Sunday, July 7, 2013

ROGOL & MINUMAN KERAS DI SUKMA KE-16 - LAIN DIHARAPKAN, LAIN YANG BERLAKU...


"Sebagai Menteri yang bertanggungjawab ke atas perjalanan Sukan Malaysia, sudah tentu saya merasa amat sedih dan dukacita kerana kejadian ini telah mencacatkan temasya ini yang telah berlangsung dengan baik sekali tanpa menghadapi sebarang masalah yang besar. Ini adalah kali pertama insiden ini berlaku dalam sejarah pengelolaan Sukan Malaysia bermula pada tahun 1986 yang lalu.”
 – Khairy Jamaluddin Abu Bakar

Kejadian memalukan di Sukma 2013 iaitu kejadian rogol bergilir-gilir oleh atlet terhadap atlet atau pegawai pengiring bolajaring wanita sangat-sangat jijik dan memalukan.

Kes mungkin berpunca daripada pesta 'mabuk-mabuk' dan menghairankan bagaimana minuman keras sewenang-wenangnya dibawa masuk ke kem Sukma di Universiti Putra Malaysia itu.

Kes seumpama itu kali pertama berlaku dalam sejarah temasya Sukma dan ia mencemarkan imej Sukma.

Sudah tentu Majlis Sukan Negara (MSN), selaku penganjur temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-16, pastinya terpaksa menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kes rogol ini.

Media melaporkan seorang atlet bola baling telah membuat laporan polis mendakwa dirogol sekumpulan atlet lelaki di Perkampungan Sukan Sukma 2013 di Universiti Putra Malaysia (UPM), Rabu lepas.

Atlet atau pengiring bolang baling wanita berusia 19 tahun itu mendakwa dirogol bergilir-gilir dalam keadaan separuh sedar di bilik penginapan sebuah kolej di perkampungan sukan Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Rabu lalu.

Laporan sama turut menyebut, sebelum kejadian berlaku, mangsa dikatakan meneguk minuman keras bersama beberapa atlet bola baling lelaki pasukannya di sebuah gelanggang bola keranjang bagi menghilangkan tekanan setelah pasukan mereka kalah dalam perlawan di Stadium Nasional, Bukit Jalil baru-baru ini.

Etika apakah yang dipraktikkan oleh kesemua mereka?

Selepas itu, mangsa dikatakan dibawa pulang ke sebuah bilik penginapan kolej oleh beberapa atlet lelaki berkenaan.

Mangsa sedar kira-kira jam 4 pagi dan mendapati dirinya dalam keadaan bogel serta dihimpit oleh seorang lelaki. Lelaki itu serta rakannya bertindak merogol mangsa secara bergilir-gilir.

Mangsa kemudiannya membuat laporan berhubung kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, sebelum tiga atlet lelaki itu ditahan polis di perkampungan sukan berkenaan pada petang Jumaat lalu.

Tiga lelaki ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes rogol berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Deputi Superintendan Lam Chien Fei ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut. Ketiga-tiga atlet berusia 18 hingga 19 tahun terbabit kini direman seminggu bermula tangkapan

"Kita tak boleh dedahkan apa-apa lagi kerana siasatan sedang dijalankan menjurus pelbagai aspek mengikut Seksyen 376 kanun Keseksaan kerana merogol," katanya, hari ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini berkata, polis memandang serius perkara tersebut kerana ia melibatkan imej sukan negara amnya dan perbuatan jenayah dalam kalangan atlet, khasnya.


"Laporan ini amat serius. Kita akan lakukan siasatan lanjut dan terperinci mengenai kes ini," katanya.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong menjelaskan, pihaknya mendapat kerjasama polis dan UPM dalam memastikan kawalan keselamatan terjamin di Perkampungan Sukan. Pegawai keselamatan hanya mengawal di persekitaran kawasan Perkampungan Sukan dan tidak melakukan pemeriksaan dari bilik ke bilik atlet.

"Saya pun baru diberitahu mengenai perkara itu pagi ini. Mengikut laporan (sebuah akhbar tempatan), ia sudah menjadi kes polis, jadi kita serahkan kepada polis untuk lakukan siasatan.

Kita mempunyai hampir 4,000 atlet di Perkampungan Sukan, tidak mungkin kita memeriksa setiap bilik. Kita juga mengadakan pengasingan blok mengikut jantina bagi tujuan keselamatan," katanya.

Bagi Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, beliau mencadangkan supaya ketiga-tiga atlet yang ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes rogol seorang pegawai pengiring atlet bola baling wanita dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2013 digantung dahulu sementara siasatan dijalankan.

Khairy berkata, meskipun kes ini telah dilaporkan kepada polis dan ia adalah di bawah siasatan polis sekarang ini, namun disebabkan atlet itu merupakan atlet daripada Wilayah Persekutuan yang berada di bawah tanggungjawab Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), tindakan awal perlu diambil terhadap atlet tersebut.

“Oleh kerana atlet ini merupakan atlet daripada Wilayah Persekutuan yang berada di bawah tanggungjawab MSWP, saya telah mengarahkan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong, untuk mengambil tindakan awal," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Khairy turut meluahkan rasa terkilan dengan insiden terbabit apabila beberapa atlet dan pegawai daripada pasukan bola baling lelaki Wilayah Persekutuan telah membawa masuk minuman keras ke dalam UPM yang menjadi perkampungan Sukan Malaysia.

“Mereka telah minum minuman tersebut di Gelanggang bola keranjang Kolej Kedua UPM. Saya memandang serius perkara ini," katanya.

Khairy turut mengarahkan agar MSN membuat satu "post-mortem" segera supaya kejadian tersebut tidak berulang pada mana-mana temasya kebangsaan akan datang.

"Sebagai Menteri yang bertanggungjawab ke atas perjalanan Sukan Malaysia, sudah tentu saya merasa amat sedih dan dukacita kerana kejadian ini telah mencacatkan temasya ini yang telah berlangsung dengan baik sekali tanpa menghadapi sebarang masalah yang besar.

“Ini adalah kali pertama insiden ini berlaku dalam sejarah pengelolaan Sukan Malaysia bermula pada tahun 1986 yang lalu,” jelas beliau.

Khairy turut menjelaskan, Jawatankuasa Pengelola sememangnya mengadakan kawalan yang begitu ketat di tempat penginapan peserta.

Malah katanya, kerjasama daripada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) turut digunakan untuk menjaga aspek ini termasuk Unit Keselamatan UPM.

“Prosedur penempatan adalah mengikut prosedur UPM sendiri dan mereka amat ketat dalam mengawal penempatan terutama dalam memisahkan blok asrama lelaki dan wanita.

"Pengawal dan anggota polis sentiasa membuat rondaan kawasan terutama di sebelah malam tetapi ia tidak meliputi dalam kawasan asrama kerana menjadi tanggungjawab anggota kontinjen sendiri.

Bagi Khairy, pegawai-pegawai terdiri daripada pengurus, penolong pengurus, jurulatih dan sebagainya bertanggung jawab penuh kepada anggota pasukan mereka termasuk hal-hal keselamatan dan disiplin

Apakah atlet dan mangsa rogol sahaja wajar dipersalahkan dan pihak lain cuci tangan?

Sumber – Bernama & Sinar Harian

No comments:

Post a Comment