Tuesday, December 30, 2008

NIK AZIZ – MASALAHNYA PADA PAS TERENGGANU

Terang lagi bersuluh, PAS ada masalah dalam memilih calon.

Juga benarlah jangkaan bahawa ada pertentangan pendapat antara golongan ulama dan muda (Erdogan + Klon) dalam parti itu.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam mengakui kelewatan mengumumkan nama calon bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu menonjolkan kegagalan PAS negeri mencapai kata sepakat dengan golongan ulama dan muda dalam parti itu.

PAS Terengganu juga dikatakan gagal mendapat sokongan mengenai calonnya daripada rakan pakatan pembangkang iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mempunyai pilihan sendiri untuk diketengahkan sebagai calon.

''Ini masalah orang sini ( PAS Terengganu) dan bukan saya," kata Nik Aziz selePAS merasmikan jentera Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu dari Kelantan dan Wilayah Persekutuan di Masjid Hiliran di Kuala Terengganu malam semalam.

Benarlah ramalan saya sebelum ini yang mengatakan ada pertentangan pendapat antara ulama dan Erdogan + Klon, bukan sahaja dalam memilih calon tetapi membabitkan beberapa pendekatan lain dalam PAS.

Persoalannya apakah kenyataan Nik Aziz itu ditujukan kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, tidaklah diketahui.

Namun, sedikit sebanyak Hadi terbabit dalam soal pemilihan calon ini kerana beliau bukan sekadar Presiden PAS tetapi menjadi pengaruh paling penting di Terengganu.

Presiden PAS itu baru-baru ini berkata, calon pilihan PAS itu mempunyai ketokohan dan lebih berkelayakan untuk menang berbanding calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

“Kita sudah ada calon... dalam poket saya. Insya-Allah... tunggu 1 Januari depan.
Beliau seorang profesional dan berjiwa rakyat,” kata Hadi

Ditanya adakah calon yang dipilih itu dari kalangan anak Terengganu atau Mat Sabu seperti yang dicadangkan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, beliau berkata, perkara itu akan diketahui 1 Januari ini.

Hadi dikatakan berminat meletakkan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Mustapa Ali atau Datuk Wan Mutalib Embong bertanding sementara golongan muda pula mahukan Dr Syed Azman Syed Nawawi.

Malah sebelum tiga nama itu ‘naik’, Nik Aziz awal-awal lagi melonjakkan nama Muhammad Sabu.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, beliau tidak terlibat dalam pemilihan calon pilihan raya kecil tersebut kerana ia terletak di bawah bidang kuasa PAS Terengganu.

Timbalan Pengarah Jawatankuasa Induk Pilihan Raya Kecil PAS, Datuk Mustafa Ali bagaimanapun menafikan wujud masalah dalam menamakan calon parti itu untuk Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, sebaliknya menyifatkan kelewatan itu sebagai perkara biasa.
''PAS pada kebiasaannya mengumumkan calon yang akan bertanding sehari atau dua hari sebelum tarikh penamaan calon.

''Keputusan mengumumkan nama calon di Stadium Negeri di sini pada Khamis ini pun dikatakan awal daripada kebiasaan," katanya ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia semalam.
Jika demikian, kenapa PAS mesti ikut rentak UMNO dan BN mengumumkan nama calon lebih awal?

Saya ingin mengulangi di sini, persoalan lebih besar kepada pertelingkahan pendapat ini ialah apakah PAS mampu mendinginkan pertentangan antara kumpulan Erdodan + Klon melawan kumpulan ulama khususnya di Terengganu?

Pertelingkahan ini sebenarnya turut memberikan kesan kepada kerjasama mereka dengan komponen Pakatan Rakyat, khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ia bukan sekadar pemilihan calon tetapi akan terbawa-bawa sehingga kempen.

Bagi saya, sudah PASti dalam kempen PAS dan usaha meramPAS kerusi ini daripada BN, akan ada perbuatan ‘main belakang’, sabotaj dan ‘cas keting’.

Jika kita ingat kembali, siapa bermati-matian di Permatang Pauh? Mereka adalah kumpulan Erdogan + Klon, khususnya Datuk Husam Musa. Malah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sanggup bertongkat pada hari penamaan calon. Di mana pula kumpulan ulama ketika itu?

Ini bermakna kemungkinan tetap ada bahawa PKR, khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri akan ‘memboikot’ PAS jika kumpulan ulama berjaya mempengaruhi Majlis Syura PAS untuk meletakkan calon bukan Erdogan + Klon.

1 comment:

  1. Saudara,

    Parti politik -- walau apa nama dan lambang sekali pun -- akan menghadapi masalah untuk menamakan calon. Pilihanraya ialah mengenai perebutan kuasa. Seringkali, perebutan kuasa itu bermula dalam parti sendiri!

    ReplyDelete