Thursday, August 19, 2010

JANGAN MALUKAN MALAYSIALAH...

Siapa individu yang membuat bising pada prosiding kes inkues Teoh Beng Hock itu?

Tidak kiralah Melayu atau Cina atau apa tetapi apa mereka ini cuba lakukan?

Menganggu prosiding yang mahu mencari sebab sebenar Beng Hock adalah perbuatan mengganggu tugas pegawai awam dan prosiding berkenaan.

Pada 8.45 pagi, seramai 30 orang hadir di hadapan bangunan mahkamah bagi memberi sokongan kepada keluarga Teoh.

Mereka berkumpul secara aman dan bersurai sejurus selepas prosiding berakhir empat jam selepas itu.

Sebaliknya, beberapa individu yang hadir mengikuti kes inkues Teoh Beng Hock di Shah Alam semalam dilaporkan mahu menjadikan mahkamah seolah-olah tempat mendengar ucapan ahli politik. Lebih malang mereka bertindak menepuk tangan dan membuat bising.

Siapa mereka ini? Kenapa tidak dihalau atau dicampak keluar sahaja mereka?

Kalau demikian lagaknya, tidakkah boleh prosiding ini dijalankan secara tertutup?

Yang menghairankan, polis dan pengawal mesti ada di situ tetapi kenapa keadaan itu dibiarkan berlaku dari awal prosiding sehinggalah ketika Ketua Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa menyoal pakar patologi dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand?

Bukan setakat itu sahaja. Mereka dikatakan turut melontarkan kata-kata kesat apabila Abdul Razak bertanyakan soalan kepada Pornthip dan apabila Pornthip memberi kenyataan yang tidak memihak kepadanya (Abdul Razak), mereka bertepuk tangan.

Situasi tidak menyenangkan itu bukan sahaja mengganggu prosiding tetapi juga menyebabkan pihak media gagal mendengar dengan jelas.

Ada individu berkenaan diminta keluar daripada mahkamah setelah melontar kata-kata kesat kepada Abdul Razak.

Ahli Exco Kerajaan Selangor, Ronnie Liu dilihat seperti merakamkan prosiding itu menggunakan telefon bimbitnya. Dia kemudian ditegur anggota polis.

Mengeruhkan keadaan, di luar mahkamah selepas selesai sahaja prosiding, seorang lelaki yang memegang poster Teoh bertindak menghalang kereta yang dinaiki Abdul Razak.

Dia dikatakan sengaja menjatuhkan dirinya sendiri beberapa kali tetapi kemudian memberitahu media bahawa pemandu Abdul Razak cuba melanggarnya.

Kejadian yang disaksikan berpuluh anggota media dan orang ramai itu berakhir apabila seorang lelaki yang tidak dikenali menarik lelaki itu untuk memberi laluan bagi membolehkan Abdul Razak beredar.

Pada satu sidang akhbar Gobind Singh Deo, peguam yang mewakili keluarga Teoh, berkata tindakan Abdul Razak yang mempersoalkan taraf pendidikan Pornthip menunjukkan ketidakmatangan dirinya.

Katanya Abdul Razak tidak fokus kepada isu utama dalam prosiding manakala Malik Imtiaz Sarwar, peguam yang mewakili kerajaan Selangor, pula menyatakan tindakan mempersoalkan taraf pendidikan saksi itu, adalah memalukan.

Ketika prosiding, Abdul Razak (gambar kanan) telah mengemukakan soalan mengenai taraf pendidikan Pornthip yang diperoleh dari Universiti Mahidol di Thailand yang tidak diiktiraf di negara ini tetapi Pornthip mendakwa universiti berkenaan adalah antara lima universiti terbaik di Asia.

Sementara itu, Dr Pornthip berkata setiausaha politik Teoh Beng Hock tidak membunuh diri.

Beliau berpendapat bahawa mangsa itu tidak membunuh diri setelah meneliti autopsi kedua ke atas mayat Teoh.

Menurut Malaysiakini, merujuk laporan bedah siasat pertama, pakar patologi Thailand itu berkata dia tidak boleh menolak kemungkinan Teoh tidak sedarkan diri semasa jatuh kerana laporan menunjukan berlaku 'cerebral edema'.

Ia menunjukkan Teoh mengalami hypoxia, di mana otak tidak menerima oksigen untuk tempoh sekurang-kurangnya 5 minit. Hypoxia berlaku akibat salur darah, arteri atau trakea yang tersumbat.

Pornthip tidak bersetuju dengan Dr Peter Vaneziz (gambar kiri) bahawa tanda pendarahan di tengkuk adalah akibat keretakan pada dagu. Katanya, keretakan dagu hanya membabitkan pendarahan di kawasan kecil dan tidak merebak hingga ke dada. Juga tidak terdapat salur darah besar di dagu yang boleh menyebabkan pendarahan berlebihan.

Pada keterangannya itu, Pornthip juga memberitahu inkues bahawa tiada keretakan pada pergelangan tangan, yang lazimnya berlaku dalam kes apabila seseorang cuba melindungi diri mereka daripada kejatuhan dengan tangan.

Terdapat keretakan dan luka di atas satu daripada pergelangan kaki Teoh tetapi tiada dikesan pada dasar tengkorak mangsa. Justeru, Pornthip berkata dia tidak bersetuju dengan Vaneziz bahawa Teoh mendarat dengan kedua-dua kakinya dan mangsa sedar semasa jatuh.

Pornthip berkata kesan koyak di bahagian dubur dan kecederaan pada bahagian punggung adalah disebabkan akibat kejatuhan dan bukan kerana dipukul seperti yang disangkanya sebelum ini.

Sehubungan itu, Pornthip mempertahankan pendapatnya berhubung kecederaan sebelum kejatuhan tetapi tidak dapat mengesahkan bahawa Teoh sedar semasa jatuh. Beliau juga tidak mahu memberi peratusan punca kematian kerana kesimpulan berdasarkan laporan bedah siasat. Namun Porhthip pasti, kejadian itu bukan percubaan bunuh diri.

Malik (kanan) selesai menyoal pakar patologi Thailand itu pada jam 10.45 pagi dan perbicaraan disambung dengan giliran peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili keluarga Teoh pula untuk bertanyakan soalan.

Pornthip berkata berdasarkan pengalamannya sebagai penyiasat lokasi jenayah dan juga ahli sains forensik, sebarang nota yang dijumpai mesti diuji untuk DNA, cap jari dan cetakan tapak tangan pada kadar segera dan kemudiannya dihantar untuk ujian analisis tulisan. “Ini adalah protokol.”

Bagaimanapun nota sedemikian tidak memberi kesan ke atas siasatan kerana ia dianggap bersifat emosi. Justeru, katanya, beliau lebih gemar bergantung kepada sains.

1 comment:

  1. cun...artikel ini saya link kan tpat jam 12 tghari..

    ReplyDelete