Maruah MARA perlu ditegakkan seadil-adilnya kerana ia
juga maruah Melayu. Jangan MARA dilihat pengurusannya buruk, kelak akan memberi
gambaran bahawa pengurusan orang Melayu sering dikaitkan dengan perbuatan
rasuah dan pecah amanah.
Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa sudah akur dan
berlapang dada dengan keputusan penggantungan jawatannya sebagai Pengerusi Majlis
Amanah Rakyat (MARA) dan Pengerusi Pelaburan MARA Berhad.
Ia menggambarkan ketelusan beliau.
Malah jelas sekali beliau memahami kedudukannya yang
dilantik Menteri, malah mengatakan menerima apa saja secara berlapang dada dan
penuh kebertanggungjawaban terutama dalam rangka menjalankan tugas yang di
amanahkan kepada beliau.
Annuar yang juga Ketua Penerangan UMNO menegaskan, beliau
utamakan prinsip integriti dan amanah.
Lagipun,
penggantungan jawatan Annuar sebagai Pengerusi MARA boleh anggap sementara
dalam proses membantu siasatan Jawatabkuasa Audit Dalaman selesai.
Cumanya, apakah jika dibebaskan, beliau akan kembali ke
jawatan itu semula?
Juga pertanyaan ialah, apakah penggantungan turut dibuat kesan
daripada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap
Annuar?
Ia pastinya akan mengambil masa beberapa ketika untuk
membuktikan sama ada Annuar bersalah atau sebaliknya.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri
Ismail Sabri Yaakob sudah menjelaskan bahawa keputusan yang dibuat Majlis MARA
itu tidak melibatkan pelantikan dan pemberhentian yang memerlukan kuasa menteri
dengan persetujuan Perdana Menteri.
Ini jelas bahawa pada asasnya Annuar masih menjadi
Pengerusi MARA.
Kerana itu, semua pihak perlu menghormati keputusan
Majlis MARA yang ingin menyelesaikan isu membabitkan MARA dan anak syarikat
mereka secara tuntas.
Yang penting, siasatan dalaman ini diharapkan dapat
diselesaikan dengan segera untuk memudahkan ia membantu siasatan oleh SPRM.
Semalam, Mesyuarat Khas Majlis MARA diadakan berikutan
permohonan kesemua Ahli Majlis MARA dan ditandatangani oleh semua Ahli Majlis
MARA termasuk wakil kerajaan bertujuan
melantik Jawatankuasa Audit Dalaman.
Mesyuarat tergempar itu dipengerusikan oleh Ahli Majlis MARA, Datuk Dr Yusof Yacob dan Prof Emeritus
Datuk Dr Abu Azam Md Yassin di ibu pejabat MARA di Kuala Lumpur.
Dr Yusof Yacob..kanan. |
Ia bagi menyiasat isu yang berkaitan dengan tajaan
Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Pelaburan MARA Bhd (PMB) serta beberapa isu
lain yang diviralkan dalam media sosial.
Siasatan bertujuan mengembalikan keyakinan rakyat kepada
MARA. Annuar tidak dijemput hadir kerana
mesyuarat berkaitan dengan beliau. Ini wajar.
Jika penggantungan ini proses biasa seperti disebutkan
oleh Menteri, memperkukuhkan lagi kenyataan beliau bahawa Majlis Mesyuarat MARA
berkuasa penuh dalam keputusan menggantung, sementara menunggu siasatan
juruaudit dalaman diselesaikan.
Setiap pihak sewajarnya menghormati keputusan Majlis
Mesyuarat MARA yang ingin menyelesaikan isu yang membabitkan MARA dan anak
syarikat mereka secara telus.
Malah, diharapkan kemelut yang dilihat sebagai skandal
yang melanda MARA ini dapat diselesaikan
dengan segera.
MARA dilihat sebagai institusi orang Melayu dan
pengurusan berintegriti perlu ditegakkan.
Jangan kerana MARA yang rapat dengan orang Melayu dilihat
pengurusannya buruk, kelak akan memberi gambaran bahawa pengurusan orang Melayu
sering dikaitkan dengan perbuatan rasuah dan pecah amanah.
Ini sangat penting. Maruah MARA perlu ditegakkan
seadil-adilnya kerana ia juga maruah Melayu.
Berkaitan dengan siasatan SPRM, ia adalah proses biasa
apabila suruhanjaya itu membuka satu kertas siasatan berhubung dakwaan
penyelewengan dan salah guna kuasa Annuar sebagai Pengerusi MARA.
SPRM dilapokan akan bekerjasama dengan bahagian audit
dalaman MARA bagi menjalankan siasatan beberapa isu rasuah dan salah guna kuasa didakwa dikaitkan dengan ketua
penerangan UMNO itu.
Dengan skop siasatan yang disempitkan kepada isu rasuah dan salah guna
kuasa membabitkan penglibatan dalam penajaan pasukan bola sepak Kelantan,
rasanya siasatan menjadi lebih mudah.
Apa lagi apabila SPRM akan turut bergantung kepada hasil siasatan MARA mengenai
tadbir urus.
Cumanya persoalan ialah apakah siasatan oleh SPRM itu
diasaskan kepada laporan media, termasuk media sosial atau memang ada laporan
khusus kepada SPRM mengenai isu ini?○
SPRM sering menyebut, ia hanya membuka kertas siasatan jika ada laporan
dan tidak mengutip maklumat melalui laporan media, apa lagi media soaial.
Jika ada laporan, ia daripada siapa?
Berikutan kedudukan ini, adalah wajar semua pihak juga mematuhi
permintaan SPRM agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi
berhubung siasatan kes tersebut.
Berilah ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan.
Juga jangan pertikaikan siasatan audit dalaman MARA megenai beberapa perkara termasuk penajaan PMB dan
UniKL untuk pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors (TRW).
Apa sahaja keputusannya kelak akan membebaskan MARA daripada sebarang
tuduhan atau kecaman bahawa ia cuba melindungi orang politik khususnya UMNO.
Kini terserlah, MARA sedang menegakkan prinsip integriti dan amanah seperti juga di
pihak Annuar sendiri.
Biarklah kes seperti ini menjadi pengajarandan dicontohi untuk
membersihkan kerajaan yang ada daripada sebarang skalndal.
Ada juga laporan media dan media sosial yang memperkatakan wujudnya ‘perbuatan
skandal kewangan’ dalam institusi berkaitan kementerian yang lain tetapi masih tiada
tindakan.
Apakah Annuar dijadikan ‘kambing hitam’ semata-mata atau ini langkah permulaan ke arah membersihkan
syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan lainnya daripada salah
guna kuasa, penyelewengan dan rasuah?
No comments:
Post a Comment