Monday, December 27, 2010

TEWASKAN INDONESIA 3 - 0 – 1 MALAYSIA, PM BANGGA

Tahniah dan sewajarnya rakyat satu Malaysia (seluruh negara), termasuk peminat nombor 1 – Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak – bangga dengan kejayaan skuad bola sepak menumpaskan Indonesia 3-0 pada perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki di Stadium Nasional Bukit Jalil malam semalam.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menganggap mutu permainan skuad bola sepak negara semakin meningkat, dan kejayaan itu amat membanggakan negara.

Perdana Menteri bagaimanapun mengingatkan pasukan negara supaya tidak terlalu selesa dengan kemenangan malam ini kerana mereka masih mempunyai satu lagi tugas penting di perlawanan timbal balik akhir di Jakarta Rabu ini.

Sokongan Najib bukan pada perlawanan ini sahaja kerana minat Perdana Menteri kepada bola sepak negara dalam saingan Piala AFF-Suzuki sudah terbukti apabila beliau sanggup duduk bersama penonton di atas jalanraya di kawasan Bukit Bintang, untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua antara Malaysia dan Vietnam, melalui skrin besar di kawasan itu pada 19 Disember lepas.

Malaysia menewaskan Vietnam 2-0 pada perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil dan mengikat lawan tanpa sebarang jaringan pada perlawanan di Stadium My Dinh di Hanoi untuk melangkah ke perlawanan akhir.

"Saya amat gembira dengan kemenangan itu (tundukkan Indonesia). Pasukan negara menunjukkan persembahan baik malam ini, dan seluruh negara amat berbangga dengan pasukan kita," katanya dalam satu kenyataan semalam sambil menambah: "Mereka perlu menampilkan satu lagi persembahan mantap di Indonesia."

Di pihak penonton, seramai 85,000 membanjiri Stadium Nasional di Bukit Jalil dan bukti jelas penyokong tempatan sebenarnya bersedia berdiri di belakang pasukan dan memberikan sokongan padu asalkan skuad kebangsaan bangkit.

Gol-gol Malaysia yang dijaringkan oleh Mohd Safee Mohd Sali pada minit ke-59 serta 71, dan Mohamad Ashari Samsudin pada minit ke-67, membolehkan Malaysia membawa bekalan selesa untuk bertandang ke Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta pada perlawanan akhir kedua Rabu ini.

No comments:

Post a Comment