Thursday, November 11, 2010

UPSR - TERENGGANU CATAT KEJAYAAN 10 TAHUN BERTURUT-TURUT?

Gambar Hiasan - Pelajar Terenganu gembira mendapat keputusan UPSR tahun lalu.

Daripada teganuku

Terengganu dikatakan mengulangi kejayaan sejak sepuluh tahun lalu bagi keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2010 akan diumumkan sebentar lagi (hari ini 11 November 2010).

Tahun ini, seramai 23,533 murid Tahun Enam menduduki UPSR di 371 pusat peperiksaan melibatkan 354 buah sekolah di seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Razif Abdul Rahman sebelum ini berkata, beliau yakin sasaran Terengganu untuk mencapai 20 peratus A dalam semua mata pelajaran akan tercapai.

Ia berdasarkan keputusan peperiksaan percubaan yang mencatatkan 29 peratus pelajar mendapat gred A dalam semua mata pelajaran, katanya.

Dengan Terengganu dikatakan terus menjadi juara tertinggi semua A bagi ujian berkenaan sekali lagi, apakah Menteri Besarnya Datuk Seri Ahmad Said akan menitiskan air mata sekali lagi?

Tahun lalu ketika mengucapkan ‘selamat tinggal’ untuk menunaikan fardu haji di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Ahmad Said sebak kerana anaknya juga mencapai keputusan 5A dan ia dimaklumkan oleh seorang pegawai Jabatan Pelajaran Terengganu.

Jika ini benar-benar berlaku sekali lagi hari ini, ternyata usaha kerajaan negeri Terengganu dan Jabatan Pelajaran Terengganu membuahkan hasil memberangsangkan.

Tahun lalu daripada 23,944 calon yang menduduki UPSR di 381 pusat peperiksaan, 3,664 mendapat semua A atau 15.3 peratus iaitu peningkatan satu peratus berbanding 2008.

Keputusan UPSR tahun lalu juga meningkat dalam pencapaian minimum C kepada 68.8 peratus.

Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran mengumumkan beberapa hari lalu bahawa calon-calon boleh mendapatkan keputusan mereka daripada sekolah masing-masing selepas pukul 10 pagi hari ini.

Selain itu satu majlis pengumuman analisis keputusan UPSR 2010 akan diadakan hari ini pada pukul 9 pagi di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 3, Blok E8, Kompleks Kerajaan Parcel E, Putrajaya.

Pada tahun ini, 494,493 calon telah menduduki UPSR di 8,192 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, calon sekolah kebangsaan dan sekolah bantuan kerajaan adalah 486,321 orang atau 98.3 peratus manakala baki 8,172 (1.7 peratus) adalah calon sekolah swasta.

No comments:

Post a Comment