Tuesday, June 8, 2010

JUDI BOLASEPAK, AWANG ADEK & BANTAHAN

Kesian. Datuk Dr Awang Adek menjadi mangsa paling teranianya dalam isu judi bolasepak yang dijadikan modal politik oleh pembangkang di negara ini sekarang.

Bukan orang PAS tetapi semua orang Islam, orang UMNO, termasuk Dr Awang tidak gemar dan menentang judi. Namun bagi sesetengah pihak, mereka mengangguk di air keruh dan sanggup pula melabelkan seseorang mengikut selera politiknya.

Sebuah blog terkenal, sudah melabelkan Dr Awang sebagai “Raja Judi Bola Sepak”. Selain itu, blog berkenaan berkata: “Bakal Menteri Besar Kelantan yang tewas dalam dua pilihan raya, pada pilihan raya umum lalu, dikatakan semakin tertekan dengan isu kelulusan lesen judi bola sepak.”

Malah lebih jauh tajuk sebuah entri blog berkenaan mengatakan ‘membantah judi sehingga ke tangga rumah Dr Awang’.

Semuanya gara-gara kenyataan Dr Awang pada 6 Mei lalu bahawa kerajaan mempertimbangkan kemungkinan mengeluarkan lesen untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.

Timbalan Menteri Kewangan itu berkata, jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen kepada pihak yang memohon, aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan pihak berkuasa.

Malah, Dr Awang menjelaskan: "Ada beberapa perkara penting untuk dikaji sama ada perkara ini (mengeluarkan lesen membenarkan pertaruhan) baik bagi kerajaan atau jika kerajaan boleh cuba mengawalnya untuk mengetahui berapa banyak (jumlah wang daripada pertaruhan haram). Kerajaan sedang mengkaji perkara ini dan akan memutuskannya jika mahu membenarkan pertaruhan memandangkan kejohanan Piala Dunia ini semakin hampir.”

Dr Awang turut menyatakan sudah ada pihak yang membuat permohonan untuk mendapatkan lesen itu.

Persoalannya, apakah Dr Awang bertanggungjawab mengenai pengeluaran lesen pertaruhan atau benar kah Dr Awang menyokong pertaruhan bolasepak sehingga beliau digelar sedemikian rupa?
Beberapa penulis blog seperti mempersoalkan aqidah Dr Awang sambil merendah-rendahkan pegangan Islam beliau.

Adilkah mereka bebuat demikian dan sikap ini seperti sesetengah pemimpin PAS yang mempersoalkan aqidah orang lain dan sesetengahnya menganggap pemimpin Islam lain kafir!
Begitu juga beberapa blog yang menyokong pembangkang mencerca Dr Awang sebagai pemimpin UMNO dan Islam yang penyokong lesen judi dan sebagainya.

Sedangkan sebagai Timbalan Menteri Kewangan, beliau hanya menyatakan kerajaan sedang menimbang untuk mengeluarkan lesen pertaruhan sempena Piala Dunia.

Itupun berikutan permohonan beberapa syarikat dan dengan niat bahawa kerajaan tidak mahu wujudnya pertaruhan haram.

Dengan mengatakan sebegini jangan pula menganggap saya menyokong atau merestui kegiatan pertaruhan bolasepak di negara ini dan di mana-mana juga seperti yang dilabelkan kepada Dr Awang.

Akhirnya walaupun agak lambat, iaitu kira-kira sebulan selepas kenyataan Dr Awang itu, semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan belum lagi mengeluarkan atau memberi lesen kepada syarikat Ascot Sports Sdn. Bhd. (Ascot Sports) untuk menjalankan operasi pertaruhan sukan.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan juga belum memuktamadkan perbincangan mengenai syarat dan terma pelesenan dengan syarikat terbabit bagi menjalankan operasi pertaruhan di negara ini. Najib yang juga Menteri Kewangan berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Tian Chua (PKR-Batu) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Katanya:” Kerajaan masih mendapatkan maklum balas dan pandangan pelbagai pihak terhadap cadangan pelesenan pertaruhan di Malaysia dengan hasrat untuk mengurang dan seterusnya menghapuskan perjudian tanpa lesen di negara ini.”

Tian Chua dalam soalannya meminta Najib menyatakan apakah asas keputusan Kabinet menarik balik lesen judi pada 2004 dan kenapa keputusan itu berubah pada tahun ini. Beliau juga ingin tahu kenapa kerajaan memberi semula lesen judi kepada Ascot Sports tanpa melalui tender terbuka.

Kementerian Kewangan baru-baru ini mengumumkan pemberian lesen kepada Ascot Sports untuk menjalankan kegiatan pertaruhan pada kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 yang bermula pada 11 Jun ini.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung, lesen itu bukanlah lesen baru yang dikeluarkan kerajaan tetapi diberi semula kepada syarikat berkenaan. Keputusan kerajaan itu bagaimanapun telah mencetuskan isu hangat dan dibantah pelbagai pihak termasuk pertubuhan-pertubuhan Islam.

Persoalannya kini, apakah gelaran Dr Awang sebagai ‘Raja Judi Bolasepak”itu dapat ditarik balik dengan kenyataan kerajaan yang agak terlambat ini?

Dan, kenapa pula Dr Awang yang dijadikan mangsa tetapi tidak Datuk Chor Chee Heung jika judi bukan terbatas kepada penentang oleh orang Islam semata-mata tetapi juga bukan Islam?

Selain itu kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga agak terlambat apabila hanya sekarang meminta cadangan mengenai langkah mencegah kegiatan perjudian haram.

Kenyataan Hishamuddin itu tidak akan memberikan kesan apa-apa kerana tunjuk-tunjuk perasaan oleh PAS sudah diadakan dan tetap diadakan di merata tempat.

Malah Idris Ahmad pada 8 Mei 2010 lalu menulis mengenai isu ini mengatakan “UMNO jadikan Malaysia serambi Las Vegas”.

Yang pasti, Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) pula tetap meneruskan usaha untuk mengadakan protes bagi membantah pemberian lesen judi sukan, walau kerajaan berkata lesen tersebut masih belum dikeluarkan kepada syarikat Ascot Sports Sdn Bhd.

Pegawai media GMJ Fadhil Osman berkata tindakan itu diambil memandangkan kerajaan tidak mengumumkan untuk membatalkan pemberian lesen tersebut.

LHDN SIASAT PATRICK LIM

Daripada teganuku.blogspot.com

(Artikel asal dalam Merdeka Review)
Pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menjejak pejabat Patrick Lim Soo Kit di Serdang, Selangor, baru-baru ini untuk menyiasat dan mengambil beberapa dokumen dari bilik peribadinya, menurut sumber yang enggan didedah namanya.

Sumber maklumat memberitahu MerdekaReview, Patrick Lim bangkit semasa zaman
pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi, malah dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan keluarga bekas Perdana Menteri ini, kini berdepan dengan siasatan LHDN yang boleh mencungkil pelbagai tafsiran dari segi politik.

Akhbar mingguan, The Edge sebelum ini melaporkan bahawa LHDN sedang mengadakan siasatan mengejut terhadap beberapa orang usahawan yang "untouchables" (tidak boleh disentuh) sebelum ini, berikutan kelewatan dalam pembayaran cukai atau cukai terkurang lapor.

Sebagaimana yang diketahui, unit Intelligence and Investigation di bawah LHDN kini melancarkan serbuan mengejut dengan waran menggeledah (Search Warrant) ke atas usahawan-usahawan ini, setelah menguasai maklumat penyelewengan berdasarkan desk audit yang dijalankan.

Tindakan serbuan ini dijalankan berdasarkan Akta Cukai Pendapatan 1967, yang memperuntukkan kuasa kepada pegawai LHDN untuk memasuki bangunan dan menggeledah dokumen.

Mengikut maklumat yang diperolehi, pejabat usahawan-
usahawan yang terbabit ini akan disiasat pejabatnya oleh satu pasukan yang terdiri daripada sekurang-kurangnya 15 orang pegawai. Dua pasukan yang lain akan bertanggungjawab untuk bertemu dengan juruauditnya, dan menziarahi rumah sesetengah pengarah syarikat. Secara keseluruhannya, pasukan penyiasat ini terdiri daripada 30 orang.

Pada April 2010, satu media bahasa Inggeris melaporkan LHDN melancarkan siasatan mengejut ke atas pemaju utama Cyberjaya, Setia Haruman Sdn Bhd. Sebagaimana yang diketahui, siasatan LHDN bermula setelah mendapati maklumat berhubung pencukaian antara Setia Haruman dengan pihak ketiga. Tetapi, Setia Haruman menjelaskan kemudian bahawa mereka disiasat kerana kelewatan dalam pembayaran cukai.

Tindakan LHDN untuk menyiasat mereka yang "tidak boleh disentuh" ini bertujuan untuk menyampaikan satu mesej, iaitu LHDN akan mengambil tindakan dalam hal pencukaian negara, tidak kira sama ada pembayar cukai ini mempunyai lindungan politik atau tycoon.

Hubungan akrab dengan Abdullah-Khairy

Tiada maklumat untuk mengesahkan sama ada Patrick Lim Soo Kit terlibat dalam tax evasion, malah sejauh mana besar angkanya. Namun, menurut sumber maklumat, tindakan ini mungkin hasil daripada pergelutan kuasa politik, dengan motif untuk mencantas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin, menantu Abdullah Ahmad Badawi.

Pejabat Patrick Lim dimiliki Taman Equine Sdn Bhd, iaitu anak syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Equine Capital Berhad.
Patrick Lim adalah pemegang saham Equine Capital, pernah menjawat Pengerusi dan Pengarah Eksekutif syarikat tersebut. Namun, beliau meletak kesemua jawatannya pada Oktober 2008, dan kekal sebagai pemegang saham yang kini memiliki hampir 14% sahamnya.

MerdekaReview gagal menghubungi jurucakap LHDN, malah staf Taman Equine Sdn Bhd enggan mengulas isu ini dengan alasan Patrick Lim bukan lagi pengarah syarikatnya.

Hubungan komersial antara Patrick Lim dengan Khairy adalah rapat. Kedua-dua mereka dituduh mengadakan Monsoon Cup Antarabangsa, yang menelan kira-kira RM200 juta semasa zaman Abdullah menjawat PM. Suara pertikaian tersebar luas kerana aktiviti ini dikatakan melibatkan wang royalti minyak, sehingga Patrick Lim digelar sebagai "Patrick Badawi" pada ketika itu.

Selain itu, Patrick Lim mendapat banyak projek di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) menerusi Equine Capital, termasuk pembangunan tanah Crescentia Park yang bernilai RM800 juta dan pembangunan semula padang lumba kuda Pulau Pinang yang bernilai RM25 bilion.

Antaranya, syarikat Abad Naluri Sdn Bhd di bawah Equine Capital telah memperolehi projek pembinaan semula padang lumba kuda. Meskipun Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Jabatan Perancangan Pembangunan belum meluluskan projek membangunkan Penang Global City Centre (PGCC) di padang lumba kuda, namun Patrick telah berjaya mengundang Abdullah Ahmad Badawi untuk merasmikan projek PGCC di Bukit Gantong.

Akibat hakisan kuasa Abdullah

Patrick Lim menafikan dirinya memperolehi projek PGCC kerana hubungannya dengan kuasa politik ketika ditemuramah akhbar mingguan The Edge. Namun, pertikaian tidak reda lantaran penafian ini.

Pertikaian yang tercungkil termasuklah mengapa syarikat kecil seperti
Equine Capital mampu memperolehi projek hartanah yang bernilai RM25 bilion? Malah, syarikatnya membeli tanah keemasan ini dengan harga RM43/kaki persegi, padahal harga tanah ini bersamaan dengan harga tanah di Mont Kiara yang lebih daripada RM250 / kaki persegi.

Bagaimanapun, PGCC diketepikan setelah kuasa kerajaan negeri Pulau Pinang jatuh ke tangan Pakatan Rakyat selepas PRU ke-12. Equine Capital telah menjual 25% saham Abab Naluri Sdn Bhd (yang bertanggungjawab ke atas PGCC) kepada Kiara Ikhtisas Sdn Bhd dengan RM 2 juta pada 20 Oktober 2008.

Lebih-lebih lagi, kuasa Abdullah Ahmad Badawi semakin terhakis selepas "tsunami politik". Patrick Lim meletak jawatan sebagai pengerusi syarikat dan Pengarah Eksekutif pada 10 Oktober 2008, malah mengurangkan pegangan sahamnya dari 28.89% pada 10 September 2008 kepada 13.93% pada 14 Oktober 2009.

Patrick Lim semakin low profile selepas itu, sehingga media tempatan melaporkan bahawa beliau bersama rakannya membeli ProMatch Tour Ltd daripada F10 Holdings Ltd, menerusi syarikat mereka di HongKong, iaitu Regal Faith Ltd, barulah beliau menjadi tumpuan pasaran semula.

Artikel asal yang disiarkan pada 26 Mei 2010.

Monday, May 17, 2010

Ramalan Zentrum kantoi lagi...

Kantoi kali kedua. Apa nak buat, ramalan tidak benar belaka.

Sebelum ini Zentrum Future Studies ramalkan pakatan pembangkang menang di Hulu Selangor dan di Sibu, Barisan Nasional (BN) ada kelebihan.

BN dikatakan unggul di depan dengan sokongan 51.6% peratus undi berbanding DAP hanya 48.2 peratus. Calon bebas pula hanya mendapat 0.5 peratus sokongan.
Ternyata sokongan di Sibu berpihak kepada DAP apabila berjaya merampas kerusi parlimen Sibu dengan menewaskan BN majoriti tipis 398 undi.

Calon DAP Wong Ho Leng mendapat 18,845 undi untuk menewaskan calon BN Robert Lau Hui Yew yang mendapat 18,447 undi. Manakala calon Bebas Narawi Haron mendapatkan 232 undi.
Undi rosak pula berjumlah 395. Bagi undi pos pula, BN memperolehi 2,323 undi manakala calon DAP mendapat 70 undi dan calon Bebas pula mendapat 36 undi.

Jumlah pemilih yang keluar mengundi semalam ialah 70 peratus atau 37,919 orang.

Pilihan raya kecil ini diadakan ekoran kematian penyandangnya dari BN, Datuk Robert Lau Hoi Chew, yang timbalan menteri pengangkutan, pada 9 April lalu.

Berasaskan laporan sebuah NGO yang menjalankan kajian mikro persepsi kepercayaan politik di parlimen itu, Zentrum Future Studies, sehingga jam 3:11petang semalam (berasaskan laporan Malaysiakini), calon Barisan Nasional (BN) Robert Lau Hui Yew hanya mempunyai kelebihan tiga peratus berbanding calon DAP Wong Ho Leng dalam pilihan raya kecil Sibu semalam (16 Mei 2010).

Berdasarkan jangkaan tersebut, calon bebas Narawi Haron - yang pada mulanya yakin mendapat sekurang-kurangnya 4,000 undi - akan hilang wang pertaruhannya.

Diasaskan oleh pensyarah pengajian media Universiti Malaya (UM) Dr Abu Hassan Hasbullah, Zentrum mula terkenal tahun lalu apabila kerap diundang menyampaikan kajian mereka, terutamanya di pentas pembangkang.

Zentrum berpendapat. golongan muda dalam lingkungan 21 hingga 40 tahun mewakili 42 peratus pengundi di Sibu dan kemenangan kepada Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat terletak kepada keupayaan mereka untuk menarik golongan ini menyokong mereka.

Zentrum menyebut, pengaruh kedua-dua pihak bagaimanapun turun-naik dan pernah sekali seimbang sepanjang tempoh pengundian antara jam 8 pagi hingga 5 petang tadi.

Pada jam 2.30 petang semalam, Zentrum melaporkan di laman sosial Facebook-nya, BN hanya di depan tidak sampai satu peratus; dengan sokongan 50.6 peratus undi berbanding DAP yang hanya mendapat 49 peratus.
Menurut Zentrum, sebelum itu, pada jam 12.30 tengah hari semalam, keadaan agak berbeza apabila kedua-dua parti bertanding kelihatan mempunyai kekuatan yang seimbang.

Menurut kajian itu, BN mendapat 49.8 peratus sokongan, Pakatan memperoleh 49.2 peratus dan bebas 1 peratus.

Di sebelah paginya pula, ketika pusat pengundian baru dua jam dibuka pada jam 8 pagi tadi, BN mendahului dengan 53.4 peratus, Pakatan 46.2 peratus dan bebas sebanyak 0.4 peratus.

Sehari sebelum itu, menurut laporan Malaysiakini yang memetik Zentrum menyebut keputusan pilihan raya kecil parlimen Sibu akan dipengaruhi sebahagian besar dengan peratusan golongan muda yang bakal keluar mengundi.

Zentrum menjangkakan persaingan sengit antara BN dan pakatan pembangkang untuk mengisi kekosongan kerusi parlimen Sibu.

Zentrum berkata kerusi Sibu milik BN untuk dipertahankan, tetapi percaturan ini boleh berubah sekiranya BN tidak berhati-hati kerana ia berada hanya 4 peratus di hadapan Pakatan.

Menurut kajian Mikro Persepsi Kepercayaan Politik Zentrum, keputusan lewat malam Sabtu menunjukkan BN mendahului dengan 52.2 peratus berbanding Pakatan/DAP yang mendapat sokongan 47.6 peratus. Calon Bebas pula hanya mendapat kepercayaan 0.2 peratus.
Malah, Abu Hassan berkata pembangkang masih di belakang di semua tiga kerusi DUN iaitu Bawang Assan, Pelawan dan Nangka, yang terletak di kawasan parlimen Sibu.

“Keputusan pilihanraya esok banyak bergantung pada golongan muda membuang undi. Mereka dilihat sebagai pro-Pakatan, menurut kajian kami,” katanya kepada Malaysiakini.

“Kajian kami menunjukkan kebanyakkan golongan muda antara 21 hingga 40 di Sibu serta di pelusuk Malaysia adalah pro-Pakatan. Tetapi kajian ini tidak bermakna sekiranya, mereka tidak mengamalkan hak mereka untuk membuang undi.”

Kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari terakhir kempen, menggambarkan pertempuran sengit untuk memenangi hati pengundi khasnya golongan pemuda di sana.

Menurut pensyarah dari Universiti Malaya itu lagi, majoriti golongan berusia, khususnya di kawasan pendalaman dan hulu Sibu masih berpihak kepada BN, dan keputusan esok banyak bergantung kepada peratusan golongan muda mengundi.

BN dan Pakatan, katanya harus mencari jalan untuk memastikan pe4nyokong masing-masing keluar mengundi.

Menurut Abu Hassan, trend yang sama dijangka pada pilihan raya umum ke 13 nanti dan kejayaan terletak kepada keupayaan BN dan Pakatan menarik golongan muda.

Sunday, May 16, 2010

NIZ AZIZ BENARKAN DAP GUNA ISU ‘KALIMAH ALLAH’

Awal-awal saya sudah sebut bahawa isu kalimah Allah akan dipergunakan sepenuhnya oleh DAP kerana hanya isu ini sahaja yang mampu mereka perjuangkan.

DAP hanya boleh memainkan sentimen perkauman dan agama untuk menarik sokongan.
Ironinya, mereka disokong oleh PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Tetapi menyedihkan, pada ketika dua pemimpin PAS – Musyridul Am PAS dan Presidennya menyokong isu ini dimainkan, Timbalan Musyridul Am PAS menentangnya.

Pada entri saya 9 Mei lalu bertajuk “APAKAH ISU ‘KALIMAH ALLAH’ MENJADI PENENTU DI SIBU?” saya persoalkan kenapalah pemimpin DAP seperti Teresa Kok sanggup memainkan isu ‘penggunaan perkataan Allah’ dalam menyerang calon Barisan Nasional (BN), Robert Lau Hui Yew untuk pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sibu?

Apa lagi pada ketika Sidang Injil Borneo (SIB) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) gagal dalam rundingan 30 April lalu untuk menyelesaikan tuntutan berhubung perintah larangan mengimport bahan terbitan Kristian yang mengandungi kalimah Allah, DAP terus memainkan isu ini seolah-olah mahu menghangatkan lagi suasana.

Tidakkan perbuatan ini boleh dianggap sebagai ‘menghina mahkamah’?

Yang pasti Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Datuk Aziah Ali pada 30 April lalu menetapkan 24 Jun depan untuk mendengar permohonan SIB bagi mendapatkan kebenaran mencabar perintah larangan KDN tersebut.

Amat malang apabila Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut mengulasnya dengan terbuka dan nanti jawapannya sekali lagi – beliau tidak tahu perkara ini sudah sampai peringkat mahkamah.

Tidak tahu lagi - seperti yang berlaku terhadap titah Sultan Selangor tempoh hari.

Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz dan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang jelas kini mewakili pandangan yang menyokong penggunaan kalimah Allah oleh pengikut agama-agama lain itu dengan ‘fatwa’ HARUS - khususnya agama warisan Nabi Ibrahim (Kristian dan Yahudi).

Ternyata PAS lebih meletakkan kepentingan politik yang sanggup bersekongkol dengan DAP yang terang-terangan menentang perjuangan mendaulatkan negara Islam.

Dalam PAS sendiri, ternyata Datuk Dr Haron Din, Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa, Ahli Parlimen Baling, Datuk Taib Azamuddin dan Ketua Dewan Pemuda Pas, Ustaz Nasruddin Tantawi adalah beberapa pemimpin Pas yang memang menentang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Dr Haron menggesa semua pihak termasuk pembangkang menghentikan isu penggunaan kalimah Allah sebagai modal politik kerana isu kalimah Allah tidak sepatutnya ditimbulkan lagi terutamanya bagi tujuan meraih sokongan politik kerana ia merupakan isu sensitif.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin bukan ahli PAS dan bukan lagi anggota PKR, tetapi sebagai umat Islam beliau berhak menyuarakan kekecewaannya dengan sikap PAS yang sanggup bersekongkol dengan DAP untuk terus mempermainkan isu kalimah Allah.

Lebih jelas ialah Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-82 yang bersidang pada 5 hingga 7 Mei 2008 memutuskan bahawa penggunaan kalimah Allah adalah khusus buat agama dan umat Islam sahaja.

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria telah menyatakan bahawa sesiapa (orang Islam) merelakan Kristian menggunakan nama Allah dengan maksud yang membawa kepada syirik (konsep trinity Kristian) boleh menjadi kufur.

Namun bagi Nik Aziz, dia tetap berpegang kepada kenyataannya bahawa pemimpin parti politik bukan Islam, termasuk DAP boleh menggunakan kalimah Allah demi kepentingan politik mereka.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, walaupun kenyataannya itu bercanggah dengan kenyataan Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din, yang tidak mahu DAP menggunakan kalimah Allah dalam kempen parti politiknya, namun beliau tetap berpendirian ia dibolehkan dalam Islam.

"Itu kata (jawapan) dia (Datuk Haron)...tapi saya kata boleh. Biarlah dia (Datuk Haron) bersedia menerima jawapan balas. Itu jawapan dia, jawapan saya kata boleh," katanya kepada pemberita semalam ketika ditanya mengenai kenyataan Haron supaya DAP menarik balik penggunaan kalimah Allah dalam kempen politiknya.

Pada 11 Mei lalu, polis mengeluarkan arahan bahawa semua parti politik diarahkan supaya menghentikan penggunaan isu “Allah” sepanjang kempen pilihan raya kecil parlimen Sibu hari ini.

Arahan itu dikeluarkan oleh pihak polis menerusi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC II Huzir Mohamed yang berkata ia isu yang sensitif.

"Perkara ini telah diselesaikan tetapi ada yang mengeksploitasikannya sekali lagi. Ia adalah isu sensitif dan semua yang terlibat mesti berhenti daripada membangkitkannya," katanya.

Beliau juga memberi amaran, mereka yang mengengkari arahan itu boleh ditahan atas tuduhan menghasut atau juga didakwa menurut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Berdasarkan amaran itu apakah mereka yang melanggarnya akan diambil tindakan atau hanya semata-mata peringatan?