Monday, December 15, 2008

PETROL DAN DIESEL TURUN 10 SEN LAGI ESOK

Syukur Alhamudulilah.

Kerajaan mengurangkan harga runcit petrol dan diesel sebanyak 10 sen seliter berkuatkuasa esok 16 Disember.

Dengan itu harga petrol RON97 dikurangkan daripada RM1.90 seliter kepada RM1.80 seliter; petrol RON92 daripada RM1.80 seliter kepada RM1.70 seliter dan diesel daripada RM1.80 seliter kepada RM1.70 seliter.

Ini adalah kali ketujuh kerajaan menurunkan harga minyak sejak 2 Disember lalu iaitu pada 23 Ogos, 24 September, 15 Oktober, 1 November dan 18 November 2008.

Pada 2 Disember lalu, harga petrol RON97 diturunkan daripada RM2 kepada RM1.90 seliter manakala petrol RON92 dan diesel masing-masing daripada RM1.90 kepada RM1.80 seliter.

Pada 17 November, kerajaan mengumumkan harga minyak diturunkan sebanyak 15 sen berkuat 18 November dengan harga petrol RON97 turun daripada RM2.15 kepada RM2 seliter manakala RON92 dan diesel masing-masing daripada RM2.05 kepada RM1.90 seliter.

Pada 14 Disember lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad membayangkan harga runcit minyak petrol dan diesel di negara ini akan diturunkan lagi dalam masa terdekat.

Beliau berkata, buat masa ini masih terdapat ruang untuk harga petrol dan diesel diturunkan sedikit lagi berikutan penurunan berterusan harga bahan api itu di pasaran global.

Menurutnya, pada kebiasaannya kerajaan mengadakan semakan terhadap harga bahan api itu pada awal atau pertengahan bulan sebelum membuat sebarang pengumuman.



MUNGKINKAH MOHD ZUBER?

'Telur yang direbus tidak akan direbus lagi...'”

Ia membawa maksud calon yang sudah bertanding dalam pilihanraya, tidak akan dipilih bertanding lagi.

Perkataan itu diucapkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak Sabtu lalu ketika berucap pada majlis Penutup Pemukiman UMNO Terengganu dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya P036 Parlimen Kuala Terengganu di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI) Kuala Terengganu, Sabtu lalu.

Semalam dan pagi ini saya di Kuala Terengganu dan sedang mencari jawapan kepada apa yang disebutkan oleh Najib itu.

Sukar untuk ‘membuka mulut’ pemimpin UMNO Terengganu mengenai bakal calon BN.

Mungkin kerana ini menjadikan media pro-pembangkang semakin pening meramalkan calon Barisan Nasional-UMNO, walaupun mereka sebenarnya lebih pening untuk meramalkan calon Pakatan Rakyat.

Sebelum ini, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang juga ketua Umno Kuala Terengganu, disebut-sebut akan menjadi calon BN dalam pilihanraya kecil tersebut.

Portal berita berbahasa Inggeris, The Malaysian Insider berkata Ahmad Farid ‘sudah gugur’ dariapada senarai akan dicalonkan bertanding kerana perlantikan semula sebagai senator.

Kata portal itu, selain Ahmad Farid dan Datuk Zuber Embong, nama lain ialah Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kuala Terengganu, dan mungkin juga Datuk Roslan Awang Chik.
Roslan adalah bekas wakil rakyat Ladang pada 1995 sebelum kalah pada 1999 kepada Dr Sulaiman Abdullah daripada PAS.

Dengan meramalkan nama-nama seperti Zuber, bekas calon BN pada 1990 yang kalah kepada calon Semangat 46 Datuk Abdul Manan Othman, yang kini Ketua Penerangan sebagai calon, media pro-pembangkang, khususnya Malaysiakini mula terjah tidak tentu hala.

Mereka ‘tidak dapat mengagak dan tidak dapat membaca pemikiran Najib ’ dan kerana itu sukar meneka siapa calon BN pada ketika belum pasti dengan siapa akan menjadi calon Pakatan Rakyat.

PAS dan Keadilan nampaknya berusaha mencari kata sepakat menentukan calon mereka untuk berdepan BN kali ini.

Lebih jauh, media pro-pembangkang mengatakan keputusan kerajaan Terengganu tidak melantik semula ketua Puteri Umno negeri itu, Nordiana Shafie sebagai ahli Dewan Negara, mencetuskan spekulasi baru tentang kemungkinan beliau bakal dipilih sebagai calon BN dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Ini berikutan seorang lagi senator dari Terengganu - Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang sebelum ini disebut-sebut mungkin dipilih sebagai calon BN - dilantik semula sebagai senator.

Wan Ahmad Farid dilantik untuk penggal kedua bagi mengisi satu dari dua kerusi wakil Terengganu dan kini ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Satu lagi kerusi senator bagi Terengganu akan diisi oleh Naib Ketua Wanita Umno negeri, Fatimah Ahmad, yang juga seorang pesara guru.

Nordiana yang juga ahli Majlis Tertinggi (MT), yang juga ketua Puteri Kuala Terengganu Terengganu dilantik sebagai senator pada tahun 2005 dan berakhir pada 22 Disember ini.

Seorang senator boleh dilantik ke Dewan Negara untuk dua penggal.

Laporan Malaysiakini yang memetik sumber berkata, pemilihan Nordiana sebagai calon BN dalam pilihanraya kecil tersebut boleh menarik sokongan dari pengundi wanita yang merupakan sebahagian daripada 80,229 pengundi di situ.

Bagaimanapun ada pihak mengatakan belum masanya lagi meletakkan calon wanita di kerusi tersebut..

“Lagipun beliau sudah bertanding di DUN Batu Burok dalam pilihanraya umum lalu dan kalah pula. Seperkara lagi, Nordiana juga masih dalam pantang bersalin,” katanya.

Nordiana berkata, setahunya, setakat ini, beberapa nama disebut-sebut termasuk Wan Ahmad Farid, yang juga ketua Umno bahagian Kuala Terengganu.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas ketika ditanya mengenai kemungkinan beliau juga tersenarai untuk dipilih sebagai calon BN, apabila tidak dilantik semula sebagai senator.

Ditanya mengenai pengundi wanita di bahagian tersebut, Nordiana berkata, BN, khususnya Umno, mampu menarik untuk wanita menyokong calon BN pada 17 Januari lalu.

Mungkin di kalangan pemerhati dan penganalisis terlepas pandang ialah Mohd Zuber Embong, yang tidak aktif dalam politik, tetapi kini merupakan Ketua Sektor (Akademik) Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu.

Malah, usaha mencari jawapan kepada cerita telor oleh Najib itu turut terbawa-bawa hinggalah ke waktu makan tengah hari tadi dengan anak buah lama ketika di Harian Metro yang kini Ketua Biro Berita Harian Terengganu, Abdul Halim Md Yusoff, wartawan sambilan Berita Harian, Hamid Salleh dan Nasharudin Mohamad, Ketua Biro Harian Metro Wilayah Timur.

Bagaimanapun, petang ini, seseorang sms kepada saya mengatakan “Mungkin BN akan pilih Zuber....dia bukan Zuber Embong, Ketua Penerangan UMNO Terengganu tetapi Ketua Sektor (Pengurusan Akademik) Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu lulusan university di Australia (Canberra), berusia 44 tahun dan merupakan Ahli Jawatankuasa Penerangan Negeri Terengganu.”

Mohd Zuber ialah Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kuala Terengganu.

Ia belum pasti benar tetapi sekurang-kurangnya sudah ada sedikit jawapan setakat ini. Hanya Najib yang boleh mengesahkan ‘cerita telurnya’ Sabtu ini apabila beliau sekali lagi ke Terengganu.

Sama-samalah kita tunggu jawapan Naib – Zuber Embong atau Mohd Zuber Embong.

Pada 14 Disember lalu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) meminta kerajaan mempertimbangkan ahli Parlimen yang mempunyai latar belakang pendidikan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Allahyarham Datuk.

Timbalan Presidennya, Syed Anuar Syed Mohamed berkata, jika jawatan timbalan menteri berkenaan tidak dapat diberikan kepada seorang yang pakar dalam pendidikan, sekurang-kurangnya biarlah individu itu mempunyai pengalaman dalam bidang tersebut seperti Razali.

Katanya, langkah itu untuk kebaikan kerana pengganti yang berpengalaman dalam bidang pendidikan sudah tentu mampu membuat keputusan wajar dalam menghadapi masalah atau isu berkaitan yang timbul.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah menetapkan tarikh penamaan calon pada 6 Januari manakala pengundian pula pada 17 Januari depan.

Sunday, December 14, 2008

KITA SEMUA ‘BERHUTANG’ DENGAN DR M

Isunya ialah royalty RM400 juta untuk Terengganu pada posting saya Khamis, 11 Disember lalu.

Saya mengatakan ia besar maknanya untuk rakyat dan negeri Terengganu. Sebahagian besar wang wang royalti minyak itu akan digunakan untuk tujuan pengurusan dan pembangunan negeri selain disimpan dalam simpanan tetap. Apa yang menarik ialah komen-komen terhadap posting berkenaan.

Menurut Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, bayaran itu adalah tambahan selepas pembayaran royalti lima peratus daripada pengeluaran 400,000 tong minyak sehari atau lebih RM50 bilion setahun dari telaga minyak yang terdapat di perairan negeri ini. Walaupun harga minyak mentah telah menurun namun kerajaan negeri bakal menerima royalti minyak daripada kerajaan Persekutuan.

Gara-gara royalti ini, ada yang masih mengutuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai isu royalti dengan mengatakan beliau sebagai ‘Firaun’ dan ada pula yang membela.

add pada 12 Disember 2008 mengatakan “Firaun firaun juga yang kau dok senang lenang sekarang ni dengan jasa Mahathir la . Kalau berani tunjukan diri anda wahai dayus,,”

Dan Jeghai, pula pada 13 Disember berkata: “Aik...marah jugak juak pencacai ni ha ha...Aku tak terhutang budi pun dengan si DrM tu.Dia lagi dahsyat memerintah dari PakLah. Kau nak cari aku...ha ha...tunggu kat kaki Bukit Antarabangsa. Jangan marah kang kena jual cam perwakilan parti sarkas tu.”

Apa yang saya mahu timbulkan ialah pantang bagi saya orang memperkecilkan sumbangan bekas pemimpin negara kita, tidak kiralah sama ada pembangkang atau juga kerajaan, apa lagi yang berjawatan Perdana Menteri.

Hanya kerana membangkang kita janganlah pula membenci atau mengutuk seseorang sehingga ke tahap perkataan “Aku tak terhutang budi pun dengan si...”. Mungkin perkataan ini sesuai untuk kawan-kawan tetapi tidak dengan guru, pemimpin atau juga ibu bapa kita.

Tidak tahulah saya apa yang dimaksudkan oleh seseorang apabila dia berkata demikian, apalagi ‘menghina’ Dr Mahathir sampai ke peringkat demikian.

Saya memperturunkan banyak perkara mengenai jasa Dr Mahathir sepanjang 20 tahun menjadi Perdana Menteri (1982-200) melalui buku saya ‘Dr Mahathir: Amanah dan Visi’.

Tidak apa, lupakan soal jasa-jasa besarnya dalam konteks pembangunan tetapi lihat dua perkara lain yang saya ingin pembaca renungkan bersama.

Satu ialah keamanan dan kestabilan politik dan satu lagi dasar-dasar Islam sepanjang pemerintahannya.

Jika direnung kembali, keamanan yang dicapai di bawah pemerintahan 22 tahun Dr Mahathir, kita boleh menarik nafas lega.

Walaupun ada usaha luar untuk menggugat Malaysia, khususnya cuba mewujudkan pertelingkahan antara kaum, kepimpinan Dr Mahathir berjaya melenyapkannya.

Kerana keamanan, ekonomi negara pernah mencapai pertumbuhan 10 peratus selama 10 tahun berturut-turut dan pada ketika itu Malaysia adalah antara negara yang ditakrifkan sebagai mencapai pertumbuhan paling cepat di dunia.

Perpaduan dan keharmonian rakyat juga membolehkan kita menjadi contoh pada peringkat antarabangsa dan kita bersuara lantang kerana negara kita tiada krisis besar.

Kita ke depan untuk gerakan memerdekakan beberapa negara termasuk Afrika Selatan, Namibia, Bosnia-Herzegovina serta negara-negara di Eropah Timur dan bekas negara Soviet Union.

Kita ke depan dalam gerakan Pergerakan Berkecuali, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Komanwel serta Asean kerana kita menjadi contoh negara pelbagai kaum tetapi tetap aman dan harmoni.

Dalam konteks Islam pula, Dr Mahathir adalah pengerak kepada kewangan Islam, perbankan Islam, institusi zakat dan Universiti Islam Antarabangsa.

Memang tidak dinafikan, ia lahir daripada pemikiran secara berkumpulan tetapi jika tiada kesungguhan dan political will, segala usaha tidak akan sampai ke mana-mana.

Kenapa kita dipilih menganggota D-10, iaitu sepuluh negara ekonomi Islam maju dan juga Pengerusi OIC sehingga membolehkan sidang kemuncak OIC diadakan di Putrajaya?

Jawapannya, ia bukan kerana ada Islam Hadhari ketika itu tetapi kerana dasar Penerapan Islam, dasar-dasar dan pelaksanaan pendidikan dan ekonomi kita dihormati antarabangsa.

Melaksanakan dasar Islam tidak semestinya oleh mereka yang hari-hari bercakap Islam tetapi tidak melaksana dan menterjemahkannya dalam konteks kehidupan seharian.

Kenapa orang bukan Islam dan bukan Melayu menerima Bank Islam? Kenapa mereka melanggan insurans Islam dan kenapa pula negara bukan Islam melihat institusi kewangan Islam sebagai antara sistem yang terbaik dan terjamin?

Bagi generasi muda yang masih bersekolah pada 1980an dan 1990an, mereka tidak merasai betapa sukarnya untuk meyakinkan orang Islam mengenai dasar Penerapan Islam di Malaysia.

Namun, ternyata apa yang ada umpamanya dasar-dasar berkaitan Islam seperti mahkamah, peguam dan undang-undang, selain bidang kewangan dan ekonomi, ia lahir dan diperkukuhkan sepanjang 22 tahun Dr Mahathir berkuasa.

Keamanan dan keharmonian yang dicampur dengan dasar Islam yang saksama, selain kerajaan yang meletakkan Islam di tempat sewajarnya menjadikan dunia mengiktiraf Malaysia sebagai negara contoh biarpun ada bukan Islam yang agar besar mendiami negara ini.

Jawapan saya ialah pengalaman meliputi persidangan antarabangsa – sama ada membabitkan Islam, ekonomi, diplomasi serta juga pembangunan pada ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri – menjadikan saya terhutang budi dan amat menghormati Dr Mahathir.

Saya belum menceritakan bagaimana Dr Mahathir menjadi juru jual negara Malaysia dan jurucakap bagi peniaga dan tokoh korporat kita di luar negara untuk menjamin kita ada kereta dan lori buatan tempatan dan sebagainya.

Mungkin yang memperlekeh dan memperkecilkan Dr Mahathir adalah generasi baru yang tiba-tiba merasai kesenangan dengan dapat belajar di universiti tempatan atau juga luar negara melalui pinjaman atau juga biasiswa hasil dasar kerajaan yang mementingkan pendidikan untuk pembangunan.

Kalaupun tidak mahu bersyukur dan berterima kasih kepada Dr Mahathir, janganlah mengatakan ‘aku tidak berhutang dengan si...’ kerana hutang bukan dalam bentuk pitih, duit atau wang semata-mata.

Hutang juga dalam bentuk jasa-jasa menjadikan Malaysia sebagai negara aman, harmoni, mewah dan stabil seperti yang dikecapi hari ini.

Belajarlah bahawa demokrasi dan kesamarataan yang dilaung-laungkan oleh sesetengah pihak bertujuan menjadikan Malaysia huru-hara kerana dengannya ‘orang lain boleh memegang kuasa’ dan pada ketika itu, Melayu yang kini bangsa ketinggalan dalam segala bidang akan haprak jadinya.

Pada ketika itu, mencari seorang Mahathir baru bukan mudah dan kalau terjumpa pun, suasana dan scenario politik sudah berbeza.
Jadilah Melayu yang tidak mudah lupa!

CALON - UMNO TIDAK MEMBISU

Siapa kata UMNO Terengganu membisu mengenai calonnya untuk Parlimen Kuala Terengganu.

Malaysiakini jangan buat cerita tidak berasas. Membisu membawa erti negatif seolah-olah tidak yakin dan tidak pasti.

Saya yakin UMNO sudah kenal pasti calonnya dan sejauh ini sumber UMNO bnerkata tiada perebutan mengenainya.

Jadi, adalah baik sebelum menuding kepada UMNO, lihat dulu apa jadi dalam Pakatan Rakyat sendiri.

Kalau PAS atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah ada calon dan ditonjolkan, barulah boleh mengatakan UMNO membisu.

Sedangkan PAS dijangka akan mengumumkan calonnya pada 21 Disember ini – seminggu dari sekarang - dan kenapa tidak mengatakan PAS sebenarnya membisu kerana turut tertangguh-tangguh untuk mengumumkan calonnya.

Pengarah Jawatankuasa Induk Pilihan Raya Kecil P.36 Kuala Terengganu, Nasharudin Mat Isa menegaskan mesyuarat jawatankuasa tersebut akan diadakan di Kuala Terengganu pada 21 Disember 2008 ini.
Katanya, pada mesyuarat tersebut perbincangan lebih menjuruskan mengenai polisi parti termasuk bakal calon yang akan bertanding.

Wartawan yang menulis berita ini, Muda Mohd Noor sepatutnya bertanya kenapa PAS lewat mengumumkan calonnya apakah kerana sukar memilih atau kerana adanya pendapat dan pandangan berbeza antara cadangan Datuk Nik Abdul Aziz dengan kehendak PAS Terengganu sendiri.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam berkata beliau akan mengumumkan calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu minggu depan.

Hari ini sudah Ahad – minggu depan bermakna – mungkin Khamis, Jumaat atau Sabtu dan dijangka akan mengumumkan sebelum 21 Disember.

Menurut Najib, Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menyerahkan tanggungjawab untuk mengumumkan calon pada pilihan raya kecil itu kepada beliau.

Katanya: “Sesiapa saja yang akan jadi calon tak penting tapi yang penting beliau mempunyai sikap dan sifat yang disenangi pengundi seperti merendah diri, tidak sombong dan mesra rakyat.”

Bercakap di Kuala Terengganu semalam Najib berkata: “Saya sudah diberikan mandat untuk mengumumkan nama calon berkenaan namun saya tidak mahu menyebut soal calon kerana agenda hari ini ialah mengenai jentera pilihan raya.

“Saya mungkin mengumumkan nama calon BN minggu depan," katanya berucap pada Majlis Penutup Pemukiman UMNO Terengganu dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya P036 Parlimen Kuala Terengganu di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI).

Najib dijangka menghadiri satu majlis di Kuala Terengganu minggu depan.

Berikutan itu Najib berharap semua peringkat ahli UMNO dan BN terus memberi sokongan bagi memastikan kemenangan berpihak kepada calon BN.

Beliau menambah, pengundi adalah perkara yang paling penting dan harus diberi keutamaan melebihi perkara-perkara lain dalam pilihan raya umum atau kecil.

"Kita mesti faham dalam masa pilihan raya yang lebih penting bukanlah jentera UMNO, ketua cawangan dan ahli jawatankuasa cawangan, tetapi pengundi yang paling penting kerana mereka adalah 'raja' semasa pilihan raya," jelasnya.

Ketua Umno bahagian Kuala Terengganu, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh disebut-sebut sebagai calon BN dalam pilihanraya kecil itu.

Timbalan ketua bahagian Mohd Sabri Alwi, ketua penerangan Umno negeri Datuk Zuber Embong, bendahari Umno negeri Datuk Roslan Awang Chik dan pegawai jabatan pelajaran negeri Mohd Zuber Embong turut dispekulasi.

Kerusi itu kosong susulan kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail akhir tahun lalu.

Hari penamaan calon ditetapkan 6 Januari dan pengundiannya pada 17 Januari. Terang lagi bersuluh, wartawan Malaysiakini macam sengaja mengada-gada buat cerita berkenaan hanya memetik sumber Setiausaha badan perhubungan Umno negeri Datuk Rosli Mat Hassan sudah pasti kalau pun tahu beliau akan mengatakan “tidak tahu” nama calon tersebut.

Lebih jelas Rosli pun berkata: "Tetapi saya tidak tahu. (Nama) itu kena tanya Datuk Ahmad Said (menteri besar Terengganu)," katanya.

Ini namanya berita yang diputarbelit kerana kepentingan Malaysiakini yang sepatutnya bebas tetapi seakan-akan menyokong pembangkang.

Apa pun, bak kata Najib, BN perlu mencatatkan kemenangan pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang akan diadakan pada 17 Januari ini bagi membuktikan ia adalah sebuah parti yang masih diterima oleh rakyat.

Menurutnya, kejayaan dalam pilihan raya kecil itu nanti merupakan titik permulaan kebangkitan UMNO dan BN selepas kekalahan pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang tahun lepas.

“Kita tak boleh dan tak mampu kalah dalam pilihan raya kecil ini kerana kemenangan di Parlimen Kuala Terengganu adalah penting bagi masa depan kita. Ini kerana ia akan menjadi isyarat jelas kepada seluruh dunia bahawa rakyat Malaysia tetap memilih BN sebagai parti pilihan utama mereka," katanya.

Untuk mencapai kemenangan itu, Najib meminta semua ahli UMNO dan BN supaya merapatkan barisan dan bersatu hati tanpa mengira siapa calon yang akan dipilih bertanding dalam pilihan raya kecil itu nanti.

"Saya mahu semua pihak di peringkat bahagian, negeri dan kebangsaan bekerjasama dan bersatu padu dalam memastikan kejayaan ini. Ia perlu bermula daripada peringkat pemimpin kerana jika di atas sudah molek (baik) maka di bawah juga akan molek," ujarnya.

Beliau memberitahu, kekalahan yang dialami oleh BN di Terengganu pada pilihan raya umum 1999 bukan kerana parti pembangkang kuat tetapi ahli UMNO sendiri tidak menyokong parti.

Ini kerana menurut Najib, ahli-ahli UMNO sendiri sanggup mengkhianati dan bermuka-muka dengan kita. Mereka tidak sokong parti berikutan pemimpin pilihan mereka tidak dipilih sebagai calon untuk bertanding.