Sunday, September 12, 2010

PERKASA - UMNO JANGAN CEPAT MELENTING

"UMNO@BN pasti mendapat kemenangan 2/3 majoriti di Parlimen dan akan merampas kembali Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan. Kerusi Melayu semua selamat berdasarkan peranan dan kewibawaan yang ditunjukkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor, Dato Nazri Aziz dan KJ. Kata-kata hikmat mereka “Bila UMNO tolak dan jauhi PERKASA yang berjuang untuk Melayu, maka berduyung Cina dan India akan menyokong BN. Ini kerana PERKASA lebh kuat daripada DAP , PKR dan PAS. Pasti Soi Lek, Tsu Koon dan Samy akan menang besar tanpa PERKASA. Dan semua ahli UMNO akan undi BN,”. Kajian oleh Pakar Oxford.”

Ini SMS yang saya terima daripada seseorang yang menamakannya Ibrahim Ali semalam (11 September 2010) jam 15:58 ( 3.58 petang).

Sama ada mesej ini benar-benar daripada Datuk Ibrahim Ali, Presiden PERKASA atau orang lain tidak penting tetapi apa yang tersirat daripada nukilan dalam mesej itu mengundang banyak persoalan.

Nampaknya ‘perang antara PERKASA dengan beberapa pemimpin tertinggi UMNO’ kini bermula.

Ia gara-gara kenyataan Setiusaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam temu bual dengan The Malaysian Insider Selasa lalu, Tengku Adnan menegaskan, UMNO tidak akan menyokong Ibrahim jika bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 sebagai calon Bebas.

Mengapa UMNO harus sokong dia? UMNO patut meletakkan calon di Pasir Mas. Kami akan bertanding di Pasir Mas,” kata Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung BN.

Ibrahim yang dipecat dari UMNO pada 2004 memenangi kerusi Parlimen pada 8 Mac 2008 menggunakan lambang PAS.

“Sebagai Setiausaha Agung (UMNO) saya boleh memberitahu anda, kami tiada apa-apa kaitan dengan Perkasa dan sesetengah perkara yang dilakukan oleh Perkasa, kami tidak gembira kerana mereka menghakis sokongan kepada kami,” kata Tengku Adnan apabila diajukan soalan bahawa kebanyakan ahli Perkasa adalah dari UMNO.

Malah beliau juga menolak tanggapan kebanyakan pihak bahawa UMNO menjalin kerjasama ataupun memihak perjuangan PERKASA pimpinan Ibrahim.

Malah, dikatakan juga bahawa pemimpin tertinggi UMNO mula mempersoalkan perjuangan Ibrahim dan PERKASA yang dilihat akan mengancam sokongan kepada UMNO.

Perkasa ditubuhkan dua tahun lalu, selepas pilihan raya umum Mac 2008.

Semalam, Ibrahim mencabar Tengku Adnan supaya menegaskan dengan jelas sama ada kenyataan beliau mengenai PERKASA baru-baru ini pandangan peribadinya atau pendirian rasmi Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

Menurut Ibrahim, lazimnya isu yang dibincang dan diputuskan oleh MT UMNO akan diumumkan oleh Presiden UMNO dan oleh itu, kini timbul keraguan sama ada Setiausaha Agung UMNO itu seiring dengan pendirian parti ataupun sebaliknya.

“Jika ia kenyataan peribadi, adakah ia bermakna Tengku Adnan mengatasi kedudukan Majlis Tertinggi UMNO,” kata Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas itu pada sidang media di rumahnya di Pasir Mas.

Reaksi Ibrahim ini muncul ketika pemimpin-pemimpin UMNO dan komponen BN yang lain mempertikaikan PERKASA secara terbuka selain meluahkan ‘protes’ terhadap hala tuju perjuangannya yang dilihat akan menghakis sokongan kepada BN.

Pada saya, pertelingkahan terbuka ini tidak akan berlaku jika UMNO sedikit ‘terbuka’ dengan duduk semeja dengan pemimpin PERKASA yang rata-ratanya juga adalah orang UMNO.

Ramai juga pemimpin PERKASA adalah pemimpin UMNO. Jangan ‘cepat sisih’ PERKASA begitu sahaja.

Belajarlah daripada rakan BN dan parti pembangkang yang mempunyai NGO yang agak agresif saling membantu parti mereka membuat desakan.

PERKASA tidak akan bergerak cergas seperti sekarang kalau Pergerakan Pemuda UMNO memainkan peranan mereka seperti diharapkan.

Yang nyata, Pemuda UMNO kini tidak lagi menjadi ‘kumpulan pendesak’ dalam isu-isu membabitkan kepentingan Melayu dan Islam.

Pemuda UMNO hari ini sudah malap api perjuangan mereka menegakkan kepentingan orang Melayu dan Islam.

Malah, ciri-ciri kepimpinan golongan muda dalam UMNO kini seolah-olah tidak lagi mempunyai cita-cita dan perjuangan membela orang Melayu. Arah dan hala tuju mereka bagaikan bahtera yang hanyut di lautan luas tanpa adanya pangkalan.

Orang Melayu memerhatikan bagaimana Hindraf memainkan peranannya menggembleng sokongan orang India dengan tuntutan ‘melampau’ mereka. Walaupun MIC menyisihkan diri daripada pergerakan itu, namun ‘keakraban’ Hindraf dan MIC tidak boleh dipandang remeh.

Bagaimana pula pergerakan persatuan guru sekolah Cina seperti Dong Jiao Zhong dengan MCA dan Gerakan?

Lihatnya betapa eratnya persatuan itu dengan parti Cina. Ia adalah kumpulan pendesak yang aktif dan peranan PERKASA dalam konteks kepentingan Melayu hari ini tidak jauh bezanya dengan Dong Jio Zhong.

UMNO perlu melihat kehadiran PERKASA dalam suasana yang orang Melayu sedang bertahan kerana diasak dalam pelbagai sudut.

Persoalannya, apakah UMNO mampu menjadi benteng dalam perkara yang mungkin sensitif kepada parti komponen BN lain sedangkan perkara itu benar-benar penting untuk orang Melayu dan Islam?

Benar seperti apa yang dikatakan oleh ‘Ibrahim Ali’ melalui SMS di atas bahawa kalaupun PERKASA tidak wujud atau disisihkan tidak bermakna sokongan kepada UMNO atau BN akan bertambah dengan banyak.

Ibrahim membidas Tengku Adnan dengan mengatakan: "Bila kita minta sokongan Umno?" soalnya.

Sehubungan itu, Ibrahim menjelaskan bahawa PERKASA adalah sebuah NGO yang tidak ada kena mengena dengan Umno.

"Hanya kerana mereka tidak akan menyokong kami, itu tidak bermakna kami tidak mempunyai sokongan sama sekali," tambahnya.

Malah bagi saya pula, ada atau tidak ada PERKASA, tidak bermakna sokongan orang Melayu kepada UMNO dan BN akan bertambah.

Biarlah PERKASA dengan peranannya sebagai NGO yang memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam.

‘HANTU LAPAR’ vs SOLAT TARAWIKH

Daripada http://gegernya.blogspot.com/

Artis serta lagu yang didendangkan berhampiran masjid yang begitu kuat sehingga menganggu umat Islam beribadah gi Gerogetown.

Sebelum ini tidak kedengaran kejadian aneh seperti ini di Pulau Pinang.

Sejak beratus-ratus tahun, masyarakat Islam dan bukan Islam, khususnya kaum Cina dapat bertoleransi dengan baik.

Namun sejak kerajaan pakatan pembangkang memerintah, ‘Hantu Lapar’ yang dulunya dapat hidup tenang kini menunjukkan ‘taringnya’, malah menggugat dan meracau sehingga mengganggu jemaah yang bersembahyang di dua masjid lama di Pulau Mutiara itu.

Pada ketika kerajaan Pulau Pinang diperintah oleh Barisan Nasional diketuai oleh Gerakan, ‘Hantu Lapar’ ini mungkin wujud tetapi tidak seganas akhir-akhir ini.

‘Hantu Lapar’ itu sekarang ini naik tocang hinggakan masjid pun tidak dihiraukannya.

Pesta Hantu Lapar yang diluluskan kerajaan DAP Pulau Pinang ini bukan sahaja tidak hormat tetapi semakin galak untuk mengganggu aktiviti ibadah orang Islam di pulau itu.

Jemaah Masjid Kapitan Keling dan Masjid Acheh di George Town hampir sepanjang bulan Ramadan lalu tidak tenang dan dua masjid berkenaan sering diganggu oleh ‘Hantu Lapar’ yang bertuankan kerajaan pakatan Pulau Pinang.

Bantahan oleh jawatankuasa dua masjid di Georgetown

Kita tidak faham, apakah yang dilakukan oleh anggota Exco Melayu dan Islam, termasuk Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang dalam masalah gangguan ‘Hantu Lapar’ ini.

Kenapa mereka berdiam diri? Takut kepada Lim Guan Eng atau sudah terlalu kenyang?

Laporan Malaysiakini semalam menyebut, Jawatankuasa Masjid Kapitan Keling dan Masjid Acheh di Georgetown Pulau Pinang merayu bantuan Yang di-Pertuan Agong supaya mengarahkan pihak berkuasa yang terbabit segera menghentikan 'pencabulan' sambutan Pesta Hantu Lapar yang menganggu penduduk setempat.

Menurut jurucakap jawatankuasa itu, Mohideen Abdul Kader (gambar kiri) satu memorandum akan dihantar kepada baginda bagi mencari penyelesaian sebelum perkara itu menimbulkan masalah lain yang lebih besar.

Menurut Mohideen lagi, bunyi muzik yang kuat itu menganggu umat Islam yang menunaikan solat di masjid berkenaan.

"Persembahan itu tidak mempunyai signifikan budaya ataupun keagamaan tetapi hanya meniru budaya pop Barat,” katanya pada sidang akhbar yang juga dihadiri oleh 30 anggota qariah masjid.

Sejak sebulan lalu, terdapat persembahan di mana gadis muda yang berpakaian menjolokkan mata menyanyikan lagu pop Cina, Inggeris, Melayu dan juga Hindi dengan iringan muzik yang medesingkan telinga.

Menurut Mohideen, agak malang aktiviti seumpama itu dibenarkan ketika Ramadan di mana umat Islam cuba menumpukan perhatian dalam menunaikan ibadat mereka.

Saturday, September 11, 2010

DUA KHABAR SEDIH AWAL SHAWAL

Paderi Dove World Outreach Center, Terry Jones menjawab soalan mengenai rancangan meneruskan membakar al-Quran hari ini.

Dalam kegembiraan menyambut Aidilfitri semalam, saya sedih kerana ada berita dari Barat (Amerika Syarikat dan Jerman) yang mengatakan pihak tertentu mahu membakar al-Quran dan kartunis yang melukis karikatur Nabi Muhammad s.a.w. pula diberikan anugerah.

Perkhabaran di hari yang mulia yang menyedihkan ini benar-benar mengguris hati saya dan mungkin juga umat Islam seluruhnya.

Apakah dua kejadian ini menjadi ujian kepada umat Islam di seluruh dunia dan Malaysia sendiri?
Kartunis Denmark, Kurt Westergaard (kiri) bersama Angela Merkel sebelum majlis penyampaian anugerah media M100 2010 di Potsdam, timur Jerman, kelmarin.

Juga, apakah masyarakat Islam di Malaysia keseluruhannya peka mengenai perkara ini dalam kesibukan dan kegembiraan kita menyambut Aidilfitri?

Berita mengenai sebuah gereja kecil di Florida merancang membakar beratus al-Quran hari ini (11 September 2010) dikecam banyak pihak di dunia dan di negara kita.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan tindakan ekstremis, Paderi Terry Jones untuk membakar Al-Quran sebagai amat dikesali. Ia dianggap satu keingkaran, tidak bertamadun dan hendaklah dikutuk oleh mereka yang berfikiran rasional.

"Ia akan menjadi satu implikasi yang sangat serius. Saya sangat berharap dan berdoa agar presiden Barack Obama dan kerajaan Amerika Syarikat akan berbuat sesuatu untuk menghalang daripada berlaku," tegas Najib.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula berkata rancangan paderi di Amerika Syarikat untuk membakar Al-Quran sebagai tindakan di luar jangkaan manusia. Menteri Besar Kelantan itu berkata, Allah Taala akan laknat jika ada pemimpin agama seperti itu.

Katanya, cadangan paderi berkenaan tidak masuk akal kerana mereka orang berilmu, yang tahu bahawa Islam bukanlah agama pengganas dan golongan ini boleh membuat kajian mengenai agama Islam dalam pelbagai bahasa.

Paderi Florida itu ternyata mengundang kecaman dunia kerana kniatnya itu, walaupun berkata mungkin membatalkan hasratnya itu jika Presiden Amerika Syarikat Barack Obama meminta beliau untuk tidak melakukannya.

Apakah paderi ini sengaja menempah permusuhan atau hanya mencari populariti diri melalui kenyataan yang boleh meresahkan dunia?

Rancangan membakar sejumlah 200 al-Quran yang kebanyakan didermakan kepada gereja dibuat menyusuli satu perdebatan yang membangkitkan kemarahan mengenai rancangan membina sebuah pusat kebudayaan Islam di New York berhampiran dengan tapak bekas Pusat Dagangan Dunia.

Memanglah niat akan menjadil niat yang tidak tertunai jika benar beliau mahu membatalkan hasratnya. Namun hati yang terguris akan kekal lama. Jika pun ada kemaafan, tidak bermakna umat Islam akan melupakan niat dan kenyataan paderi itu.

Terry Jones - Ketua Dove World Outreach Center - memberitahu akhbar USA Today semalam, beliau belum dihubungi Rumah Putih berhubung rancangannya membakar kita suci Islam itu sempena menandakan ulang tahun kesembilan serangan pengganas 11 September.

Presiden Barrack Obama semalam memberi amaran tindakan membakar al-Quran akan hanya menguntungkan kumpulan pengganas Al-Qaeda yang didakwa melancarkan serangan terhadap AS pada 2001 itu yang membunuh hampir 3,000 orang.

“Anda tahu, tindakan berkenaan akan mencetuskan keganasan serius di tempat seperti Pakistan atau Afghanistan,” Obama memberita rangkaian televisyen ABC.

Sebelum ini, walaupun pelbagai kritikan diterima daripada pegawai tertinggi Amerika Syarikat, tentera, Vatican dan pemimpin agama lain, gereja terbabit sebelum ini menyatakan ia tetap enggan menangguhkan rancangan membakar al-Quran itu.

Jones memberitahu satu sidang media kelmarin gereja beliau menerima banyak mesej yang menyokong tindakan itu.

Semalam, Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur berkata kerajaan Amerika Syarikat membidas rancangan Jones itu dan menganggap tindakan sengaja memusnahkan sebarang buku suci adalah menjijikkan dan menimbulkan perbalahan, sesuatu yang ditolak oleh majoriti rakyat Amerika.

"Kami mempunyai penghormatan tidak berbelah bagi untuk Al-Quran dan Islam sebagai salah sebuah agama teragung di dunia,” katanya. Kenyataan itu menyebut semalam, Obama telah menyatakan cadangan kumpulan itu adalah bertentangan dengan nilai-nilai rakyat Amerika.

Juga menyedihkan, sehari sebelum ancaman membakar al-Quran, Canselor Jerman, Angela Merkel hadir pada satu majlis anugerah untuk seorang kartunis Denmark yang melukis karikatur Nabi Muhammad memakai serban menyerupai bom.

Merkel yang meletakkan kebebasan sebagai sesuatu yang begitu penting bagi dirinya langsung tidak sensitif terhadap kemarahan umat Islam

Lukisan Kurt Westergaard,75 dari Denmark adalah antara 12 karikatur Nabi Muhammad yang mencetuskan protes umat Islam di seluruh dunia sehingga menyebabkan 50 orang maut lima tahun lalu.

Westergaard yang melukis karikatur paling kontroversi mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh selepas penyiarannya dalam sebuah akhbar Denmark pada 2005.

Merkel, 56, pada majlis anugerah semasa persidangan mengenai kebebasan akhbar di Potsdam dekat Berlin mengatakan, bagi dirinya, kebebasan ialah pengalaman paling gembira dalam hidupnya. Beliau menyifatkan kebebasan akhbar sebagai ‘komoditi yang sangat berharga’.

Walaupun Merkel yang membesar di bawah rejim komunis di Jerman Timur terkenang akan kegembiraan beliau semasa Tembok Berlin runtuh pada 1989 tetapi caranya menyanjungi dan mengiktiraf ‘kebebasan’ dengan menghargai kartunis yang menulis karikutur Nabi Muhammad, adalah sesuatu yang sangat dikesali dan tersasar jauh.

Memang wajar kalau tokoh Islam di Jerman Aiman Mazyek dari Majlis Islam Pusat mengkritik Merkel dengan mengatakan, “Merkel memberi penghormatan kepada kartunis yang pada pandangan kami telah memijak-mijak Nabi kami dan memijak-mijak seluruh umat Islam.”

Kita menunggu apa pula reaksi daripada umat Islam dunia dan Malaysia mengenai dua kejadian di awal Shawal ini.

Yang nyata, dua berita ini menyedarkan saya bahawa ancaman terhadap Islam kini benar-benar serius pada ketika ancaman dan kritikan terhadap Islam kini semakin menyerlah dari dalam negara sendiri.

Tuesday, September 7, 2010

ZAID IBRAHIM BARU TERGADAH

"Pelik sungguh tabiat dan tindakan mereka ini, semasa saya diterima masuk setahun dahulu saya digelar wira, seorang orang yang berani dan berprinsip, pejuang politik yang tidak mementingkan jawatan dan kedudukan. Dua belas bulan kemudian saya sudah menjadi orang yang tidak setia, pengacau dan akan menjual parti kepada Umno. Tuduhan terhadap peribadi saya juga ditingkatkan." - Zaid Ibrahim

Orang sebijak Datuk Zaid Ibrahim tidak seharusnya membuat keputusan silap.

Orang yang sebijak Zaid Ibrahim seharusnya tahu tendang terajang politik.

Dan orang yang sebijak Zaid Ibrahim sewajarnya lebih awal sedar bahawa dalam politik pepatah Melayu “ habis manis, sepah dibuang” adalah amalan yang bukan luar biasa!

Kesian, Zaid tidak sepatutnya melepaskan jawatan Menteri di-Jabatan Perdana Menteri begitu mudah. Beliau lakukannya kononnya kerana prinsip.

Ada yang ‘lambung’ Zaid kononnya beliau seseorang yang tidak kisah dengan jawatan tetapi prinsip pejuangan lebih utama.

Zaid seharusnya menilai anugerah Allah kepadanya yang jarang didapati orang lain. Dia dilantik menjadi Menteri pada ketika beliau ditolak menjadi calon dan kedudukannya dalam Bahagian UMNO Kota Bharu tidak stabil.

Jarang - malah hanya kadang-kadang sahaja - orang UMNO yang memperolehi atau dianugerahkan kedudukan sedemikian. Ia hanya berlaku pada era Tun Abdullah Ahmad Badawi! Yang lain sanggup bertanding, berhabis duit dan tenaga dan apabila memang tidak pun dilantik sebagai Menteri.

Zaid yang di Bahagian UMNO pun digugat kedudukannya dan menghadapi masalah mempertahankan kerusinya di Parlimen Kota Bharu melepaskan jawatan Menteri (melalui Senator) dengan begitu mudah.

Zahid mungkin mendapat nasihat tidak betul dan tukang ‘lambung’ melalui blog dan sebagainya hanya melihat kepentingan membangkang dan mahukan Zahid berpindah di sebelah mereka.

Zahid yang termakan ‘lambung’ tidak melihat bahawa dalam politik – ketika orang sukakan kita mereka puja dan sebagainya – tetapi apabila sudah nampak melawan atau menggugat seseorang lain, seseorang itu dipijak selumat-lumatnya.

Zaid yang kini Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat semalam mendakwa menerima ugutan bahawa karier politiknya akan dikuburkan sekiranya meneruskan hasrat bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Beliau mendakwa menerima amaran akan menerima nasib yang sama dengan bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Ghafar Baba daripada pihak yang tidak selesa dengan keputusannya untuk bertanding pada pemilihan parti itu akan datang.

"Ada yang memberi amaran bahawa saya akan dikuburkan seperti Ghafar Baba. Saya teringat lagi peristiwa 1993 di mana Tun Ghafar dibelasah oleh Umno sehinggakan pencalonannya tidak mencukupi dan terpaksa menarik diri," katanya.

Kenapa Zaid tidak sebutkan siapa belasah Ghafar?

Bukankah Anwar Ibrahim yang melakukan segala-galanya. Zaid bukan tidak tahu perangai Anwar.

Tan Sri Mohd Rahmat sudah meninggal untuk bertanya benar atau tidak perkara ini. Tetapi Tan Sri Sanusi Junid masih ada. Tanyalah beliau.

Zaid yang sebelum ini pernah menolak untuk bertanding pada pemilihan PKR kali ini bagaimanapun mengubah pendiriannya minggu lalu. Selain Zaid, Naib Presiden PKR, Azmin Ali turut dilaporkan berminat untuk merebut jawatan yang bakal dikosongkan oleh penyandang, Dr Syed Husin Ali.

Kenyataan Zaid bahawa beliau akur sekiranya bakal menerima nasib yang sama seperti Ghafar adalah salah. Kenapa mesti xepat mengalah? Zaid mahu melakukan kesilapannya sekali lagi.

"Kalau nasib saya seperti Pak Ghafar pun saya rela. Dalam perjuangan politik saya, sifirnya mudah... kalau benar saya sokong, kalau palsu saya bantah," katanya.

Selain itu katanya, sejak mengumumkan hasrat untuk bertanding, beliau menerima banyak tohmahan.

"Sejak saya umumkan hasrat nak bertanding jawatan dalam PKR minggu lepas, sibuk sekali mereka yang tidak selesa dengan keputusan ini. Ada yang cuba memberi upah kepada seorang blogger Melayu yang popular untuk memburukkan nama saya. Blogger itu diminta menulis yang saya akan membayar RM20 ribu kepada cabang yang mencalonkan saya, dan menulis bahawa saya kononnya orang suruhan Tun Daim Zainuddin untuk menghancurkan PKR," dakwanya.

Sekarang Zaid merasanya. Sebenarnya sepak terajang politik bukan berlaku dalam UMNO sahaja. Ia berlaku dalam PAS dan tidak terkecuali PKR.

Rupa-rupanya ketika dalam UMNO, Zaid begitu selesa. Dia tidak merasai sepak terajang poliitk yang sebenarnya.

Hakikatnya beliau tidak pernah merasa apa-apa tekanan di peringkat nasional, cumanya di Kota Bharu beliau merasa sedikit tergugat apabila beliau menghadapi saingan Datuk Mohd Fatmi Salleh yang kebetulan Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri.

Mungkin kecewa tidak ada pembelaan untuknya di bahagian, apalagi digantung, beliau merasakan UMNO menghukumnya.

Tetapi kini dalam PKR, apa bezanya? Politik bukan sahaja siapa mendapat apa, bila dan bagaimana. Juga, politik bukan sahaja kuasa tetapi politik adalah sepak terajang dan hanya yang kuat dan mampu menahan badai serangan sahaja yang boleh bertahan.

Jika jenis mengalah, merajuk atau tidak bermaya seperti Zaid, mereka akan menjadi ‘sampah politik’ yang akan dihanyutkan arus pemilihan, pilihan raya atau juga persaingan di luar pertandingan termasuk tanggapan dan populariti.

Zahid merungut kononnya kesetiaan beliau dipersoalkan oleh sesetengah ahli-ahli Parlimen PKR. Kekecewaan Zahid terserlah apabila ada sokongan kepada gandingan hebat Anwar Ibrahim-Azmin Ali.

Baru tergadah - Zaid, kini sedar beliau bukan sahaja 'diserang' oleh Umno malah turut menjadi sasaran ahli parti yang baru disertainya sejak setahun yang lalu.

Kata Zaid: “Pelik sungguh tabiat dan tindakan mereka ini, semasa saya diterima masuk setahun dahulu saya digelar wira, seorang orang yang berani dan berprinsip, pejuang politik yang tidak mementingkan jawatan dan kedudukan. Dua belas bulan kemudian saya sudah menjadi orang yang tidak setia, pengacau dan akan menjual parti kepada Umno. Tuduhan terhadap peribadi saya juga ditingkatkan. Teringat saya semasa di Hulu Selangor dulu, cuma masa itu Umno yang membelasah saya," katanya.

Itulah yang saya katakana di atas bahawa dalam politik yang biasa berlaku ialah habis manis sepah dibuang.

Zaid kini tidak lagi dilihat sebagai seseorang yang berprinsip dan pejuang politik. Zaid adalah pengacau dan boleh merosakkan PKR.

Itulah nasib yang menimpa Zaid gara-gara terpengaruh dengan puji-pujian dan ‘jek atau lambungan politik ‘ daripada mereka yang tidak ikhlas.

Jelas sudah Zaid bukannya berada pada kedudukan peribadi yang semakin baik dalam PKR.

Jika sebelum ini pada pilihan raya Hulu Selangor Zaid dikatakan ‘ditelanjangkan peribadinya’ oleh UMNO dan Barisan Nasional, dalam menghadapi pemilihan PKR November ini, Zahid ‘ditelanjangkan politiknya’ oleh PKR sendiri apabila dia dicop sebagai pengacau dan cuba menjual parti kepada UMNO.

Apakah ada jalan keluar lagi untuk Zaid?

Atau Zaid akan dikuburkan melalui PKR dan selepas November ini akan turut menjadi ‘sampah politik’ kerana tidak boleh ke mana-mana lagi.

Mengharapkan PAS? Zaid tidak layak menyertai parti itu kerana pendapatnya sebelum ini banyak bercanggah dengan PAS.

Mungkin di hati kecil Zaid ketika ini ada sedikit kekesalan apabila beliau ‘meludah UMNO’ sedangkan UMNOlah yang menjadikannya kaya dan terkenal dalam politik.

Oleh kerana Zaid orang berprinsip, dia tidak akan menjilat kembali ludahnya!