Sunday, July 5, 2009

NEWCASTLE MILIK RAKYAT MALAYSIA?

Dalam perniagaan sukan bolasepak, menafi atau mengatakan tidak tahu adalah perkara biasa.

Berapa banyak kelab, termasuk kelab terkenal – Manchester United dan Liverpool – menafikan pelbagai perkara termasuk pertukaran pemilik serta penjualan pemain, sering dimulakan dengan penafian demi penafian.

Namun akhirnya ia berlaku juga.

Sebenarnya saya teruja membaca berita ada usahawan Malaysia mahu beli kelab Newcastle United.

Bukan saya minat dengan kelab yang akan bermain di Bahagian Satu Liga Inggeris – selepas diturunkan daripada Liga Perdana musim ini - tetapi yang menariknya, usaha dilakukan secara rahsia dan tidak gembar-gembur.

Dalam konteks pembabitan syarikat Malaysia dalam Liga Perdana England pula bukan baru.

Syarikat automobil nasional, Proton adalah syarikat Malaysia pertama melibatkan diri dalam bola sepak England menerusi penajaan jersi bekas kelab Liga Perdana, Norwich City pada musim 2003-2006.

Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia pula menjadi penaja jersi pengadil perlawanan Liga Perdana, yang mana logo mereka tertera di lengan baju pengadil dan pembantu pengadil dalam lebih 50 perlawanan.

Menurut laporan Harian Metro, syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Berhad mengesahkan sedang dalam rundingan menjadi pemegang saham terbesar kelab Inggeris, Newcastle United apabila menerima tawaran skuad Liga Kejuaraan itu, beberapa minggu lalu.

Kata akhbar itu, sumber dalaman AirAsia memberitahu Newcastle setakat ini menjadi pilihan utama selepas turut ditawar memiliki tiga kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), West Ham United, yang difahamkan menjadi kelab pujaan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Datuk Seri Tony Fernandes selain Portsmouth dan Sunderland.

“AirAsia sedang meneliti tawaran kesemua empat kelab Inggeris itu, namun masih belum membuat keputusan. Tapi, Newcastle diberi keutamaan kerana mereka dilihat mampu memberi pulangan paling baik bagi aspek penjenamaan syarikat kami.

“Sebagai pelabur, sudah pasti kami mahukan pulangan terbaik untuk mengukuhkan reputasi berdepan cabaran pesaing,” kata sumber itu.

Bagaimanapun, petang semalam, Ketua pegawai eksekutif AirAsia Datuk Seri Tony Fernandes menafikan syarikat penerbangan tambang murah itu berminat membeli kelab bola sepak Inggeris, Newcastle United.

Ketika dihubungi Bernama, Tony Fernandes berkata: "Kami tidak, sama ada secara langsung atau tidak langsung, sebahagian daripada konsortium dari Malaysia yang berminat untuk membeli Newscastle United. Kami menafikan sebarang penglibatkan atau seumpamanya".

Media British pada Jumaat melaporkan satu konsortium Malaysia yang diterajui beberapa ahli perniagaan ternama mengemukakan tawaran 80 juta (RM456 juta) untuk membeli Newscastle atau 'The Magpies' daripada pemiliknya Mike Ashley.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, sekumpulan ahli perniagaan dari Malaysia dikaitkan berminat untuk membeli kelab bola sepak England, Newcastle United, lapor media Britain hari ini.

Akhbar Mirror dalam laman webnya, www.mirror.co.uk memetik kenyataan pemilik Newcastle, Mike Ashley yang mengakui telah dikunjungi prospek pembeli - iaitu sekumpulan ahli perniagaan dari Malaysia dalam satu pertemuan rahsia.

Ashley, seorang ahli perniagaan yang membina kekayaan menerusi rangkaian kedai barangan sukan mula menyuarakan hasrat untuk menjual kelab England itu selepas ia tersingkir daripada saingan Liga Perdana, musim lalu.

Identiti ahli perniagaan dari Malaysia itu tidak didedahkan, namun kehadiran mereka dikesan oleh kakitangan dan para pemain kelab ketika keempat-empat mereka dibawa melawat stadium dan gelanggang latihan.

Ashley yang membeli Newcastle dengan harga 135 juta pound (RM752 juta) pada 2006 dikatakan tidak sabar lagi untuk menjual kelab tersebut yang hingga kini masih belum memiliki pengurus, sebulan sebelum cabaran kejuaraan bermula.

Bulan lalu, ahli Lembaga Pengarah Newcastle United mengumumkan bahawa kelab itu akan dijual dengan harga 100 juta pound (RM555.7 juta).

Jika benar pembelian berlaku, ia membuktikan bahawa jutawan Malaysia turut berminat dalam industri bolasepak ini yang bukan sahaja membabitkan kelab, pemain dan jurulatih.

Perniagaan akan melebar kepada hak penyiaran, peralatan dan pakaian serta juga perpindahan.

Jika benar mendatangkan keuntungan, kenapa tidak memulakannya dari sekarang?

Peluang ini juga mungkin boleh membantu pemain Malaysia memulakan langkah ke Eropah seperti yang dilakukan melalui Manchester City ketika bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinwatra menjadi pemiliknya?

No comments:

Post a Comment