Sunday, August 9, 2009

HASSAN ALI BERTINDAK BERDASARKAN ENAKMEN JENAYAH SYARIAH BN/UMNO 1995

(Sembang Ahad)

Untuk apa Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Hassan Ali menerjunkan dirinya dalam isu arak walaupun tahu akan timbul kontroversi?

Inisiatif adalah untuk membebaskan umat Islam Selangor dari pengaruh dan budaya arak yang haram hukumnya disisi Islam.

Ia bukan untuk menganggu-gugat hak masyarakat yang bukan Islam. PAS Selangor tidak pernah menuntut agar arak ini diharamkan dijual atau diminum dikalangan masyarakat bukan Islam.

Berdasarkan apa Hassan Ali bertindak?

Hassan Ali bertindak bukan berdasarkan enakmen atau peruntukan diluluskan oleh kerajaan pembangkang Selangor.

Hassan Ali bertindak berdasarkan Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang digubal oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) Selangor dan dikuatkuasakan oleh kerajaan BN Selangor pada 22 November 1996.

Terang dan jelas, kerajaan BN yang mengkategorikan meminum dan menjual arak sebagai suatu kesalahan jenayah syariah.

Jelas tuduhan BN sebagai kerajaan zalim, kafir dan tidak memperjuangkan Islam tidak benar.

Komponen BN di Selangor seperti MCA, MIC dan Gerakan tidak pernah menentang Enakmen 1995 itu, malah menyokongnya – kerana itu diluluskan.

MCA, MIC dan Gerakan tidak seperti DAP yang asyik mempertikaikan hukum-hakam Islam dan jelas Parti Keadilan Rakyat juga 2 kali 5.

Jadi di sini, tidak payahlah Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat mahu mengada-ngada mahu mengajar Kerajaan Selangor untuk menyelesaikan masalah ini.

Tindakan Nik Aziz, tindakan politik yang bukan mahu membela Hassan Ali tetapi pemimpin DAP –Ronnie Liu.

Kenapa Nik Aziz bersungguh-sungguh mahu membela pemimpin DAP yang diminta oleh Hassan Ali supaya difikirkan semula kedudukannya dalam Barisan Exco Selangor?

Menteri Menteri Besar Kelantan itu jangan cepat melompat mengatakan sedia bantu Selangor cara jual arak.

Apakah Kelantan mempunyai formula lebih baik menjual arak berbanding Selangor.

Apakah selama ini cara Selangor tidak baik berbanding Kelantan yang menganggapnya lebih baik?

Kata Nik Aziz, sistem penjualan arak di Kelantan berkesan dan mampu memberikan keselesaan kepada pengguna dan peniaga bukan Islam mengikut kaedah yang dituntut Islam.

Berikutan itu, Kerajaan PAS Kelantan sedia membantu Selangor jika kerajaan negeri itu berminat mempelajari kaedah pengurusan dan penjualan arak kepada penduduknya yang bukan beragama Islam.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, “Kalau Ronnie Liu (Exco Selangor) nak mari, sebagai tuan rumah kita kena sambut tetamu yang mahu datang atau berkunjung ke rumah kita untuk belajar cara-cara kita mengendalikan sistem penjualan dan pengurusan kedai minuman arak kepada bukan Islam negeri ini,” katanya.

Nik Abdul Aziz berkata, kerajaan Kelantan mula melaksanakan sistem pengurusan penjualan arak di negeri ini selepas PAS mula mengambil alih teraju pentadbiran negeri ini pada 1990.

Persoalannya ialah:

Pertama, pengalaman dan persekitaran di Kelantan dan Selangor berbeza. Di Selangor, orang bukan Islam ramai dan Majlis Perbandaran juga banyak dan turut disertai bukan Islam. Di Kelantan, bukan Islam sedikit dan sebelah sempadan dekat sahaja.

Selain itu majlis daerah boleh dikatakan ahlinya 100 peratus orang Islam. Hanya beberapa majlis daerah dan perbandaran yang ahlinya orang Islam.

Kedua, orang bukan Islam di Kelantan tidak ‘enjoy’ atau ‘happening’ di Kelantan. Mereka boleh ke luar Kelantan untuk ‘melepaskan keresahan mereka’.

Boleh dikatakan di Kelantan, peratusan dan undang-undang bersabit Islam, lebih ditujukan kepada orang Islam, bukannya bukan Islam.

Jadi, Nik Aziz kena faham suasana dan persekitaran dan jangan melihat Kelantan itu baik dan ok segala-galanya.

Rasanya dalam konteks Selangor Hassan Ali. Janganlah Nik Aziz mahu menjadi ketam...mengajar anak berjalan betul!

Apapun, fahami apa sebenarnya hasrat dan tindakan Hassan Ali mengenai kontroversi ini:

Kenyataan Penuh Dr Hassan Ali

“KONTROVERSI ISU ARAK DI NEGERI SELANGOR”

PENDAHULUAN

MEMINUM arak ataupun minuman berakohol yang memabukkan merupakan salah satu dosa besar dalam agama Islam. Ia haram diminum samada dalam kuantiti yang banyak ataupun sedikit, samada sipeminum tadi mabuk ataupun tidak akibatnya.
Allah swt berfirman di dalam al Quran, maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. “
(al Maidah: 90).

Nabi Muhammad s.a.w pernah melaknat mereka yang terbabit dengan arak ini iaitu sebanyak 10 golongan melalui sabdanya:

“Rasulullah s.a.w. melaknat tentang arak, sepuluh golongan:
(1) yang memerahnya, (2) yang minta diperahkannya, (3) yang meminumnya, (4) yang membawanya, (5) yang minta dihantarinya, (6) yang menuangkannya, (7) yang menjualnya, (8) yang makan harganya, (9) yang membelinya, (10) yang minta dibelikannya."
(Hadis riwayat Tarmizi dan Ibnu Majah)

ENAKMEN JENAYAH SYARIAH (SELANGOR) 1995

Oleh itu kerajaan bertanggungjawab memastikan yang rakyat jelata khasnya yang beragama Islam tidak terlibat dalam aktiviti yang membabitkan arak ini tambahan pula di Negeri Selangor, umat Islam di negeri ini adalah tertakluk dan terikat pada Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang berkuatkuasa sejak 22 November 1996 yang telah mengkategorikan meminum dan menjual arak sebagai suatu kesalahan jenayah syariah.

Melalui Enakmen ini di bawah kategori kesalahan minuman yang memabukkan dinyatakan di bawah Seksyen 18 (1) dan (2) iaitu:

(1) Mana-mana orang yang, di mana-mana kedai atau tempat awam lain, minum apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

(2) Mana-mana orang yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

INISIATIF MEMBEBASKAN UMAT ISLAM DARI ARAK DI SELANGOR

Diperingkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) contohnya di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berdasarkan sentimen dan tuntutan masyarakat, usaha telah dilakukan untuk memperkenalkan peraturan bagi mengawal penjualan arak ini iaitu di kawasan masyarakat yang majoriti penduduknya beragama Islam. Inisiatif ini turut diambil oleh ahli-ahli majlis di PBT-PBT yang lain di Selangor.

Walaubagaimanapun harus diberi perhatian bahawa segala usaha di atas TIDAK sama-sekali melibat atau membabitkan hak masyarakat bukan Islam di Negeri Selangor. PAS Selangor tidak pernah menuntut agar arak ini diharamkan dijual atau diminum dikalangan masyarakat bukan Islam.

Inisiatif yang diambil adalah untuk membebaskan umat Islam Selangor dari pengaruh dan budaya arak yang haram hukumnya disisi Islam dan bukan untuk menganggu-gugat hak masyarakat yang bukan Islam.

Oleh itu PAS Selangor kesal apabila inisiatif dari tindakan untuk mengawal pengurusan penjualan dan peminuman arak ini dikalangan masyarakat Islam telah dicampuri oleh pihak-pihak yang tertentu. Campurtangan membabitkan insiden di Shah Alam pada 30 Julai 2009 lalu dengan mempertikaikan keputusan pihak PBT dan para pegawai MBSA yang melaksanakan tugas ternyata telah mengingkari saluran-saluran pentadbiran yang sepatutnya.

Malah PAS Selangor mendapat laporan bahawa campurtangan itu (dan beberapa tindakan serupa sebelum ini) telah menganggu dan menjejaskan moral ahli-ahli majlis PBT dan para pegawai serta kakitangan kerajaan amnya.

TUNTUTAN-TUNTUTAN DAN TINDAKAN PAS SELANGOR

PERTAMA: Dengan perkembangan ini PAS Selangor mendesak agar kerajaan negeri di bawah pimpinan YAB Tan Sri Dato’ Abd Khalid bin Ibrahim agar serius dan menyegerakan garis panduan yang seragam bersesuaian dengan Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, untuk digunapakai seluruh negeri Selangor, supaya kontroversi seumpama ini tidak berulang sehingga meresahkan masyarakat Islam di sini.

KEDUA: PAS Selangor turut menggesa agar pemegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dikaji semula berikutan dengan rentetan beberapa peristiwa sebelum ini.

KETIGA: PAS Selangor mengeluarkan arahan kepada seluruh kekuatan parti di negeri ini untuk mengambil langkah-langkah yang wajar dan bersesuaian dengan kedudukan dan jawatan masing-masing agar usaha untuk membebaskan umat Islam dari arak ini dilakukan secara serius dan berterusan, menurut adab, peraturan dan undang-undang yang sedia ada, demi keselamatan dan kesejahteraan seluruh masyarakat dan umat Islam di negeri ini.

KEEMPAT: PAS Selangor akan segera mengemukakan deraf peraturan kecil mengenai penggunaan arak dikalangan masyarakat Islam untuk dikuatkuasa diperingkat PBT-PBT.

KESIMPULAN
Kesimpulannya, PAS Selangor mengesan bahawa keseluruhan rentetan kes-kes ini sesungguhnya berpunca dari kegagalan dan kelemahan pimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) Selangor yang telah diberi peluang oleh rakyat untuk mentadbir negeri ini lebih 50 tahun lalu.

Pimpinan Umno Selangor semasa berkuasa dahulu terbukti tidak sama-sekali serius dan jujur dalam menyelesaikan masalah orang-orang Islam termasuklah berhubung penjualan dan peminuman arak ini. Oleh itu PAS kini melalui mandat yang diberikan rakyat kepadanya, bertanggungjawab untuk memperjuangkan isu ini demi kepentingan masyarakat Islam dan seluruh rakyat amnya.

YB DATO’ DR HASAN BIN MOHAMED ALI PESURUHJAYA PAS NEGERI SELANGOR 4 OGOS 2009

5 comments:

  1. Nabi Muhammad s.a.w pernah melaknat mereka yang terbabit dengan arak ini iaitu sebanyak 10 golongan melalui sabdanya:

    Quote :“Rasulullah s.a.w. melaknat tentang arak, sepuluh golongan:
    (1) yang memerahnya, (2) yang minta diperahkannya, (3) yang meminumnya, (4) yang membawanya, (5) yang minta dihantarinya, (6) yang menuangkannya, (7) yang menjualnya, (8) yang makan harganya, (9) yang membelinya, (10) yang minta dibelikannya."
    (Hadis riwayat Tarmizi dan Ibnu Majah)

    Yang menjualnya .. nasib baiklah si tua pikun itu hanya mengajar macama mana nak jual arak dengan lebih selesa bahkan di ajar cara menguruskan arak secara Islam??? Tak adakah cara ternak babi secara Islam??

    Quote: Kata Nik Aziz, sistem penjualan arak di Kelantan berkesan dan mampu memberikan keselesaan kepada pengguna dan peniaga bukan Islam mengikut kaedah yang dituntut Islam.

    Berikutan itu, Kerajaan PAS Kelantan sedia membantu Selangor jika kerajaan negeri itu berminat mempelajari kaedah pengurusan dan penjualan arak kepada penduduknya yang bukan beragama Islam.

    Tukang perah, tukang hidang, tukang hantar lagi dilaknat .. inikan pula Tuan Pengurus Arak (secara Islam) Kitab mana yang mengajar cara mengurus arak ni tok pikon oiiii!!

    ReplyDelete
  2. Pandai buat undang2..tp kuatkuasa nye tidak...

    ReplyDelete
  3. Datu Sulaiman said...

    Salam ustaz,

    Apa boleh buat, walaupun UMNO hanya ada lebihkurang 3 tahun lagi sebelum PRU 13 tetapi nampak gaya UMNO masih belum mahu berubah..Belum ada sebarang perubahan, orang-orang UMNO masih tetap dengan sikap lama, cara lama dan semangat lama. Sokongan rakyat pula semakin dingin dan hanya mereka yang berkempentingan saja yang bermati-matian menyokong UMNO.

    Semalam saya bersembang dengan satu dua 'orang UMNO' yang ada hubungan 'dekat' dengan kira pembesar perintkat atas UMNO, nampak gaya sahabat itu pun dengan berani mengatakan bahawa jika keadaan yang ada sekarang ini,conform BN akan tumbang pada PRU 13 nanti..Sahabat ini kata hanya DS Najib yang cuba berusaha untuk memulihkan UMNO tetapi gerombolan yang lebih buat macam biasa saja..

    Sahabat ini berkata lagi betapa UMNO cuba 'creat' beberapa isu untuk menyerangkan PR khasnya PKR dan DS Anwar tetapi kata beliau, rakyat yang sudah celik hanya diam saja dan mereka hanya akan tunggu untuk melepaskan 'tsunami' politik yang kedua pada PRU 13 nanti.

    ...................................................................................

    jika anda terlihat ada orang islam yang berjudi dan minum arak di selangor sila laporkan kepada pihak yang berkenaan supaya kita dapat menghancurkan maksiat tersebut..

    marilah kita bersama-sama membuat pemerhatian keatas premis yang menjual air setan ini..jika ada orang islam masih membeli racun dan air setan tersebut,kita akan desak dengan lebih hebat agar perbuatan maksiat tidak berlaku di selangor..

    negeri-negeri UMNO disarankan mengikuti jejak langkah negeri selangor demi menjaga kepentingan islam di malaysia.

    ReplyDelete
  4. Nik Aziz - Jangan dilayan sangat apa jua cakapnya. Banyak yang merapu dari yang sahih . Dia sebenarnya bukan tahu sangat hal pemerintahan negerinya . Orang lain yang cakap dan buat kerja untuknya. Sebab itu cakapnya banyak kontoversi !

    Hassan Ali - nak tunjuk handal. Kerjanya cari salah UMNO . Dia dah lupa asal usulnya. Orang yang kufur nikmat Allah binasalah hidupnya. Ini adalah ketentuan tuhan. Ramai di kalangan yang menjadi pemimpin di kalangan parti pembangkang sekarang termasuk di kategori ini. Kita sama-sama tunggu dan lihat.

    ReplyDelete
  5. Kesimpulannya, Hassan Ali bertindak diatas dasar Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang digubal oleh kerajaan BN dan bukan kesimpulannya "Pimpinan Umno Selangor semasa berkuasa dahulu terbukti tidak sama-sekali serius dan jujur dalam menyelesaikan masalah orang-orang Islam termasuklah berhubung penjualan dan peminuman arak. Enakmen yang disediakan oleh BN dah ada, kuasa pun sudah ada ditangan, kenapa salahkan kerajaan dahulu pula. Berceramah memang seronok, takbir sana, takbir sini,laksanakanlah tugas sebelum tuhan cabutkan kuasa yang diberi.

    ReplyDelete