Thursday, June 28, 2018

SAMPAI BILA RAKYAT MAHU TUNGGU PH TUNAI JANJI?



Tertarik dengan ulasan Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasih bertajuk “Kesan ketelusan kerajaan baharu” di Sinar Harian 24 Jun 2018 lalu.

Katanya kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) sedang memberi keyakinan kepada pelabur. sejak mengambil alih selepas Pilihan Raya Umum 9 Mei lalu.

Kadir berhujah, selepas hampir dua bulan, Putrajaya baharu sedar  keadaan sebenar ekonomi negara -  kewangan negara jauh lebih buruk daripada yang dijangkakan –dengan butiran yang sudah diperoleh dan kepakaran yang ada, PH yakin masalah ini dapat diatasi walaupun akan mengambil masa yang lebih lama daripada jangkaan asal.

Rupa-rupanya tanggungan hutang kerajaan bukanlah RM685.1 bilion tetapi hampir RM1.3 trilion. Maksudnya dekat dua kali ganda.

Berdepan dengan berbagai masalah, kerajaan PH berusaha untuk meyakinkan pelabur, menstabilkan Ringgit berbanding Dolar Amerika, membaiki kerosakan dan pembaharuan  institusi  utama seperti kehakiman, perundangan, polis, tentera, SPRM dan SPR, selain badan-badan berkanun, GLC dan GLIC.

Langkah lain ialah menyiasat, mengambil tindakan ke atas pihak-pihak yang bertanggungjawab dan memperbetulkan keadaan.
Namun, di sebalik semua ini, rakyat turut menanti kesan segera pembaharuan ekonomi, langkah segera mengatasi kenaikan harga barang dan resepi kerajaan menangani peningkatan kos kehidupan yang meningkat.
Banyak janji dibuat untuk kesejahteraan rakyat sebelum hari penentuan 9 Mei 2018.
Apakah kehidupan rakyat semakin berubah selepas hampr 60 hari kerajaan PH memerintah? Apakah dalam tempoh 40 hari akan datang, semua yang dijanjikan akan dapat ditunaikan?

Kini rakyat menunggu ia ditunaikan. Berapa banyakkah pengumuman akan dibuat mengenai perkara ini?

Namun beberapa ketika sebelum ini, kegagalan kerajaan PH membentuk Kabinet dilihat suatu kelemahan ketara yang memerlukan remidi segera mengubatinya.

Kegagalan itu menyebabkan kerajaan tidak dapat berfungsi dengan baik dan nasib baiklah rakyat Malaysia jenis yang sabar dan bertoleransi.

Apa pun ada yang boleh sabar dan ada yang cuba menjadikan kelemahan dan janji-janji itu sebagai senjata untuk menyerang balik Pakatan Harapan (PH).

Persoalannya,  apakah yang dimahukan oleh rakyat secara keseluruhanya?


Peduli sangatkah mereka dengan penyiasatan dan kemungkinan pendakwaan terhadap pemimpin Barisan Nasional (BN) atau  apakah bagi rakyat yang lebih penting bagi mereka ialah hal-ehwal kehidupan seharian mereka dan keluarga?

Bukankan soal kos dan pengurusan kehidupan seharian  lebih menjadi keutamaan sebilangan besar rakyat sebelum dan selepas PH menang pilihan raya umum ke-14 (PRU)?

Jika tindakan menyiasat, menyita dan merampas sama ada wang tunai, barang kemas atau apa sahaja dimiliki oleh Najib Razak dilihat sebagai antara cara PH menunaikan janji, keinginan untuk mengetahui langkah pembaharuan ekonomi juga tidak kurang pentingnya.

Persoalan sekatang yang sangat terdesak ialah apa?

Jawapannya ialah, rakyat mahu merasai ‘kemudahan-kemudahan’ yang ditawarkan oleh PH sebelum PRU14 lalu.

Pokok pangkal sokongan rakyat kepada PH ialah untuk menikmati kehidupan lebih baik daripada sebelumnya, termasuk penghapusan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), harga barangan keperluan yang lebih murah, penurunan harga minyak, peluang pekerjaan dan sebagainya.

Namun di sebalik janji Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan dilaksanakan pada 1 Jun lalu, kerajaan tidak dapat melaksanakan janji itu. Tarikh sebenar perlaksanaannya akan diumumkan kemudian.

Selepas hampir dua  berkuasa, kedudukan sebenar rakyat Malaysia bagaikan masih ‘di awang-awangan’. Sejauh ini tumpuan kebanyakannya diberikan oleh kerajaan kepada usaha mendedah dan memerangi rasuah.

Kementerian-kementerian yang sudah mempunyai menteri yang ada kaitan dengan kehidupan seharian rakyat seperti Kementerian Pertanian dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar jelas masih ‘terkapai-kapai’.

Apa langkah sebenar untuk mengubah kepayahan rakyat yang diuar-uarkan sebelum PRU14?


Ada menteri membuat kesimpulan sendiri bahawa harga barangan pertanian menurun hingga 50 peratus, namun apakah benar ia sedang berlaku?

Kenyataan kelakar dan sama cirinya  dengan kenyataan menteri BN yang ditolak rakyat mengatakan sejak PH ambil alih kerajaan, berlaku penurunan harga bahan makanan antara 30 hingga 50 peratus

Pemimpin boleh membuat kenyataan dan meminta rakyat bersabar dan memberikan sebab-sebab sukar menunaikan 10 janji dalam tampoh 100 hari tetapi yang benar-benar mengharapkan ia dilaksanakan bagaimana?

Kenyataan-kenyataan bahawa GST akan memberikan kebaikan kepada rakyat di buat oleh beberapa menteri sementara bekas Gabenor Bank Negara, Tan Seri Zeri Akhtar Aziz mengatakan sifar GST memberikan kebaikan kepada pengguna dari segi kuasa membeli.

Peningkatan kuasa membeli hanya boleh diukur jika rakyat mempunyai wang.

Kerajaan wajar supaya mencari formula untuk meningkatkan gaji dan mewujudkan peluang pekerjaan, memecahkan monopoli, serta menamatkan gejala korupsi dan amalan kronisme untuk tujuan itu.

Malah, apakah langkah kerajaan PH untuk mewujudkan pekerjaan yang sekurang-kurangnya 20,000 pekerjaan setiap tahun sebagai memenuhi janji manifesto PH?

Soal penting sekarang ialah kerajaan perlu menunjukkan kepada rakyat ia benar-benar sedang  menangani isu ekonomi terutamanya di kalangan  orang Melayu dari golongan berpendapatan pertengahan dan rendah .

Ini penting kerana kebanyakan mereka adalah penyokong tegar UMNO, PAS dan PPBM.


Mereka boleh menentukan pola sokongan politik pada bila-bila masa sahaja.

Jangan menyesal jika kebajikan orang Melayu kelas menengah dan rendah tidak diendahkan, apabila dalam tempoh lima tahun akan datang, kumpulan ini boleh melakukan sesuatu untuk menolak PH.

Apa yang diharapkan, selepas semua menteri dan timbalan menteri dilantik minggu hadapan, suasana akan berubah.

Diharapkan rakyat akan diberitahu mengenai hala tuju pembangunan dan ekonomi negara sementara beban harian mereka seperti kos kehidupan yang tinggi, kebaikan harga barang keperluan dan keperluan kehidupan seharian mereka berada dalam kedudukan yang memuaskan.

Amaran awal ialah, seperti ditunjukkan pada 9 Mei lalu, rakyat Malaysia boleh melakukan perubahan jika merasakan pemerintah gagal memenuhi janji-janji mereka untuk kesejahteraan rakyat.

No comments:

Post a Comment