Saturday, July 18, 2009

BETAPA BERTUAHNYA KITA…GERAKKAN PERPADUAN ISLAM
















UMAT Islam etnik Uighur dan Han mengerjakan solat Jumaat di Masjid Yang Hang, bandar raya Urumqi, Daerah Xinjiang, China, tengah hari tadi. Kawalan keselamatan kekal ketat di kawasan etnik Uighur, Xinjiang, selepas rusuhan di Urumqi awal bulan ini di antara minoriti Islam Uighur dan majoriti puak Han yang mengakibatkan lebih 1,600 orang cedera. Pegawai agensi berita Xinhua berkata, 192 orang terbunuh dalam rusuhan itu dan sekitar 1,000 orang ditahan. - Foto Reuters

Janganlah kejadian yang berlaku di daerah Xinjiang, China menimpa Malaysia!
Pertelingkahan agama tidak akan menguntungkan negara dan umat Islam sendiri. Jadilah bangsa yang bermaruah dengan tidak menggadaikan kepentingan politik untuk bersengketa sesame sendiri.

Singkir jauh-jauh mereka yang menentang usaha perpaduan dan persefahaman sesama Islam. Serulah ke arah perpaduan dan jangan lihatnya daripada sudut politik tetapi demi kepentingan umat Islam seluruhnya.

Jika sudah kehilangan, sukar sekali untuk diambil kembali. Umat Islam harus waspada kerana ‘baik di depan tidak semestinya kelingking tidak berkait’.

Pelajarilah apa yang melanda Urumqi, ibu kota Xinjiang.

Pasukan keselamatan lengkap bersenjatakan raifal separuh automatik dan belantan mengadakan kawalan ketat ketika etnik Uighur memenuhi masjid-masjid untuk menunaikan solat Jumaat, semalam.

Pada Jumaat lalu, banyak masjid ditutup ketika kemuncak insiden rusuhan kaum yang tercetus di bandar ini sejak ia tercetus pada 5 Julai lalu yang meragut 192 nyawa.

Masjid Putih yang menjadi tumpuan di kawasan Uighur dibanjiri umat Islam dengan sebahagian besarnya duduk di atas barisan sejadah sambil dikawal oleh kira-kira 200 pasukan separa tentera.

Agensi berita Xinhua melaporkan kesemua 433 masjid di bandar ini dibuka semalam.
Seorang wartawan AFP di Masjid Putih berkata, solat Jumaat berjalan lancar dan kesemua jemaah bersurai tanpa sebarang insiden.

Ketegangan pada 5 Julai yang merupakan rusuhan etnik terburuk di China sejak beberapa dekad, bermula dengan protes aman etnik Uighur namun bertukar ganas. Sebilangan etnik Uighur menyerang kaum dominan China, Han, demikian menurut media tempatan.

Pihak berkuasa menyatakan sebahagian besar korban adalah etnik Han dan lebih 1,600 orang cedera pada hari kejadian.

Menyedihkan apabila kebanyakan negara Islam mengambil sikap membisu terhadap rusuhan di Xinjiang dan tindakan keras pihak berkuasa China ke atas masyarakat Islam Uighur di wilayah itu.

Mereka dipercayai tidak mahu menjejaskan hubungan perdagangan yang erat dengan Beijing atau menarik perhatian terhadap tindakan mereka sendiri ke atas penentang politik, kata penganalisis politik hari ini.

Dua negara bukan Arab - Iran dan Turki - adalah antara segelintir yang telah mengkritik China.
Iran sendiri sibuk menangani kekacauan yang tercetus di negaranya sendiri berikutan keputusan pilihan raya Presiden yang dipertikaikan, manakala Turki mempunyai pertalian etnik dengan kaum minoriti Uighur di China.

Namun di kebanyakan negara Asia Barat dan dunia Arab, keganasan di China tidak mencetuskan banyak reaksi.

"Rejim-rejim Arab tidak dapat mengkritik serangan ke atas penduduk Islam China kerana mereka sendiri tidak mengamalkan demokrasi. Mereka dalam kedudukan yang sama seperti kerajaan China," kata penganalisis politik Jordan, Labib Kamhawi.

Penduduk Uighur yang berjumlah sembilan juta orang di Xinjiang telah lama merungut mengenai kemasukan etnik Han ke wilayah mereka serta sekatan kerajaan ke atas agama Islam.
Mereka menuduh kaum majoriti Han melakukan diskriminasi dan Parti Komunis cuba melenyapkan bahasa dan budaya mereka.

China ialah rakan dagangan utama bagi banyak negara Arab termasuk Sudan, Arab Saudi dan negara kaya lain di rantau Teluk.

Keganasan di Xinjiang telah mencetuskan protes hampir setiap hari di Turki, kebanyakannya di luar kedutaan China di Istanbul dan Ankara di mana bendera China dan barang buatan China dibakar.

Hubungan kerajaan China dengan Australia dikatakan tegang ekoran tuduhan pengintipan komersial, diburukkan lagi dengan kontroversi selepas China mendesak sebuah dokumentari mengenai pergolakan etnik Uighur dikeluarkan daripada festival filem terbesar Australia.

Pegawai konsul China telah menghubungi penganjur Festival Filem Antarabangsa Melbourne dan mendesak mereka mengeluarkan sebuah filem mengenai seorang usahawan wanita Uighur yang hidup dalam buangan, Rebiya Kadeer yang dituduh oleh Beijing sebagai penghasut dalam insiden rusuhan kaum di Xinjiang pada minggu lalu.

Konsulat China di Melbourne menghubungi melalui telefon mendesak dokumentari bertajuk The 10 Conditions of Love digugurkan daripada tayangan perdananya pada 8 Ogos dan menuntut penjelasan mengenai sebab ia dimasukkan, ujar pengarah festival, Richard Moore baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment