Sunday, November 30, 2008

BAGAIMANA KES NIRMALA DINILAI

(Kemaskini) Saya menerima respon yang baik melalui posting ‘KESAN NIRMALA BONAT PENGAJARAN UNTUK SEMUA’, Jumaat 28 November 2008.

Sehingga saat ini masih ada komen-komen yang sesetengahnya marah, nakal, menyimpang dan tidak kurang yang mahu majikan Nirmala dikenakan hukuman lebih berat.

Seperti saya katakan kes ini meninggalkan kesan mendalam kepada rakyat Malaysia dan Indonesia.

Ada pengomen yang melihatnya daripada sudut kemanusiaan dan hubungan antara pekerja dan majikan - sebaliknya perkauman.

Ada yang berpuashati dengan tempoh hukuman, malah ada yang merasakan ia tidak setimpal dengan kesengsaraan Nirmala Bonat.

“Saya kira kita angkat topi kepada mahkamah Malaysia yang telah membuat keputusan seperti itu dan benar-benar mempertimbangkan fakta yang ada,” demikian kata Ketua Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negeri di parlimen Indonesia Theo L. Sambuaga.

Berikutan itu, beliau mahu setiap pekerja Indonesia dipastikan tahu selok belok pekerjaan dan didedahkan juga kepada adat, budaya dan pengetahuan asas undang-undang setempat.

Beliau adalah salah seorang daripada beberapa anggota Parlimen Indonesia yang menyambut baik keputusan Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman 18 tahun penjara ke atas Yim Pek Ha, majikan kepada pembantu rumah dari Indonesia, Nirmala Bonat.

Pek Hwa, suri rumah, didapati bersalah atas tiga tuduhan mencederakan Nirmala dengan menggunakan seterika dan air panas empat tahun lepas.

Beliau memberikan penghargaan kepada mahkamah di Malaysia yang menurutnya telah mempastikan perjalanan undang-undang dengan baik dan adil.

Bernama melaporkan, akhbar-akhbar di Indonesia turut melaporkan berita keputusan mahkamah sesyen Kuala Lumpur itu yang dianggap telah memberikan keadilan kepada Nirmala, yang berasal dari Kupang, Nusa Tenggara Timur.

Speaker Parlimen Indonesia Agung Laksono turut mengingatkan pekerja Indonesia yang sedang mencari rezeki di Malaysia supaya berhati-hati dalam bekerja dan sentiasa mematuhi undang-undang Malaysia.

Beliau mengelak daripada mencampuri urusan mahkamah tetapi menghargai sistem undang-undang di Malaysia yang menjatuhkan hukuman yang sesuai dengan kesalahan penderaan itu
Katanya, selain menunjukkan berjalannya proses penegakan hukum di Malaysia, keputusan ke atas majikan Nirmala Bonat cukup bererti bagi Indonesia kerana ada banyak lagi pekerja Indonesia di negara ini.

Selain itu Speaker Parlimen Indonesia itu percaya penguatkuasa undang-undang di Malaysia baik polis mahupun pihak lain sentiasa bertindak tegas dan tidak mendiskriminasi.

Dia berharap keputusan ini menjadi peringatan kepada majikan-majikan lain di Malaysia.

Sementara itu, Ketua Badan Kerjasama Antara Parlimen di parlimen Indonesia Abdillah Thoha pula berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana telah menyelesaikan proses undang-undang dan kehakiman ke atas rakyat Indonesia yang mencari keadilan seperti dalam kes Nirmala.

“Saya melihat keputusan itu memberi gambaran positif bahawa proses undang-undang telah berjalan dengan baik. Mereka yang bersalah dan melanggar undang-undang tetap dihukum,” katanya, yang berpendapat hukuman penjara 18 tahun bukanlah ringan.

Apapun, semalam Suri rumah Yim Pek Ha, yang dikenakan hukuman penjara 18 tahun kelmarin selepas didapati bersalah mencederakan pembantu rumahnya dari Indonesia, Nirmala Bonat, semalam keluar dari Penjara Kajang apabila Mahkamah Sesyen membenarkan wanita itu diikat jamin.

Hakim Akhtar Tahir membenarkan Pek Ha diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Suami Pek Ha, Hii Ik Ting, membayar wang jaminan itu pada pukul 3.30 petang ini di Pejabat Pendaftar Mahkamah Kuala Lumpur. Pek Ha, yang digari dan diiringi empat warden, dibawa ke pejabat itu pada pukul 4 petang untuk menandatangani dokumen ikat jamin.

Pengomen, bungaraya berkata “Masyallah. Apa agaknya sifat dan sikap isteri majikan tersebut? Sehingga tergamak berbuat kejam sedemikian rupa. Saya pun boleh jadi fobia membaca dan mendengarnya dalam TV semalam. Masih dikalangan rakyat kita yang bertindak di luar batasan. Aku pun tidak terkata-kata.Sorry.”

YusRi pula berpendapat, “Patutnya hukuman tu berjalan berasingan. Masa buat tak ingat...Jika anda berada ditempat mangsa dera, bagaimana anda nak hadapi hidup dalam trauma?” FunTooSurf yang menyokong pandangan ini berkata: “Inilah majikan yang tak tahu beza binatang dan manusia.18 years is to short, why don't double up the sentence?”

Seladang pula mengingatkan, “Jangan anggap manusia bawahan sebagai binatang bila kita menjadi kaya raya!” Senyumsempoi pula berkata: “Yim Pek Ha mula belajar jadi manusia. Satu kos pengajian yang panjang.”

Hakim Akhtar dalam membenarkan permohonan ikat jamin berkata, permohonan itu dibenarkan kerana beliau berpuas hati dengan kehadiran Pek Ha semasa perbicaraan dan tidak ada sebab untuk Pek Ha menghilangkan diri dan juga dia mempunyai empat orang anak kecil.

“Mengikut undang-undang, tertuduh mempunyai hak untuk merayu ke peringkat tinggi sehingga percubaan akhir. Dia perlu diberi kebebasan untuk merayu. Oleh kerana dia disabit kesalahan, saya menambah jumlah jaminan kepada RM200,000,” katanya.

Akhtar juga memerintahkan supaya bekas pramugari berusia 40 tahun itu menyerahkan semua dokumen perjalanan dan memaklumkan kepada mahkamah mengenai pergerakannya apabila meninggalkan Kuala Lumpur.

Pek Ha kelamrin didapati bersalah atas tiga tuduhan dengan sengaja mencederakan Nirmala Bonat menggunakan seterika dan air panas di Villa Putera, Jalan Tun Ismail di sini pada Januari, Mac dan April 2004. Dia dikenakan hukuman penjara masing-masing 18 tahun bagi setiap tuduhan tetapi Hakim Akhtar mengarahkan supaya hukumannya berjalan serentak berkuat kuasa semalam.

Peguam Pek Ha, Jagjit Singh dan Akbardin Abdul Kadir kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah itu.

Suri rumah itu pada mulanya didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 22 Mei, 2004 dan dibenarkan ikat jamin RM85,000 oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Kadir Musa pada 19 Julai, 2004, sementara menunggu perbicaraan di Mahkamah Sesyen.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin.

Cuma yang sedikit mengejutkan saya ialah pendapat seorang pengomen, add apabila beliau mengatakan:

“Inilah akan berlaku kepada orang melayu jika kaum cina memerintah negara malaysia. Dah dera cukup-cukup lepas tu tuduh yang pembantunya yang dera diri sendiri. Kepada melayu yang dok suka sangat nak jadi malaysia malaysian ha ni lah dia malaysian cina. Walaupun saya faham , nirmala tu orang indon, tapi spesis cina ni, kalau dia jadi "tuan" inilah realitinya dilakukan keatas "hamba". contoh mudah "tuan" dan "hamba" dalam bisnes.”

Saya jadi kelu dan tidak menyangka kes Nirmala Bonat ini dilihat sebegitu jauh – sehingga menjadi isu perkauman – yang kini jelas kembali semula ke persada politik Malaysia.

Friday, November 28, 2008

KESAN NIRMALA BONAT PENGAJARAN UNTUK SEMUA

Kes ini meninggalkan kesan mendalam kepada rakyat Malaysia dan Indonesia.

Ia ada pengajaran, kesedihan, geram dan gembira. Ia pengajaran kepada majikan, isteri, pembantu rumah, suami dan sebagainya yang ada kaitan dalam perhubungan antara majikan dan pembantu rumah.

Pembantu rumah juga manusia. Mereka bekerja mencari makan serta menyara keluarga dan tidak wajar diperlakukan di luar batasan kemanusiaan.

Pembantu rumah, Nirmala Bonat, yang sebelum ini cuba digambarkan sebagai ‘tidak siuman’, empat tahun lalu dicederakan oleh majikannya – isteri - dengan menggunakan seterika dan air panas.

Nirmala dikatakan pernah dimasukkan ke Hospital Puekesmas di Kupang, Jawa Timur bagi rawatan sakit mental pada usia mudanya. Perkara itu didedahkan oleh Fermina Anunut, sepupu Nirmala melalui rakaman percakapannya bertarikh 24 Mei 2004 yang dibacakan oleh pegawai perakam pada ketika itu, Pemangku Asisten Supritendan Ranjit Singh di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, 1 Julai lalu.

Dalam percakapan itu, Fermina mengaku turut mengunjungi Nirmala semasa dia dirawat di hospital tersebut selain mendakwa gadis itu telah lama mengidap sakit mental dan mempunyai surat doktor yang mengesahkannya.

Berita pembantu rumah Indonesia itu menggembarkan seluruh Nusantara, gara-gara perbuatan oleh seorang suri rumah Malaysia terhadap pembantu rumah berkenaan.

Hukuman penjara 18 tahun yang dikenakan ke atas suri rumah, Yim Pek Ha semalam (27 November 2008) bagi kesalahan menyebabkan cedera parah terhadap pembantu rumahnya, Nirmala Bonat diharap akan menjadi pengajaran kepada majikan lain.

Setiausaha Ketiga Kedutaan Indonesia di Malaysia, Shanti Utami berkata, pihaknya menghormati hukuman yang dianggap setimpal serta mengambil kira kepentingan awam itu. Nirmala telah cukup menderita akibat penderaan itu dan masanya telah tiba untuk dia melupakan perkara yang berlaku.

Nirmala yang berada di kedutaan telah pulang ke Indonesia Julai lalu. Kami dimaklumkan dia telah bekerja di sana dan rasanya ia jalan terbaik untuk dia melupakan kisah silam.

Beliau turut menafikan Nirmala memperoleh sebarang pampasan daripada mana-mana pihak. Sebaliknya, jelas beliau, wang tersebut diperoleh daripada derma orang ramai yang bersimpati dengan penderitaan yang ditanggung Nirmala.

Majikan, Pek Ha, bekas pramugari, menghadapi tiga tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap Nirmala dengan menggunakan seterika dan air panas di rumahnya di Villa Putera, Jalan Tun Ismail di sini pada Januari, Mac dan April 2004.

Terdahulu, Hakim Akhtar Tahir membuat keputusan menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap Pek Ha. setelah mendapati bahawa kecederaan yang dialami Nirmala bukan kecederaan yang dilakukan sendiri seperti yang didakwa oleh Pek Ha.

“Walaupun, Nirmala didakwa menghidapi epilepsi atau gila kambing seperti yang didakwa saksi ketika prosiding pembelaan. Ibu mangsa sendiri menafikan bahawa anaknya mengalami seperti yang didakwa. Selain itu, tertuduh, suaminya mahupun orang yang berada di rumah itu sendiri tidak pernah melihat Nirmala diserang sakit berkenaan,” katanya.

Hakim itu kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama 18 tahun berkuatkuasa hari ini (semalam) bagi ketiga-tiga pertuduhan setelah memerintahkan setiap hukuman dijalankan secara serentak.

“Sebenarnya, kamu boleh dikenakan hukuman 18 tahun untuk tiga pertuduhan itu secara berasingan, kerana masa kesalahan itu dilakukan berbeza-beza. Tetapi mahkamah mengambil kira kecederaan yang dialami mangsa telah sembuh sepenuhnya. Namun, mahkamah tidak dapat pastikan gangguan mental ekoran perkara ini yang dialaminya sama ada telah sembuh atau tidak,” kata Akhtar kepada Pek Hwa.

Mendengar keputusan itu Pek Hwa terus maraung, “Kenapa semuanya begini. Saya tidak boleh mempercayainya. Kenapa, kenapa, kenapa?” raung suri rumah, Yim Pek Ha di ribaan suaminya, Hii Iik Tiing, sambil ditenangkan kakaknya, sejurus mahkamah ditangguhkan kira-kira jam 10.40 pagi selama setengah jam sebelum rayuan.

Sinar Harian melaporkan, ibu kepada empat cahaya mata itu, dilihat mulai sebak apabila Hakim Mahkamah Sesyen, Akhtar Tahir mensabitkan dirinya bersalah atas tiga tuduhan dengan sengaja mencederakan bekas pembantu rumahnya, Nirmala Bonat, empat tahun lalu dengan menggunakan seterika dan air panas.

Sebaik hakim meninggalkan sidang mahkamah, keadaan bilik perbicaraan itu bertukar pilu apabila Pek Ha meluru keluar dari kandang tertuduh mendapatkan suaminya di galeri awam dan menyembamkan wajahnya atas ribaan Iik Tiing sambil meraung dengan esak tangis berpanjangan.

Suaminya yang dilihat seolah-olah ‘habis ikhtiar’ itu hanya mendiamkan diri sambil membelai rambut isterinya yang sedang kesedihan sebelum dilihat turut mengalirkan air mata.

Pada jam kira-kira 10.58 pagi, Pek Ha dan suami bersama beberapa ahli keluarga yang hadir memberi sokongan kepadanya dilihat bergerak masuk ke lokap mahkamah setelah mendapat kebenaran polis bagi mengelak dari menjadi perhatian pihak media.

Terdahulu, Hakim Akhtar Tahir membuat keputusan itu setelah mendapati bahawa kecederaan yang dialami Nirmala bukan kecederaan yang dilakukan sendiri seperti yang didakwa oleh Pek Ha.

Tepat jam 11.30 pagi, peguam Jagjit Singh, dibantu peguam Akhbardin Abdul Kader dalam rayuannya memohon anak guam mereka diberikan hukuman ringan atas alasan ia kesalahan pertama selain mempunyai empat anak yang masih kecil dan memerlukan perhatian seorang ibu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Rozela Taja Toran dibantu Timbalan Pendakwa Raya Farhan Read, membantah hukuman ringan diberikan dengan alasan, Nirmala terpaksa menderita ekoran kecederaan yang dialami selain terpaksa mengingati detik hitam itu seumur hidup.

Akhtar kemudian berkata, mahkamah menerima keterangan dan bukti yang mengata perbuatan tertuduh didorong oleh kesilapan Nirmala dalam melakukan tugas sebagai pembantu rumah.

“Namun, ia bukanlah satu sebab dan alasan untuk tertuduh menjadi begitu kejam. Jika perbuatannya dilakukan sekali masih boleh dipertimbangkan, tetapi ia dilakukan berulang kali. Oleh itu, pada saya ia adalah satu perbuatan yang sangat kejam dan tidak boleh diterima dalam masyarakat kita pada hari ini.

“Mahkamah juga menerima keterangan suami tertuduh dalam prosiding pembelaan. Mahkamah mendapati saksi memberi keterangan yang benar. Bagaimanapun, dia selalu sibuk dengan tugasnya dan jarang berada di rumah setiap masa. Dia tidak sedar dengan apa sebenarnya yang berlaku di rumah setiap hari. Dia hanya mengetahui hal yang berlaku di dalam rumah berdasarkan kepada aduan dan cerita yang disampaikan oleh tertuduh iaitu isterinya. “ kata hakim berkenaan.

Thursday, November 27, 2008

SAIFUL MENGHIDAP PENYAKIT KELAMIN?

Fitnah dan bohong.

Itulah reaksi Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, pemuda yang mendakwa diliwat oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dia menafikan dirinya selama ini terlantar sakit, lumpuh dan menghidap penyakit kelamin.

"Saya dengan ini menyangkal segala tohmahan dan fitnah yang dibuat terhadap diri saya yang tersebar di laman-laman web serta cakap-cakap yang mengatakan kononnya saya kini terlantar sakit, menjadi lumpuh dan menghidap penyakit kelamin hingga ke tahap saya telah meninggal dunia.

"Itu semua adalah tidak benar dan merupakan fitnah serta suatu pembohongan besar yang direkacipta oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab," kata Saiful.

"Saya juga mengurangkan masa membuka laman web bagi mengelakkan stres," katanya apabila menjawab sebab dia tidak mengemaskini blognya.

Pagi tadi, Saiful keluar membacakan kenyataan itu setelah 25 minit berada di dalam pejabat unit siasatan bahagian penguatkuasaan JAWI, namun kembali semula menuju ke pejabat tersebut selepas itu.

Dalam kenyataan media yang dibaca oleh Saiful di perkarangan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pagi ini, dia menganggap tohmahan itu adalah satu fitnah yang dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Tambahnya, dia kini berada di dalam keadaan yang baik dan tidak seperti yang digembar-gemburkan oleh pihak-pihak terbabit.

"Saya ingin menegaskan bahawa keadaan kesihatan saya adalah sangat baik dan tidak sebagaimana yang difitnah oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Saya masih berehat dan menenangkan fikiran dari kekusutan yang berlaku.

Kenapa Saiful hadir di pejabat JAWI?

mStar Online memetik sumbert, kehadiran Saiful adalah berhubung laporan tuntutan qazaf (tuduhan palsu) yang dibuat oleh Anwar terhadapnya di Mahkamah Syariah pada 9 Julai lalu.
Anwar pada 7 Ogos lalu turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap tuduhan meliwat Mohd Saiful di sebuah kondominium di Damansara, di sini pada 26 Jun.

Sehubungan itu, Mohd Saiful telah diminta hadir memberi keterangan kepada JAWI berhubung tuntutan qazaf tersebut pada 19 Ogos lalu.

Sebelum itu, pada 15 Ogos, Mohd Saiful ditemani bapanya, Azlan Mohd Lazim, melafazkan sumpah laknat (mubahalah) di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur dengan disaksikan Imam Ramlang Porigi, menyatakan dia diliwat Penasihat PKR terbabit.

Dalam sumpah laknat itu, Mohd Saiful mendakwa dirinya telah diliwat secara paksa oleh Anwar.
Mengulas lanjut, sumber itu memberitahu lagi, kemunculan Mohd Saiful di JAWI pagi ini mampu menangkis tohmahan dan laporan palsu yang tersebar sebelum ini kononnya beliau ditimpa bala dan sumpah memakan dirinya.

"Saiful perlu hadir di JAWI esok (hari ini). Pada masa yang sama, beliau ingin menunjukkan yang cerita beliau ditimpa bala adalah tidak benar," jelas sumber itu semalam.

Dia bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang kehadirannya di situ pagi ini.

Dia juga enggan memberi komen berhubung ura-ura mengatakan dia sedang dikawal rapi oleh pihak berkuasa.

Katanya, dia juga sudah bersedia untuk menunggu hari perbicaraan kes liwat itu nanti.
Terdahulu, Saiful dilihat tiba di JAWI pada jam 11.10 pagi dengan dikawal rapi oleh tiga lelaki.
Turut hadir mengiringi Saiful ialah bapanya, Azlan Mohd Lazim dan peguamnya, Zamri Idrus.

PERTARUNGAN DALAM PAS LEBIH HEBAT DARIPADA UMNO

Saya membaca komen IbnAbdHalim, semalam (26 November 2008) melalui Malaysia Today terhadap rencana ‘Apakah PAS Menuju Pertarungan Hebat’ oleh Zulkifli Sulong dalam The Malaysian Insider yang menimbulkan pertanyaan, benarkah banyak kumpulan dalam PAS ketika ini.

Menurut IbnAbdHalim, perpecahan PAS di Selangor “...pada hemat saya ianya akan menghakis sokongan pengundi dari kalangan muda dan bukan Islam yang memberi kemenangan kepada calon PAS pada pilihanraya ke-12 yang lalu. Pengundi cukup selesa dengan pendekatan yang diambil dalam pilihanraya lalu. Memancung apa yang dianggap sebagai kumpulan Erdogan akan membawa padah dan perpecahan kepada PAS kalau tidak dapat ditangani secara bijaksana.”

Ini kerana sudah ada meramalkan, perpecahan bukan sahaja akan berlaku di Selangor tetapi juga di negeri-negeri lain.

Jika ini berlaku, diramalkan “pertarungan yang lebih hebat dari yang berlaku dalam Umno akan berlaku dalam Pas tahun depan.”

Apakah sebenarnya yang berlaku? Baca rencana berikut:

APAKAH PAS MENUJU PERTARUNGAN HEBAT?

Dengan apa yang berlaku di Selangor, orang sudah membuat andaian bahawa akan berlaku perpecahan dalam Pas. Ia adalah pertembungan antara kumpulan yang dinamakan Erdogan dengan kumpulan penyokong kepimpinan ulama yang memimpin Pas sekarang.
Zulkifli Sulong, The Malaysian Insider

Apabila Zubaidah Abu Bakar menulis dalam NST Isnin (24 November) lepas, orang-orang Erdogan mula dipancung di Selangor, ramai yang terkejut dengan berita itu. Ini kerana, bagi kebanyakan orang yang mengikuti politik Pas dengan baik, isu ini sudah selesai pada 12 Oktober lalu. Di mesyuarat Lajnah Politik (lajnah paling berkuasa dalam menentukan hala tuju politik Pas), sudah berlaku genjatan senjata. Namun jika benarlah apa yang ditulis itu sebagai tindakan memancung kumpulan Erdogan, ia satu yang dikesali.

Ekoran tulisan Zubaidah itu, saya diperkenalkan dengan satu blog baru muncul oleh penulis The Star, Joceline Tan. Blog itu bernama scandalasia.blogspot.com.

Tolak ketepi bahasa-bahasa kasarnya, ramai yang terkesan dengan kandungan tulisan pertama dalam blog ini. Ia memberikan satu imput yang sangat bernilai untuk mereka yang ingin faham dengan apa yang berlaku dan pemikiran yang bersimpang siur dalam Pas.
Hasilnya, Joceline berpendapat, boleh jadi pertandingan yang akan berlaku dalam Pas tahun depan lebih sengit dari apa yang berlaku dalam Umno kini.

Inilah persepsi pihak luar terhadap Pas. Benar atau tidak, persepsi tetap persepsi. Ia bakal membawa kepada kotak undi jika tidak ditangani dengan baik oleh pimpinan Pas.

Dengan apa yang berlaku di Selangor, orang sudah membuat andaian bahawa akan berlaku perpecahan dalam Pas. Ia adalah pertembungan antara kumpulan yang dinamakan Erdogan dengan kumpulan penyokong kepimpinan ulama yang memimpin Pas sekarang.

Tindakan Datuk Dr Hassan Ali sebagai pesuruhjaya Pas negeri mengenepikan Khalid Samad dan Shaari Sungib dari barisan kepimpinan utama Pas Selangor telah menyebabkan keyakinan orang terhadap persepsi adanya dua kumpulan dalam Pas ini semakin kuat.

Tambahan pula dengan rekod-rekod kenyataan Hassan Ali dan Khalid selama ini. Hassan dianggap berbeza dengan Khalid dalam mengendalikan isu perlantikan Madam Low sebagai pemangku Pengurus Besar PKNS. Hassan membantah secara terbuka perlantikan itu dengan mempersoalkan “kenapa tidak melantik dua lagi timbalan pengurus besar” (yang Melayu) dianggap tidak menyokong perlantikan Madam Low kerana kecinaannya.

Khalid pula dalam kenyataan berkata, ketidaksetujuan beliau terhadap perlantikan itu kerana “mahu darah baru dari luar untuk memperkukuhkan PKNS”.

Bagi saya, isu hubungan Hassan dengan Khalid ini menjadi runcing bukan kerana erdorgan atau tidak. Ini kerana, isu ini sudah selesai dan tidak perlu berbangkit lagi. Isu sebenarnya, bagi saya, adalah hubungan tidak rapat antara Hassan Ali sebagai Exco kerajaan negeri Selangor dan juga pesuruhjaya Pas Selangor dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Sejak awal lagi, nampak sangat hubungan kedua-duanya tidak berapa baik. Sejak isu konsert Mas Idayu lagi nampak hubungan antara keduanya kurang baik. Kebetulan pula Khalid Samad ini baik dan rapat dengan MB Selangor itu.

Banyak situasi berlaku yang menunjukkan hubungan kurang baik antara Hassan dengan kedua-dua Khalid ini. Misalnya, Hassan Ali selalu sahaja merungut dan melaporkan beliau tidak mendapat kepercayaan penuh Khalid Ibrahim. Tidak dilantik sebagai Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, tidak dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Zakat dan sebagai sebagainya. Dalam situasi sebegitu, Khalid Samad pula dilihat mempertahankan MB Selangor itu.

Menurut ceritanya, perkara ini selalu berlaku dalam mesyuarat yang disertai Hassan dan Khalid Samad itu. Yang terakhir adalah Dewan Harian Pas Selangor yang membawa kepada keputusan menggugurkan Khalid Samad itu.

Bagi Khalid Samad, Hassan Ali sepatutnya mempergunakan hubungan baik beliau dengan MB Selangor itu untuk kepentingan Pas, Pakatan Rakyat dan kerajaan Selangor. Tetapi, baginya, Hassan Ali tidak menggunakan peluang itu.

Kini, apa yang dibimbangi berlaku sudah berlaku. Hassan telah mengeluarkan Khalid dan Shaari dari inner circlenya. Beliau telah membawa dua pemimpin yang dianggap banyak bersama beliau selama ini ke dalam inner circle beliau itu.

Yang membuatkan saya tidak risau dengan apa yang berlaku adalak kenyataan Khalid Samad dan Shaari Sungib selepas mereka berdua dipecat. Shaari dengan jelas berkata, beliau menerima tindakan itu kerana itu hak pesuruhjaya manakala Khalid pula berkata, beliau boleh bermain dipadang yang lebih luas dengan tindakan ini.

"Kalau sebagai timbalan pesuruhjaya, saya hanya boleh aktif bercakap dalam mesyuarat Dewan Harian sahaja, masa mesyuarat Perhubungan (yang lebih ramai ahlinya), saya kena pertahankan keputusan harian.

"Kini saya bebas untuk bercakap kepada ahli mesyuarat yang lebih besar dengan disertai oleh lebih ramai ahli tanpa terikat dengan keputusan Dewan Harian," kata Khalid Samad.

Dewan Harian Pas Selangor dianggotai 10 anggota iaitu pesuruhjaya, timbalan pesuruhjaya (tiga orang), ketua-ketua dewan Pemuda, Ulama dan Muslimat, setiausaha perhubungan, bendahari dan ketua penerangan.

Kalau masing-masing mengambil positif perkara ini, percayalah apa yang dinyatakan oleh Joceline Tan “pertarungan yang lebih hebat dari yang berlaku dalam Umno akan berlaku dalam Pas tahun depan” tidak akan berlaku.