Saturday, December 1, 2012

HUSAM PERTIKAI KEIKHLASAN PERMOHONAN MAAF PERDANA MENTERI


"Petronas sedia maklum bahawa syarikat ini tidak pernah berhutang dan telah melunaskan pembayaran royalti kepada semua negeri dan Kerajaan Persekutuan mengikut Akta Pembangunan Petroleum 1974 kepada Kerajaan Persekutuan...Terpulanglah kepada Kerajaan Persekutuan untuk membuat agihan itu sama ada dalam bentuk royalti atau wang ihsan," - Tan Sri Shamsul Azhar Abbas

Kejujuran dan sifat ikhlas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang memohon maaf kepada rakyat rupa-rupanya dipertikai serta dicabar.

Presiden Umno itu turut berikrar beliau bersama-sama pimpinan Umno akan terus mengutamakan kesejahteraan rakyat dan menaikkan martabat orang Melayu.

Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa semalam meminta Najib mengumumkan penyerahan wang royalti Kelantan sekiranya beliau benar-benar. Jujur dan ikhlas.

Husam berhujah: “Dalam kes wang royalti, permohonan maaf tidak boleh diterima kerana wang Kelantan terus diambil oleh Kerajaan Pusat. Jadi beliau hanya minta maaf untuk mempermainkan rakyat Kelantan dan ini tidak lebih dari retorik menjelang pilihan raya,” katanya.

Sebelum ini, Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan, Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan, mendakwa Petronas telah melanggar kontrak yang ditandatangani dengan kerajaan negeri Kelantan pada 1975.

Husam dalam dakwaan itu berkata, Petronas telah menyimpan segala dokumen cari gali tanpa memberi maklum balas kepada kerajaan negeri tersebut.

Mengenai dakwaan bahawa Kelantan tidak dibayar royalti minyak, hakikatnya terdapat formula standard lima peratus yang diamalkan oleh Petroliam Nasional Berhad (Petronas) bagi semua negeri.

Formula digunakan ialah jika penerokaan minyak dijalankan dalam lingkungan tiga batu nautika, hasil minyak milik negeri, di luarnya milik kerajaan persekutuan.

Pada Ogos 2010 Kerajaan Kelantan telah memfaikan writ saman terhadap Petronas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Ogos 2009 setelah Kerajaan Pusat enggan menyerahkan wang royalti.

Kerajaan Persekutuan kemudiannya menfailkan permohonan untuk menjadi defenden kedua. Namun Ogos lalu, Perdana Menteri menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang akan mengkaji secara adil dan telus berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan akan dianggotai oleh pakar undang-undang dari dalam dan luar negara, wakil dari kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan Sultan negeri-negeri berkenaan.

Menurut Husam, Islam menetapkan mereka yang memohon maaf perlu memulangkan perkara yang diambil selain tidak mengulangi kesalahan yang dilakukan.


Pada ketika Husam mengatakan Kerajaan Pusat mengambil ‘duit minyak’ Kelantan, Petronas menafikan syarikat minyak nasional itu pernah berhutang dengan Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri dalam pembayaran royalti minyak.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas berkata, semua pembayaran royalti itu telah dibuat melalui Kerajaan Persekutuan.

"Petronas sedia maklum bahawa syarikat ini tidak pernah berhutang dan telah melunaskan pembayaran royalti kepada semua negeri dan Kerajaan Persekutuan mengikut Akta Pembangunan Petroleum 1974 kepada Kerajaan Persekutuan.

Terpulanglah kepada Kerajaan Persekutuan untuk membuat agihan itu sama ada dalam bentuk royalti atau wang ihsan," katanya dalam sidang akhbar semasa mengumumkan prestasi kewangan suku ketiga Petronas kelmarin.

Shamsul Azhar berkata demikian bagi menjelaskan isu dakwaan pelanggaran kontrak oleh Petronas dengan kerajaan negeri Kelantan.

Shamsul Azhar menambah, jumlah royalti yang dibayar itu masih kekal iaitu lima peratus daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperoleh dalam kawasan perairan atau di luar perairan negeri-negeri berkenaan.


Selain itu tuntutan pembangkang bahawa negeri-negeri pengeluar petroleum dan gas seperti Kelantan, Sabah, Sarawak dan Terengganu bakal mendapatkan semula hak royalti 20 peratus mereka ke atas pengeluaran hasil tersebut apabila Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Cadangan Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 itu secara langsung akan mengeluarkan negeri-negeri tersebut dikatakan akan dapat dikeluarkan dari kemelut kemiskinan yang melanda disebabkan pentadbiran Barisan Nasional yang memonopoli hasil dan hak negeri keatas sumber asli mereka.

Hakikatnya, permintaan untuk menaikkan royalti minyak kepada 20 peratus akan memberi kesan negatif kepada industri minyak dan gas kerana langkah berkenaan akan mengurangkan keupayaan untuk melabur semula.

Shamsul Azhar menjelaskan, lebih RM300 bilion perbelanjaan modal berisiko dalam masa lima tahun akan datang.

Sejak penubuhan Petronas sehingga 31 Disember 2011, jumlah yang telah diagihkan secara langsung adalah sebanyak RM650 bilion bagi pembayaran dividen, cukai dan royalti kepada Kerajaan Persekutuan.

Dalam tempoh lima tahun lalu, syarikat minyak nasional itu menyumbang secara purata sebanyak RM60 bilion setahun, secara puratanya 41 peratus daripada jumlah pendapatan Kerajaan Persekutuan.

Shamsul berkata dividen yang merupakan 61 peratus daripada keuntungan adalah lebih tinggi daripada purata 38 peratus yang dibayar oleh syarikat minyak dan gas global lain.

"Petronas sudah yang melepaskan kira-kira RM155 bilion dalam hasil sejak harga gas terkawal berkuat kuasa pada Mei 1997," katanya.

Rujukan - Bernama

1 comment: