Saturday, November 7, 2009

HADI DIJATUHKAN SECARA TERANCANG?

(Isu Sabtu)

Mengejut dan menakjubkan.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang – presiden boneka, hilang stim dan tidak sesuai dengan politik baru – diperlekeh dan mempersendakannya pada ketika PAS mengadakan seminarnya hari ini.

Ia dilakukan dengan begitu terdedah oleh seorang pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) melalui sebuah portal berita yang jelas selama ini pro-Pakatan Rakyat.

Pensyarah berkenaan mengkritik dan membelasah Hadi habisan-habisan sedangkan tiada pemimpin PAS (kecuali Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) dan ahli PAS lain tidak berani berbuat demikian mungkin rasa berdosa untuk menegur kerana tema wala'nya (kesetiaannya) cukup kuat.

Namun kerana pensyarah ini diberikan ruang seluas-luasnya untuk ‘memusnahkan personaliti Hadi’ sama ada melalui laluan yang dibuka seluas-luasnya oleh Musyridul Am PAS, apakah seminar PAS di Taman Melewar hari ini – Hadi akan terus menjadi sasaran paling mencabar dalam kepimpinannya?

Dalam PAS penentangan terhadap pemimpin atau ketua ‘tidak dibolehkan’ dan keadaan itu bagaimanapun sedang dipersoalkan - berapa lama lagi akan dipatuhi?

Dan dengan kritikan terbuka terhadap Hadi melalui Malaysiakini itu, apakah ia akan menjadi ikutan dan halal selepas ini?

Saya ingin melihat reaksi pemimpin dan PAS terhadap kenyataan pensyarah berkenaan - Prof Dr Abdul Aziz Bari - dan jika benar ‘Tuan Guru’ masih ada sokongan, Hadi tentu akan dipertahankan.

Bagaimanapun, jika tiada atau kurang sokongan dan terus dibelasah atau mereka sama-sama membelasahnya, petanda bahawa Hadi tidak lagi diperlukan memimpin PAS, jelas semakin terjawab.

Persoalannya, apakah Dr Aziz Bari dan peserta seminar akan bercakap secara terbuka seperti yang diucapkan dengan Malaysiakini? Apakah Dr Aziz Bari akan melondehkan Hadi sepuas-puasnya di seminar berkenaan?

Walaupun sedar seminar memperkasakan parti PAS ini bakal panas, PAS memutuskan untuk membuka seluas-luasnya seminar ini kepada semua pihak. Menurut Harakahdaily, ia akan dijalankan dengan telus dan terbuka kepada semua pihak untuk menjadi pemerhatinya di samping liputan dari pelbagai jenis media.

Program sehari suntuk ini akan dimulakan dengan Ucapan Utama Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bertajuk "Memperkasakan Peranan PAS Dalam Pengukuhan Pakatan Rakyat Mendepani Pilihan raya ke 13." Selepas ucapan itu, sessi percambahan minda akan diadakan di mana ahli penal khas telah dijemput iaitu Dr Abdul Aziz Bari sendiri selain Profesor Madya Dr Abu Hassan Hasbullah dari Universiti Malaya. Penutupnya oleh Nik Aziz.

Persoalannya, selain Hadi apakah dua lagi ‘kawan setia Hadi’ iaitu Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali dan Timbalan Hadi, Nasharuddin Mat Isa akan turut dibelasah?

Sejauh ini, apa yang dikatakan oleh Dr Aziz Bari seiring dengan apa yang diperkatakan oleh Musyridul Am PAS, mengenai Hadi dan konconya. Perbezaannya analisis dan fakta Dr Aziz Bari lebih menjurus dan jelas.

Mengejut dan menakjubkan ialah Dr Aziz Bari memperkatakan mengenai Hadi dengan begitu nyata dan lantang seolah-olah dia mempunyai lessen besar. Pertanyaannya ialah apakah ini langkah permulaan menjatuhkan Hadi atau sengaja memberikan impak besar kepada PAS sendiri?

Persoalannya, apakah dengan ‘menjatuhkan Hadi’ misi Dr Aziz Bari akan berakhir?

Juga langkah pertama itu bolehkah sampai untuk ‘memusnahkan PAS’ seperti kata Nik Aziz sebelum ini, dia rela apa saja terjadi dengan PAS asalkan ‘tiga serangkai’ itu dibuang jauh-jauh dari PAS?

Apapun, melalui laluan yang dibuka Nik Aziz dan petunjuk yang jelas itu - Dr Aziz Bari menggunakan pentas Malaysiakini sebagai permulaan dan mungkin seminar PAS bagi ‘menikam Hadi sepuas-puasnya’.

Amat nyata pandangan pensyarah UIA itu boleh dilihat sebagai kempen terancang menggulingkan Presiden PAS itu melalui tekanan dan character assassination terhadap Hadi secara sehabis-habisnya.

Apakah kelemahan Hadi menurut Dr Aziz Bari?

1. Kepimpinan Presiden PAS sangat lesu sehingga beliau boleh diumpamakan "Pak Lah versi PAS";

2. Hadi adalah beban kepada parti;

3. Hadi hilang stim;

4. Presiden boneka - kegagalan Hadi bertindak sebagai "tokoh nombor satu" diburukkan lagi oleh peranan pemimpin lain; dan,

5. Abdul Hadi bukan seorang pemimpin dalam senario politik baru.

Dr Aziz Bari dengan jelas mengatakan kekalahan bertubi-tubi PAS di Terengganu – negeri Abdul Hadi sendiri – pada pilihan raya umum 2004, selepas menawannya pada 1999, dan tahun lepas serta kemerosotan dalam beberapa pilihan raya kecil menyebabkan beliau meyakini bahawa kritikan tersebut mempunyai asas."Kemudian di Bagan Pinang, maaflah, sudah banyak sangat (kalah). Kali ini mungkin betul, bila sudah ada orang sebut, kita ada versi Pak Lah dalam PAS sendiri," kata Dr Aziz Bari.

Hadi diumpamakan sama dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi dianggap seorang pemimpin lemah, tidak tegas, lembab dalam pelaksanaan dasar dan dipersalahkan atas kemerosotan teruk Barisan Nasional sehingga dipaksa melepaskan jawatan presiden Umno dan perdana menteri.

Hadi juga dilihat tidak memberikan apa-apa kesan atau kebaikan kepada parti jika dilihat kepada kenyataannya mengenai kerajaan perpaduan. Malah, beliau dilihat sebagai liability kepada PAS kerana kenyataannya bukan macam orang politik. Hadi dilihat lebih mementingkan UMNO daripada Pakatan Rakyat, sehinggalah ditegur dan ‘diperbetulkan’ oleh Muktamar PAS.

Hakikatnya, menurut Dr Abdul Aziz juga berkata, walaupun pada 1980-an dan 1990-an Hadi begitu berpengaruh dan dianggap pemimpin yang mempunyai hala tuju jelas dalam PAS tetapi pandangan dan pidato presiden PAS itu "sudah hilang stim". Ada pihak menganggap banyak juga tindak-tanduknya tidak datang daripada Hadi sendiri tetapi “disuap dalam mulutnya’. Contoh yang paling jelas, ialah mengenai idea kerajaan perpaduan.

Kata Dr Aziz Bari: "Tengok, atau kita banding dengan apa yang dibuat sekitar tahun 1980-an dengan amanatnya (petikan ucapan yang dilabel 'Amanat Hadi'). Ini secara efektifnya mengkafirkan Umno. Sekarang kenapa hendak bekerjasama dengan Umno?"

Tokoh PAS itu kini benar-benar "hilang stim" walaupun hakikatnya sebelum era reformasi (1998) pun Hadi sudah tidak ada peranan yang penting apabila menjawat jawatan naib presiden saja dan kemudian timbalan presiden.

Dan apabila wujudnya suasana politik baru selepas ‘kejatuhan sokongan kepada BN’ melalui pilihan raya umum 2008, Hadi semakin kurang pengaruh dan menjadi pengikut sahaja kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Bukan sekadar pengikut tetapi Hadi tidak memainkan peranan sewajarnya pada era “politik baru” Pakatan Rakyat.

Kegagalan bertindak untuk menonjolkan diri seiring dengan Anwar dan Lim Kit Siang dan sebagai "tokoh nombor satu" PAS diburukkan lagi oleh peranan pemimpin lain seperti Nasharuddin dan Mustafa Ali. Kata Dr Aziz Bari: “"Kalau dia (pada jawatan) nombor dua, dia seorang yang setia dan dapat melaksanakan apa yang disuruh. Tetapi kalau letak dia (sebagai) kapten, setakat ini memang jelas tidak dapat.

Hadi juga tidak dapat menyesuaikan dirinya dalam suasana politik baru apabila hubungan awamnya pula tidak baik dan gagal berfungsi sebagai ideolog atau peneraju utama yang menjelaskan wawasan parti seperti "PAS untuk semua" dan "negara berkebajikan".
Hadi dikatakan masih lagi berlegar di sekitar isu Melayu-Islam semata-mata seperti isu yang dijuarai parti itu sejak dulu.

Persoalannya, salahkah isu Melayu-Islam terus diperjuangkan?

Atau kritikan dan mencari kelemahan terhadap Hadi ini sengaja ditimbulkan bagi membuka ruang kepada pemimpin tertentu melonjak naik selepas gagal melakukannya melalui muktamar.

Atau juga apakah ini persediaan untuk kempen terancang menjatuhkan Hadi pada muktamar akan datang supaya PAS dilihat melakukan penggulingan terhadap Presidennya melalui saluran yang demokratik dan dibenarkan!




Wednesday, November 4, 2009

WANG EHSAN – ANTARA KEANGKUHAN HUSAM & SYUKUR NIK AZIZ

Perbezaan ketara antara guru dan murid. Juga siapa sebenarnya Menteri Besar di Kelantan?

Dalam isu wang ehsan untuk Kelantan, kita tertanya-tanya apakah guru ini banyak dipengaruhi oleh muridnya dalam isu-isu penting untuk rakyat Kelantan.

Soalan juga ialah apakah lebihnya Exco Kerajaan berbanding Menteri Besar dalam menentukan pendirian mengenai sesuatu keputusan yang diumumkan oleh kerajaan pusat atau Perdana Menteri.

Hari ini, Exco kanan kerajaan Kelantan dengan lantang menolak ‘pengumuman kerajaan pusat’ sedangkan Menteri Besar menyatakan kesyukurannya.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan,dan kebajikan Kelantan, Datuk Husam Musa dengan lantang mengatakan Kerajaan Kelantan tidak mengiktiraf pembayaran wang ehsan bagi hasil pengeluaran minyak di luar pesisir pantai negeri itu menerusi pembiayaan projek pembangunan seperti yang diumum Perdana Menteri di Dewan Rakyat pagi tadi.

Menurutnya, kerajaan Kelantan sebaliknya tetap menuntut pembayaran royalti.

Beliau berkata, kerajaan negeri menimbang melantik panel peguam untuk mengkaji tindakan membatalkan perjanjian dengan Petronas yang ditandatangani pada 1975.

Sebaliknya, walaupun tidak puas hati, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, bersyukur dengan pemberian wang ihsan oleh Kerajaan Pusat namun masih terkilan kerana permintaan kerajaan negeri bagi pembayaran royalti minyak masih tidak dipenuhi.

Mursyidul Am Pas itu berkata, sehubungan itu beliau akan menunaikan nazarnya untuk berpuasa tiga hari kerana peruntukan wang ehsan itu akan memberikan kebaikan kepada rakyat Kelantan.

"Tapi hati kecil saya tidak puas hati dengan nama wang ehsan. Yang kita mahukan ialah wang royalti," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini mengumumkan Kelantan akan menerima wang ehsan daripada kerajaan bagi hasil pengeluaran minyak di luar pesisir negeri itu melalui Petronas mulai tahun depan.

Kerajaan Negeri Kelantan sebelum ini telah mengemukakan surat rasmi kepada Kerajaan Pusat bagi menuntut bayaran royalti minyak berjumlah RM1 bilion sejak 2004 berdasarkan laporan Jabatan Statistik.

Nik Abdul Aziz kesal dengan kenyataan Perdana Menteri iaitu Kelantan tidak berhak mendapat royalti minyak kerana operasi carigali minyak dilakukan di kawasan pada jarak lebih tiga batu nautika.
Husam sebaliknya berkata, kerajaan negeri juga akan kaji ambil injunksi terhadap syarikat yang menjalankan operasi di kawasan pengeluaran di pesisir Kelantan di mahkamah luar negara iaitu di Amerika Syarikat dan Kanada (negara asal syarikat berkenaan).

"Namun, kerajaan negeri tidak menutup pintu rundingan dan sedia berunding dengan Kerajaan Pusat," katanya pada sidang media di pejabatnya.

Beliau mengumumkan reaksi kerajaan Kelantan berhubung pengumuman Datuk Seri Najib Razak berhubung pemberian wang ehsan kepada Kelantan di Parlimen pagi tadi.
Husam juga mendakwa Perdana Menteri membuat kenyataan salah di Parlimen kerana pembayaran kepada Sabah, Sarawak dan Terengganu disebut royalti walaupun hasil minyak diperoleh di kawasan yang juga melebih tiga batu nautika dari pantai negeri terbabit.

Katanya, walaupun pembayaran kepada Terengganu itu disebut wang ehsan, ia dibuat terus kepada kepada kerajaan negeri.

"Ini berbeza dengan cadangan di Kelantan yang mana wang ehsan itu akan diurus Kerajaan Pusat," katanya.
Sementara itu, bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Tan Sri Annuar Musa, berkata kerajaan negeri Kelantan wajar berterima kasih kepada Kerajaan Pusat kerana wang ehsan itu dapat digunakan untuk manfaat rakyat seperti membangunkan pendidikan dan membasmi kemiskinan.

"Saya antara yang sangat gembira dengan pengumuman ini kerana ini adalah perjuangan yang diperjuangkan sekian lama Umno Kelantan sebelum ini bagi Kelantan turut menerima wang ehsan," katanya.

PERTUKARAN PEGAWAI TINGGI JKR – MELINDUNGI ATAU HUKUMAN?

Jabatan Kerja Raya Terengganu (JKR) banyak diperkatakan selepas beberapa kejadian keruntuhan bumbung stadium, kebocoran pusat akuatik, penutupan stadium tertutup dan masalah atap di Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

JKR Terengganu dikatakan terbabit daam pembinaan projek berkenaan, dari kelulusan hinggalah kepada pengawasan.

Malah JKR Terengganu turut dikritik oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said kerana isu-isu berkaitan perkara di atas, khususnya dalam masalah pengawasan kepada projek-projek meda yang dibina ketika Datuk Seri Idris Jusoh menjadi Menteri Besar.

JKR juga dikatakan mahu mengeluarkan laporan siasatan mengenai punca keruntuhan bumbung Stadium Sultan Mizan dan pusat akuatik melalui janji Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Mansor tetapi sehingga kini belum ada pengumumannya.


Amat menarik apabila www.teganuku.blogspot.com melalui entrinya hari ini memetik sumber mengatakan JKR Terengganu mengalami pertukaran besar-besaran.

Tidak diketahui sama ada pertukaran itu proses biasa atau sebagai ‘hukuman’ kepada pegawai atasan JKR Terengganu akibat kejadian yang disebutkan di atas.

Pertanyaan ialah apakah pertukaran itu sebagai kesan siasatan dalaman atau bimbang menjadi sasaran Suruhanjaya Penyiasatan Rasuah Malaysia (SPRM) seterusnya.

Pelik juga kali ini Ibu Pejabat JKR di Kuala Lumpur membuat pertukaran drastic kerana sebelum ini ada berita mengatakan ada pegawai rendah ‘boleh menolak pertukaran’ kerana campurtangan ‘orang besar’ Terengganu.

Beberapa pegawai rendah itu dikatakan enggan kerana mengecapi ‘kehidupan mewah’ di Terengganu hasil pembabitan dalam projek-projek mega di negeri berkenaan.

Saya mendapat tahu ada pegawai tinggi JKR Terengganu turut ditukarkan ke Ibu Pejabat akibat surat laying daripada kakitangan di jabatan itu sendiri yang berkaitan isu peribadi – tidak ada kena mengena dengan kes siasatan rasuah atau penyelewengan.

Apa pun, dengan JKR negeri kini tidak ‘dimonopoli oleh rakyat Terengganu dan Kelantan’, kita berharap ia akan berfungsi sebaik-baiknya.

Bagaimanapun, pertukaran itu jangan dijadikan ‘usaha melindungi’ atau sekadar hukuman kepada mana-mana kakitangan jika mereka terbabit dengan sebarang penyelewengan sebelum ini.

Hasil siasatan hendaklah diumumkan dan SPRM juga perlu tampil mengumumkan siasatannya terhadap beberapa individu yang dikaitkan dengan projek mega yang menghadapi masalah.
Untuk lebih lanjut, baca entri daripada www.teganuku.blogspot.com yang dipaparkan ini:
Pertukaran besar-besaran kakitangan JKR Terengganu?

Oleh teganuku on Wednesday, November 4, 2009

(Ekslusif)

Hampir 80 peratus kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu ditukarkan ke luar negeri Terengganu sebagai proses penyusunan semula jabatan itu.

Pertukaran itu dikatakan proses pertukaran biasa walaupun ada yang mengaitkannya dengan beberapa kejadian keruntuhan dan kebocoran bangunan utama di negeri berkenaan sepanjang tahun ini.

Pertukaran dikatakan membabitkan kakitangan pengurusan, termasuk peringkat tinggi yang bekerja lebih 10 tahun di negeri berkenaan.

Menurut sumber, pertukaran yang berkuatkuasa sejak bulan lalu turut membabitkan Timbalan Pengarah Negeri yang kini ditempatkan di Ibu Pejabat JKR Kuala Lumpur.

Sumber itu menambah, JKR Terengganu sebelum ini digambarkan sebagai tempat ‘berhimpunannya kakitangan jabatan berkenaan dari Terengganu dan Kelantan’.

Jawatan Pengarah dan Timbalannya di JKR Terengganu kini belum diisi dan proses melakukannya dikatakan sedang dilaksanakan.

JKR Terengganu menjadi perhatian umum apabila dikaitkan dengan projek-projek mega Terengganu yang mengalamai keruntuhan dan kebocoran.

Ini termasuklah keruntuhan bumbung Stadium Sultan Mizan, kebocoran pusat akuatik Majlis Bandaraya KT (MBKT), stadium tertutup yang ditutup beberapa waktu, serta beberapa yang lain.

JKR dikatakan mengawasi beberapa projek besar di Terengganu dan pengurusan tingginya ‘dipersalahkan’ dalam beberapa kes berkenaan.

Bagaimanapun, bagi Pusat Akuatik, difahamkan ia adalah rundingan terus dan Pejabat Kewangan Negeri bertanggungjawab terhadapnya. JKR Terengganu hanya membuat pembayaran untuk projek berkenaan.





Monday, November 2, 2009

DR ASRI JADI OBJEK KEPENTINGAN POLITIK?

Baru semalam saya memperkatakan mengenai bekas Mufti Perlis, Dr Mohd. Asri Zainul Abdin yang kecewa terhadap tuduhan yang dilemparkan kepadanya.

Dan semalam juga beliau ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana didakwa mengamalkan fahaman Wahabi kepada pengikutnya.Bagaimanapun, beliau sudah dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira pukul 1.10 pagi tadi.

Benarkah JIAS tidak berani dakwa Dr Asri?

Banyak pihak mempertikaikan penahaan berkenaan dan bekas Yang DiPertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Dasuki Ahmad, menyifatkan penahanan bekas Mufti Perlis, Dr Asri Mohd Asri Zainul Abidin sebagai ‘agenda tersembunyi’ pihak yang mempunyai kepentingan peribadi dalam isu tersebut.

"Tangkapan yang dibuat ini semacam ada ‘agenda tersembunyi’ bagi kepentingan peribadi dan kepentingan kelompok tertentu kerana ianya dilakukan ketika Perdana Menteri bercadang melantiknya sebagai Yang DiPertua YADIM.

"Apakah penceramah-penceramah agama yang bergerak dari rumah ke rumah, meletakkan semua aktiviti agama yang dilaksanakan oleh kerajaan tidak betul belaka itu mempunyai tauliah?," katanya.

Dr Asri ditahan pada pukul 9 malam apabila sekumpulan anggota JAIS memasuki sebuah banglo milik seorang ahli perniagaan di Taman Sri Ukay, Hulu Klang ketika ketika Dr Asri memberikan ceramah kepada lebih 300 pengikut.

Bagaimanapun suasana menjadi kecoh apabila sekumpulan lelaki yang berada di dalam banglo berkenaan cuba menghalang penguat kuasa JAIS untuk menahan Mohd Asri.

Pihak polis yang memantau operasi berkenaan hanya menjadi perantara kerana tidak mempunyai waran tangkap.

Turut sama berada dalam banglo berkenaan yang juga sedang mengikuti ceramah oleh Mohd Asri ialah Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang, Saari Sungib.

Selepas dibebaskan, Dr Asri dikehendaki hadir ke Pejabat Agama Islam Daerah Gombak pada pukul 9 pagi esok untuk merakamkan keterangan.

Beberapa penjenguk blog saya semalam turut memberikan pelbagai reaksi kepada kenyataan Dr Asri yang kecewa dengan memorandum berkenaan.

Dr Asri sendiri hari ini menolak sebab penahanannya ialah atas dakwaan beliau merupakan pengikut Wahabi. Kata Dr Asri: "Dia (anggota JAIS) tak sebut pun perkara itu (Wahabi) kepada saya, dia kata saya mengajar tanpa tauliah, dia tak kata isu itu. Isu yang dia kata ialah kerana saya tidak ada tauliah... itu sahaja," katanya dalam satu sidang media selepas dibebaskan hari ini.

Cuma pertanyaan ialah apakah kehadiran dua ADUN pembangkang itu secara kebetulan atau sebaliknya.

Siapakah yang menganjurkan ceramah berkenaan sebenarnya?

Saya tidak hairan kalau Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak turut mengikuti perkembangan ini kerana seperti dilapoekan, mengatakan Najib ada mempelawa Dr Asri menyertai YADIM.

Perdana Menteri mempunyai hak untuk mempersoalkan apakah motif di sebalik penahanan bekas Mufti Perlis itu.

Ini kerana menurut Najib, Dr Asri adalah seseorang penceramah agama yang jujur dan semua ceramahnya disokong oleh bukti dan dalil yang sahih dari Al-Quran dan As-Sunnah.

Pendapat Najib ini bertentangan dengan memorandum yang disokong oleh 13 NGO Islam yang berpendapat Dr Asri terpengaruh dengan pandangan dan pendekatan ulamak tertentu juga seringkalibertentangan pandangan dengan para ulamak dan Mufti-Mufti negeri lain.

Dalam berhadapan dengan perbezaan pendapat ini, Dr Asri dikatakan telah mengambil pendekatan berkonfrantasi secara terbuka tanpa menitik beratkan soal adab dan kemaslahatan umat Islam keseluruhannya.

Malah, sikap Dr Asri turut didedahkan melalui memorandum itu apabila mengatakan ketika menjawat jawatan Mufti Kerajaan Negeri Perlis beliau kerapkali membelakangkan pandangan Jawatankuasa Mufti peringkat Kebangsaan dan sentiasa lari dari berdialog secara tertutup dan beradab, sebaliknya mencari populariti di media.

Dr Asri juga dikatakan mendakwa dirinya dan pengikut-pengikutnya sebagai ahlu-sunnah tetapi mereka menolak dan tidak mengiktiraf kebanyakan ulamak dan umat Islam lain yang di luar dari lingkungan pengikutnya.

Bekas Mufti Perlis itu juga dikatakan tidak mengkitiraf iktikad ahli sunnah wal jamaah dari mazhab-mazhab fiqh seperti Mazhab Shafie, Hanafi, Maliki dan Hanbali bahkan dalam keadaan tertentu menolak hadith yang diriwayat oleh Imam Bukhari.

Berikutan itu pendekatan Dr Asri dan pengikutnya dikatakan telah mencetuskan berbagai perbalahan di kalangan umat Islam apabila mengkritik berbagai amalan umat Islam di Malaysia kononnya ia tidak mengikut sunnah seperti amalan membaca Yaa Sin pada malam Juma’at, amalan bertalqin, tahlil, doa selamat, seolat hajat, wirid selepas solat.

Beliau juga dikatakan mencerca ulamak besar seperti Imam Nawawi dan Imam Ghazali yang tidak perlu disebut kehebatan dan keilmuan mereka. Bahkan akibat dan malapetaka yang bakal timbul dari pendekatannya ini amatlah besar sebagaimana yang sedang berlaku di beberapa buah negara Islam. Malapetaka ini sewajarnya dibendung dan bukan disemarakkan lagi.

Jelas sekali bagi Najib, beliau hairan dan tidak tahu apakah motif disebalik penahananDr Asri ini.
Najib berpendapat, kejadian ini dilakukan oleh jabatan agama negeri dan ia tiada kaitan dengan kerajaan pusat.

Soalnya ialah kenapakah Dr Asri dijadikan objek untuk politik pihak-pihak tertentu?