Saturday, November 8, 2008

PERTANDINGAN MAJLIS TERTINGGI SEMAKIN MERIAH

Apa nasib mereka yang tidak memegang jawatan penting kerajaan dan agensinya tetapi bertanding kerusi Majlis Tertinggi UMNO (MT)?

Mampukah di kalangan mereka yang tidak berjawatan memenangi atau mempertahankan kedudukan mereka sebagai ahli MT?

Sejarah sebelum ini menunjukkan ada di kalangan mereka yang memenangi jawatan MT biarpun tidak memegang jawatan penting dalam kerajaan negeri atau Pusat.

Pada pemilihan 2004, mereka ialah Tan Sri Annuar Musa yang menang tempat ke lapan, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik (14) dan Dato Dr. Norraesah Haji Mohamad (20). Annuar tidak bertanding kali ini sementara Rahim dan Dr Norraesah mempertahankan jawatan.

Pada pemilihan kali ini, mereka yang tidak berjawatan penting dalam kerajaan perlu berdepan dengan hampir 30 orang termasuk sembilan menteri, sembilan timbalan menteri, serta enam menteri besar dan ketua menteri, telah memperolehi pencalonan yang mencukupi untuk bertanding kerusi Majlis Tertinggi (MT) Umno dalam pemilihan parti itu Mac depan.

Mungkin ada lagi yang akan layak dengan mesyuarat Bahagian berlangsung lagi hari ini dengan esok.

Malah beberapa bahagian yang bermesyuarat selepas 9 November (esok) juga boleh membuat pencalonan.

Kali ini antara mereka yang tidak memegang jawatan Menteri atau Timbalan Menteri tetapi mempertahankan jawatan ialah, bekas Timbalan Menteri yang juga Pengerusi PNS Datuk Dr. Awang Adek Hussin ( 56 pencalonan), bekas Menteri Besar Terengganu dan kini Pengerusi Mara, Datuk Idris Jusoh ( 44), bekas Menteri, Datuk Dr Jamaluddin Jarjis ( 23), bekas Timbalan Menteri, Datuk Abdul Rahman Bakar ( 23), bekas Menteri, Datuk Abdul Aziz Shamsuddin ( 22), serta (yang turut hadir pada mesyuarat MT) iaitu bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Mahdzir Khalid ( 74 pencalonan).

Kalangan mereka yang langsung tidak memegang jawatan agensi kerajaan dan turut layak ialah Ahli mParlimen Batu Pahat, Datuk Dr Mohd. Puad Zarkashi ( 72 pencalonan) bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim ( 49), Seantor Datuk Syed Ali Alhabshee ( 32), Datuk Radzi Manan (19) dan Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar ( 19). Yang lainnya ialah bekas Exco Perak, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir ( 53) dan bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir ( 53), bekas Timbalan Menteri, Datuk Anifah Aman (45) serta Datuk Abdul Latif Mirasa ( 35).

Sementara Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohd. Alwi Che Mat ( 34), Datuk Dr Hilmi Yahya (34), dan Ketua Putera UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim ( 30) turut layak.

Turut layak bertanding ialah Penasihat Kementerian Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Zainal Abidin Osman (106), Pengerusi SPNB, Datuk Azian Osman ( 99), Pengerusi Felcra, Datuk Tajuddin Abdul Rahman ( 98), dan ahli MT dilantik, Datuk Mohamad Norza Zakaria ( 55).
Turut mendapat pencalonan yang mencukupi ialah Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Datuk Bung Moktar Radin yang mendapat 27 pencalonan.

Selebihnya adalah mereka yang menjawat jawatan penting dalam kerajaan Pusat dan negeri. Mereka termasuk Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar ( 125 pencalonan), diikuti Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman (117); Menteri Kerjaraya, Datuk Mohd Zin Mohamed ( 112); Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed (111); Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman ( 107); Pengerusi SPNB, Datuk Azian Osman ( 99); Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman ( 98); Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob ( 98) dan Menteri Besar Pahang, Datuk Adnan Yaakob yang memperolehi 89 pencalonan.

Menteri yang turut layak bertanding MT ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad ( 80); Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek ( 65); Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Zulhasnan Rafique ( 59); dan Menteri Tenaga, Air dan Komunikas, Datuk Shaziman Abu Mansor (49).

Turut layak bertanding ialah Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Abdul Latif Ahmad yang memperolehi 85 pencalonan); Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Hamzah Zainudin ( 77); Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Husni Ahmad Hanadzlah ( 71); Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron ( 56); Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Johari Baharom ( 55); Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Saifuddin Abdullah ( 51); Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Lajim Ukin (49), dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Hasan Malek ( 24).

Calon wanita pula ialah Menteri Pelancongan, Datuk Azalina Othman Said ( 89), Datuk Noraini Ahmad, Timbalan Menteri Sumber Manusia (71), Ketua Wanita Umno Johor, exco Wanita Umno, Datuk Dr Noraesah Mohamad (29) dan Datuk Halimah Mohd Sadique yang mendapat 20 pencalonan. Turut mendapat pencalonan ialah Naib Ketua Wanita Pusat, Datuk Shahrizat Abdul Jalil (22),

TIDAK WAJAR JADIKAN 3 HAKIM JUTAWAN SEGERA

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Abdul Aziz mengelirukan Parlimen?
Demikian menurut Anggota Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh yang menyifatkan kenyataan Nazri bahawa hakim-hakim yang terlibat dalam krisis Kehakiman 1988 tidak dipecat tetapi diminta bersara awal, sebagai mengelirukan.

Sinar Harian yang membawa tajuk “3 bekas Hakim Jadi Jutawan” (jutawan segera?) semalam melaporkan, ketika menjawab soalan soalan Wee Choo Keong (PKR-Wangsa Maju) sama ada hakim berkenaan dipecat atau diarahkan berhenti lebih awal, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Azizi berkata, tidak pernah ada tribunal ditubuhkan di mahkamah yang memutuskan memecat mereka.

“Tidak pernah panel dipanggil dan dibentuk untuk memecat...soal pemecatan itu satu hukuman, soal syor berhenti awal juga satu hukuman...tidak ada tribunal dibentuk untuk memecat (mereka),” katanya.

Karpal berkata Nazri mesti menjelaskan mengapa beliau membuat kenyataan secara terbuka di Parlimen yang memberi tafsiran bahawa nama-nama hakim itu telah dibersihkan oleh tribunal, bertentangan dengan hasil siasatan dua buah tribunal berkenaan.

Karpal merujuk kepada Malayan Law Journal (MLJ) bertarikh 28 Okt 1988 yang melaporkan Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas dan hakim-hakim Mahkamah Agung Allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawan Teh dan Datuk George Edward Seah dipecat dari jawatan selepas tribunal mendapati mereka bersalah kerana salah laku.

Mereka bagaimanapun, menerima pencen penuh.

Tiga hakim lain, Tan Sri Datuk Mohd Azmi Kamaruddin, allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdoolcader dan Tan Sri Wan Hamzah Mohd Salleh telah digantung tugas tetapi dikembalikan jawatan mereka.

Bagi Karpal, ketika membuat kenyataan di Istana Kehakiman di Kuala Lumpur semalam katanya, bagi mengembalikan penghormatan dan digniti hakim-hakim yang dipecat itu, Kerajaan sepatutnya telah menubuhkan dua tribunal untuk membersihkan mereka daripada tindakan yang telah diambil terhadap mereka dan bukan memberikan bayaran ex-gratia.

"Apa yang sepatutnya telah dilakukan ialah bukan membayar ex-gratia kepada hakim-hakim itu tetapi mengadakan sebuah lagi tribunal bagi membersihkan nama mereka.

Ini masih boleh dilakukan. Membayar ex-gratia kepada mereka tidak membersihkan mereka daripada didapati bersalah kerana salah laku," kata beliau.

Karpal berkata bayaran ex-gratia itu malahan bererti yang Kerajaan berpendapat bahawa mereka (hakim-hakim itu) sebenarnya tidak bersalah.

Karpal berkata beliau akan membawa usul mengemukakan Nazri di bawah Peraturan Tetap 36 (12) kerana mengelirukan Parlimen Isnin lalu dimana beliau kemudian akan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak Istimewa untuk tindakan diambil.

Jadi daripada apa yang dikatakan oleh Karpal itu, menjadikan tiga bekas hakim itu sebagai jutawan (jutawan segera) tidak wajar?

Apakah ini bermakna ‘buta-buta’ sahaja hakim-hakim berkenaan mendapat sejumlah RM10.5 juta itu?

Wang siapa itu? Jika Karpal berpendapat tidak perlu membayar untuk membersihkan kesemua mereka, cukup dengan ditubuhkan dua tribunal membersihkan nama mereka, kenapa keputusan ‘memberi duit’ berkenaan dibuat?

Bagaimana kerajaan boleh memilih cara ‘membayar ex-gratia’ berbanding tribunal yang lebih telus?

Siapa mahu bertanggungjawab kepada soal ini? Datuk Zaid Ibrahim sudah berhenti menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Mungkin Nazri terpaksa pikul beban ini?

Kerajaan baru-baru ini membayar ex-gratia sebanyak RM10.5 juta kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Salleh Abas dan lima lagi bekas Hakim Kanan.

Bayaran kepada Mohd Salleh melibatkan RM5 juta, Allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh (RM2 juta) dan Tan Sri George Edward Seah Kim Seng juga RM2 juta.

Tan Sri Wan Hamzah Mohd Salleh, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdolcadeer dan Tan Sri Azmi Kamaruddin pula masing-masing menerima bayaran berjumlah RM500,000, katanya.

Nazri berkata, keputusan secara dasar telah dibuat Jemaah Menteri sama ada untuk membayar atau tidak ex-gratia kepada hakim berkenaan.

“Kita memutuskan untuk membayar dan soal menentukan berapa, perkara itu dilakukan oleh pihak ibu pejabat kewangan untuk tentukan berapa nilainya.

Kita cuma berikan bayaran ex-gratia tapi jumlahnya ditentukan (diluluskan) oleh Kabinet,” kata Nazri ketika sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2008 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat di sini, semalam.

Selain bayaran ex-gratia, beliau berkata, lima bekas hakim itu turut menerima pencen bulanan iaitu Mohd Salleh sebanyak RM5,102.16, Wan Suleiman (RM4,815), Eusoffe (RM4,815), Wan Hamzah (RM6,508.59) dan Azmi (RM5,916.90).

Friday, November 7, 2008

NAJIB MENANG KERANA BADAI, BUKAN WANG

Datuk Kamal Amir Kamal Hijaz seperti dilaporkan Malaysiakini mendakwa, wakil lebih 50 bahagian Umno yang hendak mengadakan mesyuarat perwakilan, datang menemui beliau untuk meminta sogokan sebelum mesyuarat dijalankan.

Berikutan itu, Tengku Razaleigh Hamzah gagal mendapat cukup pencalonan untuk jawatan presiden Umno kerana enggan menyogok wang kepada perwakilan.

Kamal yang mendakwa dia pembantu bekas menteri kewangan itu berkata ada yang datang meminta RM500 dan ada juga yang mahu bayaran sehingga RM1,500 seorang.

"(Tetapi) saya memberitahu mereka bahawa kami tidak ada wang. Tengku (Razaleigh) tidak mahu mengeluarkan wang untuk mendapatkan pencalonan.

"Tengku hanya menawarkan diri supaya dinilai dan dipilih oleh para perwakilan dan bukannya memberi wang untuk mendapatkan pencalonan," katanya.

Pertanyaan saya ialah, bolehkah alasan ini dijadikan alasan kukuh menyebabkan Tengku Razaleigh mendapat hanya satu pencalonan daripada Bahagian, iaitu Bahagian beliau sendiri – Gua Musang?

Kamal berkata, 67 bahagian mencalonkan Tengku Razaleigh untuk jawatan presiden Umno.

Daripada jumlah tersebut, katanya, 66 daripada bahagian tersebut menjalankan pengundian secara terbuka melalui kaedah angkat tangan.

"Bahagian-bahagian tersebut termasuk di Kelantan. Hanya mesyuarat bahagian Muar (yang turut mencalon Ku Li) Ahad lalu, dijalankan secara undi sulit.

"Jika mesyuarat dibuat secara undi sulit, saya yakin keadaan pencalonan untuk Tengku (Razaleigh) boleh berubah," katanya.

Soal undi sulit atau terbuka tidak timbul kerana ahli UMNO tahu siapa yang mereka mahukan.
Kenyataan Kamal mempersoalkan keputusan undi terbuka bagaikan mempertikaikan keupayaan ahli UMNO memilih calon yang difikirkan sesuai.

Selain itu, kalau berasaskan kenyataan Kamal, bagaimana dengan calon-calon Timbalan dan Naib Presiden?

Wajarkah mereka yang dicalonkan kemudian kalah akibat undi terbuka, menuduh calon yang menang bermain duit?

Soal penting dalam permainan pencalonan seperti ini ialah hubungan akrab seseorang calon dengan Bahagian.

Janganlah tuduh melulu kerana pencalonan selalunya berkait rapat dengan sejauh mana intimnya seseorang calon dengan Bahagian termasuk kekerapan mereka turun ke padang dan sebagainya.

Maafkan patik Tengku, kenyataan Kamal boleh membuatkan Tengku semakin jauh dengan kepimpinan Bahagian sekarang.

Hakikatnya, memang Tengku dihormati tetapi kepimpinan Bahagian sekarang ‘tidak lagi mengenali Tengku’ seperti Bahagian-Bahagian pada 1990an kerana mereka adalah generasi baru.

Apabila Tengku tidak berada dalam Kerajaan, sentuhan dan hubungan Tengku sudah terputus dan mereka yang berada di bahagian-bahagian sekarang adalah generasi baru, bukannya generasi Tengku atau lebih yang muda sedikit.

Rata-rata mereka ini mula bermain politik pada pertengahan dan akhir 90an yang lebih mengenali Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Tengku.

Perkara kedua, mungkin Tengku dan Kamal lupa bahawa Tengku bagaikan ‘merak kayangan’ yang dipandang dan didengar indah tetapi sukar dikenali dan bergaul.

Jurang generasi begitu besar dan dengan menggunakan ‘pakar-pakar’ yang salah memberikan maklumat, Tengku terus ‘didewa-dewakan’ sedangkan hakikatnya anggota UMNO semakin muda semakin tidak mengenali dan melupakan Tengku.

Contohnya di Kelantan, Tengku hanya menjadi Ketua Perhubungan sekejab sahaja iaitu sebelum pilihan raya 1999 dan tempohnya hampir satu dekad. Selepas itu pemimpin bahagian banyak bergaul dengan Datuk Mustapa Mohamed serta Tan Sri Annuar Musa.

Jika di Kelantan Tengku hanya mendapat pencalonan daripada satu bahagian, bagaimana boleh Kamal mengharapkan Bahagian-Bahagian di negeri lain mencalonkan Tengku.

Jadi dengan mengatakan orang lain ‘bermain duit’ Kamal terus cuba mengkhayalkan Tengku, sedangkan hakikatnya perlumbaan Tengku dengan Datuk Seri Mohd Najib Razak dalam suasana gelanggang berbeza.

Memang ada yang timbulkan soal ‘main duit’ umpamanya Datuk Seri Rais Yatim yang mementingkan visi dan perjuangan dalam UMNO tetapi bagaimana pula orang yang dikenali sebagai ‘kedekut duit’ seperti Datuk Seri Syed Hamid Albar boleh melepasi kuota?

Dengan menimbulkan perkara ini apakah Kamal cuba menempelak Najib dengan mengatakan Timbalan Presiden UMNO itu menang kerana ‘main duit’?

Apa yang boleh dihidu daripada kenyataan Kamal itu, Najib memperolehi 141 pencalonan untuk jawatan presiden Umno daripada 142 bahagian yang telah mengadakan mesyuarat kerana duit, bukannya sokongan akar umbi.

Saya tidak tahu Najib memang ‘main duit atau tidak’ tetapi andaian saya kemenangan Najib bukan sahaja kerana beliau adalah Timbalan Presiden dan bekerja keras tetapi juga penting sumbangan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kerana ‘mulut Muhyiddin’ beberapa kali meminta peralihan kuasa dipercepatkan, membuatkan bahagian-bahagian melihat perkara ini memang perlu disegerakan.

Lagipun, seruan Muhyiddin bersahut, bukannya ‘anjing menyalak bukit’.

Akibat sentiment kuat untuk ‘membuka mata’ Presiden UMNO supaya cepat-cepat melepaskan jawatan demi memperkasakan semula parti, usul Muhyiddin diterima akar umbi.

Bukan semata-mata kerana faktor peribadi Presiden UMNO tetapi bahagian-bahagian melihat perlunya UMNO digerakkan semula selepas tewas banyak kerusi dalam pilihan raya umum lalu dan Najib dijadikan sebagai sandaran baru ke arah itu.

Dalam konteks ini jelas Muhyiddin bukan meminta Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhenti daripada menjadi Perdana Menteri pada kadar segera tetapi mengusulkan supaya peralihan kuasa dilakukan dengan lebih cepat tidak payah menunggu 2010.

Ini kerana jika menunggu lebih lama, peluang untuk Najib memulihkan UMNO serta menyusun strategi bagi menjamin menang pilihan raya umum akan datang sedikit sukar.

Jadi, Najib tidak perlu ‘menyogok’ sebaliknya badai yang mahukan peralihan segera, tersedia untuk menyokong Najib mendapat sokongan padu.

Apalagi, tiada muka lain dalam UMNO yang sesuai untuk diletakkan sebagai Presiden UMNO ketika ini.

Kerana itu Najib yang kini timbalan presiden Umno menang tanpa bertanding jawatan presiden itu dalam perhimpunan yang akan diadakan pada 24 hingga 28 Mac tahun depan.

Kata-kata Kamal ini bukan sahaja merosakkan imej Tengku tetapi juga Najib dan UMNO, seolah-olah wang penentu segala-galanya.

Sedangkan hakikatnya ‘money is not everything’ dalam UMNO!

SIAPA NAJIB PILIH?

Dengan berbaki 50 UMNO Bahagian yang belum bermesyuarat, banyak orang bercakap mengenai apakah pertandingan jawatan nombor dua menjadi satu lawan satu atau tiga penjuru iaitu antara Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam serta Tan Sri Muhammad Muhd Taib?

Minggu lalu, selepas 23 UMNO bahagian selesai mengadakan mesyuarat Muhyiddin tetap jauh di depan dengan 78 pencalonan diikuti oleh Ali sebanyak 32 manakala Muhammad dengan 30.
Berdasarkan kuota kelayakan 39 pencalonan , Ketua Menteri Melaka itu memerlukan hanya tujuh pencalonan manakala Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sebanyak 10 pencalonan lagi untuk layak bertanding.

Kemudian siapa pula akan memenangi tiga Naib Presiden.
Di sebalik semua itu yang wajar diperkatakan ialah Datuk Seri Mohd Najib Razak mempunyai tugas berat jika menjadi Perdana Menteri.

Beliau mengambil alih jawatan ketika ekonomi negara dan dunia dilanda kesuraman yang memerlukan pendekatan baru mengatasi kemelesetan ekonomi, pertumbuhan perlahan dan krisis kewangan yang belum boleh dipastikan bila akan berakhir.

Najib sendiri sudah meminta rakyat supaya bersedia untuk berhadapan dengan tahun 2009 yang diramal menjadi tempoh sukar berbanding dengan apa yang dilalui tahun ini.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan itu berkata, dengan kekuatan ekonomi dalaman yang ada, kerajaan tetap berkeyakinan bahawa ekonomi negara mampu mengelak daripada kemelesetan.

Menurut Najib, pada masa yang sama keyakinan itu bukanlah bermakna yang kerajaan terlalu optimis kerana Malaysia juga tidak dapat lari daripada menerima bahang atau tempias krisis ekonomi global.

Pada 16 Oktober lalu, Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER) menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi tahun depan kepada 3.4 peratus berbanding unjuran awal lima peratus sambil menyifatkannya angka terbaru itu sebagai lebih realistik.

Bagi tahun ini, unjurannya juga disemak semula kepada 5.3 peratus berbanding unjuran awal pada 4.6 peratus . Unjuran itu dianggap bersesuaian dengan keadaan semasa berikutan negara turut menerima impak daripada krisis kewangan global.

Sehari sebelum itu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, pertumbuhan ekonomi negara pada tahun ini dijangka berada antara lima hingga 5.5 peratus, unjuran yang lebih rendah berbanding 5.7 peratus sebelum ini, manakala tahun depan pula disasarkan berkembang pada angka yang lebih kecil iaitu sebanyak empat peratus.

Mengulas lanjut, Mohamed Ariff menjelaskan, unjuran KDNK lebih rendah pada tahun depan dibuat berdasarkan kepada pendapatan kerajaan yang diramalkan terjejas secara serius kerana penurunan harga minyak di pasaran global.

Mohamed Ariff yakin, ekonomi negara akan pulih dan kembali pada landasan yang asal menjelang tahun 2011.

Sementara Najib juga berdepan dengan kancah senario politik yang semakin menghapuskan pengaruh Barisan Nasional (BN) dan jika lambat memulihkannya, ia akan menjadi semakin parah.

Kesannya jika dibiarkan, akan dapat dilihat pada pilihan raya umum akan datang di mana sepatutnya boleh diadakan lebih awal bagi mengesahkan kedudukan beliau.

Berdasarkan unjuran MIER dan Bank Negara itu, jika berdasarkan faktor ekonomi pilihan raya hanya wajar diadakan selepas 2011.

Apakah Najib mampu menunggu sehingga 2012 untuk pilihan raya mendapatkan mandat baru?
Tun Dr Mahathir Mohamd mengesahkan penerimaan rakyat serta mandat terhadapnya hanya Sembilan bulan selepas memegang jawatan Perdana Menteri pada 16 Julai 1981 dan mengadakan pilihan raya umum pada 22 April 1982.

Manakala Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut melakukan perkara yang sama apabila mengambil alih pada 1 November 2003 dan mengadakan pilihan raya empat bulan kemudian pada 21 Mac 2004.

Persoalannya, beranikah Najib melakukan pilihan raya pada awal 2010 untuk mandat baru jika keadaan ekonomi terus-terusan perlahan dan imej kerajaan BN semakin tercalar?

Inilah menjadi tanda tanya bagaimana Najib akan melaksanakan usaha memulih dan memperteguhkan kembali ekonomi negara dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN)?

Siapakah pembantu dan pasukan yang akan diwujudkan oleh beliau daripada kalangan UMNO bagi tujuan itu?

Nampak gayanya tidak akan kiu atau petunjuk siapa yang dimahukan Najib menjadi Timbalan Presiden serta Naib dan jawatan-jawatan Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri melalui Mesyuarat UMNO Bahagian Kepala Batas dan Pekan yang dijadualkan bersidang hujung minggu ini.

Ini kerana tidak akan ada sebarang pencalonan untuk pemilihan parti Mac depan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata 5 November lalu, kedua-dua bahagian tersebut telah mengemukakan permohonan agar dikecualikan daripada membuat pencalonan. Permohonan itu juga telah diluluskan oleh Majlis Tertinggi (MT).

“Perlembagaan UMNO tidak menghalang bahagian yang diketuai oleh Presiden dan Timbalan Presiden daripada membuat pencalonan. Bagaimanapun, kedua dua bahagian itu sudah mengemukakan permohonan supaya diberi pengecualian dan ia telah diluluskan oleh MT,” katanya.

Oleh kerana tidak ada pertunjuk, ramnai merujuk kepada mesyuarat UMNO Bahagian Pagoh pada 12 Oktober lalu yang mencalonkan Najib serta Ketua UMNO Bahagian itu, Muhyiddin sendiri untuk bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pemilihan parti Mac tahun depan.

UMNO Bahagian tersebut turut mencalonkan Datuk Seri Hishmmuddin Tun Hussein, Datuk Seri Rais Yatim dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal untuk bertanding jawatan Naib Presiden.
Dengan tiadanya petunjuk sedemikian apakah bermakna Najib tidak mahu menunjukkan siapa yang akan bergandingan dengannya?

Apakah dengan bersikap demikian, Najib boleh menerima sesiapa sahaja selain Muhyiddin yang kini layak bertanding atau Mohd Ali dan Muhammad yang hampir layak untuk bertanding?
Memang kali ini tiada pasukan dalam pertandingan jawatan tinggi UMNO tetapi Najib atau ‘Perdana Menteri Yang Sedang Dalam Pembikinan’ sudah pasti sudah mengenal pasti siapa yang akan menjadi pembantu beliau.

Pemilihan ini mengingatkan kembali kepada pertandingan antara Musa Hitam (Tun) dan Tengku Razaleigh Hamzah untuk menjadi orang nombor dua kepada Perdana Menteri.
Ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad ‘tunjuk dengan jelas’ beliau mahukan Musa. Musa memang kerana ahli UMNO menyokong gandingan 2M yang bakal menerajui negara pada awal 80an.

Sebaliknya, sehingga kini masih belum jelas siapa yang Najib mahukan untuk menjadi pembantunya, selain tiga Naib Presiden yang dianggap antara paling penting dalam hiraki UMNO.

Bilakah atau bagaimanakah Najib akan membuka mulut atau member isyarat siapa yang beliau mahu di kalangan calon bertanding untuk jawatan Timbalan, Naib dan Majlis Tertinggi, selain wanita, pemuda dan puteri?