Sunday, December 13, 2009

BUMIPUTERA HANYA TUNTUT SEPARUH HAKNYA…

Buka dan kangkanglah seluas-luasnya.

Dedahkan segalanya-galanya mengenai keistimewaan Bumiputera. Inilah yang dimahukan oleh DAP dan sekutu-sekutunya.

Inilah juga yang dimahukan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila ramai pemimpinnya menganggap menjadi suatu keadilan jika Bumiputera dikurangkan hak mereka dan bukan Bumiputera ditambah hak mereka untuk menjadi sama rata.

Bagi kedua-dua parti ini, keadilan akan hanya akan dicapai apabila seluruh rakyat negara ini, Bumiputera dan bukan Bumiputera menikmati hak dan peluang sama rata, walaupun hakikatnya Bumiputera ketinggalan jauh.

Bukan sahaja di bidang pelajaran dan ekonomi tetapi hak mendapat kesamarataan turut membabitkan sosl-soal kepentingan sosial lain.

Walaupun mendapat hak sama rata politik tetapi bukan Bumiputera tetap tidak berpuas hati sampai kepada tahap mereka ‘mempersendakan’ agama Islam dan Raja-Raja Melayu.

Mereka buat-buat tidak faham dan mempersoalkan usaha mengangkat kedudukan kaum Bumiputera dalam arus perdana pembangunan negara.

Biarpun usaha itu bukanlah sesuatu yang keterlaluan namun mereka menggambarkannya sebagai dasar ‘pilih kasih’ dan ‘tidak adil’ kepada bukan Bimputera.

Lebih menghairankan apabila ada Bumiputera sendiri mahu memperjuangkan hak orang lain dan ‘memberikan dengan banyaknya hak mereka…jika ada Bumiputera bercakap mengenai hak-hak yang patut mereka nikmati, mereka dicop ‘Rasis’.

Bolehkah kita mengatakan seseorang itu rasis sedangkan mereka memperjuangkan hak yang patut mereka kecapi?

Lagipun apa yang Bumiputera tuntut adalah sebahagian sahaja daripada apa yang patut mereka dapati berasaskan jumlah penduduk di negara ini.

Seperti kata Tun Dr Mahathir Mohamad semalam, walaupun penduduk Bumiputera hampir 60 peratus daripada jumlah penduduk tetapi kuota yang ditetapkan hanya 30 peratus sahaja.

"Ini bukan perkauman... kita hanya tuntut separuh daripada apa yang sepatutnya kita tuntut. Ini tunjukkan kita bukan perkauman. Kalau perkauman kita (sudah) tuntut 60 peratus. Malahan nak capai 30 peratus pun tidak mudah," ujarnya.

Beliau menegaskan, jika wujud ketidakseimbangan dari segi pengagihan ekonomi, mereka yang ketinggalan akan merasa benci dan iri hati dan mungkin akan bertindak liar dan perkara inilah yang mahu dielakkan kerajaan.

Bekas Perdana Menteri dan bekas Ahli Parlimen Kubang Pasu berkata, tumpuan dan peluang lebih yang diberikan kepada kaum Bumiputera tidak bermakna kaum-kaum lain diketepikan.

Dr Mahathir juga berkata, adalah penting bagi kaum Bumiputera untuk memiliki pengetahuan dalam bidang pengurusan perniagaan kerana ramai daripada mereka tidak tahu menggunakan wang sebagai modal atau melabur sebaliknya hanya untuk membeli-belah.

"Kita perlu tukar pemikiran Bumiputera. Wang itu apabila dilabur memberi pulangan dan dengan itu meningkatkan kekayaan mereka.

"Biasanya mereka bila dapat wang berbelanja... kadang-kadang lebih belanja daripada wang yang ada dan ini wujudkan masalah," katanya.

Selain itu Dr Mahathir menegaskan bahawa peluang memasuki universiti awam yang diberikan kepada lebih ramai kaum Bumiputera berbanding kaum lain di negara ini tidak harus dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

Menurutnya, adalah tidak adil untuk melabelkan kerajaan mengamalkan sifat perkauman dan meminggirkan kaum-kaum lain.

"Peluang kepada lebih ramai Bumiputera berbanding kaum lain adalah bagi memastikan keseimbangan pembangunan kaum agar mereka tidak ketinggalan dalam arus perdana pendidikan yang akan hanya memberikan pelbagai kesan negatif.

"Jumlah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) kini hampir sama dengan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan kemasukan pelajar Bumiputera amat kecil iaitu hanya di sekitar 10 peratus sahaja dan selebihnya kaum-kaum lain," katanya dalam ucaptama bertajuk 'UUM 25 Years Expectation vs Reality' di Konvensyen Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) 2009 di Sintok semalam.

Dr Mahahtir berkata, perkara itu berlaku kerana tidak ramai kaum Bumiputera mampu melanjutkan pelajaran ke IPTS disebabkan masalah kewangan yang terhad.

"Oleh itu, kita tidak harus berasa bersalah (semata-mata) kerana kita adakan tempat untuk Bumiputera. Kita ada hak untuk dapat kedudukan seimbang di negara ini. Kita nak hak secara berpatutan," katanya.

Saturday, December 12, 2009

UMNO KURANG MESRA DENGAN MEDIA BARU?

Datuk Seri Najib Razak bercakap berbuih mulut mengenai media baru.

Namun, bagaimana pula sambutan dan reaksi pemimpin UMNO, khususnya ketua-ketua Perhubungan Negeri dan ketua-ketua bahagian mengenainya?

Jangan terperanjat, ramai mengatakan media baru órang tak baca’. Yang baca anak muda yang tidak tahu politik.

Bagi mereka ini nampak sangat ‘media baru’seperti blog, facebook, u-tube dan sebagainya tidak penting. Yang penting bagi mereka ialah cara lama iaitu surat pekeliling, ceramah, perjumpaan bersemuka dan sebagainya.

Bagi mereka ‘forum siber’ tidak penting, sedangkan hakikatnya cara itu terbukti berkesan bukan sahaja dalam perniagaan tetapi juga politik.

Pada ketika UMNO masih kurang mesra dengan media baru, pembangkang pula menggunakan apa sahaja cara bagi ‘memesong’pemikiran rakyat, biarpun tahu ada ketikanya etika mereka salah.

Bagi mereka cara tidak penting tetapi matlamat dan mesej paling utama buat mereka.

Bagi pemimpin UMNO pula ramai yang tidak tahu bahawa Barrack Obama menang kerana dibantu media baru yang ternyata mudah merebak dan meluas di negara seperti Amerika Syarikat yang akhbarnya bersifat regional.

Persoalan lagi, kenapa semalam Perdana Menteri mengulangi lagi bahawa beliau sentiasa mengatakan media baru memainkan peranan penting kepada masa depan politik dan sivil rakyat negara ini? Perdana Menteri berkata, medium itu penting bagi kebenaran didedahkan melalui laporan yang bertanggungjawab.

Malah bukan sekadar itu sahaja, Naib amat berminat bila mendapati ada satu Kod Etika Penulis Blog yang mungkin boleh diterima pakai oleh penerbit.

Dalam blognya www.1malaysia.com.my, beliau berkata, garis panduan untuk penulis blog itu didasarkan kepada kod etika Persatuan Wartawan Profesional yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Berikut adalah beberapa petikan bahawa penulis blog hendaklah:

1.Jujur dan adil dalam mendapatkan, melapor dan menginterpretasi maklumat,

2.Jangan sekali-sekali menciplak;

3.Mengenalpasti dan membuat pautan pada sumber apabila sesuai dan boleh dilaksanakan;

4.Jangan sekali-kali menyiarkan maklumat yang diketahui tidak tepat dan jika menyiarkan maklumat yang boleh dipersoalkan, pasti-kan dijelaskan akan keraguan tentang maklumat tersebut;

5.Bezakan antara sokongan, komentar dan maklumat berdasarkan fakta;

6.Mengakui akan kesilapan dan membetulkannya dengan segera; dan

7.Perlihatkan cita rasa yang baik. Elakkan daripada memenuhi kehendak rasa ingin tahu yang mengerikan atau sensasi.

Amat jelas bahawa Najib sensitif mengenai perkara-perkara yang boleh mendatangkan keburukan kepada parti dan kerajaan pada ketika kerajaan memberikan kebebasan kepada media baru untuk cergas.’

Persoalannya bilakah masanya pemimpin UMNO akan melihat cara ini paling mudah mendekati orang muda yang menjadi pengundi baru?

HALAL – KITA BANGGA DENGAN SIJIL DAN LOGO SAHAJA?

Ini berita kurang enak. Walaupun sudah beberapa hari dikeluarkan, rasanya ia tidak akan pernah basi.

Kenapa ini boleh terjadi? Apa terjadi dengan penguatkuasaan halal? Apakah kita hanya berbangga dengan sijil dan logo sahaja?

Bagaimana dengan penguatkuasaan?

Kajian oleh makmal Pusat Pengajian Sains Farmasi Universiti Sains Malaysia (USM) menyebut hanya kira-kira 30 peratus daripada 100 produk kesihatan yang diuji di tidak halal!
Ini kerana ia menggunakan gelatin kapsul ubat dari khinzir.

Dekan Pusat Pengajian berkenaan Prof Madya Dr Syed Azhar Syed Sulaiman berkata, kesemua produk yang diuji sejak setahun lepas itu dihantar oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan dan pengeluar produk bagi mengenal pasti sumber gelatin yang mereka gunakan.

"Daripada 100 produk yang kita uji, sebanyak 30 peratus tidak halal dan menggunakan gelatin dari khinzir kerana ia lebih murah daripada gelatin lembu.

"Bagaimanapun ini bukanlah menggambarkan keseluruhan pasaran gelatin kapsul di Malaysia kerana ada pengeluar yang terlibat bertindak menukar gelatin yang mereka gunakan kepada yang halal seperti gelatin lembu selepas dimaklumkan perkara berkenaan," katanya selepas satu sidang akhbar di USM di Pulau Pinang hari ini.

Gelatin adalah suatu campuran protein diekstrak daripada kulit binatang.

Syed Azhar berkata produk kesihatan yang diuji tidak halal itu memang terdapat di pasaran dan ia dijual sejak beberapa tahun lepas.

"Ini yang kita bimbangkan kerana gelatin kapsulnya tidak halal dan produk berkenaan dikeluarkan sijil halal yang sah ekoran bahan utamanya halal," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap Kementerian Kesihatan mewajibkan pengeluar produk kesihatan menggunakan gelatin kapsul dari sumber yang halal.

Sementara itu, sekumpulan penyelidik USM yang diketuai Prof Madya Dr Gam Lay Harn berjaya menghasilkan kaedah yang pertama di Malaysia bagi mengenal pasti sumber bahan untuk gelatin kapsul ubat.

Dr Gam berkata dengan menggunakan teknik-teknik pengekstrakan dan pengasingan protein yang sesuai, pihaknya berjaya membangunkan satu kaedah pengenalpastian sumber gelatin sama ada daripada lembu atau khinzir.

Penyelidikan itu dibantu Zuraidah Mohd Zobir, Yap Beow Keat dan Lim Chu Ai.

Dr Gam berkata pada campuran yang mengandung 20 peratus gelatin khinzir atau lebih bagi setiap kapsul ubat, pihaknya 100 peratus yakin dapat mengesan kandungan gelatin tersebut.

Beliau menjangkakan kaedah yang telah memenangi beberapa anugerah di Malaysia dan luar negara itu mampu diterima di seluruh dunia terutama di negara-negara Islam kerana ia melibatkan produk halal dan haram.

Thursday, December 10, 2009

MANA LEBIH ISLAMIK – CARA NIK AMAR ATAU NIK AZIZ?

Daripada www.lawi-ayam.blogspot.com

Cara mana lebih sesuai dan Islamik dalam membuat tuntutan royalty minyak Kelantan?

Cara ádik beradik’atau cara mahkamah?

Dibandingkan kedua-duanya, mana nampak semangatnya lebih Islamik?

Kenapa Menteri Besarnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, lebih berminat dengan mahkamah kalaupun ada yang membuat provokasi mengenainya?

Apakah tiada lagi cara perundingan? Kenapa Nik Aziz mesti mengikut cara pertelingkahan?

Pada ketika Nik Aziz tidak mahu berlembut langsung, Timbalan Pesuruhjaya Pas III Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pula berkata, isu royalti minyak itu seharusnya diselesaikan dengan cara rundingan 'anak-beranak'.

"Buat apa nak bawa sampai masuk mahkamah, perkara ini boleh diselesaikan dengan cara baik," kata beliau.

Jelasnya, kerajaan negeri masih menaruh harapan agar satu perbincangan khusus dapat diadakan dengan perdana menteri berhubung isu tuntutan royalti minyak ini.

"Baru-baru ini kerajaan negeri ada mengemukakan permohonan kepada perdana menteri untuk diadakan satu rundingan berhubung isu ini. Kita harap sangat agar diberikan satu ruang untuk diadakan perbincangan tersebut, cara bersemuka lebih molek.

"Malah ini adalah isu antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat, selesaikanlah ikut cara anak-beranak, Kelantan pun sebahagian daripada Malaysia," katanya kepada mStar Online.

Baginya, isu tuntutan royalti minyak negeri Kelantan tidak perlu dibawa hingga ke peringkat mahkamah kerana masih terdapat ruang perbincangan antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat bagi menyelesaikan perkara berkenaan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cabaran Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz agar membawa kes tuntutan royalti minyak ke mahkamah daripada berbuat sesuatu yang bersifat retorik dan tidak boleh membawa perubahan kepada status quo.

Mohamed Nazri dilaporkan berkata, membawa isu tuntutan itu ke mahkamah merupakan langkah paling tepat berbanding usaha retorik antaranya tindakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berdoa yang bukan-bukan terhadap perdana menteri dan kerajaan pusat.

Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS sebelum ini dilaporkan mendoakan supaya pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) yang bertanggungjawab tidak memberi royalti minyak supaya "pecah perut" sebagai reaksi terhadap keengganan Kerajaan Persekutuan menyerahkan bayaran royalti minyak kepada Kelantan, sebaliknya sekadar memberikan wang ihsan.

Pada 4 November lepas, Najib mengumumkan pembayaran wang ihsan daripada kerajaan Pusat kepada Kelantan yang akan bermula tahun depan.

Sehubungan itu Mohd Amar berkata, kepimpinan PAS Kelantan merasakan masih terlalu awal untuk membawa kes berkenaan sehingga ke mahkamah.

"Sekarang bukan masanya lagi... masih terlalu awal, kita tidak akan terburu-buru tentang isu ini," ujarnya.

Bertentangan dengan sikap Nik Amar, Nik Aziz menegaskan, beliau sudah lama bercadang untuk membawa isu itu ke mahkamah, jika tuntutan royalti minyak itu gagal diselesaikan secara rundingan.

"Bukan dia (Mohamed Nazri) saja nak, kita pun nak," kata Mursyidul Am PAS itu di Kota Bharu semalam.

Pada 4 Nov lalu, Najib mengumumkan untuk memberi wang ehsan tahun depan kepada kerajaan negeri itu sebagai menggantikan royalti minyak dan gas.

Bagaimanapun, Nik Aziz tidak bersetuju dengan kaedah itu sebaliknya akan terus berdoa supaya Tuhan membuka pintu hatinya dan pemimpin kerajaan Pusat yang lain supaya menjelaskan tuntutan itu dalam bentuk royalti dan jika kaedah itu tidak berjaya beliau meminta Tuhan menimpa bala kepada mereka.