Monday, April 6, 2009

APABILA AYAT AL-QURAN DIPERSENDA UNTUK POLITIK

Sebelum ini pertelingkahan berlaku di kalangan orang Islam PAS dan UMNO mengenai penggunaan ayat al-Quran untuk kepentingan politik.

Polimik itu tiada penghujung tetapi ternyata daripada ayat al-Quran itulah UMNO dan penyokongnya dilemparkan dengan pelbagai tuduhan, hingga peringkat kafir-mengkafir.

Dengan kata lain, ayat al-Quran untuk PAS lebih banyak mengukum orang lain tetapi untuk UMNO hanya mengemukakan hujah penerangan semata-mata.

Namun kini, kerana PAS merestuinya, orang bukan Islam sewenang-wenangnya menggunakan ayat al-Quran untuk kepentingan politik.

Malah gimik kerajaan negeri Pulau Pinang yang diterajui DAP kononnya mengikuti amalan khaflifah Umar Ab Aziz memulakan episod ini semua.

Kini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Remis dan Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming, dilaporkan mempersendakan ayat-ayat suci al-Quran dan bukan sekali tetapi telah banyak kali ia dilakukan dalam sesi ceramahnya sebelum ini.

Malah BELIAU YANG JUGA Setiausaha DAP Perak, dikatakan mempersendakan ayat suci al-Quran semasa mengadakan ceramah di Bukit Gantang, Perak, malam semalam.

Tindakan Kor Ming yang membaca al-Quran dalam ceramahnya dikatakan dengan tujuan bagi meraih sokongan orang Melayu.

Berikutan itu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mengutuk tindakan itu apabila Presidennya, Datuk Reezal Merican Naina Merican berkata, Kor Ming wajib meminta maaf secara terbuka terhadap perbuatannya itu yang merupakan penghinaan terbesar kepada umat Islam bukan sahaja di negara ini tetapi di seluruh dunia.

Beliau menegaskan, bagaimana mungkin Kor Ming yang langsung tidak beriman dan mempercayai Allah adalah tuhannya dengan sewenang-wenangnya membaca al-Quran demi agenda politiknya.

"Perbuatan ini cukup melampau, satu penghinaan kepada umat Islam, GPMS mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya, kami mahu beliau meminta maaf kepada seluruh umat Islam," katanya.

Sementara itu di Taiping, Perak, Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) membuat laporan polis terhadap Kor Ming.

Laporan tersebut dibuat oleh Presiden BBPM, Osman Abu Bakar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping pada pukul 6.30 petang semalam.
Beliau berkata, ini bukan kali pertama ADUN berkenaan mempersendakan ayat-ayat suci al-Quran tetapi sudah banyak kali dilakukannya bagi meraih sokongan orang Melayu.

"Ini satu penghinaan kepada orang Islam dan kami menuntut Kor Ming meminta maaf kepada seluruh umat Islam.

"Kami juga minta beliau berhenti berkempen menggunakan ayat al-Quran kerana bacaannya bukan sahaja tidak betul malah beliau menyebut ayat yang dibacanya dari 'Surah Aura' yang tidak wujud dalam al-Quran, tetapi yang ada surah al-A'raf," katanya di Taiping.

"Kalau orang bukan Islam boleh mempersendakan ayat suci al-Quran, hina sangatlah kita kerana bertolak-ansur selepas Raja Melayu dan hak-hak istimewa orang Melayu dipermainkan.

"Lebih dikesalkan, ada orang Islam yang hadir pada ceramah itu bertepuk tangan dan bersorak gembira selepas Kor Ming membaca ayat al-Quran walaupun salah," ujarnya.

Katanya, Kor Ming boleh membaca al-Quran kalau dia memeluk Islam atau pun untuk tujuan pembelajaran perbandingan agama.

NAJIB PERLU BERDIRI SENDIRI

Tiada apa-apa sebab lain kenapa Tun Dr Mahathir Mohamad kembali ke UMNO.
Pertamanya, sayangkan UMNO dan kedua kerana Tun Abdullah Ahmad tidak lagi menjadi Presiden UMNO.

Faktor lain adalah tempelan, termasuk untuk memperkuatkan kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Jika Najib menumpang pengaruh atau mengharapkan Dr Mahathir memperkuatkannya maka kepimpinan Najib tidak akan ke mana-mana.

Lagipun, sekiranya Dr Mahathir diserang, Najib juga akan terasa bahangnya.

Mahukan Najib mengambil sebahagian masalah Dr Mahathir?

Pertanyaan ialah apakah akan timbul kembali gelaran-gelaran terhadapnya seperti Mahazalim, Mahafiraun dan sebagainya apabila gelaran itu ‘dilupakan’ selepas beliau nampak ‘membantu’ pembangkang untuk beberapa ketika.

Dengan kembalinya Dr Mahathir itu, UMNO yang sebelum ini diserang akan makin diserang kerana kebimbangan pembakang bahawa Dr Mahathir akan memperkukuhkan parti berkenaan.
Melalui posting saya “Satu lagi kekuatan untuk Najib” pada 28 Mac lalu mengenai kembalinya Tun Dr Mahathir kepada UMNO, antara komen-komen pengunjung mengatakan kemasukan un ke dalam UMNO tidak akan menjamin kekuatan UMNO akan kembali pulih. Ini kerana Tun juga ramai musuh dalam UMNO.

Mengikut Tok Janggut, Tun sekarang bukan Tun dulu lagi.Kata Tok Janggut, kepada Najib nasihat saya, sebagai ketua janganlah terlalu bergantung kepada orang lain terutama kepada penasihat-penasihat yang tak bertauliah. Sesetengah pendapat ada yang mengatakan kemungkinan Najib lebih menyerlah daripada Mahathir.

amirhamzah64 pula setuju dengan tok janggut iaitu Tun pun ramai musuh dalam UMNO.

Musuh Tun dalam UMNO sudah semestinya penyokong Pak Lah. Ada yang menteri dan ada yang ahli parlimen. Pendek kata ada ramai yang tak senang dengan kembalinya Tun terutama di Kubang Pasu.

Sementara seorang lagi pengunjung, sritribuana pula berpendapat, Tun masuk UMNO semula hanya sekadar memberi imej bahawa kepimpinan Najib dan dialu-alukan. Apapun, kekuatan sebenarnya mestilah datang daripada akal Najib.Belaiu bukan penumpang. Najib adalah nahkoda.

Serangan terhadap Dr Mahathir sudah bermula.

Naib Presiden Keadilan, Mustaffa Kamil Ayub berkata walaupun kemunculan bekas Perdana Menteri itu dengan hasratnya untuk kembali kepada Umno di tengah-tengah kempen pilihan raya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau, ia tidak sedikitpun mampu menyekat gelombang kebangkitan rakyat terhadap Pakatan Rakyat.

Katanya dalam usaha meraih sokongan pengundi terutama golongan luar bandar, BN akan mengetengahkan Mahathir sebagai tokoh yang masih diingati oleh rakyat.

Sementara gandingan bekas Perdana Menteri itu bersama barisan kepimpinan baru Umno pasca pemilihan agungnya baru-baru ini memperlihatkan satu kepimpinan yang tidak akan memberi ruang kepada demokrasi.

Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Azmi Abdul Hamid, berkata sebaliknya, mereka yang terpilih itu kebanyakannya terbabit dengan amalan politik wang dan amalan rasuah yang disahkan sebagai satu penyakit yang tidak boleh diubati dalam Umno.

Lantaran itu kata Azmi yang dihubungi berkata, gabungan antara Presiden Umno yang baru dan Dr Mahathir itu tidak membawa apa-apa perubahan sebagaimana diharapkan rakyat.

Daripada apa yang diperkatakan, jelas Najib perlu berdiri sendiri dan faktor lain hanya sebagai tempelan sahaja.

Rakyat mahu melihat arah sebenar kepimpinannya dan slogan-slogannya perlulah mantap seperti slogan Dr Mahathir ‘Kepimpinan Melalui Teladan’ selain dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam dan Abdullah pula dengan ‘Cemerlang, Gemilang, Terbilang’ dan Islam Hadhari.’

Benar Najib sudah cuba memperkelakan Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan tetapi slogan lebih mudah bukan dalam bentuk janji perlu diperkenalkan.

Soal paling penting ialah Najib mempergunakan proses penautan dalam UMNO sebagai bentang dan perjuangkan cita-cita murni UMNO iaitu kea rah perpaduan negara sambil menjamin Melayu dan Islam menjadi teras apa juga dasar dan pelaksanaannya.

Najib tidak ‘ditimbulkan’ melalui Barisan Nasional tetapi UMNO dan beliau jangan lupa asal usul dan paksinya iaitu UMNO.

Kerana UMNOlah Najib menjadi Presiden UMNO yang membolehkan beliau menjadi Perdana Menteri!

Sunday, April 5, 2009

NAJIB, JUST DO IT

Tahniah buat Datuk Seri Mohd Najib Razak kerana akhirnya Allah s.w.t. tetap meletakkan beliau pada mercu puncak kuasa yang sebelum ini beberapa kali, nampak seolah-oleh ia sesuatu yang sedikit sukat untuk beliau capai.

Saya teruja dengan ucapan sulung Najib sebagai Perdana Menteri yang mengajak seluruh rakyat bersama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat negara dengan semangat Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Tema ini tidak jauh daripada tema baru kerajaan Terengganu iaitu ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ yang turut memberikan kepentingan rakyat. Dengan kata lain impak maksimum pentadbiran dan pembangunan hendaklah dituju dan dirasai oleh rakyat.

Bagi Menteri Besar Terengganuy Datuk Ahmad Said, keutamaannya adalah kesejahteraan dan kemakmuran rakyat dalam apa juga tindakannya.

Najib menegaskan bahawa kepimpinannya kelak membawa pendekatan baru bagi menjelmakan sebuah kerajaan yang mengutamakan prestasi berpaksikan keutamaan rakyat. Menurutnya, kerajaan akan mengutamakan rakyat dan merentasi seluruh lapisan masyarakat serta kumpulan etnik di setiap pelosok tanah air.

Amat jelas kini, Terengganu dan pentadbiran Putrajaya selari dalam melaksanakan pentadbiran dan pembangunan untuk rakyat.

Dengan matlamat menjadikan Satu Malaysia, Najib meletakkan asas perpaduan yang menjadi asset utama Malaysia kerana kejayaan dan kemajuan Malaysia berpaksikan kedudukan ini.
Najib cuba memberitahu orang Melayu bahawa mereka perlu sedar bahawa kewujudan kaum lain di negara ini bukan untuk menganggu-gugat tetapi sama-sama membangunkan Malaysia sebagai negara yang dihormati dan disegani.

Dengan itu, mereka kena belajar untuk ‘memberi’ dan tidak hanya penerima. Sementara untuk bukan-Melayu, mereka jangan hanya meminta-minta tetapi turut sama memberi untuk menjamin orang Melayu meyakini bahawa mereka juga sebahagian rakyat perlu sama ‘berkorban’.

Dan apabila Rakyat Didahulukan, dengan sendirinya pentadbiran dan pembangunan adalah bertujuan memberikan segala-galanya demi kepentingan rakyat. Harapan ialah rakyat akan menikmati segala kemudahan dan pembangunan yang disediakan.

Soal penting di sini ialah kerajaan pimpinan Najib akan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan elit dan puak-puak yang selama ini mampu mempengaruhi mereka yang berkuasa untuk memberikan mereka keutamaan.

Persoalannya sejauh mana kumpulan ini ‘disisihkan’ dan membuka jalan kepada rakyat untuk dijadikan priority pada pentadbiran ini?

Kita tunggu dasar dan pelaksanaan yang dikatakan sebagai Rakyat Didahulukan. Rakyat kini bukan seperti dahulu lagi kerana mereka tahu apa dasar dan apa pula rancangan untuk mereka. Dasar dan pentadbiran yang mendahulukan rakyat akan memberikan impak besar kepada rakyat dari segi keuntungan, bukan kerugian atau yang menjadi penyebab kepada masalah rakyat.

Pencapaian Diutamakan sudah pasti jika ia untuk rakyat, rakyatlah akan mendapat manfaatnya.
Janji Perdana Menteri perlu ditunai kerana kita bimbang pisang berbuah dua kali. Kita masih ingat bagaimana pada 2004 rakyat memberikan sokongan sepenuhnya kepada Abdullah tetapui di penghujung pentadbirannya sokongan menjadi layu dan beku.

Saya mengharapkan sangat Najib dapat deliver apa yang beliau janjikan kerana rakyat akan menjadi pengadil. Mereka akan menentu bentuk kerajaan yang akan mentadbir dan menguruskan negara.

Kegagalan untuk memenuhi janji – walau sebaik manapun jan ji berkenaan – akan menyebabkan kerajaan akan ditolak. Apabila kerajaan ditolak, Najib juga akan ditolak san akhirnya UMNO akan ditolak.

Sanggup dan mahukan Najib menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO yang ditolak dan menjadi Perdana Menteri terakhir dari UMNO?

Untuk rakyat yang dijadikan keutamaan oleh Najib dan untuk Najib sendiri dihargai dan disanjungi bukan sahaja sebagai perdana menteri tetapi juga anak kepada bekas Perdana Menteri yang berjaya, tema baru ini perlu direalisasikan.

Bola ada di kaki Najib dan Najib sahajalah yang mampu melakukannya. Tidak perlu slogan besar.
Dan saya sangat yakin Najib boleh melakukannya. Just Do It!

Wednesday, April 1, 2009

BUATLAH KERJA LEMBAGA DISIPLIN!

Kenyataan bahawa beberapa pemegang jawatan tinggi Umno kini disiasat susulan aduan berlaku amalan politik wang dua tiga hari menjelang perhimpunan agung parti itu minggu lalu tidak lagi mendatangkan kebaikan kepada UMNO.

Lembaga Disiplin tidaklah usah membuat kenyataan sebegini kerana ia tidak mendatangkan sebarang kebaikan kepada UMNO.

Dengan kata lain, Lembaga Disiplin patut lakukan siasatan dan jatuhkan hukuman setimpal, bukan membuat kenyataan untuk mencari publiti murahan.

Bagi saya kenyataan Ahli Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas bahawa pemegang jawatan tinggi sedang disiasat hanya gimik politik yang merugikan UMNO.

Kata-kata bahawa: "Saya tak ariflah kes yang mana disiasat sekarang tapi saya dengar memang ada kes yang sedang disiasat. Sampai hari ini boleh tahan jugalah (bilangannya). Berkaitan dengan jawatan tinggi pun ada banyak.”, bukan sesuatu yang positif.

Beliau ditanya sama ada masih terdapat laporan politik wang yang disiasat oleh lembaga itu walaupun selepas perhimpunan agung Umno itu berakhir Sabtu lalu.

Yang menghairankan apabila ditanya sama ada kes berkenaan membabitkan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, beliau cepat-cepat mengelak dengan mengatakan sekiranya terdapat bukti sesiapapun akan dikenakan tindakan.

"Sesiapapun kita akan dakwa kalau ada bukti sahih yang teguh, tapi kalau bukti tak kuat, susah. Baik laporkan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Lembaga Disiplin," katanya.

Kerana kenyataan dan pendirian yang berubah-ubah Lembaga Disiplin, adalah baik lembaga itu disusun semula seperti disarankan oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kenyataan am mengenai siasatan terhadap orang penting UMNO akan membuka ruang kepada kritikan oleh pemimpin pembangkang dan ini akan merugikan UMNO apa lagi ketika UMNO dan Barisan Nasional berdepan pilihan raya kecil di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Air.

Saya menyokong penuh pendirian Pergerakan Pemuda Umno yang tidak mahu siasatan Lembaga Disiplin terhadap beberapa pemimpin yang didakwa terbabit dengan politik wang menjelang pemilihan minggu lalu mengganggu tugas jentera Barisan Nasional (BN) di tiga pilihan raya kecil yang berlangsung sekarang.

Naib Ketuanya, Datuk Razali Ibrahim, berkata urusan dalaman Umno itu tidak seharusnya menjadi topik perbincangan sepanjang tempoh kempen pilihan raya kecil berkenaan kerana ia tidak langsung membawa keuntungan kepada BN.

"Saya harap pucuk pimpinan pun tak perlulah panjangkan-panjangkankan dan kalau ada laporan, buatlah siasatan.

Kita tak mahu itu menjadi topik perbincangan kerana kita ada urusan lebih besar untuk memastikan BN menang di ketiga-tiga pilihan raya kecil yang sedang berlangsung," katanya semalam.