Wednesday, October 5, 2011

PETIKAN ‘KASAR’, ABDUL MALIK BAHAN UNTUK LENGAHKAN PERBICARAAN?

Anwar - Gagal Kali Ketiga Untuk Menghalang Mohd Zabidin

Apakah peguam Anwar akan menggunakan beberapa petikan dalam penghakiman bertulis kes rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dianggap ‘kasar’ sebagai cara untuk melengah-lengah perbicaraan terhadapnya selepas ini?

Atau Anwar juga akan meminta hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Malik Ishak (gambar kanan) dikenakan tindakan?

Ini kerana Makhamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa beberapa petikan dalam penghakiman bertulis kes rayuan Anwar yang meminta agar hakim perbicaraan liwat dilucutkan, kasar dan mahu ia dikeluarkan dengan segera.

Mahkamah bersetuju dan berpendapat bahawa perenggan 6, 15, 18, 75 adalah menyinggungkan, mengaibkan dan perlu dikeluarkan daripada rekod-rekod.

Apapun, hari ini Anwar gagal lagi untuk meminta Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah (gambar kiri) supaya tidak menjadi hakim perbicaraan kes liwatnya.

Anwar meminta supaya seorang hakim lain mengadili perbicaraan dengan mendakwa bahawa Mohd Zabidin telah menghakimkan lebih awal kes tersebut di penghujung keterangan saksi utama Mohd Saiful Bukhari, sebagai keterangan yang benar.

Anwar, 64, sedang dibicarakan kerana dikatakan melakukan perbuatan liwat ke atas Mohd Saiful di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 petang hingga 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Dia menghadapi hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Hari ini adalah kali ketiga percubaan Anwar gagal.

Kini semakin meroyanlah Anwar apabila mahkamah tertinggi itu mempersetujui keputusan Mahkamah Rayuan bahawa rayuan Anwar itu tidak boleh dirayu.

Ini kerana perkara dibuat di awal sesuatu perbicaraan tidak melupuskan hak perayu.
Panel hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdul Hamid Embong, Tan Sri James Foong dan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudduin sebulat suara berhujah bahawa Anwar tidak boleh merayu.

Ini kerana keputusan Makhamah Tinggi bukanlah keputusan muktamad, dan ia bukan jua dalam bidang kuasa Seksyen 3 Akta Penghakiman Hakim 1964. Dengan demikian ia tidak boleh dirayu.

Walaupun Mahkamah Persekutuan mendapati empat paragraf dalam penghakiman Abdul Malik adalah bersifat menyerang dan kenyataan menghina terhadap Anwar dan peguamnya tetapi Mahkamah tidak bersetuju dengan hujah peguam bagi pihak Anwar, Peguam Karpal Singh bahawa Abdul Malik tidak memiliki bidang kuasa untuk memasukkan merit rayuan dalam penghakiman bertulias beliau mengenai perkara tersebut.

Karpal berhujah bahawa Abdul Malik sepatutnya tidak memasukkan hal merit rayuan dalam penghakiman bertulis beliau kerana beliau (Abdul Malik) bersama dua hakim rayuan lain telah menolak rayuan Anwar berdasarkan bantahan awal pendakwa mengatakan mahkamah tidak ada bidang kuasa kerana kes itu tidak boleh dirayu.

Karpal menambah bahawa peguam Anwar dan pihak pendakwa tidak berhujah berdasarkan merit kepada rayuan.

Dalam keputusan yang sebulat suara ,Zulkefli bersetuju dengan Timbalan Pendakwaraya Datuk Nordin Hassan bahawa merit kepada kes itu telah dibincangkan dalam penghakiman semata-mata untuk tujuan melengkapkannya.

Anwar membuat rayuan terhadap keputusan Zabidin pada 6 Julai tahun ini untuk menolak kali ketiga cubaannya menyekat hakim itu daripada mendengar perbicaraan ke atasnya (Anwar).

Bagi Zabidin, permohonan pihak pembelaan untuk mengenepikan beliau sebagai hakim tidak berasas.

Tuesday, October 4, 2011

SAKSI MISTERI - "SI PEMBANCUH KOPI" MEMANG BENCI ANWAR!

Dia anggap Anwar munafik. Dia benci Anwar. Tapi dia kerja dengan Anwar?

Inilah keterangan saksi yang dianggap ‘misteri’ semalam.

Bekas rakan seuniversiti Mohd Saiful Bukhari Azlan memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini, bahawa Saiful mempunyai perasaan anti terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkannya sebagai seorang munafik.

Saksi berkenaan, Mohd Najwan Ali, 26, (gambar kiri) berkata sikap tidak suka kepada Anwar telah ditunjukkan oleh Mohd Saiful semasa mereka sama-sama menuntut di sebuah pusat pengajian tinggi swasta di Bangi, dekat sini pada tahun 2003.

Mohd Najwan yang sebelum ini digembur-gemburkan sebagai saksi misteri kepada Anwar juga memberitahu, Mohd Saiful turut memuatkan lambang Barisan Nasional (BN) pada laman sosial itu bersama dengan keterangan gambar 'Undilah BN'.

Berdasarkan pengetahuan bahawa Mohd Saiful adalah seorang yang pro kepada kerajaan, Mohd Najwan mengakui beliau berasa terkejut apabila mendapat tahu lelaki tersebut bekerja dengan Anwar semasa mereka berjumpa di satu kempen politik di Subang Jaya, dekat sini pada penghujung Februari 2008.

"Mohd Saiful tidak pernah memandang tinggi pada Anwar dan juga tidak pernah menjadikan Anwar sebagai idolanya," kata saksi pembelaan ke-enam itu semasa menjawab soalan daripada peguam S. N Nair.

Bertitik tolak daripada perasaan sangsi itu juga, Mohd Najwan mengakui bahawa dia telah menghantar mel elektronik yang memaklumkan peribadi Mohd Saiful kepada Anwar.

Apakah cara ini untuk menunjukkan bahawa Saiful sebenarnya ‘musuh dalam selimut’. Atau untuk menunjukkan Saiful ini seseorang yang tikam dari belakang?

Tapi dalam kes perbicaraan Anwar dan Saiful ini siapa yang ‘menikam’ dan siapa yang kena ‘tikam’?

Kita tenguklah apa kesannya daripada keterangan saksi misteri ini.

Baca di sini seterusnya untuk lebih lanjut:

Monday, October 3, 2011

SAKSI MISTERI BANTU ANWAR PADA PERBICARAAN ESOK?

“Responden pertama mahukan Perdana Menteri memberi penjelasan. Penjelasan, pengesahan mengenai apa yang berlaku pada 24 Jun tiada kaitan dengan tingkah laku utama... insiden pada 26 Jun, bukan sehari awal ataupun selepas itu….(dan) mereka tidak ada hak perundangan untuk memanggil mana-mana orang yang tiada kaitan dan tiada relevan dengan tuduhan.” - Datuk Hisham Teh

Seorang saksi misteri dijadual memberi keterangan pada perbicaraan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim esok.

Peguambela Anwar enggan mendedahkan identiti individu berkenaan ketika ditanya oleh pihak pendakwaan dan mahkamah.

Peguam Sankara Nair hanya berkata individu itu akan memberi keterangan selepas ketua pengarah Jabatan Kimia Lim Kong Boon berbuat demikian.

Peguam pembelaan sebelum ini pernah memberitahu sesi perbicaraan bahawa saksi tambahan akan dipanggil untuk memberi keterangan.

Mereka termasuk, pakar tulang belakang, Dr Thomas Hoogland, yang melakukan pembedahan ke atas Anwar pada 2004.

Hari ini peguam utama Anwar, Karpal Singh berkata keterangan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohjd Najib Razak dan isterinya sangat penting.

Bagi Karpal, keterangan Najib dalam kes liwat Anwar sangat penting kerana ia akan membantu mengenal pasti keadaan mental pengadu.

Datuk Hisham Teh, salah seorang peguam yang mewakili Perdana Menteri dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor pula berhujah, ketua pembangkang itu telah gagal menyediakan bukti kukuh bahawa mereka adalah saksi yang relevan.

Tiada keputusan dibuathari ini sama ada perlu Najib dan isteri dipanggil untuk memberikan keterengan di mahkamah atau sebaliknya kerana Hakim Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah hanya akan membuat keputusan Khamis ini.

Perbicaraann akan diteruskan esok dengan pasukan pembela akan memanggil Lim Kong Boon iaitu Ketua Pengarah Jabatan Kimia.

Karpal berhujah bahawa Perdana Menteri telah mengadakan pertemuan dengan Mohd Saiful Bukhari Azlan pada sebelah malam 24 Julai 2008 sebelum pengadu mendakwa Anwar telah meliwatnya.

Kata Karpal, keterangan Perdana Menteri tentang apa yang berlaku ketika pertemuan itu akan membantu mahkamah dalam perbicaraan ini.

Hisham berhujah, Najib dan isteri bukan saksi relevan dan tidak dapat menyediakan keterangan penting dalam keterangan kes liwat membabitkan Anwar.
Demikian kata Hisham yang membacakan kandungan afidavit Najib di Mahkamah Tinggi petang tadi.

Menurut peguam-peguam Najib, permohonan Anwar untuk memaksa Najib dan Rosmah untuk memberi keterangan hanya bertujuan “memancing” maklumat daripada mereka kerana itu mereka tidak boleh memberi keterangan yang relevan tentang apa yang dibawa oleh responden pertama (Anwar).

Afidavit Rosmah juga mempunyai penjelasan yang sama.

Namun peguam Najib berhujah, pertemuan pada 24 Jun tiada neksus, tiada kaitan dengan insiden 26 Jun 2008.

Menurut Hisham: “Responden pertama mahukan Perdana Menteri memberi penjelasan. Penjelasan, pengesahan mengenai apa yang berlaku pada 24 Jun tiada kaitan dengan tingkah laku utama... insiden pada 26 Jun, bukan sehari awal ataupun selepas itu….(dan) mereka tidak ada hak perundangan untuk memanggil mana-mana orang yang tiada kaitan dan tiada relevan dengan tuduhan.”

Di pihak Anwar, peguam mereka berpendapat afidavit Najib ada menyebut bahawa Perdana Menteri telah menasihati Saiful agar membuat laporan polis selepas dia mendakwa pada 24 Julai bahawa Anwar telah meliwatnya.

“Adalah perlu untuk memperoleh keterangan daripada Perdana Menteri berkenaaan keadaan fikiran SP1 (Saiful) dan sama ada dia takut atau sama ada Perdana Menteri kemungkinan mengharapkan SP1 akan mematuhi nasihat beliau. Sudah pasti, seseorang akan mematuhi nasihat personaliti tidak kira pangkat, terutama seorang timbalan perdana menteri (ketika itu), yang nasihatnya diperoleh,” kata Karpal.

Anwar dalam afidavit balas mendakwa Rosmah berada dalam kedudukan untuk memberi keterangan yang relevan, yang akan membantu dalam prosiding ke atasnya.

Katanya, peguam-peguamnya ada menemu bual rakan Rosmah Datuk Mumtaz Begum Jaafar dan beliau telah mengatakan bahawa ada satu mesyuarat antara kawan rapat Saiful, Muhamad Rahimi Osman dan Rosmah.

Sunday, October 2, 2011

SAPINA NAJIB & ROSMAH – rbf KATA MSO BOHONG

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang esok akan memutuskan sama ada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri boleh mengetepikan sapina yang menghendaki mereka menjadi saksi dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada Isnin (28 September 2011) Ketua Pembangkang itu memfailkan dua afidavit jawapan terhadap permohonan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor untuk mengetepikan sapina ke atas mereka.

Afidavit-afidavit tersebut difailkan melalui firma guaman, Tetuan S.N. Nair & Partners di Kaunter Pendaftaran Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Beberapa blog mengulas mengenai isu sapina ini namun blog rbf mempertikaikan posting oleh Mohd Sayuti Omar (MSO) melalui blog beliau bahawa di rumah malam ini Najib ada diadakan sembahyang hajat berkaitan sebutan mahkamah ini.

Kata MSO: “Najib yang mulanya mengatakan dia tidak gentar untuk berhadapan dengan Anwar tiba-tiba merubah "keberanian" apabila enggan hadir ke mahkamah dengan memohon mengenepikan sepena untuk menjawab persoalan bakal ditimbul oleh para peguam Anwar. Saya difahamkan waktu ini ada majlis solat hajat dan tahlil di kediaman rasmi Najib Razak di Putrajaya atau di Jalan Duta, Kuala Lumpur?”

Berikutan itu blogger rbf dengan tajuk "Bertaubatlah Sayuti Omar" menafikan ada majlis sembahyang hajat berkenaan apabila blog berkenaan menyebut: “Hari ini sekali lagi Sayuti berbohong pasal Datuk Seri Najib. Dalam tulisannya yang terakhir di blog malam ini , dia mengatakan yang dia difahamkan pada malam ini Datuk Najib dan isteri mengadakan majlis sembahyang hajat untuk memohon agar keputusan mahkamah esok menyebelahinya dalam kes permohonannya mengenepikan sapina dari Anwar Ibrahim . “

Menurut rbf, bagi kita orang islam melakukan sembahyang hajat bagi memohon sesuatu daripada Allah, itulah sebaik-baiknya. Tetapi apa yang ditulis Sayuti malam ini bukannya dengan niat yang baik. Dia tulis dengan niat buruk. Dia nak beritahu kepada dunia betapa takutnya Datuk Najib untuk menghadapi keputusan mahkamah esok.

Rbf berkata apa apa yang ditulis Sayuti tidak benar. Ini kerana tidak ada sebarang majlis sembahyang hajat di rumah PM malam ini (semalam). Pada malam ini (semalam) Datuk Seri Najib tidak ada di rumah pun kerana menghadiri satu majlis perkahwinan di Hotel One World Bandar Utama.

Dua minggu lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah menetapkan Selasa minggu lalu (29 September 2011) sebagai tarikh pendengaran permohonan pasangan tersebut untuk mengetepikan sapina yang mengkehendaki mereka hadir sebagai saksi pembelaan pada perbicaraan kes liwat membabitkan Anwar dan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Najib dan Rosmah memfailkan permohonan tersebut melalui peguam mereka pada 21 September lalu.

Dalam afidavit jawapan terhadap permohonan Najib, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menyatakan, Pegawai Khas Perdana Menteri, Datuk Khairil Anas Jusoh ketika ditemui pasukan pembelaan pada 25 Mei lalu memberitahu bahawa Mohd. Saiful Bukhari ada bertemu dengan Najib pada 24 Jun 2008 selama satu jam.

Bagaimanapun, pada Selasa lalu (29 Septembe 2011), Mahkamah Tinggi hari ini menangguhkan hingga esok untuk permohonan Anwar itu.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah membenarkan penangguhan setelah peguam, Datuk Ghazi Ishak yang mewakili pasangan itu memaklumkan bahawa mereka baru mendapat afidavit jawapan ketua pembangkang itu pagi ini.

Menurut Ghazi, pihaknya memerlukan masa untuk mendapatkan arahan daripada anak guamnya sama ada perlu untuk memfailkan afidavit balasan atau tidak.

Ketika bertemu dengan pasukan pembelaan pada 12 Ogos lalu, Najib tidak memberikan sebarang kenyataan berhubung pertemuan tersebut.

Sementara bagi permohonan Rosmah, Anwar dalam afidavit jawapannya pula menyatakan, pihaknya memohon penjelasan berhubung pertemuan antara Penaung Permata Negara Malaysia itu dengan rakan baik mangsa yang juga bekas Setiausaha Sulit Anwar, Muhamad Rahimi Osman.

Pertemuan tersebut dimaklumkan kepada barisan pembelaan oleh Datuk Mumtaz Begum Abdul Jaafar sewaktu sesi temu bual pada Mei lalu.

Selain itu, pegawai penyiasat kes, Supritendan Judy Blacious Pereira dalam keterangannya di mahkamah menyatakan ada mengambil keterangan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah daripada Rosmah yang secara tidak langsung menunjukkan wanita itu mempunyai pengetahuan mengenai kes tersebut.

Oleh yang demikian, Anwar menyatakan, berdasarkan fakta-fakta tersebut dan pertemuan yang berlaku, kehadiran Najib dan Rosmah di mahkamah adalah bagi memberi penjelasan dan bukanlah untuk menunjukkan terdapatnya konspirasi.

Anwar, 64, dibicarakan atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya yang berusia 26 tahun itu di unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di Kuala Lumpur antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Pada perbicaraan kes liwat pertama pada 1998, lima individu termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membuat permohonan yang sama dan dibenarkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar kes tersebut.

Berkaitan kes ini, apa yang menarik, MSO mengatakan beliau sudah dapat mengagak apa yang bakal diputuskan oleh mahkamah jam 2:30 petang esok.

“Sesuatu yang bakal mengejutkan orang ramai dijangka berlaku esok. Mungkin satu lagi sejarah perundangan akan tercatat di negara ini. Mungkin...? Apa yang bakal berlaku esok semua pihak hendaklah menerimanya. Janganlah ada tunding menudnign jari kerana hendak mempertahankan benang basah. Baik Anwar maupun Najib tenanglah menerima keputusan mahkamah, “ demikian kata MSO melalui blognya.