Saturday, May 8, 2010

KRISIS ISTANA KELANTAN SEMAKIN RUMIT

Krisis istana Kelantan kini mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selain pertama kali di dunia, permohonan habeas corpus difailkan untuk membebaskan pemerintah kerajaan negeri (sultan) daripada ditahan oleh polis.

Najib berharap kemelut yang dilihat semakin meruncing itu dapat diselesaikan dalam konteks keluarga diraja itu.

Kata Perdana Menteri, krisis itu tidak seharusnya menjadi pertikaian terbuka sehingga menimbulkan tuduh-menuduh yang membawa kepada tindakan undang-undang di kalangan kerabat diraja berkenaan.

Namun krisis itu kini bertambah rumit apabila ia membabitkan perundangan apabila peguam yang mewakili Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra pagi semalam memfailkan writ habeas corpus bagi memohon kebenaran untuk membawa baginda keluar dari HUSM di Kubang Kerian, Kelantan, di mana baginda menerima rawatan sejak Selasa lepas.

Langkah itu dilihat sebagai yang julung-julung kali dibuat oleh seorang sultan iaitu memfailkan permohonan habeas corpus untuk membawa baginda keluar dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan.

Mahkamah Khas ditubuhkan pada 1993 untuk mendengar sebarang prosiding oleh atau terhadap Yang di-Pertuan Agong atau pemerintah sesebuah negeri atas sifat peribadi baginda.

Jelas Raja Aziz, mengikut peruntukan undang-undang, Mahkamah Khas akan dianggotai oleh panel lima hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara. Empat lagi hakim terdiri daripada Hakim Besar Malaya, Hakim Besar Sabah dan Sarawak serta dua hakim Mahkamah Persekutuan yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja.

Dalam notis usul tersebut, Tuanku Ismail Petra selaku pemohon menuntut perintah agar satu writ habeas corpus dikeluarkan oleh Mahkamah Khas dan baginda dibebaskan dengan serta merta. Baginda menamakan Ketua Polis Kelantan; Ketua Polis Negara (KPN); Ketua Pengarah HUSM; Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan; dan Kerajaan Malaysia selaku responden pertama hingga kelima. Turut difailkan adalah afidavit yang diikrarkan oleh Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra, bagi menyokong permohonan ayahandanya.

Menurut peguam berpengalaman, Raja Aziz Addruse yang mewakili baginda memberitahu, permohonan habeas corpus itu difailkan bagi mendapatkan perintah Mahkamah Khas untuk membebaskan Sultan Kelantan yang kini berada di HUSM. ''Pada hemat kami Tuanku berada di bawah tahanan di hospital. Sebab itu kami menuntut pembebasan Tuanku melalui perintah ini (habeas corpus) di Mahkamah Khas,'' ujar beliau.

Jelas beliau, permohonan itu dibuat bukan untuk membolehkan Sultan Kelantan dihantar ke Singapura, sebaliknya ia bertujuan supaya baginda tidak disekat daripada bebas bergerak atau dihadkan pergerakan di hospital dengan kawalan polis. 'Apa yang diberi perhatian pada peringkat ini adalah tidak sepatutnya Tuanku ditahan dan sebaik sahaja Tuanku dibebaskan menerusi perintah mahkamah, sama ada baginda hendak pergi ke Singapura atau tidak, isu yang timbul itu tidak semestinya dibuat melalui permohonan ini.

''Tuanku berhak untuk pergi ke Singapura atau ke mana-mana dengan syarat Tuanku bebas,'' katanya sambil menyatakan pihaknya telah memohon kes itu dibicarakan secepat mungkin berikutan keadaan kesihatan baginda.

Raja Aziz mengetuai barisan enam peguam yang dilantik mewakili Tuanku Ismail Petra. Lima yang lain terdiri daripada Datuk Param Cumaraswamy, Gobind Singh Deo, Datuk Mohd. Haaziq Pillay, Malik Imtiaz Sarwar dan Abdul Rashid Ismail.

Tuanku Ismail Petra dibawa ke HUSM secara mengejut oleh sepasukan anggota polis ketika baginda dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra pada Selasa lalu untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut di Hospital Mount Elizabeth di Singapura.

Bagi Najib, perkara berhubung rawatan Sultan Kelantan itu sepatutnya dirunding secara kekeluargaan. "Perkara ini sepatutnya dapat dirundingkan antara anak beranak. Itu yang terbaik dan yang paling utama ialah meletakkan kepentingan kesihatan Sultan Kelantan," katanya.

Ditanya sama ada kerajaan Persekutuan akan campur tangan, Najib menjelaskan, pihaknya tidak berhasrat berbuat demikian kerana ia adalah masalah yang melibatkan kerajaan negeri dan Istana Kelantan.

Namun semalam, peguam yang mewakili Sultan Kelantan telah memfailkan writ habeas corpus bagi memohon kebenaran untuk membawa baginda keluar dari HUSM di Kubang Kerian.

Sultan Kelantan telah menerima rawatan di Wad Diraja HUSM sejak Selasa lepas dengan kawalan keselamatan yang ketat oleh polis dengan hanya ahli keluarga diraja tertentu dibenarkan bertemu baginda.

Putera ketiga Sultan Kelantan, Tengku Temenggong Tengku Muhammad Fakhry Petra mendakwa dalam afidavit berkenaan bahawa kereta baginda telah dikepung oleh 30 lelaki bertopeng yang bersenjatakan mesingan ketika mereka dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa.

Beliau mendakwa lelaki berkenaan mengacukan senjata ke kepala pemandu Sultan, yang kemudiannya diseret keluar daripada kenderaan tersebut.

Sultan Kelantan dijadualkan berlepas ke Singapura untuk mendapatkan rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth Singapura.

Writ itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Khas kira-kira 11.45 pagi semalam menerusi tetuan J.S. Pillay & Mohd Haaziq.

Afidavit bagi menyokong writ itu dibuat oleh Tengku Temenggong Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra Sultan Ismail Petra, putera ketiga Sultan. Sultan Kelantan dinamakan sebagai pemohon.

Berikutan itu, Mahkamah Khas dijadualkan bersidang Isnin ini untuk mendengar permohonan habeas corpus Sultan Kelantan bagi mendapatkan kebenaran supaya dibawa keluar dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Perkara itu dimaklumkan oleh salah seorang peguam baginda, Datuk Mohd. Haaziq Pillay pada sidang akhbar petang semalam.

Semalam, sebuah panel dengan 10 pakar perubatan yang dilantik oleh Kerajaan Negeri memulakan pemeriksaan kesihatan ke atas Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra, yang dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini Selasa lepas untuk rawatan susulan masalah jantung.

Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad berkata, kesemua pakar perubatan itu tiba di pagi semalam untuk menjalankan pemeriksaan rapi ke atas Sultan Kelantan.

Beliau berkata, pasukan pakar perubatan itu akan berada di HUSM sehingga laporan status kesihatan baginda selesai dijalankan. Bagaimanapun, Abdul Halim berkata, pihaknya tidak pasti berapa lama pakar perubatan itu akan berada di HUSM.

Menurutnya, pakar-pakar perubatan itu tiba di HUSM kira-kira 3 petang dengan menaiki kenderaan kerajaan negeri.

"Mereka melakukan pemeriksaan untuk mengetahui status kesihatan baginda Al-Sultan Kelantan,” katanya.

Beliau berkata, setelah siap, laporan itu akan diserahkan kepada Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dijangka akan menjawab kandungan afidavit yang difailkan oleh sekumpulan peguam dalam permohonan habeas corpus untuk membawa Sultan Kelantan itu.

Walaupun enggan mengulas lanjut berhubung isu tersebut, beliau berkata: “Saya akan jawab permohonan habeas corpus itu di mahkamah,” katanya kepada mStar semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan juga enggan mengulas mengenai afidavit berkenaan.
“Saya serahkan perkara ini kepada Peguam Negara untuk mengambil tindakan selanjutnya,” jelas beliau.

Wednesday, May 5, 2010

ANWAR + YAHUDI – BENAR BELAKA?

Terserlah kini Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh menggunakan sesiapa sahaja termasuk Yahudi untuk menunjukkan beliau seorang yang baik dan terpilih.

Bukan orang Malaysia atau orang UMNO cakap tetapi orang Amerika Syarikat sendiri yang mendedahkannya semalam.

Anwar menggunakan peluang 10 tahunnya di luar penjara untuk datang ke Washington, D.C. dan menampilkan imejnya sebagai seorang yang penuh bersopan santun dan berperibadi mulia di Barat.

Berikutan itu Anwar dianggap sebagai contoh pemimpin Islam yang demokratik dan/atau pejuang pentadbiran yang liberal dari Asia Tenggara.

Hubungan Anwar dan Amerika begitu jelas apabila beliau dijemput mengajar selama setahun di Johns Hopkins School of Advanced International Studies dan di situ, beliau menjalin persahabatan dengan Yahudi Amerika seperti Paul Wolfowitz.


Carta ini daripada http://www.anwaraidc.com

Ini untuk menggambarkan betapa beliau menggunakan peluang itu untuk menunjukkan betapa beliau telah jauh berubah daripada imejnya sebagai seorang militan Islam suatu ketika dulu.
Malah, pada 2008, (bekas naib presiden) Al Gore — yang terkenal sebagai lelaki yang bijak dan tajam persepsinya — terdorong untuk menulis dalam laman blognya bagi mempertahankan maruah Anwar apabila dia dikritik.

Hubungan antara Anwar dan tokoh-tokoh Yahudi Amerika yang berpengaruh begitu rapat hinggakan jika ditanya kepada rakyat Amerika siapakah tokoh demokrat liberal di Malaysia bagi tempoh 1999 hingga 2009, mereka dengan mudah akan menjawab tokoh itu ialah “Anwar Ibrahim.”

Apakah kedudukan ini tidak menggambarkan betapa cakap-cakap Anwar rapat dengan Amerika dan Yahudi adalah tepat?

Kita tunggu apa pula penafian yang akan dibuat oleh Anwar pula.
Apa pun baca rencana berikut untuk lebih jelas:

ISU APCO: PORTAL BERITA INTERNET AS KECAM ANWAR

Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim menuduh kerajaan menggunakan khidmat firma perhubungan awam pro-Israel APCO Worldwide dan kononnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan khidmat bekas ejen Israel dalam projek berkaitan pengurusan maklumat dan komunikasi, dikecam hebat oleh sebuah laman web berhaluan kanan Amerika.

Melalui tulisannya dalam ‘The New Ledger’, sebuah penerbitan Internet Amerika yang menyiarkan pendapat golongan yang menyokong sistem kapitalis dan konservatif, Rachel Motte berkata Anwar telah membuang kawan lamanya di Washington.

Sebaliknya beliau menjadikan kontrak APCO Worldwide sebagai asas untuk mereka cipta teori konspirasi mengenai penguasan Yahudi, rancangan Zionis dan kegiatan subversif di Malaysia.

Katanya beberapa orang kanan Anwar juga telah melemparkan pelbagai tuduhan, termasuk kononnya kerajaan Malaysia telah menggunakan khidmat sebuah syarikat yang mempunyai hubungan rapat dengan regim Zionis di Israel berkaitan projek maklumat dan komunikasi.

Dalam tulisan bertajuk “The Reversal of Anwar Ibrahim”, Motte mendakwa Anwar, yang dianggapnya sebagai ahli politik berbiasa dan berkarisma, menjadi punca munculnya semangat anti Yahudi di Malaysia.

Katanya lagi, ini bukan kali pertama “dia mengambil jalan ini” dan dia “mempunyai sejarah menggigit Yahudi (sikap prejudis atau bermusuh dengan Yahudi) apabila keadaan memerlukan beliau berbuat demikian.

Sebagai contoh, kata penulis itu, menjelang pilihan raya umum pada 2008, dalam satu wawancara dengan IslamOnline, Anwar berkata beliau mempunyai bukti bahawa kerajaan bukan saja memberi sokongan kepada puak pelobi Yahudi di Amerika, tetapi juga kepada beberapa pihak di Israel.
Motte berkata dia berterima kasih kepada pengundi di Malaysia kerana tindakan mereka menyebabkan gabungan parti pembangkang yang diterajui Anwar tidak mendapat undi majoriti pada pilihan raya itu.
Katanya sejurus selepas Anwar dibebaskan dari penjara kira-kira 10 tahun lepas, beliau datang ke Washington, D.C. dan menghabiskan masa sejak 10 tahun lepas bagi menampilkan imejnya sebagai seorang yang penuh bersopan santun dan berperibadi mulia di Barat.

"Hasilnya, pemerhati hal ehwal luar Amerika menganggapnya sebagai contoh pemimpin Islam yang demokratik dan/atau pejuang pentadbiran yang liberal dari Asia Tenggara.

"Beberapa tahun lepas, beliau dijemput mengajar selama setahun di Johns Hopkins School of Advanced International Studies dan di situ, beliau menjalin persahabatan dengan Yahudi Amerika seperti Paul Wolfowitz — sebagai suatu cara untuk menunjukkan betapa beliau telah jauh berubah daripada imejnya sebagai seorang militan Islam suatu ketika dulu.

"Malah, pada 2008, (bekas naib presiden) Al Gore — yang terkenal sebagai lelaki yang bijak dan tajam persepsinya — terdorong untuk menulis dalam laman blognya bagi mempertahankan maruah Anwar apabila dia dikritik.

“Beliau adalah antara tokoh hebat dari Barat yang tidak boleh dibeli — tetapi seseorang itu boleh rapat dengan beliau sekiranya dia bermusuh dengan pihak tertentu dan mempunyai hubungan dengan media yang berpengaruh dalam Beltway (perkataan yang digunakan bagi merujuk kepada sebahagian daripada sistem politik Amerika sebenar atau yang dibayangkan dan mengambil sempena nama lebuh raya antara negeri yang melingkari ibu negara Amerika),” kata penulis itu.

Motte berkata hubungan antara Anwar dan tokoh-tokoh Yahudi Amerika yang berpengaruh begitu rapat hinggakan jika ditanya kepada rakyat Amerika siapakah tokoh demokrat liberal di Malaysia bagi tempoh 1999 hingga 2009, mereka dengan mudah akan menjawab tokoh itu ialah “Anwar Ibrahim.”

"Tapi, adakah apa yang digambarkan oleh Anwar Ibrahim tentang dirinya di luar Malaysia sama dengan tindakan yang dilakukannya di negaranya sendiri?,” tanya penulis itu.

Motte berkata apabila berada jauh dari CNN, Al Gore dan Johns Hopkins, Anwar menampilkan dirinya sebagai penghasut yang menyemarakkan semangat anti-Amerika dan anti-Yahudi.
Kata Motte lagi, “dalam mencari siapa yang boleh dijadikan rakan Amerika di dunia Islam, memang sukar untuk membezakan antara kawan yang baik dan kawan yang jahat.”

"Bagaimanapun, lazimnya, ahli politik yang memperjuangkan teori konspirasi anti-Yahudi bukanlah rakan Amerika,” katanya bagi merujuk kepada Anwar.

Motte berkata perkembangan di Malaysia beberapa bulan lepas menyerlahkan perubahan yang mengejutkan apabila ketua Pembangkang Anwar Ibrahim meniupkan semangat anti-Yahudi, manakala Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pula berdiri teguh bersama Presiden Barack Obama dan Amerika.

Penulis itu mengulangi kenyataannya bahawa memang sukar untuk meneka siapakah yang boleh dijadikan kawan oleh Amerika di dunai Islam, selain Raja dan Permaisuri Jordan, beberapa orang di Emiriyah Arab Bersatu dan keluarga diraja Saudi.

"Sebagai contoh, lihatlah sesuatu yang aneh di Malaysia. Negara itu dan parti yang memerintahnya sedia bekerjasama dan bersikap konstruktif terhadap Amerika, tetapi lain pula halnya dengan parti politik pembangkangnya. Keanehan inilah yang sering digambarkan oleh media Barat,” katanya.

Motte berkata kepimpinan Malaysia sekarang bersikap pro perniagaan, pro Amerika dan berani berterus terang kepada dunia Islam bahawa ia adalah sekutu strategik Amerika.

Malah, katanya, pada Sidang kemuncak Keselamatan Nuklear di Washington baru-baru ini, Najib berikrar akan membantu Amerika dalam pelbagai bidang.

Motte berkata nama baik Malaysia sebagai sebuah negara majoriti Islam yang stabil dan berpendirian sederhana begitu menyerlah pada dekad ini hasil usaha keras dan kepimpinan perdana menterinya sekarang dan perdana menteri sebelum ini, Tun Abdullah Ahmad Badawi. - Bernama

KE LIWAT ANWAR - TIADA LAGI TANGGUH-TANGGUH

Datuk Seri Anwar Ibrahim kini terpaksa menjalani perbicaraan. Ia perlu diteruskan di sebalik bukti daripada tiga doktor bahawa tiada tanda-tanda berlaku kemasukan di dubur Saiful.

Panel tiga anggota Mahkamah Persekutuan semalam sebulat suara menolak permohonan Ketua Pembangkang itu untuk mengetepikan dakwaan liwat kedua yang dikenakan ke atasnya dalam tempoh sepuluh tahun.

Anwar, 62, didakwa melakukan kesalahan itu di kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara pada 26 Jun, 2008.

Panel terdiri daripada Ketua Hakim Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri James Foong Cheng Yuen, dan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Suriyadi Halim Omar.

Ini bermakna tidak ada lagi peluang bagi merayu dan kerana sebelum ini mahkamah telah dua kali menolak permohonananya.

Tiga panel hakim itu tidak menerima pendapat pihak pembelaan bahawa tuduhan dan pendakwaan terhadap Anwar perlu diketepikan berdasarkan laporan perubatan bahawa tiada sebarang tanda penetrasi atau tembusan ke dubur atau rektum Mohd Saiful.

Dalam keputusan sebulat suara, Arifin berkata laporan perubatan oleh tiga doktor mesti dibaca secara keseluruhan.

"Dengan berbuat demikian, ia tidak menyokong dakwaan perayu agar tuduhan itu dibatalkan pada peringkat ini," katanya.

Pada 1 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Anwar untuk mengetepikan dakwaan berkenaan.

Hakim, Datuk Mohamad Zabidin Md Diah memutuskan bahawa perkara itu perlu melalui perbicaraan bagi menentukan sama ada tembusan berlaku.

Mahkamah Rayuan pula pada 17 Februari lalu juga menolak permohonan Anwar bagi mengetepikan dakwaan berkenaan.
Laporan klinikal bersama itu dibuat oleh Dr Khairul Nizam Hassan, Dr Mohd Razali Ibrahim dan Dr Siew Sheue Seng - yang memeriksa Saiful pada 28 Jun, 2008, dua hari selepas dia mendakwa diliwat.
Pemeriksaan mereka juga mendapati tiada kesan kecederaan mempertahankan diri di tubuh Saiful.

Anwar diwakili oleh peguam Karpal Singh, manakala Peguamcara Negara II, Mohd Yusof Zainal Abiden mengetuai pihak pendakwa.

Dengan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Anwar, perbicaraan akan diteruskan pada Isnin ini dengan soal balas ke atas pengadu kes berkenaan, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

YAHUDI EROPAH, ZAHID HAMIDI & EHUD BARAK

Membaca berita bahawa lebih 3,000 penduduk Yahudi di Eropah termasuk golongan intelek terkemuka, menandatangani petisyen bagi menunjukkan bantahan mereka terhadap polisi penempatan Israel dan memberi amaran bahawa sokongan sistematik yang diberikan kepada kerajaan Israel adalah berbahaya, saya teringat kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pihak yang menandatangani petisyen itu semalam termasuk ahli falsafah Perancis, Bernard-Henri Levy dan Alain Finkielkraut serta Daniel Cohn-Bendit yang mengetuai Green, sebuah pertubuhan berdaftar di Eropah.

Penyokong yang membandingkan matlamat mereka dengan J Street kumpulan pelobi pro-Israel Yahudi liberal di Amerika Syarikat (AS) telah mengemukakan kedudukan mereka pada sidang media di Parlimen Eropah di Brussels semalam.

Mereka juga berharap menubuhkan gerakan Eropah yang ‘komited kepada negara Israel dan situasi kritikal yang dihadapi berikutan pilihan-pilihan yang dibuat oleh kerajaan itu’.


Berbalik kepada Ahmad Zaid, ia membabitkan pertemuannya dengan Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak di Paris, Perancis pada 16 Jun tahun lalu.

Berkaitan dengan ini, ada tuduhan daripada Senator Dr. Syed Husin Ali kononnya kerajaan memberi bantuan persenjataan kepada pejuang Palestin.

Tuduhan itu dibuat kononnya beliau mahu meredakan kemarahan pejuang Palestin berikutan perjumpaan beliau dengan Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak di Paris, Perancis pada tarikh tersebut.

Kelmarin (3 Mei 2010) sewaktu menggulung Perbahasan Titah Diraja pada persidangan Dewan Negara , Ahmad Zahid menegaskan, kerajaan tidak pernah menjanjikan apa-apa bantuan persenjataan kepada Palestin," katanya

Ahmad Zahid menegaskan bahawa kerajaan Malaysia amat komited dengan status Palestin yang bebas dan berdaulat tanpa penindasan Israel.

Katanya, kerajaan juga sering menyuarakan bahawa tentera Israel perlu menghentikan segala bentuk penindasan yang dilakukan.

"Kerajaan dan rakyat Malaysia tidak boleh menerima dan melihat keganasan yang dilakukan oleh tentera Israel ke atas rakyat Palestin.

"Kerajaan Malaysia sentiasa menyokong untuk mewujudkan negara Palestin yang aman dan berdaulat," katanya.

Zahid menceritakan, ketika majlis resepsi di hadapan perkarangan Kementerian Pertahanan Perancis, beliau telah dimaklumkan bahawa Ehud Barak ingin bertemunya dan kemudian mengambil pendirian dengan menetapkan syarat kepada Ehud Barak jika ingin berjumpa dengannya.

Beliau tidak naik ke atas, dan kepada Ahmad Zahid, jika dia (Ehud Barak) mahu jumpa dengannya sila turun ke bawah dan beliau tidak mahu pengawal turut ikut dan mengiringi Ehud Barak turun ke bawah. Ahmad Zahid juga tidak mahu ada kamera dan wartawan yang mengikut beliau serta tempoh pertemuaan adalah 20 minit.

Pada pertemuan itu Ahmad Zahid berkata, beliau telah membidas Ehud Barak yang merupakan orang Yahudi berketurunan Mahgribi yang mengatakan kepadanya dalam bahasa Arab: ”Wahai saudara, kita adalah the son of Adam”. “Saya terus beritahu dia, 'Yes, we are the son of Adam tetapi you buat double standard, tangan kanan you menghulurkan untuk pendamaian, tetapi tangan kiri yang membunuh the brothers and sisters di Palestin'. Kalau you mahu jumpa saya untuk menghulurkan salam, saya sebagai Menteri Pertahanan Malaysia, orang Islam dan negara-negara Islam tidak mengiktiraf Israel'.

Kata Zahid lagi: "Ketiga, saya beritahu dengan beliau bagaimana tentera perisikan Mossad telah banyak melakukan pencerobohan terhadap negara Islam dan melakukan perisikan yang akhirnya merosakkan negara-negara Islam. Ini negara Islam tidak boleh terima,” katanya.

"Keempat yang saya sebutkan dengan Ehud Barak semasa beliau menjadi Perdana Menteri iaitu peristiwa Shatila, peristiwa pembunuhan di tempat lain telah dilakukan oleh beliau dan kini beliau berjumpa kononnya mahu berdamai."

Kolumnis Israel, Yossi Sarid, bekas menteri Kabinet yang dikenal pasti bersama gerakan keamanan dovish Israel, memuji inisiatif yang dijalankan oleh Yahudi Eropah melalui tulisannya yang disiarkan dalam akhbar harian Haaretz, kelmarin.

“Mereka merupakan golongan yang menyambar setiap peluang untuk mempertahankan Israel secara terbuka dan terus setia dengannya.

“Ia tetap dilakukan walaupun kesabaran mereka semakin tipis dan hati mereka dipenuhi perasaan bimbang,” katanya.

Menteri Luar Israel bagaimanapun enggan mengulas kerana usaha itu tidak ditaja oleh kerajaan.
“Polisi-polisi itu secara moral dan politiknya adalah salah dan membawa kepada proses yang tidak diterima yang kini dihadapi Israel secara meluas.

“Sokongan sistematik berhubung polisi kerajaan Israel adalah berbahaya dan tidak menunjukkan kepentingan sebenar negara Israel,” katanya.

Amat jelas dasar Israel amat berat sebelah dan wajarlah jika sebagai Menteri Kabinet, Ahmad Zahid seperti juga bantahan oleh Yahudi Eropah membuat kesimpulan Ehud Barak telah bersikap berat sebalah dan orang Islam tidak boleh menerima dan melihat keganasan yang dilakukan tentera Israel ke atas rakyat Palestin.

Zahid dengan tegas mengatakan: “Walaupun kita adalah anak keturunan Adam, pendirian Ehud Barak tidak boleh diterima oleh mana-mana individu, organisasi dan masyarakat dunia yang melihat kezaliman yang dilakukan Israel terutamanya dalam keadaan sekarang apabila Baitulmuqaddis mahu diranapkan dan mahu dirampas oleh Israel.”

Ahmad Zahid menyatakan pendirian tegas Malaysia bahawa komitmen kerajaan Malaysia berhubung dengan negara Palestin yang bebas dan berdaulat tanpa penindasan pihak Israel.

Diharapkan bukan Dr Syed Husin sahaja tetapi pemimpin pembangkang termasuk PAS menyedari bahawa pertemuan Ahmad Zahid – Ehud Barak bukan kerana tunduk kepada Israel atau mahu berbaik-baik dengannya tetapi adalah suara langsung Kuala Lumpur terhadap sikap ganas Tel Aviv.