Showing posts with label Yoga. Show all posts
Showing posts with label Yoga. Show all posts

Tuesday, November 25, 2008

AMALAN FIZIKAL YOGA OK!

Kalau saya tidak silap dalam kenyataan Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) 22 November 2008 yang mengharamkan umat Islam mengamalkan yoga, jelas menyebut amalan fizikal iaitu senaman dalam yoga, tanpa adanya unsur-unsur mentera dan pemujaan pada zahirnya, tidak menjadi kesalahan.

Jelas MFK sudah mengamalkan sikap terbukanya.

Juga jelas, MFK hanya menasihat umat Islam agar menjauhi amalan yoga meskipun sekadar mempraktikkan pelbagai variasi senaman fizikalnya, kerana ia adalah sebahagian daripada keseluruhan sistem senaman tersebut.

‘Kalau setakat kita duduk macam yoga itu tidak ada masalah, lagi pun ia ada beratus jenis pergerakan, tetapi masalahnya amalan senaman itu adalah sebahagian daripada keseluruhan sistem yoga. “‘Amalan fizikal itu hanya peringkat pertama, kita minta umat Islam berhati-hati, takut mereka tidak tahu ilmu yoga itu ke mana matlamat akhirnya dan ini mungkin boleh jadi membawa kepada kesesatan,” tegas Pengerusinya Datuk Dr Abdul Shukor Husin.

Loud and clear!

MFK juga mengatakan amalan yoga yang berasal dari masyarakat Hindu mempunyai tiga peringkat, peringkat pertama adalah fizikal iaitu senaman, peringkat kedua adalah mentera dan pemujaan bagi mendapatkan ketenangan dan peringkat ketiga adalah penyatuan diri dengan tuhan.

Jadi apabila Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin semalam mula menegur Majlis Fatwa Kebangsaan tentang isu pengharaman yoga yang diumumkan baru-baru ini dengan mengatakan MFK jangan hanya mengharamkan saja tapi berilah alternatif, ia mengundang polimik.

Dr Asri nampak bersetuju dengan MFK bahawa ada unsur agama lain dalam yoga tetapi berpendapat ‘tidak seperti air yang sudah tercemar yang sukar untuk dipisahkan’.

Dr Asri yang difahamkan tidak hadir dalam mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan berkenaan kerana dikatakan kurang selesa dengan sikap diskriminasi JAKIM kepadanya dan kenyataan Pengarah JAKIM yang tidak berapa senang dengan pandangan alternatif beliau, wajar mendapatkan penjelasan lebih lanjut daripada MFK.

Memberi satu lagi pandangan kedua (second opinion) tentang fatwa 'yoga' wajar namun dengan sudah jelas dinyatakan oleh Dr ASbdul Shukor bahawa - amalan fizikal iaitu senaman dalam yoga, tanpa adanya unsur-unsur mentera dan pemujaan pada zahirnya, tidak menjadi kesalahan

- bukankah ia suatu suatu alternatif?

Dr Asri seperti dilaporkan mStar semalam meminta supaya ditanggalkan yang bertentangan sahaja, sama ada pergerakan, bacaan atau kepercayaan. Dan beliau meminta dikekalkan pergerakan yoga yang baik untuk kesihatan.

Jika Dr Asri bimbang bahawa fatwa yang dikeluarkan pada zaman sekarang hendaknya jangan terlalu rigid dan berilah alternatif yang memisahkan amalan yoga yang mengandungi unsur agama dengan amalan yoga yang baik untuk kebaikan kesihatan, kenyataan Dr Asri ini adalah ulasan biasa jika tidak diulas oleh DR Asri pun tidak mengapa.

Jika benar Dr Asri tidak menghadiri mesyuarat MFK dan meminta majlis itu tidak terlalu kaku, ia perbuatan yang tidak adil kerana tidak mengetahui secara jelas, biarpun mungkin mendapat maklumat daripada orang lain.

Benar seperti dikatakan Dr Abdul Shukor, bahawa “‘Fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan hanya menjaga kepentingan dan akidah umat Islam dan pada peringkat ini, kita menggunakan pendekatan menasihat dan memaklumkan kepada umat Islam tentang pandangan Islam terhadap yoga. Soal sama ada pandangan muzakarah akan dijadikan fatwa yang diwartakan, itu terpulang kepada kerajaan-kerajaan negeri dan dari segi penguatkuasaan, itu bukan bidang kita.”

Apa pun nasihat Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Shah bahawa sebarang keputusan fatwa pada masa depan yang menyentuh isu melibatkan masyarakat umum sebaik-baiknya dirujuk kepada Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan sebelum diumum sangat baik.

Menurut baginda ia adalah bagi memastikan supaya kaedah menyalurkan sesuatu keputusan fatwa itu dapat dilaksanakan secara bijaksana bagi mengelak sebarang kekeliruan dan kontroversi.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang dipengerusikan oleh Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid, akan bersidang membincangkan perkara itu dengan lebih mendalam berkenaan aktiviti senaman yoga di Selangor, dan selepas keputusan muktamad dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, ianya akan disembahkan untuk perkenan baginda.

Awal bulan lalu pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Zakaria Stapa juga menasihati orang Islam yang mengamalkan senaman yoga supaya menghentikannya kerana bimbang dengan mengamalkan yoga boleh menyatukan mereka dengan Tuhan.

Yoga yang menjadi amalan kesihatan yang diperkenalkan sekitar 3,300 sebelum Masihi, dikatakan dapat membantu melambatkan proses penuaan, mengurangkan risiko diabetes, darah tinggi, lelah dan penyakit berkaitan jantung.

Monday, November 24, 2008

FATWA PUN MAHU DILANGGAR

Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) kelmarin mengharamkan umat Islam mengamalkan senaman yoga yang dilakukan secara sistematik dan menyeluruh kerana bertentangan dengan syariat Islam serta boleh memesongkan akidah mereka.

Jabatan Agama Islam negeri akan mewartakan fatwa itu selepas dimaklumkan mengenai keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan itu untuk digunakan pakai pada peringkat negeri.
Berikutan itu, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mendesak kerajaan menggunakan peruntukan undang-undang di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah dan Kanun Keseksaan bagi bertindak ke atas pihak yang mempertikaikan institusi fatwa.

Utusan Malaysia hari ini memetik Presidennya, Zainul Rijal Abu Bakar sebagai berkata, tindakan itu penting bagi memelihara kesucian Islam berikutan banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan media secara terbuka mengeluarkan kenyataan dan laporan yang mencabar institusi berkenaan.

‘‘Undang-undang telah ada dan bagi PGSM, kerajaan perlu bertindak segera bagi menangani keresahan umat Islam setelah melihat institusi fatwa dicabar lebih-lebih lagi oleh umat Islam sendiri,

‘‘Mencabar keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan adalah sama seperti menghina agama Islam kerana institusi fatwa mempunyai peranannya yang tersendiri dan diiktiraf syarak serta Perlembagaan Persekutuan.

‘‘Setiap fatwa adalah untuk menyelamatkan orang Islam daripada tergelincir akidah atau amalan jadi jangan pula ada yang mencabar dan mengingkari termasuk bersubahat seperti menganjurkan kelas yoga,’’ jelasnya.

Fatwa mendapat reaksi daripada Presiden Malaysia Hindu Sanbgam, Datuk A. Vaithilingam bahawa MFK kena hormati sensitiviti dan perasaan penganut agama lain di Malaysia, pada ketika memberikan panduan kepada orang Islam.

“Ramai penganut Hindu terkejut dan kecewa dengan pengumuman majlis itu,” katanya menurut laporan The Star.

Kata Vaithilingam, mereka kesal kerana MFK tidak merujuk kepada pertubuhan Malaysia Hindu Sanbgam untuk mendapatkan penjelasan aspek keagamaan dan bukan keagamaan.

Persoalannya, apakah MFK turut sama mengharamkan mereka yang beragama Hindu atau agama lain mengamalkannya?

Malah MFK semalam menjelaskan, pergerakan amalan fizikal yoga tanpa unsur berkenaan yang dilakukan pada zahirnya (secara luaran) tidak menjadi kesalahan, tetapi tidak digalakkan kerana ia adalah salah satu komponen daripada keseluruhan amalan yang diharamkan itu.

Asasnya semua pihak kena faham, Agama kamu, agama kamu. Kenapa pertubuhan Hindu mahu mempertikaikannya?

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, setiap fatwa dikeluarkan MFK adalah panduan kepada umat Islam saja. Dalam hal ini, umat Islam dilarang melakukannya kerana dikhuatiri terpesong akidah kerana mempunyai unsur mentera dan meditasi serta penyatuan diri dengan tuhan.

"Hukum itu tidak membabitkan untuk penganut agama lain dan semua pusat yoga boleh meneruskan operasi senaman itu untuk penganut bukan Islam," katanya.

Begitu juga Sisters in Islam (SIS) tidak habis-habis mengkritik fatwa. Sebelum ini mereka mengkritik fatwa mengenai pengharaman ‘budak perempuan yang menyamai laki-laki’.

Singapura dan Mesir turut mengeluarkan fatwa melarang umat Islam di negara itu mengamalkan senaman yoga kerana memutuskan perkara itu mengandungi bidaah dan sesat kerana mengandungi unsur agama Hindu.

Keputusan melarang umat Islam melakukan senaman yoga dibuat dalam persidangan Majlis Fatwa Kebangsaan di Kota Bahru, Kelantan pada 22 hingga 24 Oktober dan ia akan dipanjangkan kepada semua majlis agama Islam negeri untuk diwartakan.

Fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk mengharamkan senaman yoga adalah sebagai panduan kepada umat Islam supaya tidak melakukannya secara sistematik kerana ia mengandungi unsur mentera dan meditasi yang dibimbangi memesongkan akidah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata berasaskan keputusan itu, umat Islam yang mengamalkan senaman itu perlu menghentikannya segera dan tidak mengunjungi pusat yoga terbabit.

Zahid mengajak umat Islam menjauhi amalan itu kerana tujuan dan matlamat seperti mendapat ketenangan dan kemuncaknya penyatuan diri dengan tuhan boleh merosakkan akidah umat Islam.

SIS menolak keputusan majlis dengan berkata MFK mengharamkan amalan senaman yoga kerana tiada sebarang bukti dikemukakan bagi mewajarkan yoga diharamkan.

Pengurus Program SIS, Norhayati Kaprawi berkata, sehingga kini negara tidak pernah menerima apa-apa aduan atau bukti yang mengatakan ada individu beragama Islam bertukar kepada agama Hindu selepas mengamalkan senaman yoga.

''Jadi, mengapa perlu ia diharamkan? Mengapa terburu-buru untuk meletakkan undang-undang terhadap aktiviti senaman itu sedangkan ia tidak mengancam kedudukan agama Islam setakat ini?" soalnya ketika dihubungi Utusan Malaysia .

Menurut Norhayati, pihaknya mempunyai alasan kukuh mengapa pengharaman itu tidak patut dilakukan memandangkan amalan yoga tidak lebih daripada sekadar satu senaman untuk kesihatan.

''SIS tidak nampak ia boleh memesongkan akidah seseorang pengamalnya sama ada yang beragama Islam atau bukan Islam. Ini kerana yoga tidak lebih dari sekadar senaman untuk kesihatan jasmani, sama juga seperti senaman Tai Chi dan Qigong, '' katanya.

Pengerusi MFK, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin, semalam berkata senaman yoga berasal daripada masyarakat Hindu menggabungkan tiga unsur, iaitu amalan fizikal (senaman), keagamaan serta mantera pemujaan bagi mendapatkan ketenangan, manakala kemuncaknya penyatuan diri dengan tuhan, yang boleh merosakkan akidah umat Islam.

Katanya, ahli majlis itu memutuskan apa juga jenis dan bentuk amalan yang mengandungi unsur sedemikian dilarang dan bertentangan dengan syariat Islam.

Abdul Shukor berkata, senaman yoga yang diperkenalkan sejak 3,000 tahun sebelum Masihi tidak sesuai bagi umat Islam kerana ada dua perkara didalamnya yang boleh menghakis akidah umat Islam iaitu kepercayaan untuk bersatu dengan tuhan dan mantera pemujaan.

"Kita harap umat Islam lebih berhati-hati dan kalau boleh segera menghentikan kerana dikhuatiri kalau tidak tahu matlamatnya (bersatu dengan tuhan) boleh menyebabkan kita menjadi sesat.

"Oleh itu, masyarakat Islam wajib berhati-hati dan berwaspada daripada melakukan perkara yang boleh menghakis dan memesongkan akidah menerusi kepercayaan atau keyakinan hati, menerusi perkataan atau pengakuan dengan lidah dan perbuatan," katanya.

Baru-baru ini seorang pensyarah dari Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Zakaria Stapa menasihati orang Islam yang mengamalkan senaman yoga supaya menghentikannya kerana bimbang boleh memesongkan akidah.

Amalan yoga didakwa dapat membantu melambatkan proses penuaan, mengurangkan risiko kencing manis, darah tinggi, lelah dan penyakit berkaitan jantung. Senaman harian itu kebanyakannya mempunyai pergerakan berdasarkan unsur dalam agama Hindu, manifestasi gerakan, konsentrasi dan posisi tubuh dilakukan sambil membaca mentera.