Sunday, January 24, 2010

BERGADUH KERANA KALIMAH ALLAH…

Tak habis-habis! Hubungan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS semakin kusut.

Ia ekoran tindakan Zulkifli Noordin daripada PKR membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad daripada PAS. Pertelingkahan ini berlaku antara ‘ustaz’ PKR dan PAS.

Pada ketika PAS mendakwa ia parti Islam dan pemimpinnya mengamalkan Islam, Zulkifli yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru berkata, laporan polis itu dibuat berhubung kenyataan Khalid yang menyebut enakmen larang kalimah Allah ketinggalan zaman.

Menurut kenyataan akhbar Zulkifli yang dibuat pada 21 Januari 2010, beliau mengatakan:

“Saya berpendapat kenyataan YB Khalid ini adalah tindakan melampau dan kemuncak kepada penghinaan besar beliau terhadap agama Islam dan institusi Islam dinegara ini khususnya bagi negeri Selangor. Pada saya ianya satu kenyataan yang melambangkan sikap angkuh dan sombong dan berasa diri hebat tanpa mengambil kira pandangan orang lain.

YB Khalid sepatutnya sedar bahawa dalam pertemuan di rumah Dato' Seri Anwar Ibrahim pada hari Isnin 02 Safar 1431/ 18 Januari 2010 isu kalimah ALLAH ini telah dibincangkan dengan panjang lebar, dan ternyata kebanyakan 'ulama' dan ilmuan muktabar Islam yang hadir saperti Dr. Kamal Hassan (bekas rektor UIA), Ustadz Abd Ghani Shamsuddin, Sdr Cikgu Azmi (Teras) dan lain-lain ternyata tidak bersetuju kalimah ALLAH boleh digunakan oleh umat Kristian yang berfahaman ketuhanan triniti, sebaliknya kalimah ALLAH hanya boleh digunapakai oleh mereka yang mentauhidkan dan mengesakan ALLAH.

Malahan pendapat ini juga dikongsi oleh 'ulama' dan ilmuan lain (yang tidak hadir) saperti Dr. Syed Naquib Al Attas (bekas Rektor Istac), Datuk Dr. Siddiq Fadhil (Pengerusi Wadah), termasuk pakar perlembagaan Datuk Dr. Professor Shad Faruqi (UiTM). Memang ada agamawan dan mereka yang menyokong saperti Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, YB Salahudin Ayub, Hanipa Maidin (yang kesemuanya daripada PAS), termasuk Dr. Mohd. Nor Manutty (PKR) dan beberapa orang lain.

Saya berpendapat kenyataan YB Khalid Samad tersebut adalah suatu penghinaan terhadap Yang DiPertuan Agong yang telah menitahkan supaya agama Islam dan peruntukkan Perlembagaan berkaitan Islam hendaklah dihormati. Ianya juga satu penghinaan besar dan penderhakaan terhadap Paduka Tuanku Sultan Selangor yang telah bertitah dengan jelas bahawa penggunaan nama ALLAH oleh bukan Islam dilarang dan diharamkan sama sekali dalam negeri Selangor.

Malahan saya berpendapat kenyataan beliau itu satu penghinaan terhadap fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan yang telah memfatwakan pelarangan penggunaan nama ALLAH dikalangan bukan Islam.”

Zulkifli meminta Khalid supaya faham bahawa pelarangan penggunaan kalimah ALLAH didalam Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 adalah dibuat secara sah menurut undang-undang berdasarkan peruntukkan Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, ia adalah undang-undang yang sah dan berkuatkuasa. Ianya bukan undang-undang yang dibuat daripada atas pokok oleh golongan bodoh dan jahil. Dan umat Islam tidaklah sebodoh dan selemah yang beliau nyatakan. Sebaliknya kejahilan itu adalah pada beliau sendiri akibat daripada sikap sombong dan fanatik beliau mahu memaksa orang lain menerima pandangan beliau yang terlalu jumud dan sempit.

Zulkifli merasakan kenyataan dan tindak-tanduk Khalid memudharatkan dan/atau boleh memudharatkan keadaan harmoni atau perpaduan dikalangan umat Islam, malahan boleh mencetuskan ketegangan diantara umat Islam dan bukan Islam.

“Pada saya, ianya suatu kesalahan yang boleh disiasat dan diambil bukan sahaja dibawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Selangor, Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988; malahan tidakan boleh diambil dibawah Akta Hasutan dan Seksyen 298A Kanun Kesiksaan,” katanya.

Lebih jauh, Zulkifli mendesak supaya Khalid antara menarik balik kenyataan beliau yang menghina Islam, Yang DiPertuan Agong dan Sultan Selangor tersebut dalam tempoh 24 jam selain meminta ma'af kepada Yang DiPertuan Agong dan Paduka Tuanku Sultan Selangor khasnya kerana kenyataan beliau adalah satu sikap derhaka yang terbuka terhadap paduka Tuanku Yang DiPertuan Agong dan Tuanku Sultan Selangor, selain hendaklah meminta maaf kepada umat Islam khususnya di Selangor atas kenyataan biadap dan menghina tersebut.

Khalid seperti dilaporkan dalam MalaysiaKini (versi Melayu) bertarikh Khamis 21.01.2010 berpendapat: “ …enakmen agama yang melarang penggunaan kalimah Allah dan perkataan-perkataan lain berkaitan Islam sudah ketinggalan zaman.Justeru, ia perlu dibuka kepada perbincangan semula. Bagi pandangan saya, ya (ketinggalan zaman). Dan ia bercanggah sebenarnya dengan semangat di sebalik usaha dakwah Islam. Saya menyeru untuk ia dibincang, untuk dibuka untuk dibincang.”

Di pihak Zulkifli pula berliau berkata: "Saya dah buat kenyataan dua hari lalu meminta supaya Khalid segera meminta maaf kepada Sultan Selangor dan umat Islam dan menarik balik kenyataan itu tetapi beliau tidak berbuat sedemikian malahan tidak menunjukkan sebarang penyesalan setelah dipanggil menghadap Sultan.”

No comments:

Post a Comment