Friday, February 10, 2012

JUMLAH DAGANGAN 2011 CECAH RM1.3 TRILION, USAHA TOK PA BERBALOI

Suatu malam Mei tahun lalu di Kota Bharu, di hotel yang menjadi kegemaran kepada Tok Pa (Datuk Sri Mustapa Mohamed) menginap, saya berbual agak panjang dengan Ahli Parlimen Jeli itu.

Bukan mudah untuk duduk setengah jam dengan beliau. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri pulak tu.

Orang selalu mengatakan paling lama dengan Tok Pa hanya 15 minit.

Tetapi entah mengapa malam itu beliau seperti mahu ‘mencurahkan perasaan’ atau melepaskan yang terbuku di hatinya.

Saya asyik-asyik menoleh ke kanan takut-takut kalau orang yang menunggu ‘mula bengang’ dengan saya.

Tapi Tok Pa kata ‘dia nak cakap panjang sikit dengan saya malam itu’.

Lebih mengejutkan saya apabila beliau mengarahkan ‘anak buahnya’ mengambil gambar dan masukkan dalam facebook pertemuan kami ini.

Sebenarnya selepas lebih 10 tahun, malam itulah masa paling lama saya duduk dengan Tok selepas kami ‘berpisah’ dari Ibu Pejabat UMNO.

Ketika beliau menjadi Ketua Penerangan UMNO, saya adalah pegawai di Ibu Pejabat UMNO (tingkat 37) dan kemudian Pengarang Akhbar Wawasan Merdeka –akhbar rasmi UMNO - hingga tahun 2001.

Banyak perkara mengenai UMNO Kelantan, UMNO Terengganu dan soal-soal politik peringkat nasional dibincangkan tetapi yang menarik ialah mengenai peranan beliau sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Kata Tok Pa, mengambil alih jawatan yang pernah disandang begitu lama oleh Datuk Seri Rafidah Aziz memang sakit. Seperti juga mungkin Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir.

Legasi Rafidah begitu menyerlah dan keadaan ekonomi sejak 2008 hingga 2010 amat perit khususnya pada peringkat antarabangsa.

Apabila Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib Razak menyerahkan jawatan itu kepadanya, beliau merasakan ia suatu cabaran besar kerana membabitkan usaha menjual Malaysia dan menarik pelaburan asing ke negara ini.

Pada ketika yang sama akibat kemerosotan sokongan rakyat pada pilihan raya umum 2008, menyebabkan pembangkang menggunakan isu, termasuk kemasukan pelaburan asing yang agak perlahan ketika itu sebagai alasan menyerang kerajaan.

“Saya berusaha bersungguh-sungguh dan berharap hasilnya akan dapat dilihat sebelum pilihan raya umum akan datang,” kata beliau.

Sambil makan – berselera sungguh beliau makan malam itu kerana katanya terlepas makan tengah hari di Kuala Lumpur dan tiba di Kota Bharu sudah lewat petang – Tok Pa juga meminta pendapat saya mengenai pemerhatian terhadap UMNO Kelantan.

Saya bukanlah pakar mengenai UMNO Kelantan kerana berkhidmat dengan UMNO Negeri itu pun tidak lama hanya dua tahun iaitu dari pertengahan 2006 hingga 2008.

Namun mungkin kerana saya sering turun ke setiap jajahan (daerah) dan bahagian, beliau mahu mendapatkan sedikti maklumat untuk beliau sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan.

Saya tidak banyak pengalaman kerana hanya bertugas ketika Tan Sri Annuar Musa menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan dan Datuk Dr Awang Adek Husin sebagai timbalannya.

Kebetulan pada pilihan raya umum 2008 saya bertugas di Kelantan dan sempat bertemu Tok Pa beberapa kali di Jeli dan Kota Bharu, itupun tidak lama – lima enam minit sahaja.

Namun semalam (9 Februari 2012) saya merasa begitu gembira dan bangga apabila Tok Pa mengumumkan bahawa Malaysia mencatatkan jumlah dagangan paling tinggi tahun lepas iaitu RM1.3 trilion, naik 8.7 peratus daripada 2010.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata beliau menyasarkan pertumbuhan antara lima dan enam peratus untuk jumlah dagangan Malaysia tahun ini.

Ini bukan cerita ‘dongeng’ dan pembangkang tidak boleh nak spin merata kerana Laporan Buku Tahunan Daya Saing Dunia 2011 oleh Institut Pembangunan Pengurusan menempatkan Malaysia dalam kedudukan lima teratas dari segi perdagangan antarabangsa.

Negara kita berada selepas Singapura dan Hong Kong, melepasi Amerika Syarikat, Switzerland, Australia, Kanada dan United Kingdom.

Tok Pa berkata eksport mengembang 8.7 peratus kepada RM694.55 bilion tahun lepas manakala import meningkat 8.6 peratus kepada RM574.23 bilion.

Lebihan dagangan meningkat 9.4 peratus kepada RM120 bilion. Ini merupakan yang ke-14 tahun berturut-turut dicatatkan oleh negara sejak 1998.

Tok Pa berkata permintaan untuk pengeluaran dan barangan pengguna dari pasaran Asia telah merancakkan sumbangan sektor ini sebanyak 71.3 peratus daripada jumlah eksport Malaysia.

Eksport ke Asia mengukuh 11.2 peratus kepada RM495.19 bilion dalam 2011.

"Dalam tempoh lima tahun, penguasaan eksport ke Asia meningkat lapan peratus daripada 63 peratus pada 2007, seiring dengan rantau ini menjadi pusat pertumbuhan ekonomi baharu dunia," kata Mustapa hari ini ketika mengumumkan prestasi perdagangan Malaysia untuk tahun lepas.

Barangan perkilangan sekali lagi menjadi penyumbang utama, menguasai 67.7 peratus atau RM470.3 bilion daripada jumlah eksport, kata beliau.

Tok Pa turut menjelaskan, China, untuk kali pertamanya, muncul sebagai pasaran eksport terbesar Malaysia pada tahun 2011, dengan eksport ke negara itu mengembang 13.9 peratus kepada RM91.25 bilion.

Kira-kira 70 peratus daripada eksport ke China ialah barangan perkilangan dan ia terdiri terutamanya kimia dan bahan kimia, produk getah, produk elektrik dan elektronik, barangan perkilangan logam, makanan diproses dan produk petroleum.

Sementara itu, eksport ke Asean menguasai 25 peratus daripada jumlah eksport Malaysia dengan pertumbuhan 5.8 peratus dicatatkan pada 2011 kepada RM171.54 bilion.

Walaupun dengan ketidaktentuan di zon Euro, eksport Malaysia ke semua pasaran utama Kesatuan Eropah, kecuali Belanda dan United Kingdom, mencatatkan peningkatan tahun lepas.

Eksport ke EU menambah 4.7 peratus kepada RM71.95 bilion dengan minyak sawit menguasai eksport terbesar, mencatatkan peningkatan 31 peratus kepada RM6.88 bilion.

Pasaran pertumbuhan utama Malaysia pada 2011 ialah Indonesia, Nigeria, Bangladesh, Arab Saudi, Belgium dan Jerman di mana eksport mengembang lebih daripada RM1 bilion untuk setiap negara.

Memanglah pencapaian ini bukan kerana titik peluh Tok Pa seorang tetapi setidak-tidaknya beliau kini boleh menarik nafas lega kerana kebimbangan yang diluahkan itu kini mendatangkan hasil yang memberangsangkan.

Pastinya beliau mendapat sokongan yang baik daripada pegawai kita diluar negara sama ada di bawah MITI, Matrade atau kedutaan kita yang berusaha keras bersama beliau.

Tidak ketinggalan, rombongan pelaburan Perdana Menteri turut membantu Tok Pa untuk melaksakan tugasnya dan tindakan susulan yang dilakukannya banyak mendatangkan kesan besar kepada pelaburan dan perdagangan.

Di sebalik kesibukannya ke luar negara, Tok Pa pada hari ini, esok serta Ahad mungkin sibuk pula di Kelantan, khususnya di Parlimen Jeli.

Ini kerana sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan dan Ahli Parlimen Jeli, rakyat di kawasan juga perlu diberikan tumpuan selain usaha untuk meyakinkan rakyat Kelantan memilih Barisan Nasional .

Amatlah rugi bagi Kelantan dan rakyatnya jika Tok Pa dibiarkan hanya berkhidmat di peringkat nasional sedangkan Kelantan memerlukan pelbagai bentuk pembangunan untuk kesejahteraan rakyat selain meningkatkan lagi dayamaju rakyat negeri itu yang terkenal dengan bidang perniagaan, pertanian dan keusahawanan.

Dengan potensi dan keupayaan yang ada pada Tok Pa, Kelantan di bawah Barisan Nasional akan lebih bergerak maju dan mampu mencapai kemajuan setanding dengan negeri maju di Pantai Barat.

No comments:

Post a Comment