Tuesday, December 9, 2008

PAS PERLU KEMBALI KE PANGKAL JALAN

Yang mana satu penting bagi PAS, menegakkan Islam atau berpakat dengan bukan Islam demi kuasa politik?

Inilah dilema PAS ketika ini. Pada ketika sebahagian pemimpinnya merasakan sokongan kepada PAS mula terhakis kerana beberapa dasarnya yang membelakangkan hukum Islam, ada sebahagian lagi yang merasakan tanpa sokongan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, PAS sukar untuk memerintah.

Kerana sokongan politik, mereka berpendapat, berlembut sedikit tidak mengapa asalkan dapat membentuk kerajaan.

Saya sendiri pun tidak faham dengan sikap beberapa pemimpin PAS ketika ini. Jika bapa saya masih hidup, dia pun akan tertanya-tanya ke mana haluan PAS sebenarnya.

Sebagai penyokong kuat PAS sejak ditubuhkan, Allahyarham bapa saya tidak pernah mahu berlembut atau berkompromi apabila membabitkan soal-soal dasar asas PAS, kecuali sekali, iaitu pembentukan kerajaan campuran pada 1974.

Itupun menurutnya ‘berat’ untuk menerima keputusan sedemikian tetapi kerana kepentingan “Melayu yang automatiknya Islam”, sebagai penyokong, beliau menerima keputusan dengan berat hati.

Saya masih ingat, bagaimana kuatnya semangat Islam dan Melayunya yang menyebabkan beliau merasakan usaha Allahyarham Tun Razak Hussein mewujudkan Barisan Nasional (BN) perlu disokong semua pemimpin Melayu ketika itu.

Tetapi selepas itu, tiada kompromi lagi. Menurutnya, tanpa sokongan bukan Islam dan bukan Melayu pun, Tuhan Maha Kuasa menganugerahkan kemenangan Terengganu kepada PAS pada 1959 (seketika) dan 40 tahun kemudian, pada 1999.

Kelantan sendiri bertahan di bawah PAS bukannya kerana faktor orang bukan Melayu atau bukan Islam. Yang menjadi pendokong PAS sejak 1959 ialah orang Melayu Islam di Kelantan.

Bagaimanapun Allahyarham bapa saya begitu kecewa - apabila dianugerahkan kuasa - pemimpin PAS menganggap ia bukan sebagai ‘anugerah dan amanah Allah’ tetapi dalam konteks politik semata-mata.

Jadi apabila berlakunya ‘perkahwinan politik’ antara PAS dan sekutu lain dalam Pakatan Rakyat – Parti Keadilan Rakyat dan DAP, saya awal-awal lagi berpendapat ia perkahwianan yang tidak akan kekal dan akan berlaku pertelingkahan sepanjang masa.

Antara ‘suami dan isteri’ tidak akan mungkin ada persefahaman dan pertelingkahan antara mereka bukan ‘ribut dalam secawan kopi’ tetapi rebut yang akan membawa bencana.

Kini semakin terserlah seperti yang berlaku di Selangor.

Pertelingkahan yang berlaku bukan sengaja-sengaja diperkarakan oleh BN atau UMNO sebaliknya daripada mulut pemimpin PAS sendiri.

Sejak dari awal PAS tidak akan mungkin dapat menjadi pentadbir yang baik jika dia terpaksa tunduk kepada desakan PKR dan DAP.

Bukan sahaja dari segi ideologinya berbeza tetapi budaya dan kemampuan pemimpin PAS sendiri menjadi tanda tanya.

Berbeza dengan Kelantan, PAS bertanding di Selangor bukan kerana mahu membentuk kerajaan sebaliknya hanya mahu menjamin BN tidak menjadi sebuah kerajaan yang kuat.

Cara lain menjelaskan kedudukan PAS ialah, mulanya mahu menjadi pembangkang tetapi dengan kuasa Allah, mereka menjadi sebahagian kerajaan negeri Selangor.

Dan seperti ditegaskan oleh Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Hassan Mohamad Ali, PAS akhirnya mengakui sukar mentadbir Selangor disebabkan kerana perbezaan ideologi politik dengan PKR dan DAP.

Juga walaupun PAS berusaha berselindung kononnya tidak mementingkan perjuangan ‘demi Melayu’, Hassan sendiri mengakui tidak dapat melaksanakan aspirasi orang Melayu di negeri itu.

Kini PAS Selangor menegaskan ia tidak akan tunduk kepada tekanan-tekanan yang berlaku terutamanya mengenai Islam yang menjadi matlamat Pas.

Pas juga tidak akan bertolak ansur dengan hal-hal yang haram seperti pelacuran dana akan bertegas dengan hal itu.

Ada mengatakan cara Dr Hassan mengeluarkan kenyataan itu sebagai tidak bijaksana kerana ia tidak memberi kebaikan kepada Pas dan Pakatan Rakyat.

Bangkai gajah sudah tidak dapat ditutup lagi kerana ia bukan sahaja persepsi tetapi kenyataannya ialah PAS kini memang tidak 'ngam' dengan Pakatan Rakyat. Sama ada engagement dengan Umno tidak penting lagi tetapi PAS sendiri perlu menunjukkan kepada pengundinya bahawa PAS tidak boleh bertolak ansur dalam soal-soal yang membabitkan haram dan halal.

Blogger Mohd Sayuti Omar (MSO) mengemukakan pandangannya mengenai sikap Dr Hassan apabila berkata: “Berterus terang itu baik tetapi dalam politik ia natijahnya bukan begitu. Di sini fatanah Hassan sebagai politician nampaknya tidak ada.”

Sudah pasti apabila Dr Hassan meluahkan rasa hatinya berasaskan kegagalan melaksakan “Islam’ di Selangor, PAS sudah membuka pekong di dada dan menggambarkan wujudnya keadaan yang dalam PAS sendiri pun tidak sepakat.

Sebelum ini berlaku pemecatan dua pegawai tinggi PAS Selangor – Khalid Samad dan Saari Sungip – dan kini dengan pendedahan Dr Hassan menjadikan Pakatan Rakyat berada dalam keadaan tidak stabil.
Sesiapa pun boleh menafikannya tetapi kenyataannya, memang PAS, DAP dan PKR tidak boleh duduk semeja.

Lagipun, pemimpin PAS Selangor tidak ada pengalaman memerintah dan ‘pengalaman pertama’ sudah pasti banyak kekurangannya.

Jika memerintah Selangor pun sukar, bagaimana PAS akan menjadi rakan PKR dan DAP dalam Kerajaan Persekutuan, jika diizinkan Allah melalui ‘pelan peralihan Anwar Ibrahim?

Melalui pelan ini, PAS hanya sebagai sebahagian, bukan peneraju dan pasti sekali, jika PKR yang menerajui Pakatan Rakyat, banyak perkara akan menyebabkan PAS tidak berpuas hati.

Memang benar Dr Hassan perlu ingat apa-apa keputusan atau tindakan yang hendak diambil oleh PAS Selangor mesti mendapat restu daripada Pas Pusat. Tetapi salahkah Dr Hassan jika dia bersedia untuk melanggar keputusan PAS Pusat yang nampaknya ‘mementingkan kuasa politik’ sedangkan PAS Selangor merasakan mereka tidak boleh berkompromi apabila membabitkan kepentingan Islam?

Nasi sudah menjadi bubur dan kenyataan serta pendirian Dr Hassan secara terbuka walaupun perlu dihormati sudah memburukkan suasana dan hubungan beliau dengan pemimpin PKR dan DAP selain pemimpin tertentu dalam PAS.

Persoalannya, jika sudah faham dengan ideologi DAP dan dasar ‘memuashati semua pihak’ PKR, eloklah PAS berjalan sendiri atau mengintai semula rakan Islam yang hampir dilupakannya – UMNO untuk kembali ke pangkal jalan.

2 comments:

  1. Masalahnya PAS tidak boleh bekerjasama dengan UMNO yang lebih jahat dan banyak tipu helahnya dari DAP dan PKR.

    Pada saya biar PAS berkawan dengan parti yg mereka tahu tujuannya dari UMNO yg hipokrit dan merosakkan negara dan bangsa.

    Rondo

    ReplyDelete
  2. Setiap parti politik ada tipu helahnya. Dlm dunia skrg ni tiada yg baik.

    PAS tdk mahu bekerjasama dgn UMNO bknlah kerana UMNO jahat ttp kerana ego dlm menunjukkan kuasa msg2. DAP & PKR bknlah wadah utk agama, bangsa & negara kerana mereka sendiri pun tak betul. Mereka sendiri pun mengutamakan org2 mereka sblm membuat sesuatu utk rakyat.

    Malangnya kebanyakan penyokong sesuatu parti politik bagaikan tidak berakal apabila menyokong sesuatu tanpa usul-periksa, tanpa b'fikir. Mgkn kerana penyokong skrg hanya tahu bising2 shj ttp tak tau berfikir yg mana baik & yg mana buruk.

    PKR & DAP bukanlah rakan yg baik utk PAS...

    ReplyDelete