Thursday, December 30, 2010

BOLASEPAK, POLITIK & SERUMPUN

Tahniah kepada pasukan Malaysia bukan "Malingsia' seperti pada satu kain rentang di stadium berkenaan. Kita bangga tetapi belum ke tahap pencapaian sebenar!

Kejayaan sebenar ialah kita sampai bertanding pada Piala Dunia dan berkedudukan tinggi pada ranking Asia seperti pasukan Jepun, China, Australia, Iran, Saudi Arabia, atau juga Qatar.

Dalam ujian getir di dalam dan luar padang, pasukan muda Malaysia mampu menjadi juara dengan menang 3-0 di medan sendiri dan kalah 2-1 di medan orang. Akhirnya Malaysia menjadi juara dengan agregat 4-2.

Jika ditakdirkan perlawanan akhir Piala Suzuki AFF 2010 bukan dengan Indonesia – Thailand atau Vietnam – saya yakin isu laser, bomoh dan tempat duduk penonton Malaysia tidak timbul.

Ini kerana kita bermain dengan pasukan bukan ‘serumpun’. Masalah dengan Indonesia ialah kita dipersalahkan dalam semua perkara.

Juga, oleh kerana kita sering dipandang rendah, sebilangan penonton kita yang datang ke Jakarta kecewa dengan lokasi tempat duduk dalam Stadium Gelora Bung Karno yang terpaksa menonton dalam protes perlawanan akhir kedua Piala AFF Suzuki 2010 Malaysia-Indonesia di layar besar di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta malam semalam.

Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor Mohd Nasir Yunus, 55, yang mengetuai rombongan penyokong pasukan bola sepak Malaysia, berkata kumpulan penyokong Malaysia yang tidak ramai jumlahnya telah menempah tiket di tempat duduk VIP tetapi mereka diberikan tempat duduk di belakang gawang gol di pintu dua.


Mereka juga diletakkan di tengah-tengah penyokong Indonesia dan berasa tidak selamat untuk berada dalam stadium untuk menonton perlawanan bagi menyokong pasukan Malaysia.

Berdasarkan faktor risiko keselamatan, antara 150 hingga 200 penyokong Malaysia terpaksa menonton di kedutaan Malaysia. Mohd Nasir berkata rombongan itu terdiri daripada kira-kira 60 orang yang datang dari Malaysia dan protes mereka turut disertai penyokong Malaysia yang berada di Jakarta.

Alasan yang diberikan Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) bahawa hanya tempat duduk kawasan itu sahaja yang berbaki tidak dapat diterima, katanya. Mohd Nasir berkata semasa perlawanan akhir pertama di Kuala Lumpur, tempat duduk para penyokong Indonesia yang besar bilangannya dipisahkan daripada tempat duduk penyokong Malaysia, bagi memastikan keselamatan mereka.

Bagi saya mudah sahaja – Indonesia jiran yang tidak reti melayani jiran!

Jika sebelum ini Malaysia dan Indonesia asyik bertelagah dalam sukan badminton, kini berubah pula kepada bolasepak. Mungkin pada masa hadapan sukan-sukan lain pula yang terlibat.

Saya penuh yakin selagi antara kita dengan Indonesia bercakap soal serumpun, selagi itulah ‘pertelingkahan adik-beradik’ akan berterusan. Kerana itu adalah lebih baik jangan berurusan dengan Indonesia dalam konteks serumpun. Berurusan atau bertandinglah seperti kita bertanding dengan Jepun, England atau Australia.

Tidak akan timbul lagi pelbagai isu remeh yang kelak akan mengeruhkan lagi suasana politik dan diplomasi kedua-dua negara.

Semalam terbukti pancaran sinar laser – kalaupun dibuat oleh penyokong Malaysia sebelum ini – penyokong Indonesia sudahpun ‘membalas dendam’ di Jakarta walaupun kain rentang sekitar stadium Gelora Bung Karno melarang dibawa alat berkenaan.

Apapun, Malaysia kini melangkah ke era baru bolasepak serantau dan bak kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kejayaan malam semalam merupakan satu pencapaian yang lebih manis bagi pasukan bola sepak negara selepas 14 tahun menunggu untuk muncul sebagai negara keempat merebut kejuaraan itu selepas Thailand, Singapura dan Vietnam.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa tiada yang mustahil sekiranya kita benar-benar idamkan kemenangan. Segala usaha, penat lelah dan pengorbanan setiap pemain, jurulatih dan pegawai pasukan jelas terhasil dengan kejayaan ini.

Tentunya pelbagai perasaan melanda setiap rakyat Malaysia – megah, terharu dan paling utama, semua merasa bersyukur kerana kejayaan ini memperlihatkan kesungguhan mereka yang terbabit, terutamanya para pemain dan jurulatih K. Rajagobal bagi mendapatkan kejuaraan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Seharusnya penghargaan bagi kemenangan ini adalah untuk semua pihak dan istimewa sekali wajar ditujukan kepada Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah yang telah berjaya menerajui bola sepak Malaysia dan usaha-usaha selama ini sehingga berjaya mengecapi kejayaan ini.

Di kalangan pemain pula, persembahan cemerlang penjaga gawang Malaysia Khairul Fahmi Che Mat bukan sekadar menyelamatkan tendangan penalti, malah tengah malam semalam mampu menarik peminat baru ke akaun Facebook beliau, malah menempatkannya di kedudukan kelima tertinggi di seluruh dunia bagi trend terkini rangkaian sosial Twitter.

Khairul Fahmi, 21, berupaya menyelamatkan lebih daripada 10 percubaan mendebarkan oleh pasukan Indonesia yang menyerang secara agresif sejurus selepas wisel perlawanan dibunyikan.

"Terima kasih kerana mengembalikan 'keseksian' dalam bola sepak Malaysia," kata seorang peminat dalam laman bola sepak pemain itu.

Dalam tempoh sejam, penjaga gawang kelahiran Kelantan yang sebelum ini tidak begitu dikenali, meningkat secara mendadak ke tempat kelima, menumpaskan 'Support Timnas', yang menyokong pasukan bola sepak Indonesia. Fahmi juga menjadi topik paling popular untuk Twitter di Indonesia.

Laman Facebook beliau mendapat hit sebanyak 57,000 daripada peminat, ketika artikel ini ditulis kurang daripada dua jam, berbanding tidak lebih daripada 50,000 peminat sebelum perlawanan bermula.

Yang pasti, sejarah tercipta di bumi Stadium Gelora Bung Karno, buat kali pertama dalam sejarah penganjuran Piala Suzuki AFF 2010 dan lebih manis anak didik K. Rajagobal berjaya melakukannya di hadapan 95,000 penyokong fanatik Indonesia yang terpaksa menelan kepahitan bahawa Malaysia lebih berhak merangkul kejuaraan edisi kelapan Piala Suzuki.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menganggap kemenangan Malaysia dalam perlawanan akhir Piala Suzuki-AFF adalah sesuatu yang dibanggakan dan menjadi malam paling gemilang dalam bola sepak Malaysia.
“Pasukan muda telah memberikan kita kebanggaan dan kita mesti bina kejayaan ini untuk menggerakkan bola sepak maju ke hadapan pada tahap yang lebih tinggi.

Ini bagi memastikan apa yang kita capai malam ini bukan satu yang sepintas lalu tetapi permulaan dalam sejarah bola sepak kita sebagai yang besar," katanya dalam kenyataan malam semalam.

Beliau melahirkan harapan bahawa pencapaian pasukan bola sepak Malaysia akan menjadi inspirasi kepada belia-belia kita. Najib juga mengucapkan tahniah kepada jurulatih pasukan Malaysia, K.Rajagobal, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan semua penyokong bola sepak Malaysia.

Berikutan itu, Najib mengisytiharkan Jumaat ini, 31 Disember sebagai cuti umum untuk meraikan kemenangan pasukan bola sepak Malaysia.

Mungkin ada yang meremehkan keputusan ini tetapi hakikatnya kemenangan ini perlu diraikan bersama selepas sama-sama menyokong dan mendoakan kemenangan negara.

Dalam konteks pemerintah Malaysia, apa yang ditunjukkan oleh Najib menggambarkan kefahaman kepimpinan mengenai inspirasi dan keinginan orang muda yang bukan sahaja mewakili tetapi yang menyokongnya berdiri teguh menyokong pasukan negara.

Ertinya, dalam keadaan negara berdepan dengan saingan dan ‘ancaman’ - anak muda kita berdiri teguh untuk mempertahankan ‘maruah negara’.

Amat jelas bahawa jika bolasepak pernah menghentikan beberapa negara ketika Perang Dunia Pertama kini bolasepak menjadi agenda politik dan diplomasi sementara bagi rakyat Indonesia – ia menjadi tempat pelarian melepaskan geram dan protes mereka terhadap pemerintah.

No comments:

Post a Comment