Oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
Jurucakap Gerakan
CHALLENGER
Semenjak Tuan Guru Hadi Awang membentangkan Rang
Undang-undang (RU) persendirian mengenai hudud baru baru ini, suasana
politik negara makin hangat.
Yang Berhormat-Yang Berhormat (YB) dengan cepat
mengeluarkan kenyataan menolak RUU tersebut dan pelaksanaanya. Malahan, YB
mengugut untuk meletakkan jawatan seandainya Hudud dilaksanakan. Itu
memang hak YB untuk membantah.
Begitu pantas reaksi YB sedangkan RUU itu belum lagi
dibentang secara rasmi di peringkat pertama. Ia belum lagi dibahaskan. Ia juga
belum lagi diluluskan oleh Parlimen dan belum lagi diluluskan oleh
mana-mana DUN. Katanya kerana pelaksanaan RUU tersebut akan menyalahi
Perlembagaan Persekutuan.
Sebagai rakyat yang prihatin, saya mohon YB jawab
persoalan saya, sekiranya benar YB ingin melindungi kedaulatan undang undang
negara.
Di manakah YB ketika Perlembagaan Persekutuan yang menjadi
payung undang undang Malaysia dicabul?
Ketika Peguam Negara (AG) diberhentikan tanpa sebarang sebab
yang munasabah?
Ketika SOSMA disalahgunakan untuk menghukum mereka yang
berlainan pendapat?
Ketika cadangan dari SPRM dan Bank Negara diketepikan dan
ditolak bulat-bulat?
Di manakah YB ketika kegawatan politik dan isu 1MDB merobek
maruah negara dan menjejaskan masa depan negara?
Di manakah YB ketika laporan Ketua Audit Negara berkenaan isu
1MDB dirahsiakan dan disorok dari pengetahuan rakyat?
Sedangkan laporan seperti itu amat penting dikongsi
secara meluas bagi memastikan ketelusan dan kejujuran dalam pentadbiran.
Di manakah YB bila 1MDB menanggung liabiliti sebanyak RM53
Billion yang datang dari poket rakyat Malaysia?
Sedangkan wang sebanyak itu mampu digunakan untuk
membiaya kos penuh bagi lebih daripada 1 ribu mahasiswa ke universiti
universiti terhebat dunia.
Sedangkan wang sebanyak itu mampu menjamin pembanguan
negara yang lebih pesat.
Sedangkan wang sebanyak itu mampu meningkatkan taraf
hidup rakyat lebih lebih lagi bagi mereka yang hidup dalam kemiskinan.
Di manakah YB ketika lebih kurang RM4.2 juta disalurkan ke
syarikat Good Star Limited yang dimiliki oleh Jho Low?
Sedangkan YB sudah sedia maklum tentang hubungan
persahabatan antara YAB PM dengan Jho Low yang kini sedang disiasat oleh
kerajaan Amerika berkenaan pembelian harta menggunakan sumber yang
mencurigakan.
Di manakah YB ketika BSI, sebuah Bank yang berpusat di
Switzerland ditutup oleh Kerajaan Singapura kerana penglibatan dalam isu 1MDB?
Sedangkan sudah jelas dalam laporan MAS bahawa BSI
terlibat dengan penyalahgunaan wang yang sangat serius.
Di manakah YB ketika semua ini yang sememangnya menyalahi
undang-undang dan menconteng arang ke atas nama baik negara terjadi? Mengapa YB
duduk berdiam diri, mendiam seribu bahasa?
Sedangkan perbuatan YB boleh mencetus satu tanggapan
bahawa tidak kira apa jua yang berlaku, sebesar mana pun kesalahan yang dibuat,
ahli-ahli politik yang mentadbir negara akan terselamat dari sebarang
liabiliti.
Sekali lagi, juga sebagai rakyat yang prihatin, saya
memohon kepada YB.
Sekiranya YB mampu bersuara lantang "memperjuangkan
rakyat", menentang RUU yang belum lagi dibahaskan, mengapa tidak bersama
kami memperjuangkan kebenaran, menuntut ketelusan dalam pentadbiran negara.
Sekiranya YB mampu, kenapa pilih untuk membisu?
No comments:
Post a Comment