Tuesday, February 9, 2010

PKR BERDEPAN KRISIS KEPERCAYAAN?

Cakap-cakap mengatakan ramai anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan bertindak keluar daripada PKR secara beramai-ramai dalam masa dua hingga tiga minggu ini.

Dakwanya senario itu berkemungkinan akan berlaku disebabkan rasa tidak puas hati di kalangan anggota parti terhadap kepimpinan tertinggi PKR.

Puncanya? Pemimpin tertinggi langsung tidak mengendahkan aduan mereka berhubung masalah yang dihadapi dengan DAP.

Apakah itu sahaja masalahnya?

Bagaimana dengan sebab-sebab seperti PKR tidak ada perjuangan membela rakyat yang jelas, tindak tanduk kepimpinan PKR diselubungi oleh agenda persendirian selain pertelingkahan sesama sendiri.

Lebih daripada itu, bukankah UMNO dan Barisan Nasional (BN) adalah wadah sebenar perjuangan politik dan kepentingan rakyat di Negara ini?

Semalam, Bendahari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan Norasidi Salim secara rasmi mengumumkan keluar daripada parti itu dan kembali menyertai Umno malam Isnin.

Turut mengikut jejaknya adalah empat lagi anggota PKR iaitu Timbalan Ketua Bahagian PKR Putrajaya Azmi Hassan, Ketua Penerangan PKR Wilayah Persekutuan Ishak Hamzah, anggota jawatankuasa PKR Putrajaya Daud Ahmad dan penggerak reformist 1999-2008 Mohd Solleh Ibrahim.

"Keputusan ini diambil dengan rela hati tanpa desakan daripada mana-mana pihak. Ianya dibuat setelah difikirkan dengan masak-masak kedudukan kami dalam PKR dan menghalusi perjuangan parti.

"Apa yang kami dapati PKR tidak ada perjuangan membela rakyat yang jelas, malahan setiap tindak tanduk kepimpinan parti diselubungi oleh agenda persendirian," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan borang keanggotaan kepada Timbalan Presiden Umno, yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada majlis itu, Norasidi turut menyerahkan 100 lagi borang permohonan keanggotaaan Umno daripada anggota PKR bahagian Bandar Tun Razak.

Norasidi berkata pemimpin PKR gagal memperjuangkan nasib rakyat khususnya selepas Pilihan Raya Umum 2008, sebaliknya bertelingkah sesama sendiri seperti yang berlaku di Sabah, Pahang dan Pulau Pinang.

"Kebelakangan ini, kita juga dengar saranan daripada kepimpinan parti PKR seperti Menteri Besar Selangor (Tan Sri Khalid Ibrahim) dan Ketua Penerangan (Latheefa Koya) supaya ahli-ahli PKR yang tidak sehaluan dengan kepimpinan parti, supaya keluar parti," katanya.

Norasidi berkata beliau mengambil keputusan kembali kepada Umno kerana yakin dengan budaya politik parti yang sudah kukuh dan telah melalui onak dan duri dalam perjuangannya.

Malah, beliau yakin Umno dapat mengembalikan kepercayaan rakyat dan mentadbir negara dengan baik demi kesinambungan kesejahteraan

Selain itu pengakuan anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Nordin daripada PKR yang turut meramalkan akan berlaku bantahan ahli PKR terhadap pemimpin tertinggi PKR akan turut menggoncang parti itu.

Bagi Zulkifli, punca menyebabkan pergolakan dalam PKR ialah tindak-tanduk sekutu pakatan pembangkang – DAP.

"DAP merupakan punca masalah-masalah yang berlaku dalam Pakatan Rakyat. Seperti di Kedah di mana DAP ugut kerajaan tentang pusat pembelaan babi...bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Fairus Khairuddin ditekan sehingga berhenti," katanya.

"Dah lama aduan dibuat tentang DAP...sejak awal-awal Pakatan Rakyat ditubuhkan lagi.

"Bukan tak guna saluran dalaman...sudah disuarakan dalam mesyuarat dan sebagainya tetapi tiada tindakan diambil," katanya dalam Program Soal Jawab yang disiarkan TV3 malam semalam.

Beliau mendakwa DAP tidak diperlukan dan merupakan 'duri dalam daging' kepada pakatan tersebut.

Ditanya risiko tindakan mengeluarkan DAP daripada Pakatan Rakyat akan menyebabkan pakatan itu hilang kuasa di negeri-negeri yang mereka tadbir sekarang, Zulkifli berkata risiko itu perlu diambil kerana apa yang penting ialah rakyat dan negara.

Selain itu, Zulkifli juga berkata PAS dan PKR seharusnya mengambil peluang untuk mengadakan perbincangan 'Islamiah' dengan Umno dan membuang perasaan buruk sangka atau prejudis.

"Siapa yang memartabatkan perjuangan Islam adalah sahabat kita, tak kiralah PKR, PAS atau Umno," katanya.

Baru-baru ini Zulkifli membuat laporan polis ke atas anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad kerana perbezaan pendapat dalam isu penggunaan nama Allah.

Beliau kini menunggu keputusan Lembaga Disiplin PKR yang mendakwa tindakan beliau itu sebagai melampaui batas.

No comments:

Post a Comment