Wednesday, July 21, 2010

GUNA WANG KERAJAAN SOKONG PEMBANGKANG?

Benarkah dakwaan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) semalam penaja The Malaysian Insider, sebuah portal berita pro-pembangkang, telah menggunakan wang yang diperolehi daripada kontrak kerajaan untuk membuat fitnah terhadap kerajaan?

Amat menyedihkan jika benar wang diperolehi daripada kerajaan digunakan untuk menyerang kerajaan.

Yang Dipertua JMM, Azwanddin Hamzah mendakwa, Efficient E-Solution Berhad merupakan syarikat yang membiayai kos operasi portal tersebut.

Efficient E-Solution juga mempunyai kepentingan 20 peratus dalam VPI International Sdn. Bhd., yang telah mendapatkan kontrak perkhidmatan pengimejan dan pengimbasan pengumpulan data daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), yang pada mulanya berjumlah RM216,090,927 dan kemudian dinaikkan kepada RM585,540,927.

Azwanddin mendakwa dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam bahawa Datuk Kalimullah Hassan dan Shaik Aqmal Alauddin merupakan pengarah dalam Efficient E-Solution, manakala Shaik Aqmal dan Sreedhar Subramaniam adalah pengarah VPI International.

Ketua JMM itu juga meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop menjelaskan hubungan beliau dengan ketiga-tiga pengarah itu kerana kontrak itu diperolehi sewaktu beliau menjadi Menteri Kewangan II.

Azwanddin juga mendakwa Shaik Aqmal dan Sreedhar, yang menjadi penandatangan kontrak dengan LHDN telah menggunakan Regalia Records Management Sdn. Bhd., yang mana VPI International mempunyai kepentingan di dalamnya, untuk menaja dan membiayai Malaysian Insider yang diilhamkan oleh Sreedhar.

Ternyata bukan Kalimullah sahaja yang perlu menjelaskan persoalan ini tetapi juga Nor Mohamed yang sebelum ini ada lagi beberapa beberapa perkara yang menjadi persoalan mengenai beliau.

No comments:

Post a Comment