Thursday, October 29, 2009

PAS KEMBALI BERTAUT, UMNO JANGAN TERHEGEH-HEGEH…

Tidak mengejutkan. Semalam saya kataka, ribut dalam PAS bagaikan ‘gelora dalam secawan kopi.”

Ternyata selepas mesyuarat khas semalam, yang panas mungkin hanya Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetapi selepas itu PAS bertaut kembali, setidak-tidaknya pada luaran.

Apapun, ‘api dalam sekam’ dalam PAS akan tetap membara, khususnya dalam isu PAS Selangor pada ketika UMNO semakin bertaut dan sokongan kepada Presidennya, Datuk Seri Mohd Najib sudah kuat dan padu.

Mesyuarat semalam memang panas bagai kopi panas sehinggakan Nik Aziz meninggalkan mesyuarat lebih awal, namun segala-galanya kini kembali tenang.

Mesyuarat bermula jam 9 malam, tetapi Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan dilihat meninggalkan mesyuarat itu kira-kira jam 10.45 malam.

Dalam mesyuarat itu, Nik Aziz turut menjelaskan beberapa isu yang dibangkitkan dalam blognya www.blog.tokguru.com.

Yang pasti akhirnya selepas bermesyuarat malam semalam, tiada apa yang boleh diperkatakan secara khusus mengenai hasil mesyuarat berkenaan.

Tidak perkara utama dibicangkan dan hasilnya tidak akan ada EGM, akan ada siasatan dalaman terhadap PAS Selangor dan isu kerajaan Perpaduan kini ditutup rapat oleh PAS.

PAS akan mengadakan satu seminar khas bagi membincangkan halatuju parti itu bagi menggantikan muktamar khas yang dicadangkan oleh Mursyidul Amnya.

Seminar akan disertai oleh lebih 1000 perwakilan dari seluruh negara itu akan diadakan 7 November ini di Dewan Datuk Fadzil Noor, Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar, Kuala Lumpur.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam sidang medianya jam 1.00 pagi tadi di Ibu Pajabat PAS, Jalan Raja Laut, berkata mesyuarat khas itu juga mengambil ketetapan agar Lembaga Disiplin PAS yang dipimpin oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyiasat semua dakwaan terhadap PAS Selangor.

Lembaga ini akan mencadangkan tindakan disiplin kepada mana-mana pihak yang didapati bersalah melanggar disiplin parti.

Isu ini menarik untuk disusuli kerana apakah bentuk siasatan dan tindakan akan dikenakan terhadap PAS Selangor, khususnya Datuk Dr Hassan Ali.

Ada pihak pada mesyuarat malam semalam mencadangkan beliau digugurkan daripada Exco.

Saya yakin selepas ini, untuk mengurangkan tekanan kepada pemimpin dan sebilangan ahlinya, UMNO akan menjadi sasaran serangan. Ubah atau alih pandangan, katakan!

Seperti dikatakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membidas PAS kerana cuba menjadikan UMNO dan idea kerajaan perpaduan sebagai ‘kambing hitam’ dalam konflik dalaman membabitkan pimpinan tertinggi mereka.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata, berdasarkan perkembangan semasa sebenarnya berlaku pertembungan kepentingan antara Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Sebab itu sekarang mereka nak bersilat dalam gelanggang, tepis sana tepis sini supaya mereka dapat atasi masalah mereka. Dia cari ‘kambing hitam’, ‘kambing hitam’ ini UMNOlah, sedangkan kita berniat baik dan ikhlas,’’ katanya.

Bagi saya, UMNO tidak lagi menimbulkan isu kerajaan perpaduan. UMNO jangan jadi ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’ dengan PAS.

Kalau mahu mengajak perpaduan, tidak usahlah melalui usaha politik kerana PAS ternyata tidak mahu. Kalau sesetengah pemimpinnya mahu sekali pun, pemimpin tertinggi PAS lebih berminat bekerjasama dan mewujudkan perpaduan dengan bukan Islam.

Bukan Islam ternyata lebih mulia di mata pemimpin PAS.

Bak kata pengulas dalam berita mengenai mesyuarat semalam dalam Harakahdaily, Yusoff Abdul: “Sepatutnya tidak lagi timbul sebarang perbahasan berkaitan perkara tersebut. Musuh - musuh Islam sentiasa mencari jalan dan memperalatkan segolongan yang mengaku Islam tetapi tidak mahu melaksanakan hukum syara,. mereka ini hanya menyalak untuk menarik perhatian awam akibat daripada kehilangan sokongan yang ketara dikalangan rakyat semasa pilihanraya umum lalu. Tekanan jiwa yang dialami oleh golongan tersebut semakin ketara. Qunut Nazilah adalah senjata utama kepada pendukung gerakan islam. Insya Allah yang Haq pasti menang dan Kebathilan pasti akan menemui kehancuran.”

Jelas di sini, musuh Islam yang dimaksudkan adalah UMNO dianggap sebagai ‘kebatthilan’, bukannya bukan Isla.

Malah Pemuda PAS Pusat semalam sudah memberi kata dua kepada pucuk pimpinan parti itu supaya tidak lagi membangkitkan isu kerajaan perpaduan kerana ia tidak lagi menjadi keperluan.

Ketuanya, Nasrudin Hassan At-Tantawi, berkata pendirian Pemuda PAS selaras dengan isu dibangkitkan Nik Aziz yang tidak setuju penubuhan kerajaan perpaduan dengan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Hadi berkata, PAS membuat keputusan untuk menutup pintu perbincangan dengan Umno dan BN berhubung kerajaan perpaduan bagi mengelak pemimpin parti itu terus bertelagah sesama sendiri.

“Isu kerajaan perpaduan memang dibangkitkan kepemimpinan Pas ketika kerajaan BN diterajui bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Jadi, apabila sekarang sudah bertukar Perdana Menteri, maka isu berkenaan (rundingan kerajaan perpaduan) tak berbangkit lagi,” katanya.

“Tok Guru Haji Hadi (Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang) sebagai pencetus idea itu telah tutup buku... dah tak bincang lagi sebab suasana tidak mengizinkan dan syarat tidak dipatuhi (pemimpin Umno dan BN) dan keperluan pun tak wujud sekarang.

Jadi, kerajaan perpaduan tidak lagi berbangkit. Malah, perkara ini juga diputuskan dalam Muktamar Agung Pas Pusat baru-baru ini yang mahu mengukuhkan kerjasama dalam pakatan pembangkang,” katanya semalam.

Beliau menyatakannya mengulas pendirian Pemuda PAS Pusat mengenai penubuhan kerajaan perpaduan dengan BN seperti yang dicetuskan parti itu sebelum ini.

Saya berharap sangat, dalam mendekati PAS, UMNO bersuara sebagai satu pasukan dan sebarang kenyataan biarlah selepas mendapat pelepasan Majlis Tertinggi atau ibu pejabat.

Jangan membuat kenyataan-kenyataan yang UMNO terhegeh-hegeh kerana ketika ini UMNO sebenarnya jauh lebih bersatu berbanding PAS atau PKR sekarang.

JEFFREY CHRISTINA KECEWA DENGAN ANWAR…















PKR Sabah terus bergolak dan semalam menghadapi satu lagi tamparan, dengan ketua bahagian Kota Kinabalu Christina Liew mengumumkan peletakan jawatan sebagai anggota majlis tertinggi parti semalam mengikut jejak naib presiden PKR Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Liew, yang telah digantikan bagi jawatan timbalan pengerusi PKR Sabah, berkata bagaimanapun beliau kekal sebagai anggota parti dan mengekalkan jawatan ketua bahagian Kota Kinabalu.

"Saya akan menyerahkan surat peletakan jawatan saya kepada presiden parti hari ini," katanya.

Liew berkata selama ini beliau percaya yang parti itu adalah adil dan telus sehingga pelantikan Datuk Kong Hong Ming sebagai timbalan pengerusi PKR Sabah dan Ahmad Thamrin Jaini sebagai ketua parti yang baru di Sabah.

"Ibu saya terpaksa berdepan dengan pandangan serong orang ramai kerana saya telah digantikan (sebagai timbalan pengerusi) atas alasan yang tidak diketahui.

"Saya telah bekerja keras selama sembilan tahun untuk mempromosikan PKR Sabah. Oleh kerana parti tidak menghargai sumbangan saya, saya berundur dengan bermaruah sekarang," katanya.

Dr Jeffrey telah meletakkan jawatan sebagai naib presiden PKR, anggota majlis tertinggi dan anggota biro politik, memberikan tamparan hebat kepada cubaan PKR untuk memperkukuhkan parti itu di Sabah.

Dr Jeffrey, yang dijangka menghantar surat peletakan jawatan ke ibu pejabat parti semalam, akan kekal sebagai anggota biasa parti, menurut bekas pembantu kanannya Kanul Gindol.

Dipercayai majoriti ketua bahagian termasuk Dr Jeffrey sendiri, kecewa dengan keputusan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik Ahmad Thamrin sebagai ketua parti yang baru di Sabah.

Ahmad Thamrin, anak kelahiran Sabah dinamakan sebagai ketua PKR negeri yang baru pada hujung minggu lalu selepas ketua-ketua bahagian menyatakan tidak yakin dengan naib presiden PKR Azmin Ali untuk menerajui PKR negeri.

Di TAWAU, Kong berkata beliau terkejut dengan keputusan Dr Jeffrey untuk meletak jawatan sebagai naib presiden parti, menyatakan Dr Jeffrey telah bersetuju dengan keputusan berhubung pelantikan Ahmad Thamrin sebagai pengerusi perhubungan PKR Sabah yang baru.

"Saya menghormati keputusan (Dr) Jeffrey meletakan jawatannya sebagai naib presiden PKR, namun tidak bersetuju dengan andaian bahawa pelantikan pengerusi perhubungan PKR Sabah yang baru sebagai tidak mengikut kehendak ketua-ketua cabang (bahagian)," katanya.

Mesyuarat perhubungan PKR Sabah yang diadakan pada 22 Okt lalu di Kota Kinabalu, yang dihadiri semua pemimpin 25 cabang parti dan perhubungan negeri termasuk Dr Jeffrey, bersetuju supaya isu pelantikan pengerusi perhubungan PKR negeri diserah kepada presiden parti, katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan anggota dan ketua cawangan PKR zon Tawau.

"Kita anggap isu pelantikan pengerusi perhubungan PKR negeri dalam mesyuarat malam itu sudah selesai. Jadi keputusan yang dibuat Dr Jeffrey ini memang di luar jangkaan saya.


"Sebagai pemimpin berpengalaman, kita harus hormat keputusan mesyuarat rasmi," katanya.

Kong bagaimanapun yakin keputusan Dr Jeffrey tidak akan menjejaskan kekuatan parti.

Sumber BERNAMA

Wednesday, October 28, 2009

RIBUT PAS – ‘GELORA DALAM SECAWAN KOPI?

Pagi tadi, saya terserempak dengan Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu ketika sama-sama menunggu untuk menaiki pesawat Air Asia ke Kuala Lumpur.

Tujuan beliau ke Kuala Lumpur tidak lain dan tidak bukan – menghadiri mesyuarat khas PAS di Ibu Pejabat PAS yang sedang berlangsung malam ini.

Beliau mempelawa saya duduk semeja dengannya di kafe lapangan terbang itu sambil beliau menikmati nasi lemak dan saya meneguk secawan teh.

Perbualan kami sudah pasti mengenai mesyuarat khas malam ini dengan saya sekali cuba menyelami apa yang ada di fikiran beliau. Seperti biasa, Harun yang ramah dan bijak mengelak untuk menjawab beberapa ‘persoalan’ yang saya kemukakan jelas mengharapkan sesuatu yang terbaik daripada mesyuarat ini.

Ada pihak berkata tiada banyak perkara boleh dicapai pada mesyuarat mala mini, khususnya dalam isu sama ada perlu diadakan Muktamar Agung Khas (EGM) atau sebaliknya.

Jelas pada Harun yang spontan menjawab ‘saya tidak baca blog’ bagaikan merasakan ada pihak tertentu yang ‘bercakap bagi pihak Mursyidul Am PAS’.

Baginya apa yang berlaku dalam PAS sekarang sepatutnya tidak terjadi. “Tiba-tiba sahaja PAS bagaikan bergolak, tidak sepatutnya begini’. Saya berkongsi pandangan dengan beliau kerana Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat boleh meluahkan amarah atau geramnya’ bukan melalui blog atau akhbar.

Namun, tidak menghairankan kerana Nik Aziz pernah memarahi Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa secara terbuka.

Kali ini Nik Aziz hingga sanggup mengatakan ‘biar PAS berpecah’ tetapi individu yang menyebabkan PAS ‘rosak’ perlu disingkirkan.

Politik dalaman PAS bergelora apabila Nik Aziz melalui blognya Jumaat lalu mencadangkan EGM diadakan bagi membersihkan parti itu daripada pemimpin prokerajaan perpaduan.

Nik Aziz berharap dengan adanya EGM itu ia mampu membincangkan kedudukan ‘dua tiga kerat pemimpin bermasalah’ termasuk Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menteri Besar Kelantan dalam laman webnya www.blogtokguru.com. berkata, perlu ada perubahan dalam 'pemain-pemain penting' yang menduduki kerusi kepimpinan Pas di peringkat pusat.

Nik Aziz berkata beliau juga bersedia sedia menghadapi sebarang kemungkinan jika cadangannya supaya PAS mengadakan muktamar agung luar biasa boleh mencetuskan perpecahan di kalangan anggota partinya.

Katanya beliau sedia berbuat sesuatu bagi menyelamatkan parti daripada terus menimbulkan tanda tanya berhubung cadangan beberapa pemimpin tertinggi parti berhubung isu kerajaan perpaduan sehingga menimbulkan kecelaruan dalam parti.

Katanya, beliau bosan dengan gelagat beberapa pemimpin yang membangkitkan isu kerajaan perpaduan yang disifatkan sesekali timbul dan sesekali tenggelam.

Harun jelas masih tidak percaya pendapat dan kata-kata itu dikeluarkan oleh Nik Aziz. “Saya nak dengar dulu…” katanya ringkas.

Harun yang juga Pesuruhjaya Pas Terengganu sebelum ini menyatakan mahu bertemu Nik Aziz dan tetap pendirian bahawa kenyataan di dalam blog tersebut bukan daripada Nik Abdul Aziz sendiri.

Namun di sebalik sikap pemimpin tertinggi PAS mahu mendengar sendiri daripada ‘mulut Nik Aziz’, sedikit menghairankan ialah Mursyidul Am PAS itu mengesahkan akan hadir pada mesyuarat khas parti itu mengatakan kehadirannya lebih disebabkan oleh ‘desakan yang kuat daripada akhbar’.

Utusan Malaysia yang memetik sumber yang rapat dengan Nik Aziz bahawa beliau berkemungkinan besar tidak hadir pada mesyuarat khas yang diadakan bagi menyelesaikan krisis kepimpinan parti itu di Kuala Lumpur malam ini.

Apakah Nik Aziz mengikut kata akhbar dan bukan ‘kerelaannya’ selain alasan mengaku keletihan selepas mengikuti sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang panjang.

Lebih aneh beliau turut meminta PAS Pusat supaya menjemput pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Abdul Aziz Bari hadir pada mesyuarat itu ekoran penulisan artikel yang kemudian mencetuskan reaksi kerasnya itu.

''Esok saya terpaksa pergi walaupun saya sudah serah kepada Naib Presiden Pas, YB Salahudin (Ayub) sebab surat khabar sudah besarkan. Sepatutnya bukan saya pergi tetapi Aziz Bari. Dia patut dijemput sebab dia yang kritik PAS, macam PAS tak boleh kritik langsung. Saya hanya menyusuri artikel dia saja. Saya terpaksa pergi walaupun keletihan selepas lapan hari berada dalam sidang DUN dan kebetulan pula malam ini bertembung dengan jadual mingguan saya,'' katanya semalam.

Yang menarik pada mesyuarat malam ini ialah bukan sekadar mahu mendengar pendirian Nik Aziz mengenai EGM tetapi bagaimana beliau berhadapan dengan tiga pemimpin tertinggi PAS yang diselar oleh beliau.

Selain itu, Harun sendiri sudah pasti akan meminta Nik Aziz supaya berterus terang, siapa sebenarnya menulis untuk blog Nik Mat itu?

Sebagai orang yang mengenali Nik Aziz untuk satu jangkamasa yang panjang dan sangat arif dengan gaya tulisan beliau, rasanya sukar untuk Nik Aziz mengelak untuk tidak menyatakan kedudukan sebenar.

Ini kerana selepas membaca tulisan tersebut di laman blog Nik Aziz, Harun percaya orang lain yang menulisnya bukan Nik Aziz sendiri.

Oklah kalau bukan Nik Aziz siapa? Tetapi Nik Aziz mempertahankan penulisan itu?

Sebelum ini Harun berkata: “Saya tidak mahu menuduh sesiapa tanpa bukti tetapi saya percaya ada unsur-unsur dalaman dan luaran yang sedang menganggu-gugat PAS,’’ ujar beliau.

Mungkin akan ada jawapan kepada persoalan, namun mesyuarat yang dijangka ‘sedikit hangat’ akan dingin kembali kerana dalam PAS, apa juga rebut yang melanda parti berkenaan ia hanya ‘bergelora dalam secawan kopi.

BERILAH PELUANG DR ZAMBRY BENTANG BAJET 2010

Harap-harap jangan ada pihak membuat kacau atau mencabar polis di Ipoh hari ini.

Ini kerana sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini untuk pembentangan Bajet 2010 negeri. Berilah peluang untuk Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menjalankan tugasnya.

Kelab Penyokong Kerajaan Negeri Perak (BN BBC Perak) malam semalam meminta polis menyiasat dan mengambil tindakan terhadap rancangan pihak tertentu untuk mengganggu DUN Perak hari ini.

Pengerusinya, Datuk Nadzri Ismail, berkata beiau difahamkan ada pihak terbabit akan menggunakan taktik kotor dengan menyamar sebagai ahli Pergerakan Pemuda Umno dan penyokong kerajaan.

Katanya, mereka terbabit merancang untuk membuat kecoh dengan menghalang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) terutama daripada pakatan pembangkang daripada menghadiri sidang DUN itu.

"Ini akan membuktikan tuduhan liar yang Umno dan Barisan Nasional (BN) akan menggunakan kekerasan bagi menghalang mereka daripada menghadiri sidang DUN.

"Saya ingin menegaskan kegiatan tidak bertamadun dan biadap ini bukan tradisi dan budaya Umno.

"Saya juga memohon supaya pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan supaya cubaan ini tidak dapat direalisasikan," katanya pada sidang media di Ipoh malam tadi.

Polis boleh berjaga-jaga dan menyiasat dakwaan ini.

Nadzri berkata, beliau sudah mendapat jaminan daripada Ketua Pemuda Umno Perak bahawa ahli pergerakan itu tidak pernah berniat atau berhasrat untuk menghalang mana-mana Adun daripada menghadiri sidang DUN itu.

Katanya, taktik kotor itu bukanlah satu perkara luar biasa kerana sejak Barisan Nasional menubuhkan kerajaan negeri pihak terbabit mencuba pelbagai cara untuk meruntuhkannya.

"Saya bagi pihak Adun penyokong kerajaan mengutuk sebarang usaha tidak bertamadun ini," katanya.

Pergerakan Pemuda Umno Negeri Perak semalam turut menafikan khabar angin akan bertindak ganas bagi menghalang ADUN Pakatan Rakyat menghadiri sidang DUN esok.

Ketuanya Maslin Sham Razman menegaskan perbuatan tidak bertamadun itu bukanlah budaya yang diamalkan Pemuda Umno dan BN selama ini.

"Kami menghormati undang-undang dan sistem demokrasi yang menjadi tulang belakang negara ini. Saya yakin dan percaya cerita yang tersebar ini dikeluarkan pihak tidak bertanggungjawab bertujuan memburuk-burukkan imej BN," katanya dalam sidang akhbar di Ipoh malam semalam.

Polis sudah mengingatkan orang ramai supaya tidak berhimpun berhampiran bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak sepanjang tempoh berlangsung Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) selama tiga hari yang bermula hari ini.

Ia bagi mengelak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkefli Abdullah berkata, polis banyak menerima maklumat terdapat pemimpin-pemimpin parti tertentu dalam ceramah mereka sebelum ini yang menyeru orang ramai supaya berhimpun di bangunan SUK.

"Perhimpunan tanpa permit adalah perhimpunan haram dan menyalahi undang-undang.
Tindakan akan diambil mengikut undang-undang sedia ada ke atas mereka yang terlibat dalam perhimpunan haram, termasuk mereka yang merancang atau yang menganjur perhimpunan-perhimpunan itu,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam.