Sunday, June 13, 2010

JUDI – KERAJAAN PERLU TELUS, BERTINDAK CEPAT

Benarkah kata-kata dalam poster yang diambil daripada sebuah blog propembangkang?

Jangan sampai rakyat semakin keliru.

Isu kelulusan kerajaan untuk menjalankan operasi pertaruhan sukan secara sah, semakin kabur walaupun kenyataan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak sudah dibuat.

Pengumuman kerajaan secara menyeluruh, telus dan cepat dimahukan oleh rakyat sekarang dan jika membiarkan pembangkang putar-belit isu ini, ia akan mendatangkan imej buruk kepada UMNO, Barisan Nasional dan kerajaan sekarang.

Membiarkan rakyat membuat penilaian sendiri membahayakan! Di pihak pembangkang, mereka melihat isu ini akan meledak dan boleh menguntungkan mereka.

Muktamar PAS semalam membahas dan meluluskan pelbagai usul termasuk soal judi dan ketika membentangkan usul mansuhkan judi sukan, exco Pemudanya Ahmad Fadhli Shaari berhujah, menyedari pemberian lesen jenis itu memberikan kesan langsung kepada pelbagai pihak, PAS hendaklah mendesak kerajaan memansuhkan dan mengetatkan penguasaan terhadap undang-undang judi.

Usul itu juga mendesak PAS memobilisasi semua rakyat Malaysia turun ke "himpunan 100,000 rakyat" bagi menyerahkan memorandum kepada yang di-Pertuan Agong pada 3 Julai ini.

Malah, PAS sanggup menggunakan bintang bola sepak negara Radhi Mat Din sebagai 'ikon' kempen menentang pemberian judi sukan di negara ini.

Pada ceramah perdana sempena muktamar PAS ke-56 malam tadi, Radhi diminta merasmikan Gerakan Rakyat Mansuhkan Judi (GMJ) - gabungan NGO dan pembangkang khusus khusus untuk menggagalkan usaha kerajaan itu.

Di hadapan kira-kira 3,000 penyokong pembangkang - Radhi menyeru dua bekas timbalan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdulah Ahmad Badawi supaya turut serta dalam perhimpunan di Istana Negara pada 3 Julai depan bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada Yang Di-Pertuan Agong.

"Saya berjanji akan menarik lebih ramai lagi rakan-rakan saya yang pernah terlibat dengan bola sepak untuk sama-sama menyokong Gerakan Rakyat Membantah Judi ini. Ini penting bagi mempastikan judi bola ini akan dimansuhkan oleh pihak kerajaan," tambahnya.

Isu ini menjadi kaslut dan kusut apabila mega-konglomerat Berjaya Corporation ternyata kelmarin terus berusaha untuk menutup mulut pengkritiknya, dengan sekali lagi menegaskan bahawa ia telah mendapat kelulusan kerajaan untuk menjalankan operasi pertaruhan sukan secara sah.

Menurut laporan Malaysiakini, dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia kelmarin, syarikat itu mempertahankan pengumumannya kepada Bursa pada 12 Mei lalu mengenai cadangannya untuk mengambil alih 70 peratus pegangan dalam Ascot Sports Sdn Bhd - syarikat yang mempunyai lesen pertaruhan tersebut - bernilai RM525 juta.

Menurutnya, terdapat banyak percanggahan perbahasan mengenai status sebenar kelulusan yang diberikan kepada Ascot untuk menjalankan operasi pertaruhan sukan di negara ini.

Dalam mematuhi arahan Bursa, syarikat itu mengulangi kembali bahagian-bahagian tertentu dalam pengumuman 12 Mei lalu yang menyatakan bahawa menteri kewangan telah memberi kelulusan untuk menerbitkan semula kepada Ascot lesen untuk menjalankan operasi pertaruhan sukan mengikut terma dan syarat-syarat tertentu.

Menurutnya, dalam perenggan 8 yang menyenaraikan Kelulusan Diperlukan, perenggan kecil (d) menyatakan, "Menteri kewangan untuk menerbit semula lesan pertaruhan sukan dan perubahan pemegang saham dan pengarah di Ascot, jika perlu."

Dengan demikian, katanya terbukti daripada kenyataan di atas bahawa Ascot telah mendapat kelulusan daripada menteri kewangan untuk menjalankan operasi pertaruhan sukan dan bahawa lesen rasmi yang pertama kali diberikan pada 1987 adalah menunggu untuk diterbitkan semula.

Sebanyak 70 peratus saham Ascot Sukan diilik oleh pengerusi Berjaya Corp Tan Sri Vincent Tan.
Berikutan itu, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyeru kerajaan supaya segera membuat penjelasan berhubung pemberian lesen judi sukan kepada syarikat Berjaya.

Katanya, masyarakat perlu diberi penjelasan mengenai duduk perkara sebenar memandangkan perkembangan isu tersebut mengundang banyak laporan bercanggah.

"Itu sebab kita menyeru dan saya harap penjelasan ini dapat dibuat dalam masa terdekat sebab laporan bercanggah yang kita dapat daripada pihak kerajaan dan juga daripada syarikat berkenaan. (Berjaya dilaporkan berkata) persetujuan dah dapat tapi lesen belum dapat lagi. Jadi kita juga mahu tahu apa sebenarnya yang berlaku. Sudah tentu rakyat Malaysia pun nak tahu sekiranya betul (persetujuan diberikan)," kata Khairy yang juga ahli parlimen Rembau.

Tambahnya, pemimpin BN telah memberikan pandangan mereka melalui "saluran dalaman parti" berhubung isu tersebut.

"Jadi kita dah serahkan kepada perdana menteri pandangan daripada pimpinan parti dan terpulang kepada kerajaan untuk buat keputusan muktamad," katanya lagi.

Beliau bercakap demikian dalam sidang media selepas pelancaran program Rally 1Malaysia di Stadium Putra Bukit Jalil petang semalam.

Saturday, June 12, 2010

PAS Di Persimpangan Jalan?

Oleh Alan Ting (Bernama)

Apakah sebenarnya pendirian PAS berhubung pengundi bukan Melayu?

Beberapa penganalisis politik berhujah bahawa parti, yang diasaskan oleh golongan ulama Islam, kini sudah semakin mendapat sokongan bukan Melayu sejak pilihan raya umum terakhir diadakan pada Mac 2008.

Penganalisis politik Wong Chin Huat berkata: "Bertahun-tahun lamanya pilihan adalah jelas. Jika anda mahu menjadi lebih Islamik, anda pilih PAS."

Bagaimanapun, beliau berkata keadaan itu membataskan PAS hanya di kawasan orang Melayu beragama Islam iaitu di Kedah, Kelantan dan Terengganu dan beberapa kawasan luar bandar.

Menyedari akan keterbatasan yang dihadapi untuk mendapatkan sokongan, PAS pada tahun-tahun kebelakangan ini berusaha mendekati pengundi bukan Melayu dan bukan Islam, kata Wong.

Beliau berkata strategis parti itu kini mengambil jalan tengah untuk "menyeimbangkan semula parti" dengan menggunakan pendekatan "negara kebajikan" dan "PAS untuk semua" yang disasarkan kepada masyarakat umum.

"Secara dalamannya, PAS telah digambarkan sebagai parti yang mewakili golongan ulama manakala daripada segi luarannya ia boleh membenarkan budaya atau autonomi agama bagi minoriti, asalkan ia tidak mengancam atau menggugat komitmen terhadap Islam," kata Wong.

Seorang lagi penganalisis politik, Dr Sivamurugan Pandian sebaliknya menyatakan bahawa PAS kini berada di persimpangan.

Katanya parti itu mengambil risiko meminggirkan penyokong tegarnya jika ia terlalu memberi perhatian kepada pendekatan jalan tengah.

"Penyokong kuat parti, yang selama ini berada bersama-sama parti tidak akan menyukainya. Tidak dinafikan, ia telah berjaya memenangi hati orang bukan Melayu dan bukan Islam, tetapi ia kini berhadapan risiko besar meminggirkan penyokong kuat parti," katanya.

Dr Sivamurugan berkata PAS sebenarnya belum lagi dapat menangani konflik dalaman dan pergeseran pendapat di kalangan dua kumpulan utama dalam parti tentang bagaimana PAS harus melangkah ke hadapan.

Katanya wujud konflik antara puak konservatif, terutamanya golongan ulama dan golongan sederhana atau kumpulan profesional.

"PAS tidak menangani masalah ini habis-habisan tetapi hanya mengambil pendekatan bermusim seperti jalan tengah bagi mewujudkan situasi yang menguntungkan kedua-dua pihak. Jika ini berlarutan, PAS akhirnya akan bergantung kepada pengundi bukan Melayu.

"Ia akan menjadi satu masalah besar kepada matlamat dan ideologinya adalah ke arah sebuah negara Islam. Pastinya, parti ini berada dalam dilema," katanya.

Beliau berkata adalah tidak mengejutkan apabila Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS tidak akan meminda perlembagaan parti bagi membolehkan bukan Islam menjadi anggota penuh PAS tetapi bersedia untuk meletakkan mereka sebagai calon pilihan raya.

Ketua Dewan Pemuda PAS Nasrudin Hassan At-Tantawi menjelaskan bahawa usaha untuk menaik taraf Kelab Penyokong PAS sebagai Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPS) tidak akan menjejaskan sokongan masyarakat Melayu.

Katanya PAS mensasarkan untuk meningkatkan sokongan orang Melayu sebanyak 15 hingga 20 peratus dan pemimpin pusat parti itu akan mengadakan pertemuan selepas muktamar tahunan yang sedang diadakan memuktamadkan strategi.

PAS dilaporkan telah mendapatkan khidmat penyelidik pendapat awam untuk mengenal pasti perkara yang menjadi kebimbangan orang Melayu, terutamanya di bahagian pantai barat dan selatan Semenanjung dengan harapan untuk menembusi kawasan yang menjadi kubu kuat Umno.

Namun, usaha itu bukanlah suatu yang mudah kerana PAS kini bersaing dengan Perkasa, sebuah badan yang memperjuangkan hak Melayu pimpinan Datuk Ibrahim Ali, yang semakin mendapat sokongan sejak ia ditubuhkan pada 2008.

MUKTAMAR PAS YANG HAMBAR


Analisis MStar

TIDAK seperti dua tahun sebelumnya, Muktamar Tahunan PAS ke-56 yang berlangsung sejak Khamis lalu tidak begitu 'panas' dengan isu-isu kontroversi dan sebaliknya boleh disifatkan agak suram dan hambar.

Sama ada bagi Dewan Ulama, Dewan Pemuda mahupun Dewan Muslimat, masing-masing dilihat tidak begitu 'garang' menggunakan pentas muktamar ini untuk mengutarakan usul-usul menarik yang lebih besar dan relevan.

Sebaliknya, kebanyakan perwakilan bagi setiap dewan hanya menyentuh isu-isu dalaman parti serta beberapa isu nasional yang tidak relevan dan berkepentingan untuk pembangunan parti itu sendiri.

Nampaknya bukan sahaja di kalangan sayap PAS yang mengambil sikap untuk mengurangkan kontroversi, malah Ucapan Dasar Presiden oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada majlis peramian di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK) pada Jumaat lalu turut mengikut rentak yang sama.

Mungkin Abdul Hadi 'belajar' daripada pengalamannya pada muktamar tahunan PAS tahun lalu di Shah Alam apabila menyentuh isu kerajaan perpaduan dengan Umno hingga mencetuskan pelbagai kontroversi yang berlanjutan.

Oleh itu dirasakan pada muktamar kali ini Abdul Hadi memilih 'jalan selamat' apabila ucapannya hanya menyentuh mengenai isu-isu kecil selain mengulangi pendirian yang sama dengan skrip yang sama iaitu kesetiaan PAS menjalinkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

Abdul Hadi sendiri ketika diajukan soalan mengapa ucapan dasarnya tahun ini tidak begitu 'panas' dengan seloroh berkata: "Yang penting bukan panas... tapi biar masak."

Jawapan Abdul Hadi itu mungkin boleh disifatkan bahawa PAS kini lebih matang tanpa perlu mencetuskan pelbagai kontroversi sebaliknya menumpukan kepada usaha untuk memperkukuhkan partinya demi kepentingan politik.
Keghairahan Terhadap Bukan Islam

Nampaknya sayap bongsu PAS iaitu Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang dianggotai oleh penyokong bukan Islam menarik minat para perwakilan untuk mendapatkan penjelasan yang selama ini menghantui mereka.

Boleh dikatakan majoriti perwakilan yang mengambil bahagian bagi sesi perbahasan pada muktamar sayap parti mahupun muktamar penuh, membangkitkan kebimbangan mereka terhadap keghairahan pucuk pimpinan untuk meraih sokongan di kalangan pengundi bukan Islam.

Walaupun kewujudan DHPP yang sebelum ini hanya bermula dengan Kelab Penyokong PAS (KPP) disambut oleh ahli PAS, namun timbul juga amaran di kalangan perwakilan agar tidak menganaktirikan pengundi Islam yang sebelum ini menunjangi kekuatan parti itu.

Tidak dinafikan kewujudan DHPP menggambarkan keterbukaan PAS dalam berpolitik iaitu tidak hanya dihadkan kepada orang Melayu yang beragama Islam.

Namun amaran demi amaran diberikan kepada kepimpinan PAS bahawa keghairahan untuk meraih sokongan pengundi bukan Islam dengan mengabaikan pengundi tradisi akan hanya mengundang padah kepada parti.

Ada benarnya kebimbangan yang disuarakan itu, keterujaan PAS meraih sokongan pengundi bukan Islam boleh memakan diri sendiri sekiranya pelan pelaksanaanya tidak dirangka dengan baik.

Mungkin sikap 'rambang mata' tatkala menerima begitu banyak permohonan daripada penyokong bukan Islam untuk menyertai DHPP membuatkan PAS lupa untuk terus mengingatkan penyokong yang sedia ada supaya kekal dalam parti itu.

Teorinya mudah, iaitu sama seperti dalam hubungan rumah tangga di mana sekiranya si suami atau si isteri tidak terus membajai hubungan berkenaan dengan kasih sayang, lambat laun ia akan berakhir dengan penceraian.

Samalah juga dengan sokongan dalam berpolitik, sekiranya ahli yang ada tidak selalu diingatkan untuk terus memberi sokongan, maka tidak mustahil mereka akan disambar oleh parti lawan.

Dalam politik macam-macam boleh berlaku, kadang-kala pengundi tradisi yang sudah bertahun-tahun memberi sokongan padu terhadap sesebuah parti yang disokong mereka akan turut beralih arah jika sokongan mereka tidak dihargai.

Matlamat PAS sendiri perlu jelas termasuk yang terbaru keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang membenarkan bukan Islam untuk mewakili parti tersebut pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Tidak dapat tidak ia akan mengundang rasa iri hati di kalangan ahli dan pemimpin lama parti sekiranya tidak dipilih menjadi calon pada pilihan raya kerana kuota PAS diberikan kepada wakil bukan Islam.

Apa akan terjadi kepada ustaz-ustaz dalam PAS yang sudah lama berjuang terhadap parti apabila 'jalan mereka dipotong' oleh calon bukan Islam yang baru setahun jagung dalam PAS?

Sudah tentu perkara ini akan menikam PAS secara senyap dek kerana begitu ghairah mendapatkan undi bukan Islam.

Lagi Isu Nasharuddin

Sejak berakhirnya pemilihan parti pada muktamar tahun lalu, Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa tidak pernah sunyi dengan pelbagai kontroversi terutamanya apabila dikaitkan dengan isu kerajaan perpaduan PAS-Umno.

Malah sekitar Oktober tahun lalu nama Nasharuddin sekali lagi disebut hingga dilabelkan sebagai antara "dua tiga kerat pemimpin yang bermasalah" oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana masih berterusan dengan isu kerjasama dengan Umno bagi membentuk kerajaan perpaduan.

Tidak cukup di situ, nama Nasharuddin turut disebut-sebut pada muktamar kali apabila Perwakilan Dewan Ulama mempersoalkan mengenai ketiadaan gambar beliau pada poster dan juga kain pemidang sempena muktamar itu.
Apakah ini menggambarkan Ahli Parlimen Bachok itu ditolak di Kelantan?

Sebelum ini, muncul desas-desus yang menyatakan beliau ditolak di negeri itu setelah dibidas oleh Nik Abdul Aziz kerana cuba untuk menjalinkan hubungan dengan UMNO bagi membentuk kerajaan perpaduan.

Sejak itu pengaruhnya di negeri ini dikatakan semakin menurun.

Bagaimanapun Nasharuddin sendiri menafikan dakwaan tersebut sebaliknya mengatakan dengan ringkas, "Saya tidak mahu gambar saya disiarkan."

Walau apapun muktamar PAS yang berakhir hari ini akan mencapai beberapa resolusi yang bakal menjadi pengerak kepada hala tuju parti itu.

Harus diingat, resolusi yang bakal dicapai itu sedikit sebanyak tempiasnya akan turut 'dipersetujui' oleh rakan sekutu mereka dalam Pakatan Rakyat ekoran persefahaman secara kolektif yang dipersetujui mereka selama ini.

Setidak-tidaknya usul Dewan Pemuda PAS yang menggesa supaya kerajaan Pakatan Rakyat tidak memperbaharui lesen premis perjudian yang beroperasi di negeri-negeri yang dikuasai mereka turut memberi tekanan kepada kerajaan campuran mereka di Selangor dan Pulau Pinang.

Mungkin pada muktamar bagi edisi ke-57 tahun depan akan menjanjikan suasana yang lebih menarik apabila kita bakal menyaksikan DHPP akan bermuktamar buat pertama kali sekaligus mengadakan pemilihan peringkat dewan mereka sendiri.

Secara tidak langsung diharapkan dengan kehadiran pelbagai kaum sebagai perwakilan dalam muktamar PAS itu nanti akan menjadikan mereka lebih matang dalam mengutarakan usul dan perbahasan.

Wednesday, June 9, 2010

TAHAP PUAS HATI RAKYAT TERHADAP NAJIB MENINGKAT 72 PERATUS

Tahap kepuasan hati rakyat terhadap prestasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meningkat 72 peratus bulan lepas berbanding 69 peratus pada April lalu, menurut kaji selidik yang dijalankan oleh Merdeka Centre yang dikeluarkan semalam.

Bancian yang dijalankan dari 6 hingga 16 Mei itu menyaksikan tahap kepuasan hati paling tinggi dicatatkan oleh kaum India iaitu 80 peratus berbanding Melayu (77 peratus) dan 58 peratus oleh kaum Cina.

Bernama yang memetik hasil kajian itu menyebut, peningkatan tahap kepuasan hati itu adalah yang tertinggi sejak Merdeka Centre menjalankan kaji selidik untuk meninjau populariti Najib sejak Mac tahun lalu, iaitu hanya 44 peratus ketika beliau mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada masa itu.

Menurut Merdeka Centre, sejumlah 1,028 rakyat Malaysia dibanci melalui telefon dan hampir separuh atau 47 peratus daripada responden terdiri daripada golongan tidak bekerja.

Ketika kajian itu dijalankan, beberapa peristiwa dalam negara turut mempengaruhi keputusan antaranya pilihan raya kecil Sibu, kes Aminulrasyid Amzah yang ditembak mati oleh polis, pembatalan perhimpunan 13 Mei yang dianjurkan oleh Gertak serta pengumuman lesen perjudian bola sepak.

Kajian juga menunjukkan sebanyak 50 peratus responden yakin bahawa Najib dapat mencapai sasarannya dalam tempoh dua tahun terhadap inisiatif yang dilakukan beliau iaitu gagasan 1Malaysia, Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Model Baru Ekonomi (MBE).

Sekali lagi kaum India merupakan responden tertinggi yang menyatakan keyakinan tersebut dengan 65 peratus, diikuti Melayu (60 peratus) manakala kaum Cina hanya 30 peratus sahaja yang yakin dengan sasaran Najib itu.

Untuk soalan sama ada rakyat Malaysia bersetuju atau tidak bahawa program-program yang diperkenalkan Najib akan menghadapi masalah "bagus di dalam perancangan tetapi lemah dalam pelaksanaan", hanya 58 peratus yang bersetuju.

Kajian juga mendapati sebanyak 52 peratus responden bersetuju bahawa negara kini sedang menuju ke arah yang betul kerana 21 peratus memberi sebab bahawa ekonomi negara kian pulih dan kualiti kehidupan rakyat semakin meningkat.

Bagaimanapun, sebanyak 22 peratus responden berpendapat bahawa kerajaan perlu menyelesaikan isu ekonomi seperti kenaikan kos hidup dan harga barangan, pengangguran, dan kekurangan bekalan gula.

Kajian itu mendapati majoriti rakyat Malaysia masih tidak berpuas hati dengan usaha kerajaan memerangi rasuah dan jenayah, iaitu 61 peratus daripada responden tidak berpuas hati dengan usaha memerangi rasuah dan 57 peratus tidak berpuas hati dengan usaha memerangi jenayah.

Bagaimanapun, sebanyak 63 peratus responden berpuas hati dengan kualiti pendidikan di negara ini manakala 56 peratus pula berpuas hati terhadap usaha kerajaan meningkatkan tahap kecekapan pengangkutan awam di bandar seperti di Kuala Lumpur.

Turut ditanya oleh kajian itu ialah persepsi masyarakat terhadap kes Aminulrasyid di mana hampir seluruh rakyat Malaysia iaitu 91 peratus peka terhadap kes itu.

Bagaimanapun, hanya 25 peratus responden sahaja yang berpuas hati terhadap tindakan polis mengendalikan kes berkenaan.