Monday, January 13, 2014

BUGHAH - PAS TERENGGANU ANGGAP HARUSSANI HANYA PANDAI MELEMPAR BATU....

 
Mohd Nor Hamzah, Ketua Penerangan PAS Terengganu merangkap ADUN Bukit Payong mencabar Mufti Perak,  Tan Sri Harussani Zakaria supaya membuka baju mufti dan turun secara terhormat ke gelanggang politik .

Beliau menyifatkan Harussani sebagai hanya tahu melempar batu sambil tangan disembunyikan dalam isu Bughah.

Sedangkan katanya, rakyat mahukan kepastian bagi mengetahui apakah 'warna kulit' Harussani yang sebenarnya.

Berikutan itu PAS Terengganu (atau pendapat Mohd Nor seorang sahaja) mencabar Harussani untuk menyatakan kesediaan berdebat dengan sesiapa sahaja ulamak dalam PAS tentang isu ini dalam masa seminggu.

Jika Harussani gagal untuk menyatakan kesediaan berdebat, kata Mohd Nor, rakyat boleh menilai bahawa beliau seorang yang pengecut dan menyembunyikan kebenaran berlawanan dengan firman Allah dalam surah al-Nahl ayat ke 125. 

Baca kenyataan Mohd Nor berikut:

Buka Baju Mufti, Mari Berpencak Digelanggang Politik


Assalamualaikum. Saya ingin menarik perhatian seluruh rakan-rakan yang terkesan dengan kenyataan mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang mengeluarkan kenyataan yang agak ekstrem berkenaan dengan perhimpunan “Turun” pada malam tahun baru yang lalu.

Tak perlu saya perincikan segala butir patah kenyataan beliau kerana saya yakin saudara-saudari sekelian boleh mengaksesnya dari internet.

Suka saya mengingatkan kepada Tan Sri agar mengambil pengajaran dari Surah al-Hujuraat ayat 6 berkenaan saranan berhati-hati apabila menerima sebarang berita daripada orang yang fasik. Ibnu Al-Qayyim berkata, Abu Abdillah bin Baththah dalam kitabnya dari Al-Khal’ dari Imam Ahmad bahwasanya beliau berkata: "Tidak layak bagi seorang menyandarkan dirinya untuk berfatwa hingga dalam dirinya terdapat lima karakter:

Pertama: Dia harus memiliki niat baik, karena jika ia tidak memilikinya,tidak ada cahaya berkah baginya dan dalam kata-katanya – Niat Tan Sri dilihat sentiasa melindungi Umno yang mana sepatutnya Tan Sri seorang mufti, sepatutnya bersikap neutral.

Kedua: Dia harus memiliki ilmu, kesabaran, wibawa dan tenang – Dalam hal ini saya melihat Tan Sri kurang sabar kerana selalu gopoh dalam mengeluarkan pendapat terutama apabila melibatkan PAS. Begitu juga kewibawaan Tan Sri sudah pudar contoh terjadi apabila Tan Sri mengeluarkan fatwa haram keatas sambutan Valentine’s Day, Kongsi Raya, Raya Berkembar dengan Krismas dan juga Sure Heboh dimana orang Umno sendiri menolak fatwa Tan Sri malah memperlekehkannya pula.



Ketiga: Dia harus memiliki pemahaman yang kuat dari pengetahuan – Cara Tan Sri mengambil berita sangat lemah contoh seperti yang berlaku pada malam tahun baru yang lalu, tiada siapapun yang datang mahu turunkan kerajaan tetapi hanya mahu kerajaan turunkan harga barang-barang keperluan. Kedua ketika Tan Sri melaporkan akan ada umat Islam dimurtadkan satu masa dahulu dan pemberi maklumat Tan Sri ketika itu Raja Sherina telah ditangkap kerana telah memberikan maklumat palsu. Rupanya maklumat yang Tan Sri sebarkan adalah palsu, dan menimbulkan keresahan kepada masyarakat.

Keempat: Keperibadian yang kuat dan tidak terpengaruh oleh kritik manusia – Tan Sri tidak dilihat mempunyai peribadi yang kuat kerana sering memberikan fatwa yang belainan kepada pihak yang lain. Contoh apabila penyokong Idris Jusoh yang terang-terang mengangkat banner di hadapan istana Sultan Terengganu dan menggelarkan tuanku sultan sebagai “Natang” (binatang) tiada pula Tan Sri mengeluarkan fatwa bughah kepada mereka. Bukan itu sahaja malah perhimpunan demi perhimpunan yang dianjurkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang menentang kerajaan Kelantan, Selangor dan juga Kedah sedikit masa dahulu, Tan Sri juga ketika itu kelihatan tidak menjumpai perkataan bughah dalam kamus Tan Sri untuk diberikan kepada mereka yang berdemostrasi itu.

Kelima: Memiliki pengetahuan tentang keadaan manusia – Saya percaya yang Tan Sri kurang mempunyai pengetahuan tentang manusia kerana itulah Tan Sri selalu digunakan orang dalam banyak hal terutama menjadi barisan depan dalam membelasah Pakatan Rakyat. Juga dengan mengatakan bahawa ulamak PAS tidak memahami al-Quran, memperlihatkan lagi kedangkalan Tan Sri dalam menilai manusia. Sekurang-kurangnya ulamak PAS telah berjaya menghapuskan kedai-kedai judi di Kelantan dan Terengganu sehingga kini tidak kelihatan lagi.


Tan Sri juga gagal melihat Malaysia ini adalah sebuah Negara demokrasi yang menjamin hak berhimpun dengan aman, apatah hal ini telah diakui oleh banyak pihak bahawa Himpunan Turun malam tahun baru itu berlangsung dalan keadaan aman.

Maka mengisytiharkan bugahah dan halal darah peserta himpunan itu adalah sangat jauh dari kebenaran dimana Malaysia ini bukanlah sebuah negara yang mengamalkan syariat Islam sepenuhnya

Dengan segala bukti yang dinyatakan juga dengan selera Tan Sri yang dilihat tinggi dan konsisten dalam menghentam Pakatan Rakyat, maka sebaiknya Tan Sri membuka baju mufti dan turun secara terhormat ke gelanggang politik dan bukannya hanya tahu melempar batu sambil tangan disembunyikan.

Ini akan memberikan kepastian kepada rakyat dan mengetahui apakah warna kulit Tan Sri yang sebenarnya. 

Rakyat merindui mufti-mufti seperti Mufti Izzudin, an- Nawawi yang begitu lantang menyuruh raja dan pembesar dahulu yang mengeluarkan harta mereka ketika menghadapi serangan tentera Tartar sebelum mengambil harta rakyat dan bukan seperti sekarang, ketika keadaan ekonomi yang mencengkam hidup rakyata, rakyat dahulu disuruh berkorban dan menanggung sengsara dengan sokongan orang agama yang berkepit dengan BN.

Oleh itu kami mencabar Tan Sri untuk menyatakan kesediaan berdebat dengan sesiapa sahaja ulamak dalam PAS tentang isu ini dalam masa seminggu. Jika Tan Sri gagal untuk menyatakan kesediaan berdebat maka rakyat boleh menilai bahawa Tan Sri seorang yang pengecut dan menyembunyikan kebenaran berlawanan dengan firman Allah “ Dan serulah agama Allah dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah dengan cara yang lebih baik (al-Nahl : 125).

Kami juga menggesa agar Tan Sri menarik balik kenyataan itu dan memohon maaf kerana mengelirukan rakyat dan kami juga mendesak pihak kerajaan supaya menyiasat terhadap kenyataan ini yang boleh mencetuskan huru-hara dalam Negara.


Komen saya: 


Mohd Nor juga sepatutnya menegur Mufti Kelantan kerana mempertahan Harussani.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad (gambar atas) berkata kenyataan yang dikeluarkan Mufti Perak itu bukan bermaksud menuduh tetapi bersifat memberi contoh dengan situasi yang berlaku di Himpunan Turun pada malam ambang tahun baharu minggu lalu.

Menurutnya, situasi di himpunan itu tidak sepatutnya dikaitkan dengan perkataan bughah dalam istilah fiqah namun ia boleh digunakan bagi tujuan memberi tauladan dan contoh.

“Pada pendapat saya, ia hanya contoh, bukan menuduh, tugas kita sebagai mufti adalah untuk memberitahu tentang apa yang terkandung dalam ajaran Islam, tentang fatwa, nasihat dan penjelasan mengenai perkara-perkara yang boleh mendatangkan salah faham.

“Kalau mereka (peserta) tidak tergolong dalam contoh yang dinyatakan, maka mereka tidak perlu marah atau terasa hati dengan kenyataan itu, kalau keluar beramai-ramai tanpa mendatangkan kemudaratan kepada orang lain, itu tidak menjadi masalah, kenyataan tersebut sebenarnya dipolemikkan golongan tertentu,” katanya dipetik Sinar Harian, 7 Januari lalu.

Beliau mengulas tindakan beberapa pihak yang tampil membuat laporan tidak berpuas hati dengan kenyataan yang dikeluarkan Mufti Perak tersebut.

Menurutnya, Harussani memberikan contoh itu supaya masyarakat Islam yang menyertai himpunan itu sedar tentang apa yang dilakukan itu boleh mendatangkan pelbagai masalah.

No comments:

Post a Comment