Saturday, December 24, 2011

JANGAN GANGGU SIASATAN SPRM TERHADAP NFC

Tidak faham!

Laporan menyebut seorang ' Datuk" ditahan untuk siasatan dan pejabat Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) diserbu.

NFC pula malam tadi mengeluarkan kenyataan bahawa kehadiran pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) ke pejabat mereka bukanlah merupakan satu serbuan sebagaimana yang dilaporkan oleh hampir kesemua media massa.

Sebaliknya kata kenyataan itu lagi, kehadiran pegawai-pegawai SPRM adalah sebahagian daripada proses siasatan yang sedang berlangsung.

Sedangkan laporan berita megatakan lapan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, (SPRM) merampas dokumen dan satu unit CPU komputer dalam serbuan di ibu pejabat Pusat Fidlot Nasional, National Feedlot Corporation (NFC) di Solaris Mont Kiara semalam.

Ia dikatakan berkaitan dengan penyelewengan dana kerajaan untuk projek ternakan lembu berkenaan.

Serbuan semalam dikaitkan dengan pengumuman SPRM semalam bahawa pihaknya akan menyiasat kes penyelewengan dana kerajaan oleh NFC, bertentangan dengan kenyataan badan tersebut sebelum ini yang menyerahkan siasatan kepada pihak polis atas dakwaan terdapat kes pecah amanah.

SPRM turut mengesahkan pihaknya telah menahan reman seorang individu berpangkat “Datuk” semalam untuk disoal siasat berkaitan skandal tersebut.

Pakatan Rakyat telah menggunakan isu ini dan pemimpinnya menuntut Shahrizat untuk meletak jawatan atas penyelewengan yang berlaku.

Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin telah menggesa Shahrizat mepaskan jawatan sebagai menteri dan Ketua Wanita Umno demi menjaga nama baik wanita ketika Kongres PKR di Johor bulan lalu.

Selain itu, Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan pemimpin daripada Umno termasuk Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Mokhtar dan beberapa ketua cawangan Umno turut membuat gesaan yang sama terhadap Shahrizat demi menjaga nama baik parti.

Pegawai Operasi SPRM Putrajaya, Supritendan Wan Abdul Rahman Wan Mohd Salleh, dilihat bersama dua dari lapan anggotanya menyerbu pejabat NFC di Solaris Mont Kiara. — Foto oleh Choo Choy May.

Anggota SPRM yang diketuai oleh Pegawai Operasi SPRM Putrajaya, Supritendan Wan Abdul Rahman Wan Mohd Salleh, dilihat memasuki pejabat berkenaan kira-kira jam 2.55 petang hari ini dan meninggalkan pejabat berkenaan pada jam 5 petang.

Menurut Wan Abdul Rahman, pihaknya telah mengambil keterangan daripada kesemua pekerja NFC dan mereka telah memberikan kerjasama yang baik.

Dalam serbuan tersebut, SPRM telah merampas satu unit CPU dan empat sampul surat putih berisi dokumen penting yang berkaitan dengan siasatan skandal NFC.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut dokumen yang dirampas pihaknya.

NFC merupakan syarikat yang bertanggungjawab menguruskan pusat ternakan lembu NFC yang terletak di Gemas, Negeri Sembilan.

Skandal NFC tercetus apabila Laporan Tahunan Ketua Audit Negara mengesahkan terdapat penyelewengan dalam dana kerajaan sejumlah RM250 juta berhubung projek berkenaan.

Datuk Seri Dr Mohamed Salleh Ismail, suami kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, yang juga Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Jalil turut dikaitkan dengan skandal tersebut.

Kenyataan NFC menyebut malam semalam, sebenarnya, pihak pengurusan dan staf NFC mengalu-alukan kehadiran pegawai-pegawai SPRM ke pejabat berkenaan dan segala kerjasama penuh telah diberikan kepada SPRM.

"Oleh yang demikian, pada pandangan NFC, lawatan dan kedatangan kakitangan SPRM ke pejabat NFC bukanlah merupakan satu serbuan sebagaimana yang dilaporkan.

Bagaimanapun, pihak syarikat berasa adalah tidak wajar sebarang kenyataan dikeluarkan pada masa ini kerana siasatan masih lagi diteruskan oleh pihak berkuasa," jelas kenyataan tersebut.

SPRM sedang menyiasat sama ada Shahrizat turut terlibat dalam mana-mana bahagian yang melibatkan pinjaman RM250 juta oleh kerajaan kepada NFC.

Apapun, kita berharap tiada pihak yang akan mengganggu tugas SPRM selepas ini!

No comments:

Post a Comment