Tuesday, September 22, 2009

MCA – APABILA ALAT KELAMIN SUDAH DIPERTONTONKAN

Apa mainan politik MCA?

Menggugat atau mengukuhkan Barisan Nasional (BN) dengan tindakan memecat dan kemudian membatalkan pemecatan timbalan presiden, Datuk Dr Chua Soi Lek?

Daripada pemecatan kemudian digantung keahlian empat tahun.

Pemerhati politik menyifatkan keputusan jawatankuasa pusat membatalkan keputusan majlis presiden itu sebagai satu usaha untuk meredakan krisis yang melanda parti komponen kedua terbesar dalam BN itu.

Bagi saya tidak. Ia akan menyulit dan semakin menguji BN selepas ‘semua kain sudah dilondehkan di khalayak ramai dan alat kelamin sudah ditunjukkan tanpa segan silu’, kini kain cuba dipakai semula.

Pertanyaan ialah: “Tidakkah orang yang melondehkan kain itu sama ada gila atau tidak waras?”.
Bolehkah kita berurusan dengan orang tidak waras?

Biarpun Jawatankuasa Pusat MCA (CC) semalam mengubah keputusan Majlis Presiden pada 26 Ogos lepas untuk memecat Dr Chua dari parti itu, kekecohan dan ‘kemusnahan MCA’ akan sukar diperbaiki.

Penggantungan keahlian Dr Chua selama empat tahun berkuatkuasa serta merta juga tidak akan menyumbang apa-apa.

Sebelum ini, Majlis Presiden MCA mengesahkan syor jawatankuasa disiplin parti itu supaya Chua dipecat ekoran skandal video seks didakwa telah mencemarkan imej parti itu.

Keputusan itu telah mendorong penyokong Chua untuk melancarkan kempen mengutip tandatangan perwakilan parti itu, mendesak supaya diadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) untuk membatalkan pemecatan Chua dan mendesak supaya Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat meletak jawatan.

Mereka berjaya mendapat tandatangan satu pertiga atau lebih 800 perwakilan seperti yang diperlukan untuk mengadakan EGM tersebut.

Kejayaan mereka itu dilihat sebagai satu isyarat bahawa ramai perwakilan dan ahli akar umbi MCA yang tidak menyokong pemecatan timbalan presiden MCA itu.

Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib sendiri telah menasihatkan pucuk pimpinan MCA supaya segera menyelesaikan krisis dalaman parti itu kerana ia turut menjejaskan BN.

Najib kini sedang berusaha untuk memulihkan sokongan kepada BN yang kalah teruk dalam pilihanraya umum tahun lalu di mana ia terlepas lima negeri kepada pembangkang serta hilang penguasaan dua pertiga di Dewan Rakyat.

Persoalan di sini bukan soal kepentingan Dr Chua atau sesiapa sahaja dalam MCA. Yang penting krisis yang melanda MCA sudah ‘memporak-perandakan BN’ dan hakikat sebenar MCA tidak akan pulih walaupun pembatalan dilakukan terhadap pemecatan.

Penggantungan empat tahun itu akan menimbulkan perbahasan baru.

Ke mana dan bila kemelut MCA akan selesai?

Selagi ia tidak selesai, akan menyulitkan BN dan banyak kemungkinan akan berlaku dalam tempoh empat tahun itu kerana pilihan raya umum akan datang dijangka lebih cepat daripada tempoh penggantungan Dr Chua.

Jadi, apa untungnya MCA dengan keputusan itu dan apa pula kebaikan kepada BN hasil tindakan CC berkenaan?

No comments:

Post a Comment