Monday, July 20, 2009

ADA PIHAK ENGGAN BEKERJASAMA KES TEOH – KENAPA?

Hairan juga kenapa Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kajang, Tan Booh Wah enggan memberikan kerjasama kepada polis untuk diambil keterangan daripadanya dalam kaitan kematian Teoh Beng Hock.

“Kami sudah menghubungi Tan tetapi beliau enggan. Jika beliau terus berdegil, kita akan menggunakan Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah untuk membolehkan untuk turut direkodkan keterangan daripadanya,” kata Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar .

Beliau menyatakan demikian selepas memberikan taklimat kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengenai kemajuan siasatan.

Siasatan polis terhadap kes Teoh Beng Hock yang mayatnya ditemui di koridor luar
Khalid berkata polis sudah memanggil dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu ADUN Kota Alam Shah, M. Manoharan dan ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah untuk membantu siasatan.

Dua individu terbabit adalah orang terakhir yang dihubungi mendiang sebelum memasuki bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disoal siasat.
Difahamkan, taklimat kes itu dijalankan selama sejam.

Teoh, bekas wartawan adalah setiausaha politik kepada Ean Yong Hian Wah, merupakan seorang daripada saksi dalam siasatan SPRM berhubung dakwaan penyalahgunaan peruntukan negeri baru-baru ini.

Musa berkata, pihaknya percaya kes itu dapat disiapkan dalam masa terdekat.
Menurut beliau, siasatan pihaknya percaya mendiang jatuh dari tingkat 14 sebelum mayatnya ditemui kira-kira empat atau lima jam selepas itu.

Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta semua pihak berhenti menuding jari kepada agensi itu sebagai punca kematian Teoh kerana siasatan berhubung kejadian itu masih dijalankan.

Ketua Pesuruhjayanya Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berkata sejak insiden itu dilaporkan, banyak pihak telah mengeluarkan pelbagai kenyataan dan komen hingga menimbulkan spekulasi dan mengganggu siasatan yang dijalankan.

"Biarlah polis siasat dan selesaikan dahulu kes ini. Janganlah keruhkan keadaan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Teoh, 30, ditemui mati di koridor luar tingkat lima bangunan Plaza Masalam di Shah Alam, yang turut menempatkan pejabat SPRM Selangor di Tingkat 14, pada 1.30 tengah hari Khamis lepas.

Ahmad Said berkata kes penyalahgunaan peruntukan negeri yang disiasat SPRM itu hanyalah kes biasa dan bukannya kes besar sehingga boleh menimbulkan kematian.

"Bukan kerja kami hendak siasat sampai buat (kematian) macam itu sekali...kes biasa sahaja," katanya.

Ahmad Said berkata laporan sesetengah media didapati cuba mengeruhkan keadaan dan mewujudkan perselisihan faham dan tanggapan bahawa SPRM punca kematian Teoh.

"Jangan cuba wujudkan perselisian faham dan sensitiviti kaum...saya pun secara peribadi hendak tahu juga apa yang berlaku sebenarnya," katanya.

Ahmad Said berkata SPRM turut bersimpati dengan keluarga mangsa berikutan insiden itu.

1 comment:

  1. Bos, nak komen sket

    Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kajang bukannya Tan Booh Wah sepertimana dinyatakan di awal artikel tuan.

    Tan Booh wah hanyalah adli majlis perbandaran kajang

    Yang Dipertua Majlis perbandaran kajang ialah Dato hassan nawawi.

    harap maklum

    ReplyDelete