Saturday, October 3, 2009

KENAPA SEBUTAN KES DR RAMZI ‘TERLEPAS PANDANG’?

Beberapa orang menelefon dan menghantar sms kepada saya dua hari lalu menyatakan membaca satu entri dalam www.teganuku.blogspot.com yang berkaitan dengan Setiausaha Politik bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubir.

Isunya ialah apakah sebutan kes beliau di mahkamah di Terengganu cuba diselindungkan atau ‘digelapkan’ dariapada liputan media?

Berkaitan itu www.kijang-jantan.blogspot.com pula memgemukakan pertanyaan apakah ‘DR RAMZI DAPAT KEISTIMEWAAN?’.

kijang-jantan mengemukakan pertanyaan: “Betulkah apa yang dikatakan oleh teganuku ini? Apakah seseorang boleh mendapat perlindungan istimewa seperti ini? Bagaimana boleh ia berlaku di negeri jiranku- Terengganu?

Siapa boleh bagi keistimewaan seperti ini? Apakah ia terpilih? kijang-jantan sendiri tidak berani menulas sebaliknya mahu pelayar dan penjenguk membaca apa yang diperkatakan oleh teganuku.

Apapun, cakap-cakap di Marang dan Kuala Terengganu kini mula menular dan pertanyaan mula kedengaran, “benarkah Dr Ramzi mendapat keistimewaan daripada polis dan Kementerian Dalam Negeri agar kesnya dielakkan daripada pengetahuan media?”

Saya berusaha mendapatkan kebenaran cakap-cakap itu. Apapun, sebelum mendapat kepastian, ikuti dulu apa yang dilaporkan oleh teganuku:

Kes ‘sms ugut bunuh’ cuba digelapkan?

Oleh Pok Teh Bakap

Hairan bagaimana kes berprofil tinggi di Terengganu – kes sms ugut bunuh -membabitkan Setiausaha Politik bekas Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubir, yang disebutkan di Mahkamah Sesyen, Kuala Terengganu boleh terlepas daripada liputan media.

Ia kini diperkatakan bagaimana semua wartawan di Terengganu tidak tahu kes itu disebut pada hari berkenaan.

Dr Ramzi bermesra dengan Hishamuddin pada majlis sambutan hari raya di Marang dan majlis pertemuan ADUN serta Ahli Parlimen UMNO dengan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Hishamuddin Hussein sehari selepas kesnya disebut di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.

Ketua Biro dan wartawan akhbar dan media elektronik bagaikan ‘terlepas pandang’ apabila kes ini disebut di Mahkamah Sesyen Ahad lalu.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan pada Ahad lalu (27 September) perbicaraan kes ‘sms ugut bunuh’ ini pada akhir bulan Oktober dan awal November 2009 depan selama enam hari.
Mengikut satu sms yang diterima – perbicaraan ditetapkan pada 19,20 dan 21 Januari 2010 dan 9,10,11 Februari 2010.

Juga menjadi pertanyaan ialah bagaimana Jabatan Pendaftar Mahkamah Tinggi di Kuala Terengganu untuk kali pertamanya gagal menghubungi akhbar dan media elektronik untuk membuat liputan.

Malah, mengejutkan, Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Terengganu yang selalunya ‘begitu intim’ dengan wartawan seolah-olah ‘menutup mulut’ pada kes ini.

Rakyat Terengganu sebenarnya ‘rindu’ dengan kes ini. Malah, kes ‘sms ugut bunuh’ ini dikatakan menjadi ‘pemanas’ kepada kemelut UMNO Terengganu yang kemudian menyebabkan sebilangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mendesak Menteri Besar meletakkan jawatan.

Bagaimanapun, Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Hishamuddin Hussein mengatakan masalah yang melanda UMNO Terengganu sudah selesai.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner II Hamzah Mohd. Jamil sebelum ini berkata mereka mempunyai bukti untuk mempercayai Dr Ramzi terlibat dengan penghantaran SMS itu.

Pada 13 April lepas, tiga ADUN Umno: Datuk Rosol Wahid (Ajil), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri) dan Zakaria Abdullah (Paka) menerima SMS ugutan, antaranya dilaporkan berbunyi "YB tak sayang nyawa?".

SMS itu dijadikan alasan 10 ADUN BN termasuk ketiga-tiga mereka yang menerima SMS itu enggan hadir pada hari kedua persidangan DUN Terengganu pada keesokan hari.

Pada Jun pula Dr Ramzi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu semalam atas empat tuduhan menghantar ugutan jenayah menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) terhadap tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN), April lalu.
Beliau menghadapi empat pertuduhan bagi kes itu.

Bagi pertuduhan pertama, Ahmad Ramzi, 37, didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kematian kepada ADUN Paka, Mohd. Ariffin Abdullah untuk menimbulkan kegentaran kepada beliau.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di E726 Jalan Kubang Parit, Kampung Kubang Parit, di Kuala Terengganu kira-kira pukul 11.21 malam, 13 April lalu.

Saya pun hairan bagaimana kes yang dianggap menarik dan berprofil tinggi boleh terlepas dengar dan pandangan. Ini kerana Dr Ramzi sebelum itu enggan menyerah diri kepada polis tetapi akhirnya muncul di IPK Kuala Terengganu. Ada pendapat mengatakan beliau ditahan di salah sebuah hotel apartmen berhampiran Hotel Primula dan ada yang kata beliau sukarela datang ke balai polis.

Apapun, apakah pada Januari dan Februari nanti, perbicaraannya juga dianggap tidak penting dan kalaupun akhbar dan media elektronik membuat liputan, ia akan dianggap sebagai kes kecil atau terpencil sahaja?

AHMAD SAID TIDAK ADA KENA MENGENA...

Semalam saya mengulas mengenai ‘Isu Dadah dan Pemuda UMNO Kemaman (1)’ dan antara petikan yang saya ambil ialah “Haji Hanafiah menyifatkan Ahmad Said turut gagal melahirkan kepimpinan UMNO yang bersih kerana menurutnya Ahmad sendiri turut dikaitkan dengan masalah-masalah sosial yang berkenaan...”
Hari ini portal berita pro-PAS membuat pembetulan. Terima kasih kerana pembetulan berkenaan. Baguslah...menyedari ada kesilapan dan terus membuat pembetulan.

Disiarkan pembetulan dimaksudkan.

PEMBETULAN...

Pembetulan pada berita Pimimpin UMNO Menagih Dadah – Sudah Tiba Masanya Menukar Kerajaan

Merujuk kepada berita yang bertajuk diatas, Haji Hanafiah telah menelefon Buletinonline hari ini untuk membetulkan kesilapan catatan yang TIDAK DISENGAJAKAN dibuat oleh wartawan Buletinonline.

Kesilapan tersebut berpunca dari salah pendengaran kerana ketika Hanafiah membuat kenyataan tersebut, beliau membuat panggilan telefon dari Port Dickson, dalam gerakerja kempen pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang.

Dalam para 8 berita tersebut telah ditulis sebagai ; Haji Hanafiah menyifatkan Ahmad Said turut gagal melahirkan kepimpinan UMNO yang bersih kerana menurutnya Ahmad sendiri turut dikaitkan dengan masalah-masalah sosial yang berkenaan.

Kenyataan yang sebenarnya adalah; Haji Hanafiah menyifatkan Ahmad Said turut gagal melahirkan kepimpinan UMNO yang bersih sehingga anak buah Ahmad sendiri turut dikaitkan dengan masalah-masalah sosial berkenaan.

Buletinonline kesal atas segala salah faham yang timbul.

Friday, October 2, 2009

GEMPA PADANG – SUSILO MINTA BANTUAN MALAYSIA

Kita bersimpati dan berharap mangsa gempa bumi di Padang, Sumatera Barat akan tabah menghadapi dugaan. Pada saat genting seperti ini, rakyat Malaysia sewajarnya menghulurkan bantuan dalam apa bentuk sekali pun.

Lagipun pemerintah Indonesia sudah pun secara rasmi memohon bantuan negara sahabat.

Jumlah kematian di kawasan malapetaka gempa bumi di Padang, Indonesia sudah mencecah kepada 1,100 orang dan akan terus meningkat, kata Ketua Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), John Holmes semalam.

“Jumlah kematian terbaru sudah mencecah kepada 1,100 orang dan kami menjangkakan ia akan terus meningkat,” katanya pada taklimat kepada media.

“Kebiasaannya kebanyakan daripada ratusan mereka yang cedera kini akan menjadikan jumlah kematian akan terus bertambah apabila hubungan maklumat berjaya dipulihkan,” katanya.

Malaysia malam semalam menghantar tiga pesawat tentera ke Padang dalam misi membawa pulang hampir 300 penuntut Malaysia yang terlibat dengan kejadian gempa bumi di Sumatera barat Indonesia, petang kelmarin.

Tiga pesawat pengangkut jenis Hercules, yang membawa 26 orang termasuk 11 wakil media berlepas dari Pangkalan TUDM Subang pada 11.45 malam menuju ke Padang.















TANGISAN dan jeritan menyelubungi Padang.




PASUKAN penyelamat mencari mangsa di celah runtuhan.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Mohamed Tajudeen Abdul Wahab yang berada di pangkalan itu berkata pesawat yang membawa pulang penuntut terbabit di jangka tiba di Pangkalan TUDM pada 5.00 pagi tadi.

Menurut laporan awal, ketika keadaan di Sumatera Barat masih kelam kabut berikutan gempa bumi kelmarin yang setakat ini mengorbankan 770 orang, manakala 294 mangsa cedera, Indonesia dikejutkan dengan satu lagi gegaran di kawasan Jambi di selatan bandar itu, pagi semalam.

Setakat ini, tiada laporan mengenai kematian akibat gegaran susulan berukuran 6.6 skala Richter pada jam 9.53 pagi itu yang turut dirasai di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia, termasuk Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Dalam kejadian gempa bumi berukuran 7.6 Richter di Sumatera Barat pada jam 5:15 waktu tempatan kelmarin, beribu-ribu orang dikhuatiri masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan dengan beberapa mangsa yang masih hidup berjaya dikeluarkan pasukan penyelamat, semalam.

Lebih 500 bangunan termasuk beberapa hotel, sekolah, hospital dan gedung beli belah dilaporkan musnah atau mengalami kerosakan teruk dalam kejadian itu.

Hotel Bumi Minang, satu daripada hotel kegemaran rakyat Malaysia yang melancong ke Kota Padang atau menziarahi saudara mara di sana, juga dilaporkan runtuh dengan sejumlah orang dikatakan masih terperangkap.

Kedutaan Malaysia di Jakarta mengesahkan semua 330 pelajar Malaysia di Padang selamat dan tiada laporan rakyat Malaysia terkorban.














Gambar atas – Dua mangsa dirawat.





Gambar kanan - Anggota tentera Indonesia berusaha mengeluarkan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan di Padang, semalam.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono semalam memberi kebenaran negara sahabat dan pertubuhan asing untuk memberikan bantuan kepada mangsa gempa di Sumatra Barat.

"Dalam keadaan ini apa yang diperlukan adalah kepantasan dan kalau ada yang boleh lebih dulu ke sana (ke Padang) serta ada negara sahabat Asean yang menawarkan bantuan, maka silakan saja.

"Bagaimanapun, pengendalian bantuan tetap di tangan kita. Apa sekali pun soal itu adalah nombor dua dan yang utama ialah kerahkan tenaga kita," kata Presiden selepas diberi taklimat mengenai gempa bumi di Sumatera Barat itu semalam.

Ketika kejadian gempa bumi di Tasikmalaya awal September lalu, walaupun beberapa negara dan pertubuhan asing menawarkan bantuan, kerajaan Indonesia menolaknya berikutan ia berupaya menanganinya sendiri, lapor Kompas.com semalam.

Kesatuan Eropah (EU) hari ini menyalurkan bantuan kemanusiaan sebanyak tiga juta euro (RM15.4 juta) kepada mangsa gempa bumi yang telah membunuh lebih 500 orang mangsa di Padang, Indonesia.

ISU DADAH & PEMUDA UMNO KEMAMAN (1)

Beginilah...apabila Mat Sabu (Mohamad Sabu) ditangkap berkhalwat di hotel Perdana Kota Bharu sekitar 1990-an, riuh rendah orang PAS mengatakan Mat Sabu jangan dipersalah atau dikatakan beliau berkhawat sebelum dibuktikan bersalah.

Dipendekkan cerita, Mat Sabu lepas. Peguam yang bergelut untuk membebaskan Mat Sabu ialah Datuk Shukri Mohamad ( daripada Parti Melayu Semangat 46 kemudian masuk UMNO). Maknanya Mat Sabu ‘jangan dianggap bersalah sebelum dibuktikan bersalah’, kata pemimpin PAS ketika itu.

Ternyata selepas itu Mat Sabtu hidup sebagai orang bebas dan tidak ada kena mengena dengan tuduhan khalwat dengan isteri orang - Mat Sabu kini orang bersih.

Namun sebelum dia ‘dibersihkan’ oleh Shukri, Mat Sabu juga berada dalam keadaan seperti orang lain yang menghadapi pertuduhan.

Bagaimanapun, dalam kes pemimpin Pemuda UMNO Kemaman yang ditahan polis kelmarin ‘kononnya menagih dadah’ pemimpin PAS Terengganu cepat melatah dengan mengatakan sudah tiba masanya rakyat ngeri Terengganu khususnya dan satu Malaysia amnya menolak UMNO dan Barisan Nasional kerana kepimpinannya korup, rosak akhlak dan moral.

Menurut Pengarah Majlis Tindakan DUN Chukai, Haji Hanafiah Ramly@Mat, mereka yang ditangkap adalah Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Ahmad Tarmizi Johar dan Ahli Jawatankuasa UMNO, Bahagian Japilus Ismail.

Selain itu katanya, abang Japilus yang turut ditangkap disyakki menjadi pengedar dadah tersebut dan ketiga-tiga mereka merupakan pimpinan pelapis yang telah dididik oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said, yang juga adalah Ketua UMNO Bahagian Kemaman.

Apakah pemimpin PAS Terengganu seperti Haji Hanafiah sudah yakin mereka itu bersalah? Benarkah mereka itu melakukan perbuatan itu, termasuk abang Japilus yang dikatakan mengedar dadah?

Apa bukti yang mereka ini ada? Jangan cepat melenting, silap-silapkan kena saman malu!
Begitu juga dengan kenyataan Hanafiah yang mengaitkan kes ini dengan Datuk Ahmad Said.

Beliau menyifatkan Ahmad Said gagal melahirkan kepimpinan UMNO yang bersih kerana menurutnya Ahmad Said sendiri turut dikaitkan dengan masalah-masalah sosial yang berkenaan.

Apa maksud Hanafiah Ahmad Said turut dikaitkan dengan masalah social berkenaan? Ahmad Said juga penagih atau bersangkutan dengan penagih?

Hanafiah jangan cari pasal. Bagaimana sekiranya mereka yang ditahan itu terbukti tidak terbabit?

Juga, memandangkan polis baru menahan dan perbicaraan belum dilakukan, janganlah buat andaian yang berbagai.

Tidak perlulah pemimpin PAS menyeru semua rakyat Terengganu dan Malaysia supaya bersama-sama kepimpinan pakatan pembangkang yang menurut pemimpin PAS mereka adalah bersih dari masalah korupsi, bebas keruntuhan akhlak dan tinggi moralnya.

Jangan terlalu angkuh kerana pemimpin PAS juga menghadapi masalah yang sama dalam soal korupsi dan soal moral.

Bagaimana dengan kejadian pemimpin PAS memukul isteri, mengabaikan isteri atau menggunakan dana parti untuk kepentingan peribadi?

Bagaimana dengan wakil rakyat PAS yang tidak ‘berfungsi’ dan hanya mengambil gaji tetapi tidak berbakti kepada rakyat? Bukankah ini antara perbuatan yang salah dan dilarang oleh Islam?

Walaupun belum ada yang ‘sangkut’ di tangan SPRM kerana kes rasuah umpamanya di kalangan pemimpin politik Kelantan tetapi masa akan menentukan bahawa ‘pelanduk boleh melupakan jerat’ tetapi ‘jerat tidak akan melupakan pelanduk’?

Beberapa siasatan membabitkan rasuah di kalangan pemimpin pakatan pembangkang di Selangor dijangka akan menyerlahkan kebenaran bahawa rasuah dan penyalahgunaan kuasa melampaui parti, bangsa atau juga agama.

Jadi, tunggu keputusan mahkamah sebelum menghukum dua Pemuda UMNO berkenaan dan sambil itu tidak adil mengaitkan Ahmad Said atau sesiapa juga pemimpin Terengganu dengan kes berkenaan.