Friday, October 2, 2009

GEMPA PADANG – SUSILO MINTA BANTUAN MALAYSIA

Kita bersimpati dan berharap mangsa gempa bumi di Padang, Sumatera Barat akan tabah menghadapi dugaan. Pada saat genting seperti ini, rakyat Malaysia sewajarnya menghulurkan bantuan dalam apa bentuk sekali pun.

Lagipun pemerintah Indonesia sudah pun secara rasmi memohon bantuan negara sahabat.

Jumlah kematian di kawasan malapetaka gempa bumi di Padang, Indonesia sudah mencecah kepada 1,100 orang dan akan terus meningkat, kata Ketua Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), John Holmes semalam.

“Jumlah kematian terbaru sudah mencecah kepada 1,100 orang dan kami menjangkakan ia akan terus meningkat,” katanya pada taklimat kepada media.

“Kebiasaannya kebanyakan daripada ratusan mereka yang cedera kini akan menjadikan jumlah kematian akan terus bertambah apabila hubungan maklumat berjaya dipulihkan,” katanya.

Malaysia malam semalam menghantar tiga pesawat tentera ke Padang dalam misi membawa pulang hampir 300 penuntut Malaysia yang terlibat dengan kejadian gempa bumi di Sumatera barat Indonesia, petang kelmarin.

Tiga pesawat pengangkut jenis Hercules, yang membawa 26 orang termasuk 11 wakil media berlepas dari Pangkalan TUDM Subang pada 11.45 malam menuju ke Padang.















TANGISAN dan jeritan menyelubungi Padang.




PASUKAN penyelamat mencari mangsa di celah runtuhan.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Mohamed Tajudeen Abdul Wahab yang berada di pangkalan itu berkata pesawat yang membawa pulang penuntut terbabit di jangka tiba di Pangkalan TUDM pada 5.00 pagi tadi.

Menurut laporan awal, ketika keadaan di Sumatera Barat masih kelam kabut berikutan gempa bumi kelmarin yang setakat ini mengorbankan 770 orang, manakala 294 mangsa cedera, Indonesia dikejutkan dengan satu lagi gegaran di kawasan Jambi di selatan bandar itu, pagi semalam.

Setakat ini, tiada laporan mengenai kematian akibat gegaran susulan berukuran 6.6 skala Richter pada jam 9.53 pagi itu yang turut dirasai di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia, termasuk Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Dalam kejadian gempa bumi berukuran 7.6 Richter di Sumatera Barat pada jam 5:15 waktu tempatan kelmarin, beribu-ribu orang dikhuatiri masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan dengan beberapa mangsa yang masih hidup berjaya dikeluarkan pasukan penyelamat, semalam.

Lebih 500 bangunan termasuk beberapa hotel, sekolah, hospital dan gedung beli belah dilaporkan musnah atau mengalami kerosakan teruk dalam kejadian itu.

Hotel Bumi Minang, satu daripada hotel kegemaran rakyat Malaysia yang melancong ke Kota Padang atau menziarahi saudara mara di sana, juga dilaporkan runtuh dengan sejumlah orang dikatakan masih terperangkap.

Kedutaan Malaysia di Jakarta mengesahkan semua 330 pelajar Malaysia di Padang selamat dan tiada laporan rakyat Malaysia terkorban.














Gambar atas – Dua mangsa dirawat.





Gambar kanan - Anggota tentera Indonesia berusaha mengeluarkan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan di Padang, semalam.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono semalam memberi kebenaran negara sahabat dan pertubuhan asing untuk memberikan bantuan kepada mangsa gempa di Sumatra Barat.

"Dalam keadaan ini apa yang diperlukan adalah kepantasan dan kalau ada yang boleh lebih dulu ke sana (ke Padang) serta ada negara sahabat Asean yang menawarkan bantuan, maka silakan saja.

"Bagaimanapun, pengendalian bantuan tetap di tangan kita. Apa sekali pun soal itu adalah nombor dua dan yang utama ialah kerahkan tenaga kita," kata Presiden selepas diberi taklimat mengenai gempa bumi di Sumatera Barat itu semalam.

Ketika kejadian gempa bumi di Tasikmalaya awal September lalu, walaupun beberapa negara dan pertubuhan asing menawarkan bantuan, kerajaan Indonesia menolaknya berikutan ia berupaya menanganinya sendiri, lapor Kompas.com semalam.

Kesatuan Eropah (EU) hari ini menyalurkan bantuan kemanusiaan sebanyak tiga juta euro (RM15.4 juta) kepada mangsa gempa bumi yang telah membunuh lebih 500 orang mangsa di Padang, Indonesia.

1 comment:

  1. Kerajaan malaysia tidak pernah menolak utk menolong sesiapa. Tahniah Najib.
    ______________________
    View Profile: Rantong™

    ReplyDelete