Wednesday, March 24, 2010

NAZRI - SAIFUDDIN SEBENARNYA PEMBOHONG!

Tabik spring kepada kenalan lama saya Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Macam tulah, baru ada kelas. Jangan nak sentuh Nazri – Dia seperti sarang tebuan. Kini dah ada orang bertempiaran lari cari sungai.

Saifuddin Nasution Ismail yang konon bijak itu jelas cakap ikut sedap mulut.
“Dia bukan peguam, dia tak tahu baca enakmen atau akta, jadi saya minta pada dia tarik baliklah sebab itu merupakan pembohongan dia di dalam dewan...” demikian kata Nazri di Parlimen semalam.

Isunya? Ahli Parlimen Macang itu menuduh Nazri mengelirukan dewan dengan memetik undang-undang yang telah dimansuhkan ketika menggulung perbahasan mengenai isu royalti minyak negeri Kelantan.

Kata Nazri, beliau mempunyai bukti kukuh yang menunjukkan bahawa ordinan ini masih berkuatkuasa dan kenyataan Saifuddin itu sememangnya tidak benar.

"Kalau dia (Saifuddin Nasution) seorang anggota Parlimen yang terhormat, dia akan tarik balik (kenyataannya), kalau dia tidak setuju kita boleh lawan (debat) dalam dewan atau luar dewan," kata Nazri.

Bukan Saifuddin saja yang terkeliru, malah ‘nasi tambah’ - anggota Exco Kelantan, Datuk Husam Musa - menyokong Saifuddin supaya mencadangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dihadapkan kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Ahli Dewan kerana tindakannya selama ini mengelirukan Dewan Rakyat dengan memetik Akta yang tidak berkenaan dengan isu tuntutan royalti Kelantan.

Kata Husam melalui blognya : “Jika selama ini Nazri berani mencabar Kelantan pergi ke Mahkamah, tiba masanya Nazri mesti berani menghadapi Jawatankuasa Terpilih Dewan untuk mempertahankan hujjahnya. Lebih menarik jika orang seperti Tun Salleh Abbas, Nik Saghir Mohd Nor dan Tg Razaleigh boleh dipanggil memberikan keterangan samada jawapan Nazri di Dewan Rakyat selama ini 'mislead' atau tidak.”

Harakahdaily kelmarin melaporkan, gara-gara menggunakan Akta Ordinan Darurat 1969, iaitu akta yang telah pun dimansuhkan bagi menafikan hak kerajaan negeri Kelantan daripada menerima royalti minyak, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dibuktikan berbohong di Dewan Rakyat pada sesi Parlimen lepas.

Saifuddin berkata, Nazri pada sesi penggulungan Disember lalu berulang-ulang kali membuat penafian demikian atas alasan minyak tersebut berada di luar kawasan perairan Kelantan, iaitu tiga batu nautika seperti dirujuk pada Akta Ordinan Darurat 1969.

“Ordinan Darurat Kuasa-Kuasa Perlu 1969 dengan ini dimansuhkan, maknanya ketika berhujah di dalam Dewan (Rakyat), yang berhormat Menteri (Nazri) telah memakai akta yang sebenarnya dimansuhkan.”

“Undang-undang yang dimansuhkan, dia tahu tidak boleh dihujahkan di dalam Dewan (Rakyat), perbuatan menipu Dewan Rakyat telah berlaku pada saat itu,” tegas Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR pada siding media di Parlimen kelmarin.

Sehubungan itu, Saifuddin mendesak MNazri dikenakan tindakan keras berdasarkan Peraturan Mesyuarat 36(12), iaitu berkaitan hukuman-hukuman yang wajar ke atas Ahli Parlimen atau Menteri kerana berbohong di Dewan Rakyat.

Disember tahun lalu, Nazri dilaporkan berkata, kedudukan pelantar minyak 170 kilometer, di Zon Ekonomi Eksklusif Melaysia-Thailand melayakkan kerajaan Kelantan menerima wang ehsan semata-mata daripada Kerajaan Persekutuan.

Saifuddin berkata, Nazri secara jelas menyelewengkan fakta apabila menggunakan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu 1969) yang telah dimansuhkan sewaktu berhujah dalam isu yang dibangkitkan Ahli Parlimen PR itu.

"Tadi kita (Ahli Parlimen PR) telah membangkitkan peraturan mesyuarat perkara di bawah 37 (1) dan 36 (12) berkenaan perbuatan yang kita percaya dilakukan oleh Ahli Parlimen Padang Rengas yang mengelirukan dewan.

"Ketika MP Padang Rengas menggulung perbahasan di peringkat dasar Jabatan Perdana Menteri, apabila kami membahaskan isu berkaitan royalti kelantan, apabila kami meneliti semula jawapan yang diberikan menteri iaitu isu tiga batu nautika berdasarkan Ordinan Darurat (kuasa-kuasa perlu 1969) yang dikatakan menghadkan sempadan sesebuah negeri setakat tiga batu nautika. Oleh kerana telaga minyak Kelantan yang berada melebihi tiga batu maka menteri berhujah berdasarkan ordinan ini, Kelantan tidak ada hak membuat tuntutan.

"Tetapi kami menemui undang-undang Malaysia iaitu Akta 216, Akta Darurat (Kuasa-kuasa Perlu 1979), di bawah seksyen 13(1) jelas yang menyebut ordinan (kuasa-kuasa perlu darurat 1969) telah dimansuhkan," katanya.

Berikutan itu, Nazri semalam meminta anggota Parlimen Machang, menarik balik tuduhan bahawa beliau telah berbohong berhubung isu royalti minyak kepada Kelantan.

Nazri berkata Saifuddin sebenarnya yang telah berbohong kerana mengatakan Ordinan (Kuasa-kuasa Perlu) Darurat 1969 yang menjelaskan tentang had sempadan sesebuah negeri ialah setakat tiga batu nautika telah dimansuhkan.

"Ordinan ini masih berkuatkuasa, cuma pindaan dibuat pada tahun 2007 yang memansuhkan Seksyen 7 ordinan berkenaan. Dalam hujah saya (pada sidang Dewan Rakyat pada Disember 2009), saya rujuk pada Seksyen 3 dan 4, saya tak rujuk pada Seksyen 7.

"Jadi saya nak nasihat pada Saifuddin Nasution, dia bukan peguam, dia tak tahu baca enakmen atau akta, jadi saya minta pada dia tarik baliklah sebab itu merupakan pembohongan dia di dalam dewan...kalau dia terus mengatakan saya membuat pembohongan, saya seorang menteri saya tak pernah bohong dalam dewan," kata Nazri.

Monday, March 22, 2010

DEWAN RAKYAT LEBIH PANAS MINGGU INI?

Siapa akan ‘makan cili’ di Dewan Rakyat minggu ini? Masihkah Datuk Seri Anwar Ibrahim berseorangan?

Banyak pihak meramalkan sidang Dewan Rakyat minggu ini bermula hari ini akan lebih hangat.
Kenapa? Selain rentetan isu-isu hangat yang dibangkitkan pada persidangan minggu lepas terutama pendedahan mengenai kegagalan rancangan 16 September pakatan pembangkang, PAS juga dikatakan akan menerima nasib sama seperti PKR.

Roslan Bian dari Agendadaily meramalkan tembelang PAS dalam Pakatan Pembangkang pula akan pecah selepas ini.

Menurut beliau pendedahan Ahli Parlimen bebas Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mengenai pelan 16 September bukan sahaja membuka tembelang dan pekong Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi tanpa ramai sedar, tembelang PAS pun turut terbongkar.

Katanya, dengar ceritanya, beberapa pemimpin tertinggi PAS yang juga ahli parlimen tidak tahu pelan menawan Putrajaya ikut pintu belakang sampai begitu serius hingga memperalatkan nama Yang Di Pertuan Agong dan Panglima Angkatan Tentera.

Juga ikut ceritanya hanya pemimpin PAS yang dikaitkan dengan kumpulan Erdogan yang pro Anwar tahu rancangan Ketua Pembangkang itu, bukan ke semua 23 ahli parlimen PAS.

Sebab itu, pada petang Rabu ketika Zahrain ‘melondehkan’ Anwar, ahli-ahli parlimen PAS tak banyak mulut – mereka diam menikus kecuali ahli parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar yang menjerit-jerit ketika bekas ahli parlimen PKR itu menceritakan apa sebenarnya berlaku disebalik kisah pelan 16 September.

Tetapi pada pagi Khamis, sewaktu Zahrain sambung ‘cerita panas’ itu, ahli parlimen PAS Shah Alam Khalid Samad, Dr. Siti Mariah Mahmud (PAS-Kota Raja) dan Dr Lo’Lo Ghazali (Titiwangsa) bangun bersama ahli parlimen PKR dan DAP cuba menidakkan pengakuan Zahrain.
Persoalannya, apakah kerana mereka sudah diminta berbuat demikian?

Kalau tak silap, mereka ini adalah antara dikaitkan dengan kumpulan Erdogan selain Dr Zulkifli (Kuala Selangor) Kamaruddin Jaafar (Tumpat), Datuk Seri Nizar Jamaluddin (Bukit Gantang) dan Dr Hatta Ramli (Kuala Krai). Dan dua tiga kerat lagi termasuk Exco Kelantan Datuk Husam Musa.

Jika benarlah ada pemimpin tertinggi parti tidak tahu skrip 16 September yang dikarang Anwar, ini sudah kira kes berat. Barangkali yang tahu adalah mereka yang sudah dijanjikan jawatan oleh Anwar jika dapat jadi Perdana Menteri ke-6, kara Roslan.

Roslan mengemukakan pertanyaan: “Barangkali inilah yang dimaksudkan Ahli Parlimen Bebas Kulim Bandar Bharu, Zulkifli Noordin fasal Fir’aun-Firaun Kecil dalam Pakatan Rakyat yang mengelilingi Anwar. Lebih menarik lagi, Mahfuz ketika diminta komennya fasal pendedahan Zahrain, tak mahu ulas kononnya beliau ‘tidak dengar’ apa yang bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang itu dedahkan sedangkan beliau yang beria-beria menjerit dalam Dewan pada petang Rabu.

Apapun, baik ahli parlimen PKR, DAP mahupun PAS, mereka kini sudah jadi cacing kepanasan kerana Zulkifli yang lantang bercakap dan ahli parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng serta ahli parlimen Bagan Serai Mohsin Fadzi Samsuri belum lagi ‘buka mulut’.

Kata Roslan, eloklah kita tungggu – siapa yang kena atau lebih banyak tembelang membabitkan PAS juga akan pecah .

Menarik juga ialah Blok Bebas yang kini mempunyai tujuh anggota dijangka bersuara lagi minggu ini.

Anggota Parlimen Bebas lain ialah Datuk Ibrahim Ali (Pasir Mas), Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baharu), Tan Tee Beng (Nibong Tebal), Mohsin Fadzil Samsuri (Bagan Serai) dan dua wakil rakyat Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Eric Majimbun (Sepanggar) dan Datuk Dr Chua Soon Bui (Tawau).

Jadi, tumpuan mingggu ini tentunya kepada anggota Parlimen Bebas yang belum berpeluang berhujah, khususnya Zulkifli yang digambarkan sebagai individu amat tegas pendiriannya.

Lebih penting adalah sejauh mana masa yang diperuntukkan di Dewan Rakyat itu digunakan untuk membangkitkan masalah rakyat dan bukan sekadar untuk gimik politik sempit yang akhirnya tidak membawa ke mana-mana.

Selain itu, Bernama meramalkan, tumpuan pasti kembali kepada Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bebas-Bayan Baru) yang membuat pendedahan rancangan 16 September ketika membahaskan usul menjunjung kasih atas titah ucapan Yang di-Pertuan Agong sehingga menyebabkan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) bertindak keluar Dewan.

Zahrain, yang keluar PKR sejak bulan lepas, mendedahkan bagaimana beliau dan rakannya dalam pakatan diperalat dan dibohongi dengan rancangan itu, antara lain, kononnya pakatan mempunyai sokongan anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Anwar mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk menjadi Perdana Menteri dengan sokongan wakil rakyat BN yang akan lompat parti.

Pendedahan itu menimbulkan pelbagai reaksi termasuk penafian oleh Angkatan Tentera manakala pergerakan Pemuda Umno hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan pembohongan itu.

Tingkah laku anggota Parlimen juga menjadi perhatian.

Rabu lepas, anggota Parlimen pakatan DAP-PKR-PAS bertindak keluar Dewan Rakyat selepas tidak dibenarkan membahas usul Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung arahan kepada ketua polis untuk memastikan jalan dan laluan ke Parlimen dibuka sepanjang masa bagi memudahkan anggota Parlimen.

Anggota Parlimen pembangkang bertegas mereka berhak membahaskan perkara itu sekalipun usul itu diluluskan Timbalan Speaker Dewan Rakyat dengan undian lisan, tanpa bahas.

Antara yang tidak bersetuju dengan tindakan keluar Dewan itu ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyifatkannya sebagai merugikan masa dan sepatutnya digunakan untuk membangkitkan masalah rakyat.

Muhyiddin berkata ia ibarat tidak mengendahkan titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin ketika merasmikan mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-12, yang sekali lagi mengulangi teguran baginda supaya anggota Parlimen menjaga tutur kata dan tingkah laku sebagai wakil rakyat.

Wakil-wakil pembangkang juga dijangka membuat "serangan" terhadap kerajaan seperti minggu lepas apabila mereka mempertikaikan gagasan 1Malaysia dengan mengaitkannya dengan APCO Worldwide yang dikatakan terbabit dengan konsep "One Israel" pada 1999.

Bagaimanapun, firma perunding komunikasi antarabangsa itu pada Khamis menafikan dakwaan pembangkang selain menafikan pembabitan APCO dengan "One Israel" atau Perdana Menteri Israel Ehud Barak seperti didakwa.

Sunday, March 21, 2010

MELAYU MASA DEPAN KETURUNAN ANAK LUAR NIKAH?

Saya tersentuh membaca berita dalam Berita Minggu hari ini bertajuk ‘17,303 anak luar nikah didaftar 2009’.

Angka 17,303 anak luar nikah Melayu atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang tahun lalu belum lagi mengambil kira yang lepas-lepas.

Ada sebuah yayasan menganggarkan ada lebih satu juta anak luar nikah keturunan Melayu sahaja di Malaysia ketika ini.

Kita kini jarang menggunakan istilah ‘anak haram’ kerana ia digantikan dengan anak luar nikah. Apa pun istilahnya ia tetap sama. Anak lahir daripada perhubungan haram.

Persoalannya di sini ialah Melayu. Apabila disebut Melayu, automatiknya akan berkaitan Islam.

Apakah nasib masa depan orang Melayu satu atau dua dekad akan datang?

Saya bukan mahu mencari punca atau menyalahkan mana-mana pihak. Malah anak luar nikah itu pun bukan meminta mereka dilahirkan di dunia.

Ada sesetengah pihak mengatakan apa perlu kita hiraukan masalah ini. Rakyat di sesetengah negara maju kini ramai yang ‘anak haram’ tetapi tetap maju dan berjaya.

Pernikahan di negara seperti Amerika Syarikat dan banyak negara Eropah termasuk yang mengamalkan seks bebas, gay, lesbian dan sebagainya tidak lagi dianggap penting tetapi dunia tetap menerima mereka.

Lebih menyedih dan membimbangkan di Malaysia, angka anak luar nikah itu belum termasuk bayi yang dibuang dan sebagainya dan sebagainya.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim, berkata bilangan itu meningkat 762 kes berbanding tahun sebelumnya.

Pada 2008 seramai 16,541 anak luar nikah didaftarkan di JPN manakala pada 2007 seramai 16,100 orang.

Ini bermakna dalam tempoh tiga tahun ini jika dicampurkan semuanya berjumlah 49,944 iaitu hampir 50,000.

Kita tidak tahu angka sebelum ini atau mungkin belum didedahkan secara menyeluruh.

Apapun Alwi menjelaskan dalam tempoh lima tahun lalu, JPN mencatatkan 74,723 pendaftaran anak luar nikah adalah membabitkan orang Melayu/Islam.

Menurutnya angka ini tidak termasuk kes buang bayi yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Sepanjang tempoh ini, 214,033 bayi pelbagai bangsa didaftarkan dengan status anak tidak sah taraf, termasuk kes anak yang tidak berbapa 104,834 orang dan 109,199 orang mengikut Seksyen 13, Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299),” katanya kepada Berita Minggu.

Mengikut Seksyen 13, bayi itu dianggap anak yang dilahirkan hasil ikatan perkahwinan tidak teratur atau tidak sah mengikut undang-undang negara.

Ini termasuk anak hasil hubungan luar nikah bagi orang Melayu/Islam atau pernikahan tidak didaftarkan mengikut undang-undang negara.

Bayi yang lahir kurang enam bulan dari tarikh pernikahan ibu bapanya juga termasuk dalam status sama.

Bagi anak pasangan bukan Islam, kebanyakan kes merujuk kepada anak dilahirkan sebelum tarikh pendaftaran perkahwinan atau anak yang tidak mempunyai bapa.

Dalam tempoh lima tahun dari 2005 hingga 2009, pendaftaran ‘anak luar nikah’ membabitkan orang Melayu menduduki tempat kedua dengan 74,723 kes, di belakang kaum-kaum lain dengan 91,922 kes, diikuti India (23,696 kes) dan Cina (23,692 kes).

Beliau berkata, bayi tanpa bapa daripada keturunan Melayu/Islam diletakkan nama diikuti ‘bin’ atau ‘binti’ Abdullah atau mana-mana nama pilihan Asma Al-Husna (nama-nama Allah).

“Keputusan itu selaras ketetapan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan ia juga selaras format baru sijil kelahiran yang memerlukan nama penuh bayi berserta bin atau binti dipaparkan pada sijil kelahiran.

“Bagaimanapun, hanya maklumat ibu akan dimasukkan dalam sijil kelahiran bayi berkenaan dan nama pada MyKad kanak-kanak itu kekal menggunakan nama dalam sijil kelahiran,” katanya.

Bagi kes bayi pasangan yang berkahwin di luar negara tanpa mendaftar semula di Malaysia, beliau menasihatkan mereka menyelesaikan urusan dengan pihak berkaitan termasuk majlis agama atau mahkamah.

“Jika anak dilahirkan di luar negara, daftar dengan kedutaan dan apabila pulang ke Malaysia, daftar semula dengan JPN.

“Bagi kes yang tidak mendaftar perkahwinan mereka tetapi sudah mempunyai anak, mereka boleh mendaftar terus untuk dapatkan sijil kelahiran tanpa perlu dokumen daripada mahkamah, tetapi nama bapa tidak akan dimasukkan dalam rekod.

“Maklumat itu boleh diganti dengan nama sebenar bapa selepas mendapat pengesahan status perkahwinan,” katanya.

Banyak perkara membabitkan anak luar nikah, khususnya jika mereka Islam umpamanya dalam urusan harta, perkahwinan, perhubungan kekeluargaan dan sebagainya.

Namun, satu persoalan yang sering diperkatakan dalam konteks anak luar nikah ialah bila mereka dewasa dan mahu berkahwin. Dengan kata lain, seboleh-bolehnya mereka janganlah mengulangi perkara sama seperti ibu bapa mereka dan keturunan mereka adalah sah di sisi perkahwinan Islam.
Namun, berapa ramai yang berani menyatakan diri mereka yang sebenar, Ada ibu bapa yang menyorok perkara itu untuk menutup malu dan sebagainya tanpa menyedari perbuatan mereka bersalahan dengan hukum Islam.

Saya terbaca sebuah jawapan yang disediakan oleh Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Tuan Musa Awang melalui laman web persatuan itu yang merujuk kepada jawapan yang sebelum itu disiarkan dalam Berita Harian 14 Ogos 2008.

Tajuknya ialah ‘Bapa tidak boleh walikan pernikakah anak tak sah taraf’’. Anak tak sah taraf ialah anak yang lahir daripada pernikahan yang tidak sah atau fasid menurut hukum syarak.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Anak yang lahir daripada hamparan (yang sah) berhak disabitkan nasab keturunan." Hukum di atas adalah dengan syarat suami adalah orang yang boleh menyebabkan isteri hamil, anak dilahirkan selepas enam bulan dari masa akad nikah, iaitu menurut ulama Hanafi.

Dengan kata lain, bagi anak luar nikah – bapanya tidak boleh mewalikan pernikahan anak dan perlu berwalikan hakim.

Saya bukan sekadar melihat masalah ini. Persoalannya dengan kedudukan bangsa Melayu yang semakin porak peranda akibat faktor keturunan dan kelahiran, Melayu apakah akan muncul dalam tempoh satu atau dua dekad datang?

Mungkin ramai yang tidak pedulikan masalah ini namun banggakah Melayu masa depan jika ada yang mengetahui mereka atau rakan serta saudara daripada keturunan sedemikian?

Persoalan lain ialah apakah kita wajar atau perlu menyisih dan membiarkan sahaja mereka yang keturunan sedemikian?

Dalam konteks peluang mendapatkan pelajaran, pekerjaan atau juga hak sebagai rakyat mereka tetap berpeluang sama.

Nasib mereka akan tetap terbela. Mereka juga akan menikmati dan mengecapi taraf atau status kehidupan yang sama dengan keturunan yang sah jika mereka mampu mengajar impian mereka.

Jadi apa masalahnya?

Yang penting bagi saya ialah memperbetulkan atau memandu mereka ke haluan yang betul agar keturunan anak luar nikah selepas generasi pertama itu tidak menerima nasib yang sama.

Dengan cara itu mungkin keturunan Melayu dan Islam dapat diperbetulkan semula.

APABILA UMNO DISAMAKAN DENGAN FIRAUN

Tak tau nak komen apa. Kelu rasanya membaca entri ini pada laman Harakahdaily.

Kalau dah samakan kerajaan UMNO sama dengan kerajaan Firaun, tidak tahulah. Apakah kata-kata ini jauh bezanya dengan UMNO itu kafir?

Baca dan nilailah. Yang saya tidak faham bagaimana Harakahdaily boleh meluluskan tulisan seperti ini untuk disiarkan.


Kezaliman kerajaan Umno menyamai kerajaan Firaun
Oleh Tun Telana (Harakahdaily.net)

Kenyataan tersebut dibuat oleh Presiden PAS, Haji Abdul Hadi Awang ketika berceramah di Seberang Jaya, Pulau Pinang ketika menyambut perayaan dua tahun Pakatan Rakyat memerintah Pulau Pinang.

Haji Hadi menambah : “ Kerajaan BN [juga maksud : UMNO] tidak akan mampu bertahan lebih lama lagi berikutan pelbagai kegagalan yang dibalas oleh Allah akibat kezaliman yang diamalkan oleh mereka selama ini, tetapi tetap masih lagi meneruskan kejahatan tanpa batasan”[rujuk : Suara Keadilian,16-23 Mac 2010]

Saya amat bersetuju apa yang dikatan oleh Haji Hadi itu. Kezaliman UMNO lakukan terhadap bangsa Melayu dan agama Islam tersangat banyak sehingga rakyat biasa tidak mampu untuk menghitung satu persatu.

Jadi, dipendikkan cerita, marilah kita pandang kiri-kanan, atas-bawah, perhatikan dan berfikir secara matang dan secara jujur dan tanya diri sendiri: Apakah yang UMNO telah lakukan sejak negera ini mencapai kemerdekaan dan diberi kuasa memerintah lebih 52 tahun?

i.Bagaimana kedudukan bangsa Melayu dalam bidang ekonomi, pelajaran dan status sosialnya, berbanding bangsa-bangsa lain? Bangsa Melayu masih berniaga di tepi-tepi jalan tercemar, di celah-celah bangunan dan dilorong-lorong yang kotor dikelilingi oleh bangunan tinggi tersergam indah dimiliki oleh bangsa bukan Melayu seperti di zaman belum merdeka.

ii.Siapakah penyebab yang menjadikan kuasa politik orang Melayu semakin terhakis, siapa penyebabnya?

iii.Pembahagian kekayaan dalam Negara ini, bangsa mana yang memperolehi faedah yang lebih besar dan menguasai kekayaan negara dan siapa yang perlu dipertangungjawapkan?

iv.Bangsa mana yang menguasai dan pemilikan hartanah yang berskel besar di bandar-bandar besar di seluruh Malaysia?

v.Kenapa agama Islam sering dihina dan diperlecehkan di dalam Negara ini?

vi.Kenapa umat Islam di dalam negara ini sekarang semakin menjauhi dari Islam. Umat Islam tidak mengamalkan ajaran Islam yang sebenar seperti yang diajar oleh Nabi Muhammad saw?

Enam persoalan yang dikemukakan kepada pembaca. Jawapan kepada setiap soalan yang dikemukakan itu adalah akibat kezaliman UMNO yang memerintah, parti lain tidak pernah memerintah negara ini melainkan UMNO.Jadi, orang lain tidak boleh dipersalahkan.

UMNO wajib dipersalahkan kerana bangsa Melayu semakin mundur berbanding bangsa-bangsa lain dan perkembangan agama Islam di kalangan umat Islam semakin malap. Majlis-majlis ilmu kosong, tetapi tempat-tempat maksiat semakin bertambah dan majlis-majlis hiburan penuh sesak mendapat tempat istemewa di kalangan rakyat jelata.

Apabila Haji Abdul Hadi berkata kezaliman UMNO menyamai kezaliman Firaun, ia bukan sekadar ucapan politik semata-mata, tetapi ia menjangkau lebih jauh daripada itu. Disebabkan kezaliman UMNOlah majoriti rakyat menderita dalam keperitan hidup seharian.

Firaun pernah berkata sepertmana Allah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:

“Wahai kaumku! bukankah kerajaan negeri Mesir ini, aku yang menguasainya, dan sungai-sungai ini mengalir di bawah (istana) ku? tidakkah kamu melihatnya?’ (Az-Zuhruf: 51).

Apa kurangnya UMNO, UMNO juga turut berkata sedemikian, tetapi tidak secara langsung seperti Firaun. UMNO lakukan secara tidak langsung melalui tindakan-tindakan yang membawa kepada kezaliman.

Contoh : UMNO menafikan hak rakyat yang bukan UMNO untuk mendapakan kontrak, lesen, permit, peluang-peluang perniagaan disekat, disekat bantuan, pinjaman daripada agensi-agensi kerajaan [baca: rakyat] seperti TEKUN, MARA, Amanah Ikhtiar dan berbagai tabung atau dana yang ditubuhkan untuk membantu peniaga-peniaga UMNO, peniaga-peniaga bukan UMNO dinafikan hak ini.

Cara UMNO mengurus Negara macam harta pesaka makbapak dia bertambah dengan dasar 1Malaysia yang mengelirukan rakyat. Jadi, kerajaan yang ada ini, adalah kerajaan UMNO untuk UMNO, bukan untuk seluruh rakyat yang hidup di dalam negara ini.

Firaun mengubal dan menguatkuasakan undang-undang supaya setiap bayi lelaki yang dilahirkan terus dibunuh dan mengubal dan menguatkuasaan yang menghalang kebangkitan rakyat Mesir menentangnya. Tindakan itu diambil kerana dia sudah terpengaruh dengan ahli nujum yang menafsirkan mimpinya.

Firaun bermimpi Mesir terbakar dan penduduknya mati, melainkan kalangan kaum Israel, sedangkan ahli nujum mengatakan kuasa negara itu akan jatuh ke tangan lelaki kaum Israel. Disebabkan khuatir, dia memerintahkan setiap rumah digeledah dan jika mendapati bayi lelaki perlu dibunuh.

UMNO pun macam Firaun juga. Dua kali lima, lima kali dua juga. Contoh : ISA merupakan undang-undang yang bertentangan dengan keadilan Islam kerana ia boleh menghukum seseorang sekadar syak wasangka sahaja.

UMNO mempertahankannya dengan berbagai alasan yang tidak masuk akal. Mengurung, menahan dan memenjarakan seorang tanpa dibuktikan apa kesalahan yang ia telah lakukan dan menafikan hak OKT untuk membela diri, memisahkan dengan anak-isteri dan keluarga dalam satu tempoh yang panjang adalah merupakan satu perbuatan yang paling zalim dan tidak bertamadun. Tindakan ini dilihat lebih daripada Firaun. Ia adalah sama dengan kezaliman yang dilakukan oleh UMNO dengan apa yang pernah lakukan oleh Firaun ke atas rakyat Mesir yang menentangnya.

Firaun mahu terus berkuasa dan UMNO juga mahu terus mengekalkan kuasa memerintah. Firaun guna undang-undang untuk membunuh rakyat yang bengkit menentangnya. UMNO juga gunakan berbagai undang-undang bagi menghalang kebangkitan rakyat.

UMNO gunakan ISA sebagai senjata untuk membunuh musuh-musuh politiknya bagi terus berkuasa. UMNO juga banyak mengubal, meminda dan menguatkuasa undang-undang yang kebanyakannya tidak membawa keuntungkan kepada rakyat, tetapi ia memberi advantage yang luas kepada UMNO kerana UMNO yang membawa, membentang dan meluluskannya di parlimen. Parlimen Malaysia adalah parlimen ‘rubber stam’.

Contoh : Pindaan undang-undang SPR 2003, pindaan paling ganjil tidak mengikut perlembagaan dan ramai rakyat sedar bahawa semua pindaan itu bertujuan untuk membolehkan UMNO terus mengekalkan kuasa. Nyata pada PRU ke-11 2004, UMNO mencapai kemenangan 90 peratus lebih, yang tidak pernah terjadi di mana-mana negara yang mengamalkan demokrasi, kecuali di Indonesia ketika Suharto memerintah dan di Filipina ketika Ferdinan Marcos berkuasa dulu.

Sekarang SPR berura-ura lagi untuk meminda semula kawasan pilihan raya dengan membawa kembali lebih ramai pengundi Melayu ke kawasan Melayu [2003 dulu dikeluarkan pengundi Melayu dan dibawa/diramaikan pengundi bukan Melayu ke kawasan Melayu kerana PRU ke-10 1999, ramai pengundi Melayu memberi undi kepada pembangkang dan menolak UMNO] kerana dikatakan orang Melayu sudah kembali menyokong UMNO dan termakan dengan gertakan, ugutan dan ancaman serta putar-belit UMNO tentang bahayanya ketuanan Melayu dan Islam [kita pun tidak faham, bila pula masanya UMNO meletakkan Islam di hadapan]

UMNO menggunakan duit haram untuk pembangunan dalam negera ini kerana pembangunan yang dilakukannya secara terpilih mengikut negeri, daerah, mukim, kawasan dan kampung. Negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat dinafikan hak untuk projek-projek pembangunan sehinggalah membawa ke kampung-kampung juga turut merasai diskriminasi UMNO.

UMNO yang membentuk kerajaan pusat mengisap darah kerajaan negeri dan darah seluruh rakyat tanpa mengira fahaman politik dengan dikenakan berbagai caj dan berbagai jenis cukai. Duit yang dikutip daripada rakyat bukan UMNO tidak dihalalkan oleh rakyat bukan UMNO hatta satu satu sen pun untuk UMNO berbelanja. UMNO kutip hasil negeri 100 peratus, tetapi dipulangkan kepada negeri tidak sampai 10 peratus.

Disamping itu, UMNO dengan angkoh dan sombong merampas duit hasil royalti minyak rakyat negeri Terangganu dan Kelantan secara haram untuk kepentingan politik Firaunnya. UMNO adalah sebuah kerajan barua lagi Firaun lebih daripada Firaun yang memperalatkan dan memaksa seluruh institusi Negara untuk menyokongnya mempertahankan kuasa. Dengan kuasanya itulah ia dengan mudah dapat mencabuli hak asasi rakyat dan dilindungi oleh agansi kerajaan seperti PDRM, tentera [undi pos], SPRM, SPR, Jabatan Peguam Negara dan mahkamah.

Inilah watak yang ada pada UMNO dan yang ada pada Firaun. Firaun sangat marah kepada golongan yang mengajak manusia membuat kebaikan terutama mengajak manusia kembali menyembah Allah. UMNO juga begitu. Dr.Mohd Asri Zainal Abidin, bekas Mufti Perlis, bekas Mufti Selangor, Allahyarham Ishak Baharom dan lain-lain para ilmuan dan agamawan ditangkap dan didakwa di mahkamah kerana mengajak orang ramai berbuat baik dan mengajak manusia taatkan Allah dan taatkan Rasul.

Firaun memaksa seluruh rakyat Mesir menyembahnya yang maha berkuasa, begitu juga UMNO. Memaksa rakyat menyembah UMNO [menyokong dan memberi undi]. Rakyat yang ingkar didera dalam berbagai bentuk sepertimana kita mendengar, membaca dan melihat yang berlaku di kalangan rakyat bukan UMNO khususnya rakyat berbangsa Melayu yang statusnya seolah-olah rakyat kelas tiga. Nasib orang bukan Melayu lebih baik daripada nasib orang Melayu di bawah pemerintahan UMNO selama ini.

Sebagaimana Firman Allah swt yang bermaksud :

Firaun begitu marah dengan Musa. Firaun mengumpulkan tukang sihirnya untuk bertanding dengan Nabi Musa as yang didakwanya turut mempunyai ilmu sihir. Selepas menetapkan waktu dan tempat,berangkatlah Firaun beserta tipu helahnya. Musa berkata: "Amat celaka kamu,janganlah kamu mengadakan dusta atas Allah. Mati dibinasakan kamu dengan seksa-Nya. Sungguh rugi orang yang mengadakan dusta itu."

Tukang sihir Firaun pun melemparkan tongkat dan tali mereka terlebih dahulu dan tiba-tiba ia seolah-olah bertukar ebjadi seperti ular menjalar akibat disihir. Musa merasa ketakutan melihatkan sihir itu.

Firman Allah swt:"Janganlah engkau takut hai Musa!sesungguhnya engkaulah yang bakal unggul. lemparkanlah tongkat ditangan kananmu itu,nanti akan menelan segala apa buatan mereka itu.Sesungguhnya apa yang mereka kerjakan itu semata-mata tipu daya tukang sihir saja. Dengan cara apa pun,mereka takkan berhasil melakukannya."

Kemudian tukang sihir itu tunduk bersujud kepada Allah SWT sambil berkata:

"Telah percaya kami kepada Tuhan yang disembah Harun dan Musa,iaitu Allah swt."

Melihat tukang sihir sudah beriman kepada Nabi Musa as begitu juga isterinya Siti Asiah,maka Firaun bertambah marah dan mengganas hingga isterinya diseksa sampai mati dan orang beriman pun diseksa dengan kejam.

Nabi Musa as beserta orang yang beriman melarikan diri dari Kota Mesir tetapi tetap dikejar Firaun dan bala tenteranya hingga mereka sampai kepantai Laut Merah. keadaan begitu terdesak sekali bagi Nabi Musa kerana sudah dikepung musuh kiri dan kanan manakal laut pula terbentang dihadapan mereka. dalam kebingunan itu Allah SWT Mewahyukan kepadanya supaya memukulkan tongkatnya ke muka laut. laut itu tiba-tiba terbelah menjadi dua dengan satu jalan yang panjang merentang ke seberang.

Firman Allah bermaksud:

"Ingatlah ketika Kami belah laut merah untuk meneruskan perjalanan kamu,maka Kami lepaskan kamu dengan selamat dan Kami tenggelamkan keluarga Firaun sedang kamu melihat (terjadinya peristiwa itu). " (Al-Baqarah 50)

Kesimpulannya, tidak ada kuasa yang ada di dunia yang boleh mengalahkan UMNO kerana UMNO seperti Firaun dikatakan adalah seorang lelaki yang cukup sempurna, tampan bergaya, gagah perkasa, kaya raya dan ada karisma. Dia mampu menakutkan musuhnya, dia mempunyai barisan ahli sihir yang handal. Dia mempunyai tubuh badan yang sihat, Dia tidak pernah demam malah tidak pernah bersin pun.

Itulah nikmat yang Allah berikan kepadanya tetapi malangnya Firaun telah menjadi seorang yang Kufur, sombong dan zalim malah mengaku menjadi Tuhan pula. UMNO akan musnah hanya dengan kuasa Allah, bukan kuasa manusia.
Persoalannnya - tidakkah Harakahdaily.net turut sama bersekongkol atau bersekutu mengatakan UMNO itu Firaun walaupun menyatakan ‘Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.”?

Hanya Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan boleh menjawab persoalan ini?