Saturday, January 2, 2010

HUSAM MUSA BAGAI CACING KEPANASAN?

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat memuji Datuk Husam Musa tinggi melangit.

Seolah-olah hanya Husam yang berjaya dan mampu menjalankan tugasnya sebagai Exco kerajaan. Yang lain itu hanya penumpang sahaja.


Semalam - selepas memberikan tugas penting kepada Husam dalam isu royalti minyak - Husam sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, diminta sekali lagi oleh Nik Aziz untuk tugasan penting.

Ia berkaitan isu pampasan lebih RM800 juta kepada sebuah syarikat pembalakan yang diputuskan oleh mahkamah baru-baru ini.

Jadi benarlah kata beberapa pemerhati politik bahawa Husam ini seolah-olah pendinding kepada Nik Aziz.
Husam dikatakan akan ‘mempertahankan’ Nik Aziz walau dalam panas dan hujan. Ironinya, Husam dikatakan turut mengkritik beberapa perkara mengenai Nik Aziz, khususnya pembabitan ahli keluarga Menteri Besar itu dalam isu pemecatan CEO Perbadanan Menteri Besar Kelantan baru-baru ini.

Menghairankan juga bagaimana MSO boleh berubah sekelip mata apabila beberapa blog dan akhbar melaporkan MSO turut berdiri di belakang Husam dalam isu kritikan terhadap Nik Aziz ini.

Penulis politik terkenal itu selalunya kritikal pada bekas naib presiden PAS itu tetapi pada 30 Disember lalu, MSO berkata:"Kalau Husam menegur Nik Aziz dan sesiapa dengan pandangan itu, tujuannya tidak lain untuk menjaga PAS dan kerajaan Kelantan. Saya tidak fikir dia ada udang di sebalik batu dan mengharap sesuatu untuk dirinya dengan teguran itu," kata pengamat politik kelahiran Kelantan itu di blognya Merah Tinta.

"Saya bersetuju dengan apa yang disuarakan oleh Husam. Kebimbangan Husam itu, adalah juga kebimbangan saya malahan itulah yang telah saya suarakan sebelum ini."

Walaupun Husam diberikan pelbagai kepercayaan selain tugasan penting dalam isu royalti minyak dan saman RM800 juta terhadap kerajaan Kelantan, namun apakah kritikan terhadap Nik Aziz itu turut diterima oleh Musyridul Am itu?

Beberapa sumber rapat PAS mengatakan kemarahan Nik Aziz sehingga menyebut ‘celaka’ kepada beberapa blog yang mengatakan Husam akan mengundurkan diri atau meletak jawatan lebih kepada mempertahankan kerajaan Kelantan bukan Husam.

Hakikatnya, Husam kini tidak ada lagi ‘anak buahnya’ di Pejabat Menteri Besar Kelantan selepas Setiausaha Politik dan Setiausaha Akhbar Menteri Besar meletakkan jawatan.

Nik Aziz cuba ‘melindungi’ setiausaha politiknya, Anual Bakhri Haroun dengan mengatakan niat untuk meletakkan jawatan sudah lama dinyatakan. “Ia dibuat atas sebab Anual mahu menumpukan kepada bidang penulisan dan syarikat beliau dan juga atas masalah kesihatan anak bongsunya yang harus diberi penumpuan.”

Manakala setiausaha akhbarnya pula, Mohd Saiba Yaakob akan habis kontrak hujung bulan ini.
Jika benar Annual seorang yang mampu memberikan nasihat yang betul dan berguna, bukan ‘nasihat salah’, apakah Nik Aziz tidak memujuk beliau untuk terus berkhidmat.

Apakah jika bertugas di pejabat Menteri Besar tidak boleh menjadi penulis kerana sebelum inipun banyak buku yang diterbitkan atas nama Nik Aziz sebagai penulis diselaraskan oleh beliau.

Anual Bakhri mula memegang jawatan berkenaan pada tahun 1999 selepas Husam mengosongkan jawatan berkenaan untuk bertanding dalam pilihan raya umum tahun berkenaan bagi mewakili Parlimen Kubang Kerian.

Manakala Mohd Saiba pula mula memegang jawatan berkenaan pada tahun 2003.

Kedua-dua mereka yang menjadi orang kuat Husam tidak lagi mempunyai apa-apa kuasa kini dan dijangkakan perlantikan baru tidak lagi membabitkan ‘macha-macha’ Husam.

Malah dengan perletakan jawatan kedua-dua mereka dikatakan melumpuhkan percaturan pergerakan Husam di pejabat Menteri Besar dan Husam semakin kepanasan.

Husam tahu di mana dirinya berada ketika ini kerana itu apa juga perintah Nik Aziz tidak boleh ditolaknya walaupun isu seperti royalti minyak dan pampas an RM800 juta berat baginya untuk menggendalikannya.

Jika diserahkan tugas ini kepada mereka yang mempunyai latar belakang undang-undang, ia mungkin menjadi lebih ringan namun kerana ‘terpaksa’, Husam perlu menerimanya.

Dengan kedudukan beliau diserang dari setiap penjuru, Husam berdepan yang kedudukan dirinya yang bersaorangan selepas budak-budaknya ‘terpaksa meletakkan jawatan’.

Selepas kehilangan Mohd Ariffahmi Abdul Rahman di PMBK kerana enggan lagi menurut perintahnya, Husam juga pernah kehilangan Wan Ismail Wan Jusoh dan beberapa yang lain, termasuk MSO sendiri.

Agak menghairankan juga permainan MSO dalam konteks Husam ini apabila tiba-tiba beliau mempertahankan Husam.

Apakah ada ‘apa-apa’ antara Husam dan MSO? Apakah MSO sudah kembali berbaik dengan Husam dengan habuan tertentu, sambil menjamin Nik Aziz terus menjadi Menteri Besar?

Husam kini mungkin hanya ada Setiausaha Pas negeri, Mohd. Zaki Ibrahim yang pernah menganggap blog Nik Amalina yang menyentuh tentang kepimpinan Pas negeri dan kerajaan Kelantan akan dianggap sebagai blog sampah di dalam Internet.

Seorang lagi budak Husam yang terpaksa melepaskan jawatan ialah Ketua Penerangan Pemuda PAS Kelantan, Dr. Rosli Allani Abdull Kadir kerana isu isteri mudanya.

Semua tahu bagaimana Dr Rosli sebelum ini bersuara mengenai Ariffahmi dan orang melihat ia bukan suara Dr Rosli tetapi suara Husam.

Pelik juga kini Husam menyatakan sedia berhadapan dengan anak Menteri Besar, Nik Amalina Nik Abdul Aziz bagi menjawab segala dakwaan yang dibuat di dalam blog peribadinya.

Isteri kepada Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman melalui blognya baru-baru ini mencabar salah seorang anggota Exco kerajaan negeri ini meletakkan jawatan.

Banyak pihak melihat anak Nik Aziz itu ‘menghentam Husam’ dan kalahpun Husam mahu berjumpa beliau, ia sudah terlambat.

Apakah Husam mahu berbaik-baik semula dengan ahli keluarga Nik Aziz yang keseluruhannya mula membenci Husam?

Selain adik beradik Nik Amalina ‘membenci Husam’ beberapa rakan yang pernah membantu Husam naik juga kecewa dengan beliau.

Husam dikatakan jenis lepas tangan dan ramai yang menyokong Husam kini kantoi selepas Husam tidak pedulikan nasib mereka dan mahukan sebarang masalah yang timbul (termasuk kerana membantu Husam) diseselasaikan oleh mereka sendiri.

Husam lepas tangan dan yang penting baginya dalam keadaan kepanasan seperti ini, untuk kembali sejuk ialah menyelesaikan apa juga masalah yang diminta Nik Aziz, selain rapat kembali dengan keluarga Nik Aziz.

Seperti pesaing politiknya, apakah keluarga Nik Aziz boleh memaafkan Husam?

Ternyata Husam kini berdepan dengan ‘musuh politiknya’ bukan sahaja dalam PAS daripada segenap penjuru tetapi dia juga ‘kepanasan’ di Kelantan.

Husam yang semakin kehilangan penyokong kuatnya perlu membina semula kekuatannya dan jika gagal dia akan berdepan dengan serangan lebih hebat.

Persoalannya, mampukah Husam bertahan?

1 comment:

  1. Tuan,
    Apa jua yang diucapkan dan dilakukan oleh Nik Aziz adalah untuk kesinambungan parti PAS . Ini kita kena fahami dengan cukup kuat kerana Nik Aziz selalu menyebut bahawa apa yang dibuatnya menyamai pekara yang dibuat oleh Nabi Muhammad. Jadi apa yang dibuat dan dicakapnya betul dan tak boleh disanggah ! Nik Aziz dah jadi macam nabi ! Dia maksum.Ini kita kena fahami. Sangat ramai di luar sana penyokong totok Nik Aziz yang sanggup berperang malah mati kerananya kerana menganggap Nik Aziz itu karamah . Kalau tidak masakan seliparnya menjadi rebutan orang ?
    MSO pula akan mempertahankan Nik Aziz walau dengan apa cara sekalipun kerana beliau sekarang jadi kaya kerana sokongan kepada parti PAS . Nik Aziz dah jadi mentor dan idolanya dan ini diakui dalam blognya. Jadi , apabila dia mengkritik Nik Aziz itu kerana sayang bukan apa pun.
    Husam pula ada amanah berat yang perlu dipikulnya. Ini berkaitan dengan janji DSAI untuk melantiknya jawatan MB Kelantan atau pun Menteri di kerajaan pusat sekiranya DSAI menjadi PM nanti konon. Pakatan Rakyat optimis memenangi semua kerusi parlimen di Kelantan dalam PRU 13 nanti dan Husam kena mempastikanya berlaku. Ini mudah difahami.

    ReplyDelete