Monday, November 22, 2010

BENDUNG KEMALANGAN JALAN RAYA, BANTU MENAIKKAN KDNK NEGARA

Kemalangan jalan raya di negara ini bukan sahaja meragut nyawa tetapi pada tahun 2008sahaja ia meragut 1.5 peratus daripada keluaran Negara Kasar (KDNK) atau pada jumlah RM7.8 bilion.

Amat jelas bahawa setiap kemalangan jalan raya akan menyebabkan negara mengalami kerugian bukan sahaja nyawa dan harta benda tetapi ia memberikan kesan kepada kewangan negara.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha mendedahkan semalam, negara mengalami kerugian berbilion ringgit pada setiap tahun akibat kes kemalangan jalan raya.

Lebih membimbangkan ia meningkat setiap tahun. Ini bermakna, untuk tahun 2010 ini, jumlahnya mungkin mencecah RM8 bilion.

Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) mendapati pada tahun 2008 sahaja, negara mencatatkan kerugian sebanyak RM7.8 bilion yang bersamaan dengan 1.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Berdasarkan statistik pada tahun lepas sahaja, seramai 6,745 pengguna jalan raya maut berbanding hanya 6,527 orang pada tahun 2008. Kira-kira 60 peratus daripadanya adalah penunggang dan pembonceng motosikal.

Menteri berkenaan berkata demikian selepas menutup Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) di Sekolah Menengah Kebangsaan Pangkor, Pulau Pangkor semalam.

Seramai 4,070 pengguna motosikal maut dalam kemalangan jalan raya di seluruh negara sepanjang 2009, jumlah yang paling tinggi berbanding pengguna jalan raya lain.

Daripada jumlah yang maut itu, 4,070 adalah pengguna motosikal, 1,411 membabitkan kereta, 593 pejalan kaki dan masing-masing 13 pengguna bas ekspres dan bas sekolah. Mereka yang cedera parah pula ialah 5,758 pengguna motosikal, kereta (1,709), pejalan kaki (613) dan pelbagai jenis bas seperti bas ekspres, bas kilang, bas sekolah (59).

Sementara sebanyak 41,055 kenderaan terlibat dalam kemalangan jalan raya tahun lepas dan daripada jumlah itu 9,591 merupakan kemalangan maut.

Dengan kedudukan seperti ini, negara tidak mampu lagi membenarkan kejadian kemalangan berterusan.

Langkah-langkah perlu digiatkan untuk menyekat kejadian terus berlaku dan meningkat kerana di sebalik kehilangan orang tersayang, kemalangan turut menjejaskan ekonomi negara.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu mencari formula terbaik membantu kerajaan menangani kes kemalangan jalan raya yang jelas semakin meningkat setiap tahun.

Antara usaha ialah menjamin mereka yang mendapat lessen memandu mendapat bimbingan dan kesedaran mengenai aspek keselamatan jalan raya.

Selain itu Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) juga perlu menjamin kenderaan yang digunakan pengguna tidak kira kenderaan awam atau persendirian berada dalam keadaan terbaik bagi mengelak berlaku kemalangan sama ada kerana kecuaian sendiri atau diakibatkan oleh pemandu lain.

Denda dan juga hukuman terhadap kesalahan jalan raya hendaklah dimaksimumkan dan tiada pilih kasih untuk tindakan kerana kemalangan bukan kerana kecuaian boleh berlaku terhadap semua jenis pemandu.

Kemalangan juga menimpa kepada semua jenis kenderaan yang menggunakan jalan raya tidak kira kecil atau besar atau mahal dan murah.

Kemalangan juga boleh diakibatkan oleh pemandu sama ada baru atau yang berpengalaman tidak kira usia dan haluan – menuju atau menghala.

Jika kemalangan dapat dikurangkan, ia bukan sahaja dapat menyelamatkan lebih banyak nyawa, juga akan menyelamatkan keluarga daripada di timpa bencana kehilangan orang yang tersayang atau mereka yang menjadi tempat keluarga bergantung.

Penurunan kemalangan jalan raya juga akan membantu menaikkan KDNK negara dan wang berkenaan boleh digunakan untuk memenuhi keperluan serta kesejahteraan rakyat di seluruh negara.

Pergiatkan kempen kesedaran dan keselamatan jalan raya sepanjang masa – bukan musim perayaan atau cuti sahaja - selain jadikan pemanduan berhemah sebagai budaya rakyat Malaysia yang sedang menuju ke tahap negara maju.

No comments:

Post a Comment