkin lebih tinggi, kita akan dapat melihat lebih banyak pelabur asing menarik keluar pelaburan mereka dari Asia.”

Malah Pengarah Urusan dan ketua penyelidikan ekonomi Asia HSBC  Frederic Neumann, pula berpendapat penguncupan lebihan akaun semasa di negara ini  akan menyebabkan kedudukan Ringgit dalam keadaan semakin tidak menentu tahun ini.


Laporan CNBC menyebut, dalam kedudukan di mana Malaysia bergelut dengan skandal dana 1MDB, ia  akan terus menggoncang keyakinan pelabur asing, berikutan siasatan global mengenai wujudnya perbuatan ‘mencuri dan merompak’ daripada dana berkenaan.

Mungkin langkah segera yang sewajarnya dilakukan kerajaan seperti dicadangkan oleh pakar kewangan antarabangsa ialah atasi segera kemelut  dalaman yang berlaku dalam negara, khususnya isu 1MDB yang menjadi punca kebimbangan kepada pelabur asing.

Putrajaya tidak boleh berdolak-dalih lagi mengenai perkara ini kerana dengan memperjudikan nilai Ringgit, rakyat akan marah dan bangkit menolak kerajaan ketika pilihan raya umum semakin hampir.

Selain itu seperti dianjurkan Dr Kamaruddin, di sebalik kedudukan postif hasil dasar diperkenalkan oleh BNM, adalah amat penting bagi pihak kerajaan melaksanakan dasar yang akan memastikan pertumbuhan ekonomi yang sentiasa mapan.

Melaluinya, sekali gus dapat menterjemahkan keuntungan syarikat sama ada kecil mahupun yang besar.

Menurutnya,  kerajaan mungkin boleh menimbang semula strategi konsolidasi fiskal tatkala sentimen di pihak swasta yang lemah.

Memperbaiki kedudukan dan memulihkan nilai Ringgit perlu dijadikan antara keutamaan kerajaan kerana amat nyata ia sangat membimbangkan.

Ternyata pasaran yang memulakan dagangan hari pertama 2017 kelmarin tetap dalam dagangan lemah berbanding Dolar AS .


Realitinya ialah kedudukan Dolar berbanding Ringgit meningkat 0.0055 atau  0.12 peratus kepada  4.4900 kelmarin berbanding 4.4845 pada dagangan terakhirnya pada 2016. Ringgit pernah mencecah pada kedudukan 4.71 pada Januari 1998 dan rekod terendahnya pada 2.10 pada Oktober 1978.

Dan semalam, Ringgit ditutup rendah lagi apabila minat pelabur beralih kepada Dolar susulan data sektor perkilangan AS yang kukuh. Pada jam 6 petang, unit tempatan didagangkan pada 4.4960/4990 berbanding Dolar AS daripada 4.4900/4950 sebelumnya.

Peniaga berkata, pelabur juga bimbang berhubung unjuran kenaikan kadar faedah AS tahun ini.

Malah perkembangan mutakhir dan jika keadaan politik dan persepsi tidak berubah, kedudukan Ringgit dijangka didagangkan 4.52 pada akhir suku pertama dan menurut penganalisis di Trading Economics menjangkakan ia berada pada  4.66 dalam tempoh 12 bulan akan datang.
  
Sengan faktor luaran dan dalaman yang tidak menentu akan terus mempengaruhi pergerakan Ringgit sekali lagi tahun ini, cadangan penganalisis luar dan punca kejatuhan Ringgit yang disebut mereka jangan dipandang sebelah mata.


Jika kerajaan berdegil, rakyat perlu mendesak kerajaan melakukan tindakan sewajarnya bagi memperbetulkan persepsi mengenai suasana politik dan ekonomi Malaysia kerana kejatuhan nilai Ringgit yang berterusan akan memburukkan lagi kesusahan rakyat kebanyakan di negara ini.

Monday, January 2, 2017

GARA-GARA 1MDB, PUTRAJAYA DIHERET BERTELAGAH DENGAN KERAJAAN ASING?


"...kegagalan 1MDB membayar hutang dan faedah diramalkan oleh pakar kewangan dan perbankan antarabangsa akan mendatangkan kesan terhadap pasaran matawang dan saham di Malaysia, selain terpaksa membelanjakan berbilion dolar untuk menyelamatkan syarikat itu." 

Yang dijangka mulai berlaku...

Kerajaan Malaysia kini berdepan kritikan kerajaan asing dalam isu kleptokrasi, keengganan bekerjasama dengan peguam negara asing untuk mendakwa mereka yang disyaki terbabit dalam pengubahan wang haram serta juga ENGGAN kerjasama mendakwa beberapa individu yang disabitkan dengan perbuatan 'mencuri dan merompak' dana rakyat.

Malah, Malaysia kini juga dilihat sebagai sebuah negara yang kerajaannya BERSEDIA menjadi penjamin kepada sebuah sayarikat dana yang berhutang tetapi enggan melunaskan hutang dan membayar faedah yang terbeban.

Kesemuanya ini ada kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta bekas anak syarikatnya.

Media antarabangsa nampaknya sangat berminat dengan isu 1MDB dan memilih untuk mempersoalkan sikap Putrajaya dengan menganggap pelan penyusunan semula 1MDB kini ‘terhincut-hincut’ dan munkin terpaksa melalui jalan yang berduri.

Yang pasti media tempatan tidak akan memperkatakan perkara sebegini kerana mereka hanya akan memaparkan berita ‘baik sahaja’ mengenai mengenai 1MDB, walaupun hakikatnya pengurusan media berkenaan mengetahui bahawa ramai rakyat Malaysia sendiri mulai sedar tentang perkara sebenar.

Negara yang memberi perhatian terhadap isu 1MDB
Pada  2015, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak tersangat yakin pelan pemulihan untuk mengurangkan hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan berhasil dengan kerjasama Kementerian Kewangan.

Katanya, langkah pemulihan boleh dilakukan untuk mengurangkan jumlah hutang 1MDB dan inilah perkara yang sedang diusahakan kerajaan, katanya pada perhimpunan bulanan kementerian itu pada 19 Mei 2015.

 Namun kini?  

Pelan menyusun semula 1MDB dilihat berdepan masalah khususnya dalam isu melupuskan aset hartanah dan pertelagahan dengan Abu Dhabi mengenai pertikaian membabitkan lebih AS$6.5 billion (RM28,925 juta jika pada kadar AS$1 – RM4.45sekarang) dari segi obligasi hutang.

Menurut sumber pegawai dalam syarikat yang menjadi rakan projek 1MDB dan peguam yang terlibat dalam usaha melupuskan hartanah utama di Kuala Lumpur dan Pulau Penang untuk pembangunan bersama, masalah timbul apabila wujudnya pertelagahan mengenai penilaian.

Selain berbagai isu membabitkan pentadbiran, penilaian ini dikatakan ada kaitan dengan kejatuhan nilai ringgit.

Selain itu, hubungan tegang juga dikatakan  wujud antara kerajaan Abu Dhabi dan Putrajaya membabitkan hutang dan faedah bernilai berbilion dolar.

Menurut peguam, ia menjadi semakin buruk sejak akhir-akhir ini, selepas persetujuan awal dibuat apabila kerajaan Malaysia yang berjanji menyelesaikan masalah melalui perundingan , kini mula mengubah pendirian.

Untuk rekod, kerajaan melalui Kementerian Kewangan adalah penjamin kepada 1MDB dan anak syarikatnya, SRC International.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani, yang bertanggungjawab menguruskan penyelesaian hutang 1MDB, dilaporkan memahami dengan jelas wujudnya jalan yang berliku dalam menjayakan pelan pemulihan itu.


Beliau sudah menyatakan kepada The Straits Times Singapura bahawa isu itu akan dapat diatasi. 1MDB sehingga kini enggan memberikan sebarang ulasan kepada akhbar brbahasa Inggeris itu.

Satu Pasukan Petugas dilaporkan ditubuhkan di bawah Johari, diberi nama Jawatankuasa Budiman untuk menguruskan penyusunan semula 1MDB. Bagi Johari,  memang banyak isu, namun perkara utama seperti penjualan aset janakuasa,  sudah pun dilaksanakan.

Langkah segera ialah merancakkan pembangunan hartanah di Bandar Malaysia dan Tun Razak Exchange (TRX). Ia merujuk kepada projek mewujudkan ‘wilayah kewangan’ di pinggir Bandaraya Kuala Lumpur.

Juga penting ialah pertelingkahan 1MDB - International Petroleum Investment Company (IPIC) yang dilihat akan berterusan untuk beberapa ketika walaupun ada usaha dilakukan bagi meredakkannya.

Pertelingkahan berlaku berikutan dana pelaburan negara Abu Dhabi itu meminta hutang kira-kira AS$6.5 bilion oleh 1MDB ditunaikan dan pemegang saham tunggalnya, Kementerian Kewangan Malaysia semestinya bertangggungjawab. IPIC mendakwa bahawa syarikat dana Malaysia itu memungkiri perjanjian penstrukturan semula hutang adengan  syarikat itu pada 2015.

Tahun lalu apabila 1MDB berdepan kekurangan tunai, IPIC bersetuju untuk memberikan pinjaman kecemasan AS$1 Bilion (RM4,450 juta) kepada syarikat itu dan mengambil alih pembayaran faedah bagi hutang AS$3.5 bilion yang ditanggung 1MDB.

Namun IPIC kemudian dilaporkan membatalkan persetujuan tersebut setelah menuduh 1MDB memungkiri syarat-syarat utama yang dipersetujui selain enggan membuat bayaran faedah yang perlu dilunaskan.

1MDB sepatutnya membayar pinjaman melalui anak syarikat IPIC namun untuk kali pertamanya pada April, ia mengatakan tidak pernah menerima sebarang bayaran.

Pertelagahan 1MDB-IPIC memuncak selepas sekurang-kurangnya AS$ 3.5 bilion yang sepatutnya dibayar oleh kepada anak syarikat IPIC, Aabar Investments PJS,  dilaporkan hilang atau lesap begitu sahaja.

Bayaran itu termasuk cagaran yang sepatutnya dibayar oleh 1MDB sebagai pertukaran untuk jaminan IPIC kepada dua bonnya, serta pembayaran bagi penamatan pilihan untuk Aabar melanggan aset tenaga 1MDB.

Wang itu sebaliknya dikatakan dialihkan ke sebuah syarikat di Kepulauan Virgin British yang mempunyai nama yang sama dengan Aabar Investments PJS, tetapi tidak mempunyai hubungan dengan IPIC.


Persoalan mula timbul, penyangak manakah yang menyebabkan kehilangan atau besekongkol ‘menggelapkan wang’ sebanyak RM15,575 juta itu?

Wang hilang dan hutang tidak terbayar!

1MDB mengakui ia gagal membayar hasil pulangan dari bon-bonnya April lalu  yang diramalkan oleh pakar kewangan dan perbankan akan medatangkan kesan terhadap pasaran matawang dan saham di Malaysia, selain membangkitkan kebimbangan bahawa kerajaan Malaysia mungkin akhirnya terpaksa membelanjakan berbilion dolar untuk menyelamatkan syarikat tersebut.

1MDB turut mengesahkan bahawa ia gagal membayar hasil pulangan dari bon AS$1.75 bilion (RM7,787 juta) yang dikeluarkannya pada 2012, setelah gagal membayar faedah AS$50 juta yang sepatutnya dilunaskan.

Ia dikatakan enggan membuat bayaran faedah yang matang tahun lepas ke atas dua bon yang dijamin oleh IPIC sebagai sebahagian daripada perjanjian penstrukturan semula.  Keputusan ittu menyebabkan 1MDB turut gagal membayar hasil pulangan dari dua bon bank Islam, berjumlah RM7.4 bilion .

Salah satu bon tersebut mempunyai syarat yang menyatakan para pelabur boleh mendapatkan pelaburan mereka sekiranya 1MDB berhenti membuat bayaran bagi sebarang hutangnya yang lain.

Kegagalan membayar hasil pulangan dari bon juga boleh mencetuskan klausa "kesan material yang buruk" terhadap hutang RM800 juta dari Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia, menurut 1MDB.

Syarikat tersebut bagaimapaun menyatakan, ini tidak mencetuskan 'cross-defaults' atau mungkir bayar kerana gagal melunaskan pembayaran lain - merujuk kepada bon AS$3 bilion yang dikeluarkan secara privet oleh 1MDB pada 2013, atau terhadap bon AS$1.75 bilion yang juga dikeluarkan oleh syarikat itu pada 2012.

1MDB sebelum ini menyatakan ia menangguhkan pembayaran faedah yang tertunggak "atas dasar prinsip", kerana percaya ia patut dibayar oleh penjamin bon yang sebelum ini sekutu 1MDB,  dana harta benda IPIC.


Johari pernah mengakui bahawa pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan 1MDB berdepan dengan isu membabitkan IPIC ini.

Anehnya,  laporan Jawatankuasa Kira-Kira Awam Negara (PAC) mengatakan 1MDB terhutang kepada rakan kongsinya IPIC hanya sebanyak AS$1 bilion atau RM4 bilion. Namun IPIC mendakwa Malaysia terhutang kepadanya sebanyak AS$6.5 bilion atau RM26 bilion.
  
Apa dah jadi?

Putrajaya melalui Johari cuba mengendurkan pertikaian dengan Abu Dhabi.

Pada 11 Ogos lalu, Johari dipetik  The Straits Times, Singapura bahawa Malaysia memohon penyelesaian secara baik berhubung pertikaian lebih AS$6.5 bilion itu dengan IPIC, yang ditetapkan bermula untuk proses timbang tara antarabangsa pada September lalu.

Johari berjanji kementeriannya akan menyelia 1MDB dan diuruskan secara baik dengan mengatakan mereka bukan dalam proses ‘timbang tara’, sebaliknya pada peringkat pengurusan. “Jadi biarkan kami menyelesaikannya,” tegas beliau.

Menurut pegawai ditugaskan menyelesaikan hutang 1MDB, ada perbincangan diadakan diantara pegawai Malaysia dan Abu Dhabi sejak Jun lalu. Tujuannya mengatasi isu ini dan mencari penyelesaian dengan baik untuk mengelakkan ia menjadi lebih teruk jika melalui Mahkamah Timbang Tara London (LCA).

Ini kerana 70 peratus daripada kes di LCA mengambil lebih daripada 18 bulan untuk diselesaikan. (Untuk rekod, IPIC membawa kes ini ke LCA pada pertengahan Jun lalu.)

Dikatakan kedua-dua pihak sudah mencapai persetujuan awal (sementara) beberapa minggu sebelum ini untuk membuat pembayaran awal kira-kira AS$1.2 bilion daripada jumlah sebenar yang dipertikaikan.

Ia sebagai syarat awal mengatasi pertelingkahan antara kedua pihak bagi menyelesaikan keseluruhan hutang AS6.5 bilion dan AS$1bilion yang dipinjamkan oleh IPIC, tidak termasuk faedah untuk kedua-duanya.

Menurut Bloomberg,  Johari pada 21 Disember lalu, 1MDB telah melunaskan bayaran faedah ke atas salah satu bon pada suku tahun ini, selepas gagal membuat bayaran pada awal tahun ini kerana pertikaian dengan penjamin,

1MDB membuat bayaran kupon dalam apa yang dipercaya sebagai usaha untuk menyelesaikan pertikaian antara 1MDB dan IPIC.

Bagaimanapun, walaupun ada perjanjian awal, Putrajaya kini dikatakan mulai ‘berubah hati’ dan memilih untuk menguruskan pertikaian melalui ‘timbangtara’.


Tidak diketahui kenapa dan sejauh mana kebenarannya tetapi itulah yang diperkatakan di luar negara tetapi media tempatan membisu mengenainya.

Kenapa Putrajaya memilih penyelesaian melalui LCA dan tidak melanjutkan proses perundingan seperti yang sudah dipersetujui, walaupun masih di peringkat awal?

Bukankah ini akan lebih menjejaskan lagi imej negara dalam kedudukan di mana skandal 1MDB ini kini dianggap antara ‘skandal penipuan dan pengubahan wang haram dunia?


Tidak malu dan tidak bermaruahkah kita bangsa Malaysia?