Friday, September 11, 2009

APABILA TUN DR M TERHERET SAMA

Datuk Seri S Samy Vellu hangin (naik angin) dibuatnya.

Mana tidak hanginnya kalau beliau diminta supaya disingkirkan kerana tidak memberikan peluang kepada orang muda.

Juga Samy Vellu dikaitkan dengan kekalahan Barisan Nasional apabila masyarakat India menolak MIC kerana kepimpinannya.

Ini gara-gara calon timbalan presiden Datuk S Subramaniam dikatakan mendapatkan bantuan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk masuk campur dalam pemilihan parti itu.

Subramaniam akan bertanding jawatan timbalan presiden MIC, Sabtu ini.

Manakala pasukan Presiden 2009 pula terdiri daripada timbalan presiden Datuk G Palanivel, yang mempertahankan jawatan itu, dan gandingan tiga serangkai Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk S K Devamany dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk M Saravanan, yang akan bersaing bagi tiga jawatan Naib Presiden.

Samy Vellu turut merestui 27 daripada 63 calon yang akan berentap bagi mengisi 23 tempat dalam jawatankuasa kerja pusat parti.

Seorang lagi calon timbalan presiden ialah Datuk S Sothinathan.

Menurut Samy Vellu, Subramaniam telah mengaibkan MIC dengan mendapatkan bantuan Dr Mahathir.

Laporan muka depan Makkal Osai, akhbar Tamil yang dikaitkan dengan Subramaniam, menyebut bekas perdana menteri itu memuji Subramaniam sebagai seorang pemimpn yang baik, dan mengkritik kepimpinan Samy Vellu.

Akhbar itu menyiarkan wawancara dengan Dr Mahathir sebagai berita muka depan di mana antara lain, Dr Mahathir dilaporkan berkata, kerana marahkan Samy Vellu, masyarakat India mengundi pembangkang dalam pilihan raya umum lalu.

Bekas Perdana Menteri itu menyifatkan Samy Vellu sudah terlalu lama dan tidak pernah memberi peluang kepada pemimpin lain untuk menerajui parti itu.

"Jika masyarakat India mahu kemajuan dan melangkah ke hadapan, mereka mesti singkirkan Samy Vellu," katanya.

Difahamkan, wawancara dengan Dr Mahathir itu dibuat sebulan lalu.

Mantan perdana menteri itu bercakap mengenai banyak isu mengenai masyarakat India, tetapi akhbar berkenaan menyimpan ulasannya mengenai perkara Subramanian dan Samy Vellu sehingga hari ini.

Laporan Makkal Osai semalam disiarkan sehari selepas Samy Vellu memberitahu Malaysiakini bahawa pihak luar, termasuk Umno, tidak seharusnya campur tangan dalam hal-ehwal MIC.
Menyifatkan tindakannya sebagai "sengaja membawa masuk campur tangan luar", Samy Vellu berkata, banyak cawangan dan bahagian MIC menghubunginya untuk menyuarakan rasa marah mereka terhadap tindakan Subramaniam itu.

No comments:

Post a Comment