Saturday, August 21, 2010

KHUTBAH DOAKAN GUAN ENG - ANWAR TUDUH UMNO BOHONG, EXCO NAFI...

Pada 13 Ogos 2010, dalam doa khutbah solat Jumaat di Masjid Jamek Padang Menora, Tasek Gelugor, Pulau Pinang, nama Yang di-Pertuan Agong telah digantikan dengan nama Lim Guan Eng.

Tak apalah kalau tidak percaya. Tiada siapa boleh paksa untuk ketika ini.

Lebih baik siasat daripada terus membuat kenyataan bagaikan mahu 'menegakkan benang basah’.

Kenapa mengatakan khatib yang membaca khutbah sebagai ‘tidak waras’ dan 'tidak mungkin ada berlaku’.

Pastinya untuk ketika ini tiada siapa yang akan mengaku.

Sebaliknya ada penduduk tempatan yang mengesahkan kejadian itu. Malah tv3 dalam beritanya malam kelmarin dan tengah hari semalam turut menyiarkan kenyataan jemaah yang menunaikan solat jumaat di masjid berkenaan.

tv3 menyiarkan kenyataan oleh dua orang penduduk.

Shuib Saad menegaskan: “Selepas khutbah kedua... tiba-tiba khatib ni dia tiba-tiba doakan kesejahteraan Lim Guan Eng dan rakan-rakannya supaya memimpin negeri ini dengan baik...jadi yang anehnya Pak Cik pun terkejut kenapa tak mention Yang di-Pertuan Agong, kenapa tak sebut TYT, Gabenor....”

Rakannya pula, Razali Ismail berkata: “Nama Agong tak sebut, nama Yang di-Petuan Negeri tak sebut..yang tu saya rasa sangat-sangat kecewa sebagai orang tua..sembahyang Jumaat kalau khutbah dia mendoakan Ketua Menteri Pulau Pinang..."

Dan laporan Utusan Malaysia hari ini mendedahkan dua ahli kariah dari dua buah masjid berbeza di Pulau Pinang mengesahkan berlaku penggunaan nama Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam bacaan doa khutbah solat Jumaat seperti yang didedahkan oleh Badan Perhubungan UMNO negeri semalam.

Mereka ialah Pengerusi Kariah Masjid Jamek Padang Menora di sini, Hamir Mahmud dan ahli kariah Masjid Jamek Jelutong, Abu Kassin Ismail.

Hamir mengakui nama Guan Eng ada disebut oleh seorang khatib jemputan, Zakaria Ahmad ketika membacakan doa kedua khutbah solat Jumaat pada 25 Jun lalu. Beliau turut mengesahkan nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin tidak disebut dalam doa khutbah pada hari tersebut walaupun lazimnya ia merupakan doa yang diberikan kepada Seri Paduka selaku ketua agama Islam di Pulau Pinang.

Sementara itu, Abu Kassim yang juga Ketua UMNO Bahagian Jelutong memberitahu, perkara sama turut berlaku di masjid di kawasannya kira-kira dua hingga tiga bulan lalu.

Menurutnya, khatib ketika itu hanya menyebut nama Guan Eng dalam doanya dan bukan Tuanku Mizan atau Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abas.

Mahu mencari dosakah mereka pada bulan Ramadan ini kerana berbohong?

Yang pasti, mereka ini tidak akan berani atau sewenang-wenangnya menuduh khutbah menggugurkan nama Yang di-Pertuan Agong dengan nama Ketua Menteri Pulau Pinang pada doa khutbah kedua yang dibacakan di masjid di mana mereka mendirikan solat Jumaat.

Pertamanya, ia tuduhan berat kepada pembaca khutbah dan keduanya tidak munasabah mereka mahu mempersendakan nama Yang di-Pertuan Agong begitu sahaja.

Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam sudah meminta polis dan Majlis Agama Islam Negeri menyiasat dakwaan bahawa nama Yang di-Pertuan Agong digantikan kepada nama Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam doa khutbah solat Jumaat itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata siasatan wajar dilakukan oleh pihak berkuasa bagi mendapatkan fakta sebenar kerana perkara itu mempunyai implikasi besar.

"Saya mahukan perkara itu dikaji, diteliti dan jika benar kejadian itu berlaku, maka tindakan tertentu oleh pihak tertentu mesti diambil," katanya \selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Modal Insan di Putrajaya semalam.

Di sebalik itu, tiba-tiba sahaja Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim melenting dan menyifatkan isu khutbah Jumaat itu dalam konteks politik, bukan agama. Kenapa?

Mahu mempertahankan kerajaan pimpinan DAP Pulau Pinang ?

Anwar mengatakan pendedahan Ketua Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (yang pernah menjadi Setiausaha Politiknya sekitar 1990-an) sebagai fitnah terbaru yang dimainkan oleh Umno untuk menyemarakkan api kebencian di negara ini.

Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang semalam membantah penggunaan nama Lim dalam bacaan doa khutbah Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong di beberapa buah masjid di negeri itu baru-baru ini.

Pengerusi badan itu Ahmad Zahid berkata penggunaan nama ketua menteri itu dalam khutbah Jumaat dikesan sejak minggu lepas di beberapa buah masjid sekitar Tasek Gelugor, Permatang Pauh dan Jelutong.

Kata Anwar: "Tuduhan yang dilemparkan kepada kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang bahawa nama Yang di-Pertuan Agong telah digantikan dengan nama ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah terbukti merupakan satu pembohongan semata," katanya.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau yang juga ketua umum PKR berkata, pihaknya memandang serius perkara tersebut.

Bagi Anwar ia tidak lebih daripada satu fitnah demi laba politik pemerintah yang kian hari kian terdesak," katanya sambil menambah pimpinan Umno berterusan menggunakan aksi politik perkauman sempit yang usang.

Katanya, ia juga menunjukkan kegagalan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memahami nurani rakyat Malaysia keseluruhannya yang mahukan sebuah negara yang kekal aman dan sejahtera.

Sementara Exco Hal-Ehwal Agama negeri, Abdul Malik Abul Kassim (gambar kiri) berkata siasatan awal mendapati ianya tidak berlaku kerana teks khutbah Jumaat, yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam negeri, tidak menggunakan nama Lim.

Berikutan itu, Kerajaan negeri Pulau Pinang menafikan sekeras-kerasnya bahawa nama Ketua Menteri Lim Guan Eng menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah Jumaat yang dibaca di beberapa masjid di negeri itu.

Katanya, hanya orang yang tidak waras sahaja yang akan menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah Jumaat.

Abdul Malik berkata, beliau telah membuat siasatan awal dan mendapati kejadian itu tidak berlaku seperti yang didakwa oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga pengerusi perhubungan Umno negeri.

Abdul Malik menjelaskan"Dan kalau mereka tidak baca teks sekalipun, saya percaya hanya orang yang tidak waras sahaja yang akan ganti nama Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah," katanya lagi.

Tambahnya, dakwaan itu juga tidak menyebut dengan jelas masjid yang terbabit, sebaliknya hanya menamakan kawasan Permatang Pauh, Jelutong dan Tasek Gelugor.

Abdul Malik juga berkata, sekiranya Ahmad Zahid mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut, beliau hendaklah membuat laporan supaya dakwaan tersebut dapat disiasat.

"Kalau dia ada maklumat, sepatutnya dia buat laporan kepada kerajaan negeri, atau kepada polis atau kepada pejabat mufti, bukannya pergi beri kenyataan kepada media," katanya lagi.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa sesetengah jawatankuasa masjid menggunakan isu tersebut untuk mensabotaj kerajaan negeri.

Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin berpendapat, perbuatan menggunakan nama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam bacaan doa khutbah kedua solat Jumaat menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong hendaklah dihentikan segera kerana ia bercanggah dengan hukum Islam dan undang-undang negara.

Katanya, sekiranya perkara tersebut benar-benar berlaku, ia amat memalukan kerana jelas menjatuhkan maruah Islam yang mempunyai hukum dan peraturan tersendiri.

Katanya, khutbah Jumaat adalah satu ibadat yang diwajibkan kepada setiap umat Islam dan ia tidak boleh disamakan dengan sesuatu majlis yang dimana aturcaranya boleh diubahsuai sesuka hati dan tidak berlandaskan hukum.

"Justeru, tidak wajarlah di dalam doa khutbah kedua solat Jumaat dimasukkan doa untuk mereka yang bukan Islam kerana ia tidak pernah dilakukan walaupun di zaman Nabi," katanya semalam.

Pergerakan Pemuda UMNO pula mendesak agar satu siasatan segera dibuat mengenai amalan penggantian nama Yang di-Pertuan Agong dengan nama Ketua Menteri Pulau Pinang.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, sekiranya perkara tersebut benar-benar terjadi, maka amalan itu bukan sahaja menghina institusi raja selaku ketua agama bahkan kesucian masjid dengan penggunaan mimbar bagi mengagungkan Lim selaku Ketua Menteri.

"Kejadian-kejadian pelik lagi dangkal kerana pembacaan doa khutbah solat Jumaat sememangnya dikhususkan kepada Ketua Agama Islam Persekutuan atau Ketua Agama Islam Negeri, yakni Yang Dipertuan Agong dan Sultan dan bukannya untuk kuasa eksekutif pentadbiran negeri iaitu Menteri Besar atau Ketua Menteri tidak kira sama ada beliau itu muslim atau tidak," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Friday, August 20, 2010

ADA USAHA MEMISAHKAN PULAU PINANG DARI MALAYSIA?


"...tindakan menggunakan nama ketua menteri bagi mengganti kan nama Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah Jumaat adalah di luar daripada keputusan Majlis Raja-Raja. ..Lazimnya lafaz doa bagi khutbah kedua dibacakan untuk ketua negeri atau ketua agama Islam," Ahmad Zahid Hamidi.

http://lawi-ayam.blogspot.com/
(Thursday, August 19, 2010)


Blogger gerakan-anti-pkr hari ini mendedahkan web anti Islam/Melayu yang paling keji iaitu Malaysiakini sedang dalam percubaan menghasut rakyat Malaysia untuk melakukan gerakan memisahkan beberapa buah negeri untuk menjadi sebuah kerajaan autonomi.

Katanya dia mula sedar tindakan mereka setelah membaca kenyataan Tan Sri Harussani yang mendakwa ada beberapa pihak sedang dalam perancangan untuk merubah perlembagaan Malaysia.

Dua bukti yang diberikan blogger berkenaan jelas menunjukkan usaha keras malaysiakini cuba menghasut rakyat untuk melakukan tindakan dan menyokong ide gerakan menjadikan beberapa negeri di Malaysia menjadi autonomi.

Lantas beliau mendesak agar Steven Gan,Prem Chand dan dua wartawan Malaysiakini ditahan dibawah ISA kerana cuba melakukan tindakan menghasut dan menjadi alat propaganda agenda separatis !

KLIK SINI NEIL KHOR 2 AUG
http://www.malaysiakini.com/news/138933
The recent spat between the Penang chief minister and the State Development officer brought to light an issue that most people think about but dare not suggest: autonomy for Penang.

KLIK SINI
http://www.malaysiakini.com/news/138925
JOE FERNANDEZ 2 AUG
Sabah opposition strongman Jeffrey Gapari Kitingan has urged that Sabah and Sarawak seriously consider creating new states within themselves.

He cites the vastness of the territory, empowerment within and without Malaysia, greater efficiencies through decentralisation and maximisation of potential, as reasons for doing so.

Saya pula tertarik membaca kenyataan Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam yang menimbulkan isu memprotes penggunaan nama Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam doa khutbah kedua solat Jumaat.

Dengan sendirinya nama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin sengaja dicicirkan.

Berikutan itu, Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang memprotes penggunaan nama Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam doa khutbah kedua solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penggunaan nama ketua menteri itu dalam khutbah Jumaat dikesan sejak minggu lepas di beberapa buah masjid sekitar Tasek Gelugor, Permatang Pauh dan Jelutong.

Beliau berkata tindakan menggunakan nama ketua menteri bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah Jumaat adalah di luar daripada keputusan Majlis Raja-Raja.

"Lazimnya lafaz doa bagi khutbah kedua dibacakan untuk ketua negeri atau ketua agama Islam," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang di Kepala Batas, semalam.

Bukankah tindakan itu sebagai menidakkan Yang di-Pertuan Agong sebagai kepala negara?

Dan jika tidak mengiktiraf Yang di-Pertuan Agong, siapakah menjadi ketua negara?

Bukankah dengan mendoakan Guan Eng, beliau diiktiraf sebagai ketua negeri atau ‘ketua negara’ Pulau Pinang?

Aneh juga pihak yang menyediakan khutbah seolah-olah sudah tidak mengiktiraf Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara dan pelindung agama Islam di negara ini.

Setakat ini tiada laporan polis dibuat berhubung perkara itu tetapi segala bukti berhubung perkara berkenaan memang ada, katanya.

Selain itu Ahmad Zahid turut mempersoalkan tindakan ketua menteri yang hadir pada majlis pengagihan wang zakat yang sepatutnya dilakukan oleh pemimpin Islam.

"Walaupun niat kerajaan negeri adalah untuk menggambarkan bahawa beliau (ketua menteri) seorang yang fleksibel tetapi mungkin ia mempunyai agenda tersembunyi bagi tujuan politik," katanya.

Ahmad Zahid berkata beliau turut dimaklumkan mengenai tindakan sebuah pusat khidmat anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) yang didakwa menyalurkan duit kutipan bazar Ramadan untuk kegunaan pusat khidmat berkenaan.

Katanya duit kutipan bazar Ramadan yang dibuka di kawasan tanah rizab masjid itu sepatutnya disalurkan untuk kegunaan masjid dan bukannya menampung kegiatan politik.

"Kerajaan negeri Pulau Pinang harus lebih sensitif dalam hal ehwal agama Islam, sekiranya mahu mewujudkan kesamarataan perlulah dengan kaedah yang betul," katanya.

Ahmad Zahid juga mengucapkan syabas dan terima kasih atas maklumat yang diberikan oleh masyarakat Melayu Pulau Pinang yang prihatin dengan perkembangan semasa di negeri itu.


Posted by lawiayam at 9:55 PM

MAMPUKAH KEMPEN ANTI-ZINA ATASI KES BUANG BAYI?

MAYAT bayi lelaki ditemui di tempat pengumpulan sampah Hospital Melaka dipercayai dibuang oleh seorang pelajar IPT di dalam tong sampah di Unit Kecemasan, di Melaka, 18 Ogos. – Utusan.

Banyak cadangan diperkatakan mengenai kes buang bayi. Ketika isu ini diperkatakan dengan meluas, hari ini kita dikejutkan pula pembuangan bayi di Terengganu dan Melaka.

Bagi saya perbuatan membuang bayi bukan baru.

Saya pernah menulis dalam Berita Harian mengenai satu kes bayi ditinggalkan di kawasan semak di Besut, Terengganu pada 1971.

Walaupun di Tingkatan Empat ketika itu, saya sudah menulis sebuah berita mengenai kes itu untuk akhbar berkenaan dan berita saya disiarkan pada 26 Oktober 1971.

Jadi apabila pelbagai pendekatan dikemukakan, ia adalah sesuatu yang baik namun hendaknya janganlah pula dipolitikkan.

Pengerusi DAP Karpal Singh misalnya meminta kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk mengetahui punca kes pembuangan bayi yang semakin meningkat, di samping mencadangkan langkah-langkah bagi menangani gejala itu, yang dilihat memerlukan tindakan segera.

Katanya kelmarin, tindakan membuang bayi yang semakin berleluasa sehingga menyebabkan kematian kepada bayi itu secara kejam, dan ia menuntut kepada hukuman yang lebih berat buat pesalah.

Bagaimanapun beliau berkata apa yang perlu dilakukan adalah mengadakan satu kajian mendalam bagi melihat sebab-sebab yang menjurus kepada senario yang membimbangkan itu.

Karpal berkata oleh itu apa yang perlu diberi perhatian dengan teliti bukanlah gejala itu sendiri secara kasarnya, tapi punca mengapa kejadian itu berlaku, sebelum memutuskan untuk mengenakan hukuman mati kepada pesalah.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebaliknya menyokong penuh cadangan kerajaan mengenakan hukuman lebih berat terhadap kes buang bayi bagi membendung gejala itu yang semakin berleluasa di negara ini.

Mursyidul Am PAS itu berkata pada 13 Ogos lalu, hukuman lebih berat itu adalah menepati ajaran Islam supaya dapat memberi pengajaran kepada pelaku dan bakal pelaku.

Beliau juga bersetuju sekiranya hukuman bunuh dikenakan ke atas kes membabitkan kes buang bayi yang menyebabkan bayi itu mati.

Sebaliknya, MCA berpendapat sebaliknya. Presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata MCA "berpendapat dengan cara demikian banyak lagi kes pembuangan bayi akan berlaku dengan cara yang lebih rumit untuk dikesan."

Beliau berkata pada Jumaat lalu (13 Ogos 2010), pendirian MCA itu telah dinyatakan pada mesyuarat kabinet Rabu lepas.

Dr Chua berkata dalam menangani isu itu, MCA mencadangkan supaya kerajaan mengambil berat mengenai pendidikan seks bagi membolehkan masyarakat lebih terdedah berhubung baik dan buruk perlakuan mereka.

Sehubungan itu, MCA akan melancarkan program 'Kesedaran Reproduktif Seksual' yang melibatkan semua bahagian parti itu pada bulan depan yang akan diterajui oleh Naib Presidennya Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Adalah tidak adil untuk kita menghukum wanita-wanita ini. Jadi, kita perlukan pusat ini kerana saya tidak fikir pusat jagaan kanak-kanak akan menerima bayi ini tanpa ada bayaran," katanya.

Yang pasti, melihat kepada pendirian pemimpin parti politik sedemikian, perbuatan membuang bayi patut dibendung dalam konteks agama dan masyarakat, bukan pendekatan pendirian dan kepentingan parti politik tertentu.

Bagi saya kes membuang bayi sama ada yang menyebabkan kematian atau tidaklah hendaklah dilihat sama beratnya – cuma yang menyebabkan kematian hukumannya mungkin lebih berat kerana membabitkan nyawa manusia.

Mungkin kerana itu bagi polis, kes buang bayi hingga menyebabkan kematian akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ini kerana kes itu diklasifikasikan sebagai membunuh manakala jika bayi berkenaan masih hidup, suspek akan disiasat di bawah Seksyen 307 kanun sama atas cubaan membunuh.

Seperti dijelaskan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin Isninlalu, polis sedia bertindak mengikut klasifikasi berkenaan bagi kes pembuangan bayi sekiranya ia merupakan langkah terbaik dalam membendung jenayah kejam itu.

Bagaimanapun, katanya keputusan untuk mensabitkan sesuatu kes pembuangan bayi kepada bunuh atau kesalahan lain hanya akan ditentukan oleh Peguam Negara.

Mohd Bakri berkata polis bimbang kes pembuangan bayi akan meningkat tahun ini berbanding tahun lepas, terutamanya melibatkan warga tempatan.

Setakat Isnin lalu, seramai 65 bayi dilaporkan dibuang iaitu 26 bayi lelaki, 25 perempuan dan 24 janin yang tidak diketahui jantinanya, kata Mohd Bakri.

Kes itu sudah bertambah apabila bayi ditemui dibuang tetapi masih hidup di Kuala Terengganu kelmarin sementara mayat seorang bayi lelaki ditemui dalam tong sampah di Hospital Melaka dan berikutan itu polis menahan seorang wanita berusia dalam lingkungan 20-an di hospital itu dan teman lelakinya, 20-an, di Batu Berendam.

Apa yang pasti, cadangan kerajaan mengenakan hukuman lebih berat terhadap pesalah kes buang bayi bagi mengekang gejala tersebut, mendapat pelbagai reaksi daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Mohamad Isa Abd Ralip berkata hukuman itu berupaya mendidik masyarakat, khususnya remaja, agar tidak mudah terjebak dengan gejala sosial yang boleh menyebabkan mereka terlanjur, sekaligus berlakunya kes pembuangan bayi.

Beliau berkata sudah tiba masanya satu tindakan tegas diambil bagi mengekang situasi negatif tersebut daripada terus menular kerana ia semakin serius dan membimbangkan.

"Ada dua jenis jenayah iaitu satu, memang niat membunuh, dan satu lagi, niat cubaan membunuh, dan walaupun ia sekadar cubaan membunuh, perbuatan tersebut sudah dikira membunuh.

"Sebagai contoh, walaupun dia tidak ada niat untuk membunuh, tetapi bila dia buang bayi itu di satu tempat dan tiada orang jumpa, mungkin bayi tersebut akan mati dan ini sudah kira 'bunuh', jadi saya rasa amat wajar hukuman ini dilaksanakan," katanya kepada Bernama.

Sebelum ini Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata Jemaah Menteri bersetuju bahawa kerajaan perlu mengambil tindakan yang lebih berkesan bagi membendung penularan kes tersebut kerana kejadian buang bayi masih berleluasa, walaupun pelbagai inisiatif telah dilakukan untuk menanganinya.

Turut menyuarakan pandangan sama ialah Timbalan Presiden Majlis Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia Muhamad Burok, yang berpendapat hukuman itu dapat mengurangkan kes pembuangan bayi, namun perlu dilaksanakan dengan berhati-hati.

"Apabila hukuman ini dilaksanakan, yang pertama, kita kena berhati-hati kerana kita tahu ia berat ...jadi bila kes berat, beban pembuktianpun berat dan mesti ada siasatan serta bukti yang secukupnya.

"Contohnya, kita kena pastikan sama ada individu itu buang bayi atau mayat, kerana selalunya kes adalah mereka yang lepas lahirkan bayi, ia mati ...dan tidak tahu hendak buat apa, (jadi) mereka buangkan mayat itu...dan kalau begini, individu itu tidak boleh dikenakan hukuman mati," katanya.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berpendapat hukuman itu perlu diperhalusi sebelum dilaksanakan.

Katanya, hukuman mati bukanlah jaminan yang dapat mengurangkan atau mengekang situasi negatif itu daripada terus merebak.

"Saya menyambut baik keputusan kabinet mengenai hukuman berat ini, namun saya tidak nampak hukuman ini dapat menghapuskan kejadian pembuangan bayi kerana hukuman bagi penjenayah dadahpun berat juga, tapi orang tetap masih banyak terlibat dengan benda haram itu," katanya.

Beliau berkata adalah lebih baik jika langkah pencegahan dan hukuman dilakukan seiring kerana tindakan awal berupaya mengelak remaja daripada terlibat dengan gejala tersebut.

Katanya, beberapa tindakan awal seperti penapisan kandungan Internet, pemantauan berterusan di rumah urut serta pengawalan penjualan kondom di kawasan terbuka perlu diberi perhatian serius kerana ia mampu menyumbang kepada aktiviti seks bebas.

Kelmarin Kerajaan Selangor menerusi Jawatankuasa Generasi Idaman Selangor (GeMS) berkata akan melancarkan kempen anti-zina sebagai satu daripada usaha untuk membendung kes buang bayi.

Pengerusi jawatankuasa tetap Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Sumber Manusia Selangor, Dr Halimah Ali, berkata kempen itu akan dilancarkan sempena program untuk menangani gejala sosial pada 30 Ogos ini di I-City, Seksyen 7 di Shah Alam yang dijangka dihadiri 3,000 belia.

"Program ini juga sempena sambutan kemerdekaan negara dan akan dimulakan dengan Solat Isyak dan Tarawih berjemaah selain beberapa aktiviti kesenian dan persembahan artis jemputan," kata Dr Halimah.

Program itu bertujuan mengingatkan remaja supaya tidak lalai dan terjebak dalam gejala sosial termasuk sehingga terlanjur melakukan zina dan membuang bayi.

Dr Halimah berkata, semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), aktivis sosial, Jabatan Pelajaran Negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat, pertubuhan belia dan pihak sekolah juga akan terbabit secara langsung dalam menangani isu gejala sosial itu.

Bagi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pula, keputusan Kabinet berhubung kes buang bayi di negara ini baru-baru ini, bukanlah bermakna semua kes buang bayi diklasifikasikan sebagi kes pembunuhan.

Beliau berkata pihak polis perlu menyiasat terlebih dahulu setiap kes terbabit sebelum pihak Peguam Negara membuat sebarang ketetapan untuk sabitkan sebagai kes bunuh.

"Keputusan kabinet ianya tidak semestinya setiap kes buang bayi ini adalah kes pembunuhan. Kita tetapkan bahawa pihak polis siasat dan polis gunakan teknik moden seperti ujian DNA (ujian asid deoksiribonukleik) untuk kenalpasti mak bapaknya.

"Selepas itu tertakluk kepada kes itu, pihak Peguam Negara akan buat ketetapan sama ada ada nak disabitkan kes pembunuhan atau apa-apa lain yang patut kita lakukan," katanya di Pekan pada Sabtu (14 Ogos 2010).

Perdana Menteri mengakui, kerajaan membuat keputusan untuk mengenakan hukuman mati ke atas pihak yang terbabit kerana melihat kes pembuangan bayi kini semakin serius. Bagaimanapun Najib berkata dalam menyelesaikan isu berkenaan secara menyeluruh, ianya perlulah berpaksi kepada pendidikan agama.

"Namun hendak selesai secara tuntas, maka ia mesti berpusat kepada pendidikan supaya golongan remaja faham akan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh mereka lakukan," katanya.

Bagi saya isu ini benar-benar serius dan kerajaan melalui kementerian atau juga kementerian-kementerian yang terbabit perlu bersungguh-sungguh – bukan sekadar kenyataan-kenyataan untuk meredakan suasana.

Langkah kerajaan Selangor jika benar-benar dilaksanakan secara berkesan dan bersungguh-sungguh akan menjadi antara cara penting meredakan kes.

Tetapi sekiranya ia dilakukan kerana kepentingan politik, akan samalah kesannya seperti langkah-langkah yang dibuat kementerian tertentu sebelum ini.

Jangan slogan KAMI PRIHATIN tinggal slogan semata-mata sedangkan laporan kes membuang bayi terus mendapat tempat di dada akhbar dan kaca tv setiap hari!

Thursday, August 19, 2010

JANGAN MALUKAN MALAYSIALAH...

Siapa individu yang membuat bising pada prosiding kes inkues Teoh Beng Hock itu?

Tidak kiralah Melayu atau Cina atau apa tetapi apa mereka ini cuba lakukan?

Menganggu prosiding yang mahu mencari sebab sebenar Beng Hock adalah perbuatan mengganggu tugas pegawai awam dan prosiding berkenaan.

Pada 8.45 pagi, seramai 30 orang hadir di hadapan bangunan mahkamah bagi memberi sokongan kepada keluarga Teoh.

Mereka berkumpul secara aman dan bersurai sejurus selepas prosiding berakhir empat jam selepas itu.

Sebaliknya, beberapa individu yang hadir mengikuti kes inkues Teoh Beng Hock di Shah Alam semalam dilaporkan mahu menjadikan mahkamah seolah-olah tempat mendengar ucapan ahli politik. Lebih malang mereka bertindak menepuk tangan dan membuat bising.

Siapa mereka ini? Kenapa tidak dihalau atau dicampak keluar sahaja mereka?

Kalau demikian lagaknya, tidakkah boleh prosiding ini dijalankan secara tertutup?

Yang menghairankan, polis dan pengawal mesti ada di situ tetapi kenapa keadaan itu dibiarkan berlaku dari awal prosiding sehinggalah ketika Ketua Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa menyoal pakar patologi dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand?

Bukan setakat itu sahaja. Mereka dikatakan turut melontarkan kata-kata kesat apabila Abdul Razak bertanyakan soalan kepada Pornthip dan apabila Pornthip memberi kenyataan yang tidak memihak kepadanya (Abdul Razak), mereka bertepuk tangan.

Situasi tidak menyenangkan itu bukan sahaja mengganggu prosiding tetapi juga menyebabkan pihak media gagal mendengar dengan jelas.

Ada individu berkenaan diminta keluar daripada mahkamah setelah melontar kata-kata kesat kepada Abdul Razak.

Ahli Exco Kerajaan Selangor, Ronnie Liu dilihat seperti merakamkan prosiding itu menggunakan telefon bimbitnya. Dia kemudian ditegur anggota polis.

Mengeruhkan keadaan, di luar mahkamah selepas selesai sahaja prosiding, seorang lelaki yang memegang poster Teoh bertindak menghalang kereta yang dinaiki Abdul Razak.

Dia dikatakan sengaja menjatuhkan dirinya sendiri beberapa kali tetapi kemudian memberitahu media bahawa pemandu Abdul Razak cuba melanggarnya.

Kejadian yang disaksikan berpuluh anggota media dan orang ramai itu berakhir apabila seorang lelaki yang tidak dikenali menarik lelaki itu untuk memberi laluan bagi membolehkan Abdul Razak beredar.

Pada satu sidang akhbar Gobind Singh Deo, peguam yang mewakili keluarga Teoh, berkata tindakan Abdul Razak yang mempersoalkan taraf pendidikan Pornthip menunjukkan ketidakmatangan dirinya.

Katanya Abdul Razak tidak fokus kepada isu utama dalam prosiding manakala Malik Imtiaz Sarwar, peguam yang mewakili kerajaan Selangor, pula menyatakan tindakan mempersoalkan taraf pendidikan saksi itu, adalah memalukan.

Ketika prosiding, Abdul Razak (gambar kanan) telah mengemukakan soalan mengenai taraf pendidikan Pornthip yang diperoleh dari Universiti Mahidol di Thailand yang tidak diiktiraf di negara ini tetapi Pornthip mendakwa universiti berkenaan adalah antara lima universiti terbaik di Asia.

Sementara itu, Dr Pornthip berkata setiausaha politik Teoh Beng Hock tidak membunuh diri.

Beliau berpendapat bahawa mangsa itu tidak membunuh diri setelah meneliti autopsi kedua ke atas mayat Teoh.

Menurut Malaysiakini, merujuk laporan bedah siasat pertama, pakar patologi Thailand itu berkata dia tidak boleh menolak kemungkinan Teoh tidak sedarkan diri semasa jatuh kerana laporan menunjukan berlaku 'cerebral edema'.

Ia menunjukkan Teoh mengalami hypoxia, di mana otak tidak menerima oksigen untuk tempoh sekurang-kurangnya 5 minit. Hypoxia berlaku akibat salur darah, arteri atau trakea yang tersumbat.

Pornthip tidak bersetuju dengan Dr Peter Vaneziz (gambar kiri) bahawa tanda pendarahan di tengkuk adalah akibat keretakan pada dagu. Katanya, keretakan dagu hanya membabitkan pendarahan di kawasan kecil dan tidak merebak hingga ke dada. Juga tidak terdapat salur darah besar di dagu yang boleh menyebabkan pendarahan berlebihan.

Pada keterangannya itu, Pornthip juga memberitahu inkues bahawa tiada keretakan pada pergelangan tangan, yang lazimnya berlaku dalam kes apabila seseorang cuba melindungi diri mereka daripada kejatuhan dengan tangan.

Terdapat keretakan dan luka di atas satu daripada pergelangan kaki Teoh tetapi tiada dikesan pada dasar tengkorak mangsa. Justeru, Pornthip berkata dia tidak bersetuju dengan Vaneziz bahawa Teoh mendarat dengan kedua-dua kakinya dan mangsa sedar semasa jatuh.

Pornthip berkata kesan koyak di bahagian dubur dan kecederaan pada bahagian punggung adalah disebabkan akibat kejatuhan dan bukan kerana dipukul seperti yang disangkanya sebelum ini.

Sehubungan itu, Pornthip mempertahankan pendapatnya berhubung kecederaan sebelum kejatuhan tetapi tidak dapat mengesahkan bahawa Teoh sedar semasa jatuh. Beliau juga tidak mahu memberi peratusan punca kematian kerana kesimpulan berdasarkan laporan bedah siasat. Namun Porhthip pasti, kejadian itu bukan percubaan bunuh diri.

Malik (kanan) selesai menyoal pakar patologi Thailand itu pada jam 10.45 pagi dan perbicaraan disambung dengan giliran peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili keluarga Teoh pula untuk bertanyakan soalan.

Pornthip berkata berdasarkan pengalamannya sebagai penyiasat lokasi jenayah dan juga ahli sains forensik, sebarang nota yang dijumpai mesti diuji untuk DNA, cap jari dan cetakan tapak tangan pada kadar segera dan kemudiannya dihantar untuk ujian analisis tulisan. “Ini adalah protokol.”

Bagaimanapun nota sedemikian tidak memberi kesan ke atas siasatan kerana ia dianggap bersifat emosi. Justeru, katanya, beliau lebih gemar bergantung kepada sains.