Thursday, November 6, 2008

BAGAIMANA UMNO KINI DIGAMBARKAN...

Dalam posting sebelum ini bertajuk ‘Tak bagi duit kalah’ Selasa lalu, saya memetik kenyataan Tengku Razaleigh mendedahkan terdapat bahagian yang meminta sehingga RM2 juta sebagai ganjaran pencalonan.

"Satu bahagian dengan jelas meminta RM1 juta manakala di Sabah, harganya mencecah RM2 juta," kata beliau di Kota Bharu semalam.

Dua minggu lalu, bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mendedahkan tahap serius gejala politik wang dalam pemilihan Umno berkata, seseorang perwakilan 'berpeluang' memperoleh sehingga RM20,000 sebagai ganjaran undi.

Sambil menekankan amalan rasuah dalam UMNO di semua peringkat sudah menjadi buah mulut orang ramai, Dr. Mahathir berkata: "Kata orang melihat kepada jawatan-jawatan yang dipertandingkan tiap seorang wakil boleh dapat hingga RM20,000."

Semalam, Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail berkata ‘Calon yang amal politik wang dikenal pasti’.

Menurut beliau, pasukan pemantau yang diwujudkan oleh Lembaga Displin Umno sudah mengenal pasti calon yang menawarkan diri bagi merebut jawatan dalam pemilihan parti Mac depan yang mengamalkan politik wang dan penyalahgunaan kuasa.

Lembaga dalam proses menganalisis dan penyiasat secara serius dan terperinci, untuk mengumpulkan segala bahan bukti dan saksi bagi tujuan mengambil tindakan tegas terhadap mereka tanpa mengira sesiapapun.

“Jika sekiranya mereka yang terlibat ini akhirnya didapati bersalah, mereka akan hilang hak untuk bertanding atau sekiranya menang, kemenangan mereka boleh dibatalkan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Katanya, kebelakangan ini, khususnya di peringkat pencalonan Timbalan Presiden dan Naib Presiden, pihaknya mendapati calon-calon yang menawarkan diri telah menggunakan ramai pengurus, perayu dan pelobi untuk mendapatkan pencalonan.

Beliau mendakwa mempunyai ramai pemantau yang diwujudkan sekarang di seluruh negara, dan pihaknya telahpun mengenal pasti calon yang menyalahgunakan kuasa dan mengamalkan rasuah politik wang yang begitu hebat dan keterlaluan.”

Berikutan itu, saya seronok baca posting terbaru http://msomelayu.blogspot.com bertajuk ‘Wang Rasuah RM750 Juta Dibawa Dengan Jet Persendirian’ hari ini dan dua hari sebelum itu beliau menulis “UMNO sebuahUniversiti Rasuah”.

Menurut MSO yang memetik kata-kata kawannya, "Memang Umno sudah berada di peringkat paling (dia menekankan suaranya) palinggggg....parah.! Parah... Ti..." katanya terus memandu di celah-celah kesesakan lalulintas.

"You tahu berapa wang yang digunakan pada setiap persidangan Umno bahagian," kata kawan itu. Semua telinga tertumpu kepada cerita kawan ini.

Untuk satu kawasan di Kelantan dia orang minta RM150.00 untuk seorang perwakilan. Cuba kali dengan 500 perwakilan, sudah jadi RM75,000. Kalaulah semua bahagian meminta jumlah itu berapa yang harus kena bayar?," katanya.

"Itu harga paling rendah, tetapi ada sesetengah perwakilan dibayar hingga RM500 sampai RM1,000 seorang. Bayangkanlah..." katanya kawan itu lagi kesal.

Beliau turut menceritakan bagaimana ada orang bawa balik duit dari luar negera? Menurut MSO, “RM750 juta....duit dari Switzerland dibawa balik.... Dia orang ada kemudahan *** **. Duit itu diangkut ke Singapura.

Semua duit dalam not Singapura. Dibawa masuk dengan menggunakan jet tentera!". Kalau dah masuk dengan jet tentera.... sapa nak ganggu? Begitu juga orang yang ke Switzerland tu pakai jet persendirian..... Ini Umno... bukan Pas!" jelasnya lagi.

Dalam ‘Umno Sebuah Universiti Rasuah’ pula, MSO berkata kerana fenomena inilah ahli Umno mereka suka kalau tiba musim pemilihan. Dengan kata lain, “Sudah terlekat dalam kepala (menjadi mind set) mereka musim pemilihan musim mencari rezeki dan pendapatan tambahan.

“ Dan kerana itu, ahli Umno menjadikan musim pemilihan sebagai masa untuk mereka mengorbankan pemimpin parti. Seolah-olah mereka menyertai Umno hanya untuk mendapatkan manfaat berkenaan.

Kata MSO: “Rasuah dalam Umno diperkatakan dimana-mana saja. Fenomena ini memburuk dan menghanyirkan parti Melayu itu. Semakin kuat dan hebatnya percakapan mengenai rasuah menyebabkan seolah-olah Umno sebuah parti rasuah, bukan parti Melayu lagi.

Umno jadi institusi rasuah, bukan lagi bertaraf sekolah atau kolej tetapi sudah sampai ke taraf universiti. Umno sebuah universiti rasuah!

Tahap rasuah itu menjadih lebih besar dan grand lagi bila sampai di peringkat nasional, dalam pemilihan pucuk pimpinan parti. Perwakilan bukan lagi diukur setakat seratus dua tetapi ribuan ringgit.

Tempat dibawa untuk lawatan bukan lagi di Indonesia atau Thailand, tetapi sampai ke London, Australia dan Makkah. Tidak hairanlah kalau ahli Umno menjadikan musim pemilihan sebagai musim untuk mencari rezeki tersepak serta melancung ke luar negeri atau kawasan.

Mengambil kira pendedahan Tengku Razaleigh tadi cubalah kira berapa banyak dibelanjakan oleh Mohd Najib Razak untuk mendapat 143 pencalonan. Berapa banyak digunakan oleh Muhyiddin Yassin.

Berapa banyak pula digunakan oleh Mukhriz Mahathir, Khairy Jamaluddin dan Khir Toyo. Yang pastinya pencalonan itu tidak datang percuma melainkan setelah dibeli ataupun dirasuahkan.”

Soalnya apakah ini suatu tuduhan? Jika benar-benar mahu menyiasat boleh cari sumbernya dan terus menjurus kepada pemberi nmaklumat. Apakah kenyataan ini, kenyataan Tengku Razaleigh serta MSO ini tidak boleh dijadikan panduan?

Jadi siasatlah dan seperti kata Tengku Ritahuddeen, oleh kerana masih ada berbaki 49 bahagian yang akan bersidang pada akhir minggu ini, siasatan boleh diperkemasakan.

Proses pemilihan bagi 191 bahagian Umno yang bermula sejak 9 Oktober lalu, dijadual berakhir Ahad ini walaupun ada bahagian-bahagian ayng akan bermesyuarat selepas itu kena na pelbagai masalah,

Tengku Rithaudeeen sendiri sedar sedar bahawa semua calon dan pihak terlibat supaya menghentikan gejala yang tidak baik dan terkutuk ini agar dapat kita bersama-sama memperkuatkan Umno, demi kesejahteraan dan kebahagiaan kita dan generasi akan datang.

Yang diharapkan ialah kali ini pisang tidak berbuah dua kali apabila kesan pemilihan 2004, hanya Tan Sri Isa Samad yang tidak terlepas daripada hukuman sementara semua perwakilan tahu, ramai lagi yang bermain ‘politik wang’.

Jangan kali ini jadi seperti 2004 dan jika benar Tengku Ritahuddeen sedih dan kecewa tentang gejala amalan politik wang yang berlaku dalam tempoh pemilihan bahagian Umno yang sedang berlangsung, beliau bukan sekadar asyik mengingatkan sahaja tetapi bertindak sewajarnya.

Dengan tindakan dan hukuman setimpal imej UMNO dapat dipulihkan daripada gambar sekarang bahawa UMNO adalah ‘universiti rasuah’.

Wednesday, November 5, 2008

BUDI BAHASA BERMULA DI PARLIMEN

Ahli Parlimen kita tidak berbudi bahasa?

Bukan begitu. Ada di kalangan mereka hanya sesekali tersasar. Itu sahaja.
Kempen Budi Bahasa diperhebatkan dalam kalangan anggota Parlimen kerana mereka adalah contoh terbaik untuk diteladani oleh rakyat.

Pujian harus diberikan kepada Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kerana mahu memperhebatkan kempen Budi Bahasa di kalangan ahli Parlimen.

Cadangan kerajaan itu rata-rata disambut baik oleh ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan juga kalangan parti pembangkang.

Shafie berkata kelmarin Ahli Parlimen adalah contoh terbaik untuk diteladani oleh rakyat.
Menurutnya: “Anggota Parlimen selalu menjadi perhatian rakyat, apa yang mereka katakan adalah menjadi tanggapan rakyat dan sudah semestinya mereka juga terikat dengan sikap berbudi bahasa.

“Mereka merupakan ahli Yang Berhormat yang mempunyai pengaruh yang begitu kuat bukan hanya di kawasan masing-masing malahan juga di peringkat kebangsaan,”

Beliau berkata demikain selepas melancarkan Kempen Budi Bahasa Budaya Kita 2008 peringkat kebangsaan pada 2 November 2008.

Kementerian itu sudah mengenal pasti beberapa pendekatan yang sesuai untuk kegunaan Anggota Parlimen dan ahli Yang Berhormat seperti penyebaran risalah.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kelmarin menyambut baik cadangan kerajaan mengadakan Kempen Budi Bahasa di kalangan anggota Parlimen.

Menurut beliau, kempen seumpama itu sesuai dan relevan untuk dilaksanakan di kalangan Anggota Parlimen bagi memastikan mereka lebih berhati-hati sebelum bercakap dan menjadi contoh terbaik untuk diteladani.

"Anggota Parlimen ni orang yang berada di atas, sudah bijak pandai, banyak pengalaman, tidak perlu nak adakan akta atau sebagainya untuk kawal mereka," katanya di Kota Bharu.
Selain Nik Aziz, Setiausaha Publisiti DAP, Teresa Kok yang juga Ahli Parlimen Seputeh turut menyokong kempen tersebut.

Namun katanya isu etika Ahli Parlimen ini bukanlah sesuatu yang besar dan perlu diberi perhatian yang khusus.

"Ada banyak lagi isu lain yang perlu diberi perhatian, namun sebenarnya baik juga kempen ini dilaksanakan," katanya.

Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Bung Moktar Radin berkata, beliau amat menyokong cadangan dikemukakan oleh Menteri berkenaan.
"Saya amat bersutuju dan sokong penuh cadangan kempen ini, namun ia perlu diperluaskan meliputi semua peringkat," katanya.

Menurutnya, melalui kempen ini ahli Parlimen akan sentiasa berwaspada dalam penggunaan perkataan-perkataan yang bersesuaian ketika berhujah dalam Dewan Rakyat.

"Namun biasalah, kadang-kadang bila kita leka berhujah... ada juga tersasar dari etika bahasa," katanya.

Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) turut bersetuju dengan memperkenalkan kempen tersebut di kalangan ahli Parlimen.

"Kempen ini bagus, semua pihak harus amalkan budi bahasa yang baik terutamanya apabila berhujah dalam Dewan.

"Sepatutnya kita tak boleh gunakan perkataan sesuka hati tanpa berfikir terlebih dahulu, dengan kempen tersebut diharap semua pihak akan lebih berhemah ketika bercakap," katanya.
"Memanglah kita nak amalkan budi bahasa yang baik, tapi kalau mereka mencelah dan bangkitkan perkara yang boleh cetuskan kemarahan, kadang-kadang kita juga boleh hilang sabar," katanya.

Dalam pada itu, Yusmadi Yusoff (PKR-Balik Pulau) juga bersetuju dengan pelaksanaan kempen tersebut, namun tidak perlu terlalu bergantung kepadanya.

Kata beliau, seharusnya tiada pendekatan tadbir dan arah diperkenalkan kerana sepatutnya ahli Parlimen diberi kebebasan untuk berhujah dan menyampaikan pandangan.

"Apa yang lebih penting ialah melalui pendidikan kerana melaluinya kita akan bertindak dan berkelakuan dengan baik dan berhemah," katanya.

Bagaimanapun beliau menyokong usaha yang dibuat untuk menjadikan Parlimen Malaysia sebagai sebuah Parlimen bertaraf dunia.

Sebelum ini Menteri Luar Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, amalan mencampuradukkan Bahasa Malaysia dengan Bahasa Inggeris semasa perbualan harian dalam kalangan rakyat negara ini, menunjukkan mereka mengalami kecamukan budaya.

Beliau berkata, amalan sedemikian bukan sahaja menyebabkan seseorang individu tidak dapat menguasai kedua-dua bahasa berkenaan dengan baik, malah menjejaskan kelancaran berkomunikasi.

“Kalau cakap Bahasa Malaysia cakaplah dengan penggunaan yang betul, kalau cakap bahasa Inggeris pun, cakaplah dengan betul,” katanya semasa merasmikan Penubuhan Majlis Alumni Institut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia.

Rais berkata, kuasa yang diberi kepada Dewan Bahasa dan Pustaka untuk membetulkan penyalahgunaan Bahasa Malaysia dalam penerbitan dan papan tanda tidak mendatangkan kesan yang positif.

“Masalah penggunaan bahasa adalah lantaran kelemahan dalam penegasan dan penguatkuasaannya, hingga ada pihak yang ambil kesempatan dan memperkecilkan akta Bahasa Kebangsaan,” katanya.

AKHIRNYA RAJA-RAJA JUGA YANG DIRUJUK

Ketuanan Melayu hanya menguntungkan sesetengah golongan Melayu sahaja?

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat sedemikian?
Siapakah yang dimaksudkan Anwar melalui kenyataannya itu?

Kata Anwar, sewajarnya kita membantu kesemua mereka bersama kaum Cina dan India.
Katanya semalam, perjuangan menegakkan Ketuanan Melayu akan hanya menguntungkan sebilangan kecil orang Melayu sedangkan yang lain masih dalam keadaan ketinggalan.

Beliau juga mahu supaya kenyataan bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zahid Ibrahim yang mengkritik dasar yang berasaskan kaum yang dianggapnya sengaja dipesongkan daripada isu sebenar yang dihadapi negara dinilai dengan mendalam.

Soalnya ialah apakah Ketuanan Melayu meminggirkan bukan-Melayu?

Dengan kata lain apakah semangat Perikatan dan Barisan Nasional (BN) berteraskan Ketuanan melayu yang suatu ketika Anwar sendiri dokong tidak membantu masyarakat Melayu dan kaum lain?

PKR atau DAPkah yang meletakkan orang Melayu bersama-sama orang Cina dan India seperti kedudukan sekarang ini?

Benarkah kumpulan tertentu Melayu mengambil kesempatan terhadap rata-rata orang Melayu sejak negara mencapai kemerdekaan?

Ketuanan Melayu sebagai dasar dan amalan tidak salah dan jika orang Melayu ketinggalan yang silapnya ialah pemimpin Melayu yang kurang membantu mereka, termasuk Anwar sendiri ketika dalam kerajaan.

Banyak pihak tidak berpuashati dengan pendapat Anwar dan Zaid.

Kerana itu, sekurang-kurangnya 500 orang Melayu dijangka akan menyertai perarakan bagi mengemukakan memorandum sokongan terhadap ketetapan yang diambil pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-215, pagi ini.

Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Dr. Mohd. Hilmi Ismail berkata, memorandum yang akan diserahkan kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar itu merupakan tanda taat setia orang Melayu terhadap institusi Raja Melayu di negara ini.

“'Perarakan ini adalah sebagai menyambut hasil ketetapan Majlis Raja- Raja Ke-215 yang bermesyuarat di Terengganu baru-baru ini mengenai kedudukan institusi raja, agama Islam, bahasa Melayu, hak istimewa orang Melayu dan hak bukan Melayu seperti yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

''Saya harap perarakan yang bermula dari Masjid Ubudiah ini akan menjadi peringatan kepada kumpulan tertentu yang sering mempersoalkan hak istimewa orang Melayu," katanya di Kuala Kangsar.

Mohd. Hilmi memberitahu, perarakan akan bermula pada pukul 9.30 pagi dan peserta dijangka tiba di Dewan Santapan Istana Iskandariah pada pukul 10 pagi.

Polimik mengenai Hak Istimewa dan Ketuanan Melayu ini reda seketika selepas Ketetapan Majlis Raja-Raja Melayu ke-215 tetapi hangat kembali apabila model Ketuanan Melayu dikatakan telah gagal dan mengakibatkan pembaziran sumber, tenaga dan masa.

Bagaimanapun, kenyataan bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, minggu lalu yang mengkritik dasar Ketuanan Melayu yang dianggapnya berasaskan kaum, walaupun beliau ahli parti pemeritah - Umno - parti terbesar orang Melayu.

Berucap di persidangan LawAsia 2008 di ibunegara bekas ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, ia juga telah dipesongkan daripada isu sebenar yang dihadapi negara.

Beliau meletak jawatan bulan lalu sebagai membantah penahanan tiga individu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membolehkan penahanan tanpa bicara.
Hakikatnya Zaid ‘mahu ambil hati siapa’ dan ‘siapa pula yang mahu diredakan oleh Zaid’?

Berikutan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar mahu bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Zaid Ibrahim memohon maaf kepada orang Melayu berikutan kenyataannya konsep ketuanan Melayu gagal di negara ini.

Syed Hamid berkata, kenyataan Zaid yang mempertikaikan hak ketuanan Melayu itu boleh diibaratkan sebagai satu pengkhianatan bekas menteri terhadap bangsanya sendiri yang sudah merdeka dan berdaulat.

"Dia pengkhianat kepada bangsanya sendiri. Zaid perlu insaf dan memohon maaf kepada bangsa Melayu.

"Jangan biarkan diri kita menjadi alat untuk melemahkan bangsa kita sendiri dan menggadaikan maruah bangsa sehingga orang lain mengambil kesempatan di atas kelemahan kita.

Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir menyifatkan Zaid sebagai orang yang buta sejarah perjuangan bangsanya, walaupun beliau pernah diletakkan di tempat yang begitu tinggi oleh kepemimpinan orang Melayu negara ini.

"Tanpa sejarah ketuanan Melayu, Zaid tidak berpeluang berada di tempat beliau berada sebelum ini dan mungkin tidak dapat bercakap seperti yang beliau pertikaikan jika negara ini bukan diperintah dan diasaskan oleh ketuanan Melayu," katanya.

Sebelum itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menyifatkan kenyataan Senator Datuk Zaid Ibrahim mengenai ketuanan Melayu sebagai keterlaluan.

“Zaid perlu bertaubat, jika tidak, Zaid perlu keluar dari rumpun bangsa Melayu,” kata Shahidan yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO.

Shahidan berkata, jika bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu terus mempertikai konsep ketuanan Melayu, beliau tidak seharusnya menjadi Melayu lagi kerana sebagai bangsa Melayu Zaid seharusnya membela Melayu bukan memburukkannya.

Kelmarin, Zaid mempertahankan kenyataannya bahawa formula berasaskan konsep ketuanan Melayu mempunyai unsur negatif yang melemahkan kaum itu dan bersifat perkauman.
Beliau bagaimanapun menegaskan, ia tidak bermaksud bahawa beliau mempersoalkan 'keistimewaan' orang Melayu dalam Perlembagaan seperti yang cuba digambarkan.

Apa yang sebenarnya, menurut Zaid, konsep itu mencerminkan orang Melayu hanya mahu menjadi 'tuan' tanpa mahu berusaha dan bertanggungjawab kepada diri sendiri.

Katanya: “Seolah-olah orang Melayu ini mahu hak-hak tertentu serta penghormatan dan pengiktirafan tentang kebolehan mereka semata-mata kerana mereka orang Melayu. Ini pada saya bukan gambaran yang sebenar. Imej ini melemahkan orang Melayu sendiri. Ramai orang Melayu mahu penghormatan dan pengiktirafan tentang kejayaan mereka berasaskan kebolehan mereka.

Orang Melayu mempunyai kebolehan luar biasa dan tidak perlu untuk mengamalkan sikap 'angkuh' kononnya mereka mempunyai hak yang lebih daripada kaum lain," ujar beliau dalam kenyataannya di Kota Bharu.

Zaid mengulas kenyataan beberapa pemimpin UMNO yang mengecam beliau di samping menuntutnya supaya memohon maaf kerana seolah-olah mengkhianati dan memburukkan bangsa sendiri serta melupakan sejarah perjuangan bangsa.

''Saya tidak terkejut dengan reaksi pemimpin UMNO seperti Datuk Seri Syed Hamid Albar, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib dan Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim mengenai kenyataan saya bahawa model atau formula berasaskan konsep ketuanan Melayu gagal menolong Melayu menuju kejayaan dan kecemerlangan dalam bidang ekonomi ataupun pelajaran.

''Mereka hanya mahu saya minta maaf sambil menghina kewibawaan dan kesetiaan saya kepada bangsa Melayu," ujarnya.

''Saya tidak perlu meminta maaf kepada Syed Hamid dan kawan-kawannya. Kepada orang Melayu, saya harap anda dapat membezakan di antara pemimpin yang benar-benar memikirkan kepentingan anda daripada pemimpin yang hanya menggunakan nama Melayu untuk kepentingan politik mereka," ujar beliau.

Yang pasti Sultan Azlan sudah memberi perkenan untuk menerima semua peserta masuk mengadap dan perarakan itu juga mendapat kelulusan polis.

''Pada majlis itu, semua peserta akan melafazkan sumpah taat setia kepada Sultan Perak dan institusi Raja-Raja Melayu dan saya sendiri akan mempersembahkan memorandum kepada Sultan Azlan," katanya.

GMP yang merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak mempunyai sebarang motif politik, sebaliknya berjuang mempertahankan kedudukan orang Melayu, agama Islam dan juga institusi Raja Melayu.

''Kami berasa kesal dengan tindakan segelintir kumpulan dan pemimpin menggunakan isu sensitif ini semata-mata untuk kepentingan politik sedangkan mereka tahu perkara ini sudah dipersetujui sebelum ini.

''Semua perkara ini sudah termaktub dalam Perlembagaan dan tidak wajar terus dipersoalkan. Selagi ia berada di situ, kita sebagai warganegara Malaysia wajar mematuhinya," tegas beliau.

PAS MOHON PROJEK DARIPADA PUSAT

Inilah perangai Kerajaan Pas Kelantan!
Pada pilihan raya umum lalu apabila Barisan Nasional (BN) mengemukakan manifesto untuk membina lapangan terbang lebih besar dan panjang untuk Kelantan, Pas memujuk rakyat menolaknya.

Ketika itu bukan main lagi nada angkuh Pas yang menolak apa sahaja tawaran kerajaan Pusat melalui manifesto ‘Kelantan Maju, Kelantan Baru’ termasuk lapangan terbang baru untuk Kelantan.

Semalam, melalui Utusan Malaysia, Kerajaan Pusat diminta supaya tidak terus menangguhkan cadangan memanjangkan landasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa daripada 1.98 kilometer kepada 2.4 kilometer.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerja Raya, Utiliti dan Alam Sekitar negeri, Mejar (B) Anizam Abdul Rahman berkata semalam, pemanjangan landasan yang mengikut spesifikasi antarabangsa itu amat penting bagi membolehkan pendaratan pesawat lebih besar termasuk Airbus A330 dan Boeing 777.

Katanya, ia sekali gus boleh menampung permintaan perkhidmatan penerbangan yang semakin tinggi di kalangan pengguna di negeri ini, di samping membantu merancakkan ekonomi negeri termasuk sektor pelancongan.

Ketika kempen pilihan raya umum lalu, Pas meminta rakyat Kelantan, khususnya di Pengkalan Chepa sendiri jangan memilih BN kerana katanya, Pas mampu melakukan yang terbaik untuk Kelantan.

Malah, Pengkalan Chepa yang menjadi kubu Pas seolah-olah boleh berdiri sendiri tanpa bantuan kerajaan Pusat.

Hakikatnya, lapangan terbang, kampus sementara Universiti Malaysia Kelantan, sekolah-sekolah utama dan banyak lagi projek lain adalah ikhsan Kerajaan Pusat.

Semalam Anizam berkata, kerajaan negeri sedia memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membolehkan projek ini dijalankan memandangkan LTSIP masih mempunyai tanah yang luas dan urusan pengambilan tanah juga telah selesai sejak tahun 1980-an lagi.

Pada 27 Ogos 2006, Pengerusi Majlis Tindakan Negeri Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed dilaporkan berkata, kerajaan telah meluluskan peruntukan berkaitan projek berkenaan.
Mustapa dilaporkan berkata, sebanyak RM70 juta diperuntukkan untuk projek tersebut dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

LTSIP telah mempunyai bangunan terminal baru LTSIP seluas 12,000 meter persegi dengan kos kira-kira RM55 juta dan telah dirasmikan oleh Sultan Kelantan, Tuanku Sultan Ismail Petra pada 12 April 2004.

Bangunan terminal baru yang antara termoden di Malaysia mampu mengendalikan 580 penumpang dalam tempoh sejam berbanding 130 orang di bangunan terminal lama yang hanya seluas 1,785 meter persegi.

Menurut Anizam, LTSIP memang layak dinaik taraf memandangkan potensinya yang tinggi untuk menjadi hab pelancongan dan penerbangan antarabangsa secara terus tanpa perlu terlebih dahulu transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"LTSIP pada masa ini dalam sebulan mengendalikan sehingga 30,000 penumpang domestik dengan 25 kali perjalanan sehari. Berdasarkan kepada fakta ini, LTSIP memang perlu untuk dinaik taraf lebih awal.

"Lapangan terbang di Kuala Terengganu yang hanya mengendalikan enam perjalanan sehari sudah mempunyai landasan panjang yang juga diberikan kebenaran untuk penerbangan bagi jemaah haji," katanya.
Pada masa ini, ujarnya, LTSIP mempunyai Sistem Instrumen Pendaratan (ILS) yang membolehkan pesawat mendarat walaupun dalam keadaan cuaca buruk.

"LTSIP juga mempunyai akademi penerbangan swasta pertama di pantai timur dan ketiga di negara iaitu Akademi Latihan Penerbangan Asia Pasifik (APFT)," katanya.

Satu lagi yang peliknya, Anizam menggunakan Utusan Malaysia yang dikempen oleh Pas dan Pakatan Rakyat supaya memboikotnya.

Ternyata apabila terdesak, Utusan Malaysia pun Utusan Malaysialah. Harapkan akhbar Harakah, ia hanya bercakap politik Pas tanpa memberikan sumbangan apa-apa.