Tuesday, April 13, 2010

HULU SELANGOR - PERTEMBUNGAN ZAID-PALANIVEL TIDAK BERLAKU?

Pada 2 April lalu Timbalan Presiden MIC Datuk G Palanivel berkata dialah satu-satunya pemimpin yang dinamakan oleh MIC untuk dinilai oleh Perdana Menteri sebagai calon pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Menurutnya, beliau yang satu-satunya dinamakan oleh MIC kerana beliau adalah Ketua Bahagian MIC Hulu Selangor, selain Pengerusi MIC Selangor disamping Timbalan Presiden MIC.

Beliau juga adalah bekas Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) selama empat penggal di situ sehingga dikalahkan pada pilihan raya umum Mac 2008.

Lagi pun pada pilihan raya lalu Palanivel kalah tipis iaitu 198 undi sahaja.

Hampir 53 peratus atau 34,020 daripada 64,500 pemilih berdaftar adalah pengundi Melayu manakala kaum Cina dan India masing-masing terdiri 16,964 pengundi (26.3 peratus) dan 12,453 pengundi (19.3 peratus).

Semua kata-kata ini untuk menyokong beliau sebagai paling layak untuk diumumkan sebagai calon yang akan dibuat lusa (Khamis).

Sementara bagi pembangkang, hari ini adalah pengumuman calon mereka untuk bertanding yang akan diadakan pada satu majlis yang akan berlangsung di pusat komuniti Serendah jam 8.30 malam ini.

Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan hadir pada pengumuman itu selain Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng. Turut dijadualkan hadir ialah Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, naib presiden PKR Azmin Ali, setiausaha agung PKR, Saifuddin Nasution dan ahli parlimem Bukit Gantang dari PAS, Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari penamaan calon pada 17 April dan pengundian pada 25 April.

Teka-teki siapa akan menjadi calon BN dan pembangkan pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor semakin menarik.

Cuma aneh sedikit pembangkang mengatakan mereka akan meletakkan Datuk Zaid Ibrahim untuk bertanding jika Palanivel bertanding.

Masalahnnya, pengumuman oleh BN akan hanya dibuat lusa.

Persoalannya juga apakah Zaid akan berputih mata jika BN umumkan orang lain selain Palanivel?

Rasa-rasanya hasrat Zaid untuk bertanding pilihan raya kecil Hulu Selangor akan berkecai.
Berasaskan kenyataan Parti Keadilan Rakyat bahawa Zaid akan diturunkan jika Palanivel bertanding jelas tidak akan mendatangkan berita baik untuk Zaid.

Ini kerana Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah menegaskan bahawa calon BN yang akan bertanding pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor 25 April ini adalah anak tempatan.

Selain Palanivel, nama lain yang disebut-sebut ialah Naib Pengerusi MIC Hulu Selangor K. Balasundram, Setiausaha Agung MIC S. Murugesan, Ketua Pemuda MIC bahagian itu V. Mugilan, Anggota Jawatankuasa MIC Hulu Selangor, K. Arunasalam, Ketua Penerangan MIC kebangsaan P. Kamalanathan dan bekas Timbalan Presiden MIC Datuk S. Subramaniam.

Mugilan dan Subramaniam dikatakan calon popular kerana kedua-duanya merupakan anak tempatan, masing-masing berasal dari Ladang Kerling dan Ladang Lima Belas, Hulu Selangor.

Apa yang pasti, seperti kata Muhyiddin, individu yang terpilih adalah terjemahan "denyut nadi" rakyat di kawasan itu bagi memastikan kerusi itu kembali ke tangan BN.

Dalam konteks MIC, jelas sekali Palanivel mempunyai ‘pengaruh’ yang besar apabila beliau mampu untuk menakut-nakutkan calon lain daripada bahagian itu.

Kenyataan Mugilan umpamanya menunjukkan beliau ‘tidak sanggup mengambil risiko’ untuk membuat kenyataan awal mengenai kemungkinan beliau dicalonkan.

Ini kerana Mugilan menafikan khabar beliau berminat menjadi calon atau mahu dicalonkan oleh MIC sebagai calon BN pada pilihan raya kecil itu.

UMNO bahagian itu dikatakan mahu Mugilan yang lahir di Ladang Kerling bertanding di situ kerana beliau disukai oleh penduduk di kawasan itu, termasuk orang-orang Melayu.

"Beliau (Mugilan) bermula dari bawah. Beliau seorang peramah dan suka membantu orang ramai pada peringkat akar umbi. Beliau juga rapat dengan budak-budak Melayu di kawasan ini," kata satu sumber UMNO.

Mengenai desakan Umno bahagian itu Mugilan berkata, "Palanivel adalah mentor saya dan saya bersetuju sekiranya Palanivel dipilih sebagai calon.”

Kata Mugilan, khabar itu sengaja disebarkan untuk menggugat mentornya, Palanivel, yang sudah dipersetujui MIC sebagai calon.

Beliau yang juga ketua MIC Hulu Selangor menegaskan beliau berdiri teguh di belakang Palanivel, yang membawanya ke dalam MIC dan menyokongnya.

“Saya penyokong setia. Tidak ada usaha melobi kerusi berkenaan, katanya.
Lebih hebat beliau berkata: “Jika Palanivel tidak mendapat kerusi itu, saya akan meletakkan jawatan sebagai Timbalan Ketua Pemuda MIC dan Ketua Pemuda Hulu Selangor.” Mugilan berkata beliau akan menjamin Palanivel memang pilihan raya itu untuk merampas kembali kerusi berkenaan.

Bagi Muhyiddin pula, senarai calon sudah hampir disenarai pendek tetapi Muhyiddin enggan mengulas mengenai bilangan calon BN itu.

"Kita ada beribu tokoh di Hulu Selangor, hampir-hampir nak shortlist. Dalam tempoh tiga hari lagi akan tahulah... (calon) dari Hulu Selangor. Insya-Allah daripada orang tempatanlah," katanya selepas menyampaikan geran permulaan prasekolah swasta Kementerian Pelajaran di Bandar Sungai Buaya di Rawang semalam.

Muhyiddin yang juga timbalan presiden UMNO dan timbalan pengerusi BN berkata banyak faktor yang diambil kira dalam menentukan calon termasuk latar belakang, kelayakan dan boleh bekerjasama dengan pemimpin.

Muhyiddin yang juga menteri pelajaran, berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengambil kira semua maklumat dan maklum balas yang diterima daripada penduduk Hulu Selangor sebelum memutuskan calon yang sesuai.

BN sudah mendengar pelbagai pendapat dan Muhyiddin yakin calon yang dipilih adalah terbaik yang boleh memastikan kemenangan BN. “Kita di sini pun ada input daripada pelbagai sumber, jadi kita tahu apa kehendak pengundi di sini, yang mana yang rakyat mahukan," katanya.

Soal penting ialah yang rakyat mahukan dan mampu menjalankan amanah sebagai wakil mereka, tidak ada skandal, latar belakang yang berkelayakan dan berkelulusan tinggi, yang boleh bekerjasama dengan pemimpin di bawah.

Juga penting ialah mampu melaksanakan program-program pembangunan sosio ekonomi, tegas Muhyiddin.

Berasakan kepada anak tempatan, diyakini penuh bahawa Palanivel tidak akan tersenarai dan jika Palanivel tidak tersenarai, apakah PKR akan meletakkan orang lain selain Zaid?
Seorang lagi nama yang disebut ialah pakar bedah saraf, Dr Halili Rahmat.

Pilihan raya kecil kawasan itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada Parti Keadilan Rakyat Datuk Zainal Abidin Ahmad akibat barah otak pada 25 Mac lepas.

Persoalannya jika benar Palanivel tidak dicalonkan, apakah beliau akan terus menyumbangkan kudratnya untuk memenangkan calon BN yang datangnya dari MIC Hulu Selangor?

Apakah jentera MIC akan berfungsi pernah pada ketika UMNO dan MIC selain komponen lain bekerja keras untuk merampas kerusi berkenaan?

1 comment:

  1. Sebenar memang benar...palanivel org kuat di Hulu selangor sejak dulu ...PKR letak zahid cuma cuba ambil pengaruh yang zahid bekas orang umno dan kerajaan...kalau rakyat salah conggak memang zahid ada sikit sahaja menang point ... tapi jika rakyat fikir siapa zahid sekarang ini ..rakyat akan 100% pilih Palnivel dan dia hero BN dan boleh bagi majoriti 90% pada BN utk menang ..siapa tidak kenal palanivel di selangor??semua sudah kenal dan jasa dia pun sudah banyak ditumpahkan di selangor. Siapa mu Zahid di selangor...??Tapi pkr takut takut letak zahid takut linggkup.!!

    ReplyDelete