Showing posts with label bahasa. Show all posts
Showing posts with label bahasa. Show all posts

Monday, June 14, 2010

BAHASA TAMIL & CINA DI SEKOLAH - KERAJAAN JANGAN CARI BEBAN BARU

Saya sokong penuh jika dikatakan semakin banyak bahasa dikuasai, semakin banyak ilmu yang mudah dipelajari.

Namun hasrat kerajaan untuk mengkaji cadangan mewajibkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Tamil dan Mandarin di semua sekolah, perlu diperkata dan dikaji dengan berhati-hati.

Kajian biarlah secara mendalam dan benar-benar telus.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata semalam, pembelajaran bahasa ibunda itu sememangnya termaktub sebagai dasar kementerian namun masih belum dilaksanakan sepenuhnya lagi sejak sekian lama.


"Bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris memang penting tetapi bahasa ibunda juga harus kita pelajari untuk memudahkan komunikasi selain mamahami budaya, nilai dan seni kaum lain," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Parti Progresif Rakyat (PPP) Wilayah Persekutuan semalam.


Bila disebut wajib, apakah ia perlu lulus seperti Bahasa Malaysia untuk perkiraan gred atau pencapaian?

Saya mengemukakan pertanyaan ini melihat kepada kesan yang melanda pelajar-pelajar Melayu, khususnya di luar bandar yang menghadapi masalah mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris kerana sebab-sebab kekurangan guru dan kemudahan pembelajaran lain.

Selain itu, mempelajari bahasa sebenarnya sukar apabila lagi jika ‘wajib’ yang ditetapkan itu membabitkan umpamanya kelulusan bagi dua kertas seperti diamalkan sekarang.

Bagi ibu bapa pula, mereka tentu bimbang mengenai keputusan peperiksaan untuk dua bahasa ini dan bagi yang tidak mampu menghantar anak untuk kelas tambahan (kebanyakan ibu bapa sekolah kebangsaan adalah keturunan Melayu) kerisauan dan kebimbangan mereka mungkin bertukar kepada ‘kemarahan kepada kerajaan’.

Kita sudah melihat bagaimana pembangkang menggunakan isu pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris untuk tujuan kempen dan undi pilihan raya. Apakah kerajaan mahu mencari satu lagi ‘bala dan malapetaka politik’untuk pilihan raya umum akan datang?

Kita akui bahawa bahasa amat penting dalam memupuk persefahaman, namun persoalannya, tidak cukupkan dengan Bahasa Malaysia?

Juga, sekiranya pembelajaran bahasa akan menjadi masalah seperti pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, beban apa lagi yang perlu ditanggung oleh kerajaan?

Pada ketika isu Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris belum selesai, pengumuman seperti ini mengundang pelbagai tuntutan dan masalah.

Dari kaca mata politik, Muhyiddin mengumumkan perkara ini sebagai mengulas permintaan Presiden PPP Datuk M Kayvaes supaya kerajaan mempertimbang menjadikan pembelajaran bahasa ibunda berkenaan sebagai subjek wajib di sekolah.
Persoalan lain ialah siapa yang akan mengajarnya dan apakah tambahan subjek ini tidak membebankan pelajar?

Muhyiddin berkata, kerajaan bercadang mewajibkan guru-guru Bahasa Cina dan Tamil disediakan di sekolah-sekolah kebangsaan tetapi apakah ia mencukupi dan bagaimana tahap pengajarannya?

Walaupun sekolah kebangsaan memang sudah ada dasar untuk menyediakan guru-guru tersebut supaya kelas-kelas POL (bahasa ibunda pelajar) dapat dilaksanakan sepenuhnya di semua sekolah kebangsaan, ia tidak semudah diucapkan.

Mungkin saya salah seorang ibu bapa yang boleh dikategorikan sebagai mmpunyai sindrom ‘bimbang yang melampau’.

Saya kemukakan masalah ini kerana ada pengalaman sedikit kerana ketiga-tiga anak lelaki saya belajar di sekolah Cina dan untuk membolehkan mereka sedikit mahir bercakap.faham dan menulis ia memerlukan usaha yang benar-benar gigih dan perbelanjaan agak tinggi.

Persoalannya, dalam konteks perlaksanaan dan kesannya, tidakkah ia kelak akan menimbulkan masalah lebih besar?

Bagaimana jika kemudian kerajaan mendapati usaha ini sukar dilaksanakan? Atau kedua-dua bahasa itu hanya wajar dijadikan pilihan, bukan wajib kerana sebab-sebab tertentu.

Tidakkah kelak, Menteri Pelajaran selepas ini salah satu kerjanya ialah menjawab isu mewajibkan pengajaran dan pempelajaran bahasa Tamil dan Mandarin di sekolah-sekolah?

Tidakkan ini akan menyebabkan kerajaan perlu mencari jawapan lain yang mungkin akan menyukarkan diri sendiri, sedangkan asalnya hanya untuk memuaskan segelintir orang politik!

Monday, February 23, 2009

PPSMI – DAP DAN PKR BANTAH JUGA?

Sebenarnya isu melindungi atau untuk kepentingan Bahasa Melayu tidak besar.
Ia lebih kepada rangkaian politik tajaan pembangkang dengan puak-puak yang nampak diperalatkan.

Jelas sekali bantahan penggunaan Bahasa Inggeris dalam pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) tidak mungkin menjadi ‘isu negara’ kalau ntidak kerana ada pihak yang ‘menyalakan api bantahan’.

Pengakuan bekas Menteri Besar Perak Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin bahawa ada tindakan saman dilakukan oleh anaknya terhadap Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Pendidikan kerana telah melanggar Perlembagaan negara yang memelihara Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, mula ‘menyelakkan rahsia’ matlamat sebenar.

Mohammad Syawwaal Mohammad Nizar Jamaluddin, 10 dinyatakan oleh bapanya pernah menyaman kerajaan pada tahun 2006 beserta beberapa pelajar sekolah yang lain kerana melaksanakan dasar yang menyebabkan sebilangan besar pelajar khususnya kaum Melayu tercicir dalam mencapai kejayaan di kedua-dua mata pelajaran itu.

Saman ini pun dilakukan hanya selepas tiga tahun PPSMI dilaksanakan. Ini bermakna anak Mohammad Nizar belum menduduki peperiksaan dan belum pasti keberkesanan yang sebenar.
Perkara mengenai saman oleh anaknya dinyatakan Nizar dalam ceramahnya di Felcra Kg Serigala, dekat Slim River malam semalam.

"Kita dalam Pakatan Rakyat sudah lama membantah PPSMI dan memperjuangkan bahasa rasmi yang juga ingin dilenyapkan oleh Umno seperti mana yang berlaku ke atas tulisan jawi.
"Anak saya dan beberapa yang lain telah bertindak menyaman kerajaan kerana mencabuli perlembagaan negara yang melindungi bahasa ibunda," katanya yang turut dibantu dan diwakili oleh tujuh peguam antaranya Hanipa Maidin dan Amiruddin.

Menurut laporan laman web rasmi sebuah parti pembangkang, Lajnah Pendidikan PAS Pusat akan turut menganjurkan 'Himpunan dan Ikrar : Mansuhkan PPSMI' hari ini, 23 Februari 2009 di Dewan Perhimpunan Cina Selangor jam 9.00 malam.

Program ini akan dihadiri pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat antaranya, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim; Pengerusi GMP, Dato' Hassan Ahmad, Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid; Penggiat Teater, Che Shamsudin Othman (Dinsman), Ahmad Lutfi Othman dan Wakil-Wakil NGO.
PPSMI dianggap pembangkang membawa kesan yang negatif ke atas pencapaian keputusan peperiksaan pelajar-pelajar Melayu khususnya di luar bandar.

Persoalannya, benarkah Pakatan Rakyat menentang PPSMI?

Mana wakil DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang lain? Apakah mereka turut menentang kerajaan kerana mahu ‘mengagungkan Bahasa Melayu”?

Kenapa nampak majlis ini diwakili Melayu sahaja?

Apakah isu PPSMI ini hanya membabitkan kepentingan pelajar Melayu sahaja?

Ada beberapa perkara di sini yang saya rasa Kerajaan, khususnya Kementerian Pelajaran perlu berterus terang melalui kajian menyeluruh dan tidak membiarkan bantahan menjadi ‘politik’.

1. Apakah kelemahan diakibatkan oleh kegagalan guru-guru yang mengajar dua subjek dalam Bahasa Inggeris;

2. Apakah persediaan Kementerian Pelajaran melatih guru-guru bagi mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris?

3. Apa persediaan ibu bapa untuk menerima pengajaran PPSMI?

4. Benarkah ‘bala’ PPSMI hanya jatuh kepada pelajar Melayu?; dan

5. Benarkah benar keputusan PPSMI semakin meningkat dan menyeluruh untuk bandar dan luar bandar?

Hakikatnya, saya tidak nampak begini:

1. Masalah hanya bagi sekolah di luar bandar;

2. Masalah hanya bagi sekolah yang tidak mempunyai guru berkelayakan; dan

3. Masalah hanya bagi ibu bapa yang tidak menyokong usaha ‘menerapkan’ satu lagi bahasa tambahan untuk anak-anak.

Jawapan kepada semua ini saya tidak pasti.

Hanya satu yang pasti, anak saya yang mengambil mata pelajaran sains dan matematik pada peperiksaan UPSR 2008 mendapat A bagi kedua-dua mata pelajaran berkenaan dengan pengantar bahasa Inggeris dan Cina.

Kenapa sekolah Cina tidak bising?

Kerana itu apabila memikirkan wujud bantahan dan kebanyakannya di kalangan orang Melayu, sementara Gapena pula membuat laporan polis, tertanya saya kepada diri sendiri, kenapa orang Melayu menolak dan tidak bersedia?

Dan malang sekali, kemarahan diluahkan melalui saluran pembangkang, bukan seperti bantahan-bantahan mengenai bahasa yang dilakukan pada 1960an dan 1970an melalui badan-badan yang memperjuangkan bahasa.

Kerajaan dan Kementerian Pelajaran jangan menyalahkan pembangkang kerana terbabit dalam isu ini kerana mereka akan menggunakan apa juga saluran untuk mendapatkan kuasa.

Yang penting, umumkan kedudukan sebenar dan buatlah kajian menyeluruh agar pihak yang menentang dapat diredakan.

Soal pembangkang untuk ‘tumpang sekaki’ tidak boleh apa-apa. Itu kerja dia.
Yang penting apa juga kebaikan untuk anak-anak dan generasi kita perlu diteruskan. Atau jika benar merugikan, hentikan!

Wednesday, November 5, 2008

BUDI BAHASA BERMULA DI PARLIMEN

Ahli Parlimen kita tidak berbudi bahasa?

Bukan begitu. Ada di kalangan mereka hanya sesekali tersasar. Itu sahaja.
Kempen Budi Bahasa diperhebatkan dalam kalangan anggota Parlimen kerana mereka adalah contoh terbaik untuk diteladani oleh rakyat.

Pujian harus diberikan kepada Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kerana mahu memperhebatkan kempen Budi Bahasa di kalangan ahli Parlimen.

Cadangan kerajaan itu rata-rata disambut baik oleh ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan juga kalangan parti pembangkang.

Shafie berkata kelmarin Ahli Parlimen adalah contoh terbaik untuk diteladani oleh rakyat.
Menurutnya: “Anggota Parlimen selalu menjadi perhatian rakyat, apa yang mereka katakan adalah menjadi tanggapan rakyat dan sudah semestinya mereka juga terikat dengan sikap berbudi bahasa.

“Mereka merupakan ahli Yang Berhormat yang mempunyai pengaruh yang begitu kuat bukan hanya di kawasan masing-masing malahan juga di peringkat kebangsaan,”

Beliau berkata demikain selepas melancarkan Kempen Budi Bahasa Budaya Kita 2008 peringkat kebangsaan pada 2 November 2008.

Kementerian itu sudah mengenal pasti beberapa pendekatan yang sesuai untuk kegunaan Anggota Parlimen dan ahli Yang Berhormat seperti penyebaran risalah.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kelmarin menyambut baik cadangan kerajaan mengadakan Kempen Budi Bahasa di kalangan anggota Parlimen.

Menurut beliau, kempen seumpama itu sesuai dan relevan untuk dilaksanakan di kalangan Anggota Parlimen bagi memastikan mereka lebih berhati-hati sebelum bercakap dan menjadi contoh terbaik untuk diteladani.

"Anggota Parlimen ni orang yang berada di atas, sudah bijak pandai, banyak pengalaman, tidak perlu nak adakan akta atau sebagainya untuk kawal mereka," katanya di Kota Bharu.
Selain Nik Aziz, Setiausaha Publisiti DAP, Teresa Kok yang juga Ahli Parlimen Seputeh turut menyokong kempen tersebut.

Namun katanya isu etika Ahli Parlimen ini bukanlah sesuatu yang besar dan perlu diberi perhatian yang khusus.

"Ada banyak lagi isu lain yang perlu diberi perhatian, namun sebenarnya baik juga kempen ini dilaksanakan," katanya.

Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Bung Moktar Radin berkata, beliau amat menyokong cadangan dikemukakan oleh Menteri berkenaan.
"Saya amat bersutuju dan sokong penuh cadangan kempen ini, namun ia perlu diperluaskan meliputi semua peringkat," katanya.

Menurutnya, melalui kempen ini ahli Parlimen akan sentiasa berwaspada dalam penggunaan perkataan-perkataan yang bersesuaian ketika berhujah dalam Dewan Rakyat.

"Namun biasalah, kadang-kadang bila kita leka berhujah... ada juga tersasar dari etika bahasa," katanya.

Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) turut bersetuju dengan memperkenalkan kempen tersebut di kalangan ahli Parlimen.

"Kempen ini bagus, semua pihak harus amalkan budi bahasa yang baik terutamanya apabila berhujah dalam Dewan.

"Sepatutnya kita tak boleh gunakan perkataan sesuka hati tanpa berfikir terlebih dahulu, dengan kempen tersebut diharap semua pihak akan lebih berhemah ketika bercakap," katanya.
"Memanglah kita nak amalkan budi bahasa yang baik, tapi kalau mereka mencelah dan bangkitkan perkara yang boleh cetuskan kemarahan, kadang-kadang kita juga boleh hilang sabar," katanya.

Dalam pada itu, Yusmadi Yusoff (PKR-Balik Pulau) juga bersetuju dengan pelaksanaan kempen tersebut, namun tidak perlu terlalu bergantung kepadanya.

Kata beliau, seharusnya tiada pendekatan tadbir dan arah diperkenalkan kerana sepatutnya ahli Parlimen diberi kebebasan untuk berhujah dan menyampaikan pandangan.

"Apa yang lebih penting ialah melalui pendidikan kerana melaluinya kita akan bertindak dan berkelakuan dengan baik dan berhemah," katanya.

Bagaimanapun beliau menyokong usaha yang dibuat untuk menjadikan Parlimen Malaysia sebagai sebuah Parlimen bertaraf dunia.

Sebelum ini Menteri Luar Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, amalan mencampuradukkan Bahasa Malaysia dengan Bahasa Inggeris semasa perbualan harian dalam kalangan rakyat negara ini, menunjukkan mereka mengalami kecamukan budaya.

Beliau berkata, amalan sedemikian bukan sahaja menyebabkan seseorang individu tidak dapat menguasai kedua-dua bahasa berkenaan dengan baik, malah menjejaskan kelancaran berkomunikasi.

“Kalau cakap Bahasa Malaysia cakaplah dengan penggunaan yang betul, kalau cakap bahasa Inggeris pun, cakaplah dengan betul,” katanya semasa merasmikan Penubuhan Majlis Alumni Institut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia.

Rais berkata, kuasa yang diberi kepada Dewan Bahasa dan Pustaka untuk membetulkan penyalahgunaan Bahasa Malaysia dalam penerbitan dan papan tanda tidak mendatangkan kesan yang positif.

“Masalah penggunaan bahasa adalah lantaran kelemahan dalam penegasan dan penguatkuasaannya, hingga ada pihak yang ambil kesempatan dan memperkecilkan akta Bahasa Kebangsaan,” katanya.