Saturday, August 15, 2009

RAKYAT PERMATANG PASIR DAHAGAKAN PEMBANGUNAN

Walaupun Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir pada 17 Ogos ini, semalam dua parti yang akan bertanding dan berdepan secara sengit sudah menamakan calon mereka.

PAS malam semalam menamakan Pesuruhjaya Pulau Pinang, Salleh Man sebagai calonnya dalam pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir pada 25 Ogos.

Beberapa jam sebelum itu, Barisan Nasional mengumumkan calonnya - setiausaha Umno bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman.

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pemilihan Rohaizat di Bukit Merah, Permatang Pasir pada sebelah petang.

Sebelum ini Rohaizat pernah disebut-sebut akan dicalonkan bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Penanti baru-baru.Bagaimanapun, ia tidak menjadi kenyataan apabila BN memutuskan untuk tidak meletakkan calon bertanding di kerusi tersebut.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan pemilihan Salleh di pejabat ADUN Permatang Pasir malam semalam.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak; Timbalan Presiden PAS, nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agong PAS, Datuk Mustafa Ali; Ketua PKR Pulau Pinang, Datuk Zahrain Hashim serta Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Guan Yow.

Kerusi DUN Permatang Pasir kosong ekoran kematian penyandangnya, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman kerana serangan jantung pada 31 Julai lalu.

Muhyiddin yakin penduduk di Permatang Pasir dahagakan pembangunan dan mahukan perubahan.

Beliau percaya, seperti di Manek Urai, Kelantan, impian untuk menikmati pembangunan dan kemajuan juga dikongsi oleh penduduk di Permatang Pasir.

Sehubungan itu, katanya, untuk mendapatkan pembangunan yang selama ini tidak mampu diberi oleh pembangkang, penduduk Permatang Pasir perlu memberi sokongan kepada BN yang terbukti mempunyai rekod cemerlang.

"Kalau di Manek Urai (Kelantan), kawasan itu jadi anak angkat tetapi Permatang Pasir akan jadi anak emas Kerajaan Persekutuan kalau penduduk di sini sokong kita," katanya pada majlis pelancaran jentera pilihan raya BN di Bukit Merah, Jalan Permatang Pauh, semalam.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, berdasarkan pengalaman, Pas tidak berani bercakap soal pembangunan kepada rakyat kerana mereka tidak mampu sama ada daripada segi kewangan mahupun kebolehan untuk melaksanakannya.

Beliau berkata, parti pembangkang sepatutnya tidak menggadaikan masa depan rakyat semata-mata untuk kepentingan politik mereka.

"Masa depan tidak boleh dikorbankan hanya untuk kepentingan politik. Politik kita (BN) bukan untuk kepentingan peribadi tetapi bagi menjaga kepentingan rakyat," katanya.

Sehubungan itu, katanya, penduduk di Permatang Pasir perlu menyokong dan memenangkan calon BN untuk memastikan pembangunan yang dikehendaki dapat disalurkan.

"Jika di (pilihan raya kecil) Manek Urai, BN tewas dengan 65 undi, jadi di Permatang Pasir saya mahu lihat BN menang dengan sekurang-kurangnya jumlah undi yang sama," katanya.

Muhyiddin berkata, rakyat tidak boleh lagi berharap kepada gabungan pembangkang untuk membela nasib mereka kerana pakatan itu kini umpama retak menanti belah dan tidak pernah bercakap dengan nada yang sama.

Apapun, pilihan raya ini dijangka menyaksikan pertandingan tiga penjuru, termasuk seorang calon Bebas.

Pakar motivasi, Kamarul Ramizu Idris menyuarakan hasratnya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu. Masa untuk beliau membuat keputusan masih ada kerana hari penamaan calon pada 17 Ogos ini.

Baru-baru ini Kamarul Ramizu, 42, berkata beliau bersedia untuk membeli borang pencalonan dari Pejabat Pilihan Raya negeri, semalam.

"Saya sedia untuk bertanding di Permatang Pasir kerana saya telah memperuntukkan kira-kira RM100,000 bagi kempen pilihan raya kecil itu.

Sebelum ini, Kamarul Ramizu telah bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, Perak dan Penanti.

1 comment:

  1. BN perlu kerja kuat jika mahu merampas Permatang Pasir dari tangan PAS . Ketua penerangan UMNO , Dato Maslan perlu menerapkan strategi Manek Urai di sini. Sekiranya ini dapat dibuat , peluang tetap ada untuk BN.

    ReplyDelete