Friday, December 31, 2010

KABINET NAJIB DIANGGOTAI PEROGOL - SUNGGUH MENGAIBKAN JIKA BENAR!

Ini tiga belia Terengganu dituduh merogol seorang gadis - bukan merogol pembantu rumah atau amah.


Cuci segera pantat kuali. Selagi ia hitam legam, sukar untuk mengatakan ia bersinar dan putih.

Begitulah juga dengan kes “Menteri Rogol Amah’.

Rakyat menuntut kerajaan menyatakan apa sebenarnya yang terjadi. Benarkah ada ‘Menteri Rogol Amah”? Jika tidak benar, seret orang yang membuat dusta.

Pembangkang menggunakan blog rasmi PAS, harakahdaily online untuk menekan kerajaan dan UMNO dan pastinya akan menjadi isu pilihan raya. Jangan sampai nama kerajaan dan UMNO dicemari hanya gelagat seorang menteri!

Juga isu ini sampai blog mendedahkan nama secara terang-terangan. Beberapa blog sudah berani mengeluarkan latar belakang pemimpin berkenaan. Lihat di sini.


Kerajaan pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Razak perlu dilihat berintegriti. Sebarang fitnah terhadap Menteri atau anggota Kabinet jangan disorok kerana ia memakan diri.

Peduli apa dengan nasib Menteri berkenaan jika benar dia bersalah. Lebih baik korbankan seorang daripada setiap Menteri menjadi ‘malu’ dan seolah-olah setiap daripada mereka adalah ‘perogol’ jika tidak dibuktikan segera.

Polis Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia. Siasatlah. Jika benar ada dakwaan, siasatan tidak mungkin lama.

Kita bimbang kes ini jadi perbalahan dua negara kerana yang mendakwa adalah orang dari negara jiran sebelah yang sering ‘memperkecilkan kita’, termasuk ketika perlawanan bolasepak malam Ahad lalu.

Malu sekiranya isu ini tidak diatasi.

Apakah Malaysia mahu diperlekehkan kerana Menterinya merogol amah. Kalau rogol bintang filem atau model berbaloi juga. Ini pembantu rumah!

Sanggupkah Najib menanggung beban malu jika dikatakan Kabinet Najib Dianggotai ‘Perogol’?

Memburukkan keadaan, sudah pasti jika kes ini meletup ada pihak akan mengaitkannya dengan UMNO.

Mahukan UMNO dipalitkan dengan seseorang yang dituduh merogol ‘hanya pembantu rumah’ atau amah dan warga asing pulak tu?

Najib boleh melakukannya dengan bijak, umpamanya sesuai dengan rombakan Kabinet yang mungkin dilakukan.

Drop sahaja Menteri berkenaan. Biar dia selesaikan masalahnya. Najib boleh fikir perkara lain yang lebih penting, bukan menyelamatkan seorang individu yang terpaksa mempertahankan nama baiknya.

Bertindaklah sesuatu sebelum nangka buruk jatuh ke bumi. Bukan sahaja ia tidak lagi boleh dimakan tetapi terpaksa pula membersihkan kekotorannya!

AMANAH DAN TANGGUNGJAWAB BERAT MENANTI AHMAD SAID

Saya tidak cepat mengulas mengenai pelantikan kembali Datuk Seri Ahmad Said sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu kerana bersebab.

Sebab utamanya untuk mengelakkan sesetengah pihak menganggap saya yang dikatakan sebagai ‘orang Mat Said’ sebagai riak.

Hakikatnya ‘kembalinya Ahmad Said’ bukanlah sesuatu yang perlu disambut dengan keriuhan atau kemenangan.

Kerana itu saya tidak bersetuju jika UMNO Terengganu mahu membuat sambutan besar-besaran dengan sepanduk dan sebagainya ketika kmyambut kepulangan Ahmad Said pada 1 Januari 2011 di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, pagi esok.

Ada rakan politik mengatakan tidak riak jika kita menyambut dengan sepanduk berbentuk sokongan dan didoakan diberikan kekuatan untuk Menteri Besar mengatasi cabaran dan menggalas tanggungjawab.

Tidak tahulah tetapi apabila perhimpunan dengan sepanduk selalunya dilihat sebagai mahu ‘menunjuk kemenangan’ atau kuasa. Mungkin saya salah!

Apa pun pelantikan semula Ahmad Said ini adalah tugas dan tanggungjawab besar yang perlu dipikul. Ia bukan untuk dimegah atau diraikan kejayaan bagaikan menang perlawanan bolasepak Piala Suzuki AFF 2010 di Jakarta.

Menyambut sekadar bersalaman dan membaca doa selamat pulang rasanya sudah cukup kerana seperti saya katakan, pemimpin UMNO Terengganu jangan riak!

Perlantikan ini adalah amanah dan jangan fungsi Ketua Perhubungan UMNO Negeri itu disalahertikan. Pemimpin UMNO Terengganu perlu bijak!

Benar kata blogger teganukini bahawa apabila Ahmad Said dilantik semula ke jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri yang akan berkuatkuasa 1 Januari 2011, beliau berdepan dengan cabaran berikut:

1. Menenuhi hasrat Presiden UMNO iaitu menstabilkan semula UMNO dengan kerap mengadakan mesyuarat Perhubungan UMNO Negeri;

2. Melapor dan membuat cadangan-cadangan kepada Presiden UMNO sekerap mungkin sebagai salah satu KPI Pengerusi Perhubungan UMNO menjelang pilihan raya umum;

3. Mentadbir dengan cara bukan ‘pecah dan perintah’ dengan membuka ruang kepada semua pihak menyertai politik negeri secara berpasukan;

4. Merapatkan semula hubungan dengan yang ‘renggang’ kerana dasar di atas dengan memperkukuhkan lagi hubungan antara ketua-ketua bahagian yang sudah terjalin sebelum ini;

5. Melantik baru atau mengekalkan Setiausaha, Bendahari, jawatankuasa lama yang mampu menyumbang kepada memperkukuhkan UMNO Negeri;

6. Melantik Ketua Penerangan yang mampu memberikan sepenuh tumpuan kepada memperkukuh UMNO dan tidak sibuk dengan kerja di peringkat nasional;

7. Mendekatkan penyokong Idris atau dalam kata lain tidak menjadikan mereka merasa terpinggir; dan;

8. Penentuan soal siapa menjadi calon atau tidak akan hanya dibuat apabila tiba masanya nanti iaitu ketika hampir pilihan raya serta banyak lagi.


Hakikatnya, ketika pengumuman oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Ku Nan), saya berada di Bilik Persidangan Tingkat 38, Menara Tun Hussein Onn.

Ramai juga pemimpin politik Terengganu, termasuk Ketua Bahagian dan Exco menelefon saya ketika masih dalam sidang media untuk mengesahkan kedudukan Ahmad Said. Ada yang bunyi terkejut dan ada yang lega.

SMS pula tidak terkira. Semuanya mahu pengesahan.

Bagaimanapun saya tidak faham kenapa ada yang terkejut tetapi oleh kerana ramai yang mengatakan syukur, ia bermakna keputusan yang dibuat Presiden UMNO itu tepat.

Malah ada yang mengatakan “Kau biar betul…Betul ni macam ni?” seolah-olah tidak percaya dengan gandingan Ahmad Said – Yahya Khatib.

Bagi saya pula, selain bertujuan mendengar sendiri pengumuman oleh Ku Nan, saya ingin berjumpa beberapa rakan yang masih bekerja di Ibu Pejabat UMNO, selain rakan-rakan wartawan. Mudah untuk menjelaskan jika ada pertanyaan daripada mereka.

Memang benar pun sangkaan saya kerana ramai yang bertanyakan kenapa Ahmad Said tidak mengumumkan program pembangunan yang dilaksana.

Saya jelaskan pengumuman dibuat setiap Rabu selepas mesyuarat Exco tetapi kebanyakan akhbar melihatnya sebagai projek yang layak untuk disiarkan di ruangan Timur sahaja.

“Soalnya kenapa dia kurang mendapat publisiti untuk nasional atau tv bagi program penting negeri yang tidak dilaksanakan oleh negeri-negeri lain?” tanya mereka.

Saya kelu untuk menjawab soalan itu kerana bukan bidang tugas saya. Mengambil kata-kata bekas Ketua UMNO Kubang Kerian, kelantan Tuan Hashim Tuan Yaakob:“Kawe tok se gala tanah ore” (Saya tidak mahu tenggala tanah orang lain - bermaksud tidak mahu masuk campur kerja orang lain).

Selain itu dengan menghadirkan diri, saya ingin mendengar sendiri apa komen Ku Nan mengenai politik UMNO Terengganu. Kenyataan Kun Nan bolehlah diibaratkan sebagai pendapat Ahli Majlis Tertinggi dan mungkin juga Presiden UMNO kerana beliau diamanahkan membuat pengumuman pada sidang media pada Isnin, 27 Disember 2010 itu.

Kami bertegur sapa dan saya tidak kekok dengannya kerana pernah dua kali bekerja di bawahnya. Kali pertama ketika dia menjadi tuan punya akhbar Harian Watan, apabila saya dilantik menjadi Ketua Pengarang akhbar berkenaan antara 1996 – 1997.

Saya berkhidmat lagi di bawah Ku Nan ketika beliau menjadi Setiausaha Kerja UMNO antara 1999-2002.

Ku Nan menepati masa dijanjikan iaitu pada jam 3.02 petang beliau memulakan sidang media dengan mengumumkan nama pengerusi dan timbalan Perhubungan UMNO semua negeri, termasuk Wilayah Persekutuan.

Selepas itu baru beliau melayan soalan wartawan, termasuk empat soalan mengenai UMNO Terengganu yang lebih banyak berkisar krisis, kemelut, kestabilan UMNO Terengganu dan juga menghadapi pilihan raya UMNO.

Pada sidang media itu, saya duduk bersebelahan wartawan/kolumnis Berita Harian, Jamhariah Jaafar selepas beliau mempelawa saya duduk di sebelahnya. Sambil mendengar sidang itu oleh Ku Nan, saya turut melayani beberapa pertanyaan oleh Jamhariah mengenai beberapa individu, selain mengenai Ahmad Said sendiri.

Sebelum menghadiri sidang media itu, saya bertemu beberapa rakan penulis dan politik bercakap mengenai politik Terengganu. Mereka seakan-akan tahu bahawa Ahmad Said akan menggantikan Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

Pada ketika seronok bercerita mengenai kekuatan dan kelemahan Ahmad Said, seseorang membuka cerita bahawa ada seseorang meminta dua atau tiga Ahli Parlimen Terengganu supaya membisikkan kepada Ahmad Said agar ‘memecat saya’.

Menurut rakan lama saya itu, beliau mendengar perbualan itu di bangunan Parlimen ketika Dewan Rakyat bersidang baru-baru ini bahawa saya adalah ‘perosak politik Terengganu’.

Orang yang mengemukakan pandangan itu bukan datangnya dari Terengganu tetapi yang sahihnya, cadangan itu dibuat di hadapan Ahli Parlimen Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafie dan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Nasir Ibrahim Fikri.

Lantas saya terpikir, peranan politik apakah yang dimainkan oleh saya dan banyak manakah pula pengaruh daya di kalangan orang politik Terengganu. Yang pastinya, saya tidak ambil tahu mengenai siapa duduk jawatan apa dan ke mana hala tuju mereka.

Ahmad Said sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO sebelum ini tidak pernah menceritakan perkara politik kepada saya kerana semua perkara membabitkan politik dibincang atau tugasnya dipikul oleh Setiausaha Politiknya, Wan Ahmad Nizam.

Entahlah, mungkin mereka melihat saya sebagai orang yang rapat dengan Ahmad Said tetapi hakikatnya, saya hanyalah seorang pekerja. Ramai lagi orang yang mendapat maklumat lebih daripada saya.

Lagipun, pejabat saya tidak di Tingkat 16 seperti ‘orang Menteri Besar’ yang lain. Saya sengaja memilih untuk berada di bangunan Unit Komunikasi Negeri (UKOM).

Pegawai Menteri Besar yang lain seperti Setiausaha Sulit Kanan, Setiausaha Sulit, Setiausaha Politik dan Setiausaha Akhbar Menteri Besar memang mempunyai pejabat di Tingkat 16.

Malah ada kalangan mereka yang juga mempunyai pejabat di tempat lain kerana mereka adalah Pengerusi kepada anak syarikat kerajaan negeri. Setiausaha Akhbar juga mempunyai bilik khas di UKOM.

Berbalik kepada pengumuman oleh Ku Nan, ramai yang bertanyakan saya siapa Yahya Khatib Mohamad?

Ramai yang kurang mengenali Ketua UMNO Bahagian Marang yang menewaskan Datuk Abdul Rahman Bakar pada pemilihan UMNO Bahagian dua tahun lalu.

Yahya adalah Exco Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Wanita dan sebelum rombakan dibuat Ahmad Said yang berkuatkuasa 1 Julai lalu, beliau adalah Infrastruktur dan Kemudahan Awam.

Soalan lain ialah apakah Yahya orang Idris atau Ahmad Said. Saya tidak dapat menjawab soalan itu secara khusus tetapi yang penting bukan menoleh ke belakang – misi penting ialah apakah yang boleh disumbangkan oleh gandingan Ahmad Said – Yahya Khatib ini untuk Terengganu bagi menghadapi pilihan raya umum nanti.

Ada kalangan mereka nampaknya mengemukakan persoalan hampir sama dengan apa yang diperkatakan oleh teganukini iaitu apakah perlantikan Yahya Khatib Mohamad (gambar kanan) akan mendatangkan kebaikan kepada Ahmad Said atau sebaliknya?

Menurut beberapa wartawan, mereka melihat Yahya dikatakan ‘proksi’ kepada kumpulan Idris dan bagaimana Ahmad Said dapat bekerjasama dengan Yahya yang merupakan satu peranan sukar tetapi penting untuk Ahmad Said lakukan.

Bagi mereka ini antara cabaran penting Ahmad Said dan Yahya walaupun menjadi harapan penting kepada penyokong Idris perlu bijak meletakkan dirinya sebagai orang yang menyokong dan membantu Ahmad Said kerana perkiraan dan penilaian terakhir ialah bukan kepada Idris tetapi kepada Najib dan kepimpinan tinggi UMNO.

Bagi mereka, jika banyak pihak mengatakan pemimpin tertinggi UMNO menilai Ahmad Said, Yahya juga tidak terlepas. Jika beliau silap perhitungan dengan meletakkan kepentingan ‘orang Idris’ daripada UMNO Terengganu, beliau juga wajar diganti!

Ramai juga bertanya kenapa tidak dilantik semula Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang atau Ketua UMNO Bahagian Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafie?

Apalagi nak saya katakan selain menjawab seperti cara Ku Nan jawab apabila tidak mahu melanggar ‘sempadan’: “Ini kena tanya Presiden UMNOlah…”

Dalam soal ‘saya patut dipecat’, ingin saya bertanya sendiri kepada Jidin – sama ada benar atau tidak ada orang membisikkan kepada beliau.

Mungkin aka nada ruang untuk saya bertanyakannya!

Bersambung esok

Thursday, December 30, 2010

BOLASEPAK, POLITIK & SERUMPUN

Tahniah kepada pasukan Malaysia bukan "Malingsia' seperti pada satu kain rentang di stadium berkenaan. Kita bangga tetapi belum ke tahap pencapaian sebenar!

Kejayaan sebenar ialah kita sampai bertanding pada Piala Dunia dan berkedudukan tinggi pada ranking Asia seperti pasukan Jepun, China, Australia, Iran, Saudi Arabia, atau juga Qatar.

Dalam ujian getir di dalam dan luar padang, pasukan muda Malaysia mampu menjadi juara dengan menang 3-0 di medan sendiri dan kalah 2-1 di medan orang. Akhirnya Malaysia menjadi juara dengan agregat 4-2.

Jika ditakdirkan perlawanan akhir Piala Suzuki AFF 2010 bukan dengan Indonesia – Thailand atau Vietnam – saya yakin isu laser, bomoh dan tempat duduk penonton Malaysia tidak timbul.

Ini kerana kita bermain dengan pasukan bukan ‘serumpun’. Masalah dengan Indonesia ialah kita dipersalahkan dalam semua perkara.

Juga, oleh kerana kita sering dipandang rendah, sebilangan penonton kita yang datang ke Jakarta kecewa dengan lokasi tempat duduk dalam Stadium Gelora Bung Karno yang terpaksa menonton dalam protes perlawanan akhir kedua Piala AFF Suzuki 2010 Malaysia-Indonesia di layar besar di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta malam semalam.

Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor Mohd Nasir Yunus, 55, yang mengetuai rombongan penyokong pasukan bola sepak Malaysia, berkata kumpulan penyokong Malaysia yang tidak ramai jumlahnya telah menempah tiket di tempat duduk VIP tetapi mereka diberikan tempat duduk di belakang gawang gol di pintu dua.


Mereka juga diletakkan di tengah-tengah penyokong Indonesia dan berasa tidak selamat untuk berada dalam stadium untuk menonton perlawanan bagi menyokong pasukan Malaysia.

Berdasarkan faktor risiko keselamatan, antara 150 hingga 200 penyokong Malaysia terpaksa menonton di kedutaan Malaysia. Mohd Nasir berkata rombongan itu terdiri daripada kira-kira 60 orang yang datang dari Malaysia dan protes mereka turut disertai penyokong Malaysia yang berada di Jakarta.

Alasan yang diberikan Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) bahawa hanya tempat duduk kawasan itu sahaja yang berbaki tidak dapat diterima, katanya. Mohd Nasir berkata semasa perlawanan akhir pertama di Kuala Lumpur, tempat duduk para penyokong Indonesia yang besar bilangannya dipisahkan daripada tempat duduk penyokong Malaysia, bagi memastikan keselamatan mereka.

Bagi saya mudah sahaja – Indonesia jiran yang tidak reti melayani jiran!

Jika sebelum ini Malaysia dan Indonesia asyik bertelagah dalam sukan badminton, kini berubah pula kepada bolasepak. Mungkin pada masa hadapan sukan-sukan lain pula yang terlibat.

Saya penuh yakin selagi antara kita dengan Indonesia bercakap soal serumpun, selagi itulah ‘pertelingkahan adik-beradik’ akan berterusan. Kerana itu adalah lebih baik jangan berurusan dengan Indonesia dalam konteks serumpun. Berurusan atau bertandinglah seperti kita bertanding dengan Jepun, England atau Australia.

Tidak akan timbul lagi pelbagai isu remeh yang kelak akan mengeruhkan lagi suasana politik dan diplomasi kedua-dua negara.

Semalam terbukti pancaran sinar laser – kalaupun dibuat oleh penyokong Malaysia sebelum ini – penyokong Indonesia sudahpun ‘membalas dendam’ di Jakarta walaupun kain rentang sekitar stadium Gelora Bung Karno melarang dibawa alat berkenaan.

Apapun, Malaysia kini melangkah ke era baru bolasepak serantau dan bak kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kejayaan malam semalam merupakan satu pencapaian yang lebih manis bagi pasukan bola sepak negara selepas 14 tahun menunggu untuk muncul sebagai negara keempat merebut kejuaraan itu selepas Thailand, Singapura dan Vietnam.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa tiada yang mustahil sekiranya kita benar-benar idamkan kemenangan. Segala usaha, penat lelah dan pengorbanan setiap pemain, jurulatih dan pegawai pasukan jelas terhasil dengan kejayaan ini.

Tentunya pelbagai perasaan melanda setiap rakyat Malaysia – megah, terharu dan paling utama, semua merasa bersyukur kerana kejayaan ini memperlihatkan kesungguhan mereka yang terbabit, terutamanya para pemain dan jurulatih K. Rajagobal bagi mendapatkan kejuaraan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Seharusnya penghargaan bagi kemenangan ini adalah untuk semua pihak dan istimewa sekali wajar ditujukan kepada Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah yang telah berjaya menerajui bola sepak Malaysia dan usaha-usaha selama ini sehingga berjaya mengecapi kejayaan ini.

Di kalangan pemain pula, persembahan cemerlang penjaga gawang Malaysia Khairul Fahmi Che Mat bukan sekadar menyelamatkan tendangan penalti, malah tengah malam semalam mampu menarik peminat baru ke akaun Facebook beliau, malah menempatkannya di kedudukan kelima tertinggi di seluruh dunia bagi trend terkini rangkaian sosial Twitter.

Khairul Fahmi, 21, berupaya menyelamatkan lebih daripada 10 percubaan mendebarkan oleh pasukan Indonesia yang menyerang secara agresif sejurus selepas wisel perlawanan dibunyikan.

"Terima kasih kerana mengembalikan 'keseksian' dalam bola sepak Malaysia," kata seorang peminat dalam laman bola sepak pemain itu.

Dalam tempoh sejam, penjaga gawang kelahiran Kelantan yang sebelum ini tidak begitu dikenali, meningkat secara mendadak ke tempat kelima, menumpaskan 'Support Timnas', yang menyokong pasukan bola sepak Indonesia. Fahmi juga menjadi topik paling popular untuk Twitter di Indonesia.

Laman Facebook beliau mendapat hit sebanyak 57,000 daripada peminat, ketika artikel ini ditulis kurang daripada dua jam, berbanding tidak lebih daripada 50,000 peminat sebelum perlawanan bermula.

Yang pasti, sejarah tercipta di bumi Stadium Gelora Bung Karno, buat kali pertama dalam sejarah penganjuran Piala Suzuki AFF 2010 dan lebih manis anak didik K. Rajagobal berjaya melakukannya di hadapan 95,000 penyokong fanatik Indonesia yang terpaksa menelan kepahitan bahawa Malaysia lebih berhak merangkul kejuaraan edisi kelapan Piala Suzuki.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menganggap kemenangan Malaysia dalam perlawanan akhir Piala Suzuki-AFF adalah sesuatu yang dibanggakan dan menjadi malam paling gemilang dalam bola sepak Malaysia.
“Pasukan muda telah memberikan kita kebanggaan dan kita mesti bina kejayaan ini untuk menggerakkan bola sepak maju ke hadapan pada tahap yang lebih tinggi.

Ini bagi memastikan apa yang kita capai malam ini bukan satu yang sepintas lalu tetapi permulaan dalam sejarah bola sepak kita sebagai yang besar," katanya dalam kenyataan malam semalam.

Beliau melahirkan harapan bahawa pencapaian pasukan bola sepak Malaysia akan menjadi inspirasi kepada belia-belia kita. Najib juga mengucapkan tahniah kepada jurulatih pasukan Malaysia, K.Rajagobal, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan semua penyokong bola sepak Malaysia.

Berikutan itu, Najib mengisytiharkan Jumaat ini, 31 Disember sebagai cuti umum untuk meraikan kemenangan pasukan bola sepak Malaysia.

Mungkin ada yang meremehkan keputusan ini tetapi hakikatnya kemenangan ini perlu diraikan bersama selepas sama-sama menyokong dan mendoakan kemenangan negara.

Dalam konteks pemerintah Malaysia, apa yang ditunjukkan oleh Najib menggambarkan kefahaman kepimpinan mengenai inspirasi dan keinginan orang muda yang bukan sahaja mewakili tetapi yang menyokongnya berdiri teguh menyokong pasukan negara.

Ertinya, dalam keadaan negara berdepan dengan saingan dan ‘ancaman’ - anak muda kita berdiri teguh untuk mempertahankan ‘maruah negara’.

Amat jelas bahawa jika bolasepak pernah menghentikan beberapa negara ketika Perang Dunia Pertama kini bolasepak menjadi agenda politik dan diplomasi sementara bagi rakyat Indonesia – ia menjadi tempat pelarian melepaskan geram dan protes mereka terhadap pemerintah.

TOLAK NASIONAL - PAS MAHU KEKAL DENGAN KEPIMPINAN ULAMA?

Baca berita ini. Pendapat Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas, Dr Mujahid Yusuf Rawa ditolak. Ia gara-gara pendapat bahawa PAS perlu 'dinasionalkan'.

Apakah isu ini akan menjadi perbincangan hebat dikalangan pemimpin PAS yang boleh membawa kepada percanggahan pendapat?

Dewan Ulama Pas Kedah tolak buku Mujahid Yusuf Rawa
29/12/2010 8:23pm

ALOR SETAR 29 Dis. – Dewan Ulama Pas Kedah menolak buku bertajuk "Menuju Pas Baru" tulisan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas, Dr Mujahid Yusuf Rawa, yang antara lainnya mahu mengubah konsep kepimpinan ulama dalam parti itu dan bahawa Pas perlu berpijak di bumi nyata dan harus "dinasionalkan".

Naib Ketua dewan itu, Yusuf Mahmud berkata pandangan seperti itu sama sekali tidak perlu lebih-lebih lagi ia disuarakan oleh seorang yang mendakwa dirinya sebagai ahli Pas.


"Dalam keadaan sekarang, ahli-ahli Pas terutamanya pemimpin parti perlu memahamkan masyarakat mengenai kesyumulan Islam dan kesyumulan itulah yang berpijak di bumi nyata," katanya dalam satu kenyataan.

Mujahid adalah juga Ahli Parlimen Parti Buntar.

Yusuf berkata, beliau menolak idea yang diketengahkan oleh Mujahid iaitu mengubah konsep kepimpinan ulama yang telah menjadi amalan dalam Pas sejak lebih 20 tahun lalu.

"Pas tidak lemah dengan ulama tetapi ia perlu diperkasakan, bukan diubah kepada sebarang konsep lain," katanya. – Bernama

Menurut sebuah blog melalui entrinya bertajuk,"Majlis Ulama Pas Kedah Sebulat Suara Tolak Pandangan Mujahid Dalam Buku Terbarunya !", sebagaimana dijangkakan akan ada konflik timbul lanjutan dari tulisan Mujahid Yusuf Rawa dalam buku terbarunya Menuju Pas Baru, Majlis Ulama Pas Kedah hari ini sebulat suara menolak pandangan yang diutarakan oleh Dr Mujahid.

Penolakan ini bermakna segala lobi golongan ulama yang mahu mengekalkan status quo cara perjuangan Pas telah berjaya mendapat tempat dihati para Ulama Pas. Ini juga bermakna para ulama Pas menolak akan keperluan adanya satu gelonbang baru dari segi strategi perjuangan yang mampu melonjakkan Pas ke tahap yang lebih baik.

Nampaknya teori Dr Mujahid bahawa sepanjang sejarah perjuangan Pas muncul berbagai konflik yang setiap kali konflik tersebut berjaya diatasi akan membawa Pas ke satu tahap yang lebih baik sedang berlaku. Ternyata buku itu sedang mencetus konflik aliran pemikiran yang mana jika Dr Mujahid mempunyai sokongan yang kuat akan membentuk 2 aliran pemikiran yang saling bersaing hebat.

"Kita perlukan persaingan seperti ini bagi memaksa timbulnya satu kepimpinan yang kuat yang dapat menerajui pergerakan Pas ke tahap yang lebih hebat. Syabas Dr Mujahid anda pencetus kepada peluang pembaharuan itu. Apapun keputusannya kita harapkan ia membawa satu impak yang positif kepada perjuangan Pas secara keseluruhannya," kata entri berkenaan.

Ketika melancarkan buku itu di Kuala Lumpur pada September lalu, Mujahid berkata, menjayakan evolusi PAS sebagai pemangkin perjuangan Islam harus ditandai dengan urustadbir parti yang berhati-hati, berhemah dan berdisplin.

"Kemunculan lekuk ke 3 boleh berlaku dengan sendiri namun kemunculannya tanpa diurus dengan baik akam menimbulkan pelbagai kemungkinan kepada ahli kerana masalah dalaman yang berpotensi menimbulkan konflik yang tiada penguhujungnya" ujar beliau.

Mujahid yang juga anak kepada Musyidul Am PAS pertama, Allayarham Tuan Guru Yusof Rawa berkata, buku terbitannya ini bertujuan untuk merakyatkan perjuangan PAS selain menarik minat masyarakat bukan Islam untuk memahami prinsip politik Islam.

Karyanya kali ini turut memuatkan pengalaman beliau sepanjang bergelar ahli politik di samping menjelaskan maksud di sebalik judul "Menuju Pas Baru".

Ujarnya "Menuju PAS Baru" bukan bererti untuk menubuhkan sebuah lagi parti PAS sebaliknya untuk menasionalisasikan perjuangan PAS agar difahami dan diterima semua pihak termasuk bukan Islam.

Mujahid juga turut merasmikan sebuah lagi karya beliau berjudul "Kita kan Orang Malaysia" yang menurutnyanya turut menerapkan semangat permuafakatan agar perpaduan dapat digarap di negara ini.

Mujahid sebelum ini terlibat dalam aktiviti keilmuan seperti menyampaikan kuliah-kuliah agama di seluruh negara terutama dalam bidang sirah dan menulis hampir 10 buah buku antaranya ialah Dakwah dan Tarbiah (1992), Masjid dan Peranannya (1993), Khilaf Satu Fenomena (1994), Global View of Islam (1996), Moral Ethica of Study (2000) dan Permata dari Pulau Mutiara (2003).

Kita tunggu apa reaksi pemimpin PAS lain terhadap penolakan oleh PAS Kedah ini!